Friday, November 19, 2010

Laman sesawang bantu IKS dilancar

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Small and Medium Enterprise Corporation Malaysia (SME Corp.) hari ini memperkenalkan laman sesawang, SME Toolkit Kiosk bagi memudahkan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan mendapatkan segala maklumat berkaitan perniagaan di negara ini.

SME Toolkit Kiosk dibangunkan dengan kerjasama pembangun penyelesaian teknologi, IBM dan syarikat perunding perniagaan, Dun & Bradstreet (M) Sdn. Bhd. (D&B).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Mahdi Mohd. Ariffin berkata, laman itu merupakan salah satu usaha pihaknya membantu IKS tempatan mendapatkan maklumat keperluan pembinaan entiti perniagaan dengan lebih bersistematik.

"Ia merupakan penambahan nilai dalam perkhidmatan SME Corp. yang dapat menjimatkan kos sama ada kepada agensi ini serta IKS sendiri.

"Antara maklumat terkandung dalam laman sesawang itu seperti bagaimana mendapatkan sumber kewangan, pencarian tenaga kerja, peluang pemasaran dan peraturan-peraturan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan SME Toolkit Kiosk di menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini.

Turut Hadir ialah Ketua Perniagaan Umum IBM Malaysia, Sanjeev Magotra dan Pengarah Jualan D&B, Dennis Seah.

Menurut Mahdi, ketika ini, satu-satunya SME Toolkit Kiosk hanya terdapat di Menara Matrade.

"Bagaimanapun orang ramai boleh mengakses laman sesawang itu di mana sahaja asalkan mempunyai kemudahan internet. Mereka boleh melayari http://malaysia.smetoolkit.org.

"Kandungannya akan dikemaskini setiap enam bulan atau secepat mungkin mengikut kesesuaian serta keperluan sesuatu maklumat," jelasnya.

Tambah beliau, menjelang pertengahan tahun depan sesudah perpindahan ibu pejabat SME Corp. ke KL Sentral, lebih banyak kiosk akan disediakan di ibu pejabat baru itu.

"Pengenalan laman sesawang ini adalah seiring dengan perbincangan yang telah diadakan di Jakarta baru-baru ini berhubung penyediaan sistem maklumat kepada IKS di negara-negara ASEAN.

"Kami akan mengetengahkan kemudahan seperti ini di kalangan negara ASEAN agar dapat berkongsi mengenai IKS masing-masing supaya integrasi pasaran dapat diwujudkan di rantau ini," kata beliau lagi.

Beliau menyarankan semua pihak dalam IKS mahir menggunakan internet bagi memudahkan mereka mencari idea serta peluang untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

No comments: