Khamis, Jun 30, 2011

Usahawan tani perlu kemahiran



Dr. Mahamud Shahid (duduk) membimbing usahawan tani memeriksa tanaman cili mereka.


Terdapat beberapa peringkat atau tahap bagi membangunkan nilai keusahawanan yang ada pada seseorang pengusaha supaya mereka dapat bersaing .

Pengarah Urusan Malayan Agro Consult Sdn. Bhd. (MayConsult), Zainal Abidin Yahya berkata, empat peringkat tersebut merupakan rangkuman beberapa elemen dan nilai positif yang mejadi penggerak atau panduan dalam usaha memajukan diri.

"Dalam membangunkan usahawan kami berpendapat para peserta perlu menguasai kemahiran teknikal (keterampilan) dengan melalui empat tahap,'' ujarnya kepada Mega baru-baru ini

Beliau diminta mengulas mengenai beberapa penekanan penting yang dibangkitkan oleh pengusaha sayur-sayuran fertigasi dan hidroponik, Dewi Marina Nasir.

MayConsult merupakan syarikat tempatan yang menawarkan program kursus dan latihan keusahawanan pertanian sejak beberapa tahun lalu.

Aktiviti terdiri daripada menyediakan maklumat/sumber yang diperlukan oleh usahawan permudahkan proses permohonan pinjaman, membantu kesukaran yang dihadapi oleh usahawan yang berdaya maju mendapatkan pembiayaan, menyediakan khidmat nasihat bagi lain-lain keperluan.

Ia juga membantu usahawan menyediakan pelan perniagaan, khidmat nasihat strategi pemasaran produk, khidmat nasihat aspek teknikal pelaksanaan projek, khidmat nasihat kewangan, akaun dan simpan kira, mengemukakan laporan pakar daripada siasatan dan lawatan, memberikan maklum balas dan mengemaskini maklumat ke dalam direktori.

Peserta boleh dinilai tahap keterampilan masing-masing dengan cara mereka dikehendaki menyediakan Rancangan Perniagaan Cadangan Projek dan di Persembahkan di hadapan para panel penilai di akhir program atau bimbingan.

sumber: Utusan Malaysia

Isnin, Jun 27, 2011

Shalin 'Ratu Boling' jadi ahli perniagaan




Shalin Zulkifli (kanan) menerima cenderamata daripada Pengarah Bangunan Space U8, Terry Teo Swee Leng selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman antara Space U8 dengan penyewa utama, baru-baru ini.



SHAH ALAM 26 Jun - Setelah berjaya mencipta nama dalam bidang sukan, ratu boling negara, Shalin Zulkifli mula mengorak langkah sebagai ahli perniagaan pula dengan membuka akademi dan pusat boling bertaraf antarabangsa.

Pusat boling bernilai RM3 juta yang dikenali sebagai Shalin's Bowl berkenaan akan dibuka pada penghujung September ini di pusat beli-belah baharu, Space U8, Shah Alam, Selangor.

Shalin berkata, Shalin's Bowl akan menyediakan kemudahan boling 24 lorong serba moden dan kemudahan serta peralatan latihan yang lengkap untuk pelatih akademinya.

Katanya, akademi boling yang disediakan oleh Shalin's Bowl merupakan yang pertama di negara ini dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang berminat dalam sukan ini.

"Shalin's Bowl akan menawarkan suasana yang menarik dan berbeza berbanding pusat boling lain, di mana segala kemudahan serta landskapnya menampilkan ciri-ciri moden.

"Dengan kewujudan Shalin's Bowl, orang ramai kini mempunyai pilihan aktiviti untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan, selain menjadi pusat latihan intensif pemain boling amatur atau profesional" katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Shalin selaku Pengarah Urusan Shalin's Bowl, berkata, sebelum ini beliau pernah berkecimpung dalam perniagaan pusat boling di Damansara tetapi hanya sebagai pemegang saham sahaja.

"Kini saya sudah melupuskan semua saham tersebut dan mahu mengusahakan pusat boling sendiri.
"Shalin Bowl's merupakan impian saya dan akan menjadi sumber pendapatan utama apabila sudah tidak bergiat aktif dalam sukan boling," jelasnya.

Katanya lagi, Shalin Bowl's di Space U8 akan menjadi perintis dalam usaha untuk membuka lebih banyak cawangan pada masa depan.

"Jika semuanya berjalan lancar dan berjaya di sini, Insyaallah saya akan membuka cawangan baharu demi memperjuangkan sukan ini,'' katanya lagi.

Sementara itu, Shalin berkata, antara matlamat utama penubuhan Shalin Bowl's adalah untuk melahirkan lebih ramai pemain boling tempatan yang mampu menyinar di peringkat antarabangsa pada masa depan.

"Walaupun negara telah melahirkan ramai pemain boling bertaraf dunia, namun tiada pusat pembangunan khusus untuk sukan tersebut dan hanya bergantung sepenuhnya kepada inisiatif kerajaan," ujarnya.

Tambah beliau lagi, beliau dan suaminya, Azidi Ameran akan bertindak selaku jurulatih selain dibantu oleh beberapa tenaga pengajar yang lain.

sumber: Utusan Malaysia

Kenapa pentingnya medical card


Berikut adalah beberapa sebab kenapa anda perlu memiliki Medical Card:


1. Jika saya masuk hospital, mampukah saya membayar bil hospital. Saya mungkin dapat mengelak hutang kereta,rumah, kredit kad, etc..tetapi jika doktor memerlukan duit untuk rawatan, saya tiada pilihan, saya perlu menyediakannya serta merta.

2. Jika saya masih bekerja, syarikat akan membayar kos perubatan saya. Bayangkan jika saya dah pencen selepas umur 55 tahun. Bermula umur 56 tahunlah saya akan sakit dan syarikat tidak lagi akan membayar kos perubatan saya. Jika saya tunggu sehingga umur 56 tahun baru saya nak memilikinya, saya bernasib baik jika saya masih sihat. Itupun, saya perlu membayar premium yang sangat tinggi.

3. Saya tidak tahu bila saya akan sakit dan semua orang tidak mahu sakit. Tetapi, kenapa ramai orang di hospital? Mereka datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan saya munkin salah seorang daripadanya suatu hari nanti.

Ramai hutang kad kredit, personal loan untuk jelas kos perubatan swasta tinggi. Renungkan…

Penggunaan kad kredit atau personal loan untuk membayar kos perubatan yang tinggi di hospital swasta kini menjadi punca utama kegagalan pembayaran balik pinjaman bank dan kad kredit oleh individu.

Mengikut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) penggunaan kad kredit tidak terkawal kini bukan lagi menjadi faktor utama bagi masalah kegagalan pembayaran balik pinjaman.
.
Sebaliknya, badan yang menguruskan RM4.8 bilion hutang tidak berbayar (NPL) membabitkan 50,361 individu itu mendapati pembiayaan kos rawatan dan perubatan yang tinggi ketika ini mendorong individu untuk berhutang sehingga di luar kemampuan.


Ketua Eksekutifnya, Mohamed Akwal Sultan, berkata kebanyakan individu yang dirujuk kepada Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK menjelaskan, mereka lebih cenderung mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan yang dikatakan lebih baik di hospital swasta berbanding di hospital kerajaan walaupun ia membabitkan kos besar.

Beliau berkata, mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan adalah kumpulan paling teruk terjejas dengan masalah kewangan, mewakili kira-kira 40 peratus daripada 50,361 individu yang menyertai PPK.

NOTA USAHAWAN BISTARI: Berita baik buat anda yang masih mencari-cari medical card daripada syarikat takaful manakah yang terbaik, maka dengan rendah diri saya cadangkan medical card dari Great Eastern Takaful yang mempunyai banyak keistimewaan berbanding syarikat lain.

Buat anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut, sila emailkan saya di nizamsky@gmail.com atau di 019-758 9774 (Nizam) bagi temujanji atau pertanyaan :)

Ahad, Jun 26, 2011

'Hati batu' dorong kejayaan Dr. Hassan


Oleh NORAINI ABD. RAZAK

ADA yang menggelarnya Profesor Datuk Dr. Hassan Yaakob sebagai hati batu. Namun kata-kata itu tidak menjadi 'kudis' pada dirinya. Malah, dalam meniti perjalanan menjadi saintis dan usahawan berjaya, Dr. Hassan mengakui beliau memang hati batu. Sejak kecil lagi beliau sangat degil dan tidak menoleh ke belakang setiap kali mahu melakukan sesuatu.

Prinsipnya, untuk maju memerlukan dia bersikap demikian. Oleh itu Dr. Hassan ada sebab untuk berbangga dengan kejayaannya hari ini. Kerana hati batunya itu beliau menjadi satu-satunya saintis di negara ini yang berjaya menulenkan sebatian gamat.

Pengasas Healwell Pharmaceuticals Sdn. Bhd. yang berpejabat di Shah Alam, Selangor itu menggariskan tiga perkara penting untuk berjaya.

''Tegas terhadap apa yang diinginkan, kreatif dan mempunyai daya kepimpinan,'' kata anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu ketika ditemui Utusan Malaysia di Shah Alam.

Dr. Hassan juga merupakan Pengerusi Eksekutif serta Pengarah Healwell dan Eastern Biotech Resources Sdn. Bhd. bakal berpindah ke bangunan baru bernilai RM25 juta tidak jauh dari pejabat sekarang.

Tentunya sebagai peneraju syarikat tempatan yang mempunyai kepakaran dalam pengeluaran dan perundingan mengenai gamat serta produk penjagaan kulit serta anti-penuaan, tugasnya tidak mudah.

Beliau berhadapan dengan kerenah lebih 112 kakitangan selain menguruskan lebih 200 rangkaian usahawan francais yang bergantung kepercayaan kepada jenama Healin.

''Saya juga terbuka menerima kritikan, tidak sensitif jika ditegur, tidak suka bermusuh. Boleh saja saya katakan saya memang tidak ada musuh,'' kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Menjadi seorang saintis, usahawan, pengurus dan pada masa yang sama ketua keluarga bagi Dr. Hassan menuntut komitmen yang sangat besar. Setiap tiga atau empat bulan sekali, beliau ke Dubai memenuhi permintaan sebuah universiti di sana sebagai fasilitator penyelidikan.

Membina nama dalam bidang keusahawan, Dr. Hassan tidak terlepas daripada mengalami rasa terkilan dan kecewa melihat kelemahan usahawan Melayu.

''Saya kecewa apabila ada usahawan mahu cepat dapat untung, tidak sabar. Misalnya dalam menjayakan House of Healin, ada peniaga yang melambakkan produk di pasar malam.

''Ada juga yang menjual dengan harga lebih rendah. Memang daripada jumlah dagangan, banyak yang mereka menjual tapi berapa pula pulangannya,'' kata Dr. Hassan yang beralih kepada bidang francais untuk mengawal mutu serta rangkaian produk Healin.

Produk Healin kini 'merantau' ke pasaran antarabangsa, malah francais House of Healin diiktiraf syarikat francais terbesar dan berdaya maju oleh Permodalan Nasional Bhd. (PNS).

sumber: Utusan Malaysia

Padi Hibrid Siraj dikomersial bulan depan



TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (kiri) melihat pokok Padi Hibrid Siraj di Tambun Tulang, dekat Kangar, semalam.


KANGAR 23 Jun - Padi hibrid pertama dengan tujuan pengkomersialan, iaitu padi Siraj akan mula dikomersialkan di negara ini pada bulan depan dengan kapasiti permulaan sebanyak 200 tan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan hasil pengeluaran dan kualiti padi serta pendapatan petani.

Padi berkenaan dihasilkan melalui kerjasama antara MOSTI, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Yayasan Tuanku Syed Sirajuddin (YTSS) dan RB Biotech Sdn. Bhd..

Menurut beliau, bagi tujuan pengkomersialan itu, sebanyak empat tan padi berkenaan dihasilkan Stesen Penyelidikan Padi Hibrid MARDI di Tambun Tulang di sini, manakala selebihnya merupakan hasil penanaman di Kelantan dan Kedah.

"Kita jangka pada tahun depan pengeluaran benih padi hibrid ini akan mencecah sehingga 2,000 tan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Stesen Penyelidikan Padi Hibrid MARDI Perlis dan pelancaran Pengkomersialan Padi Hibrid Siraj yang disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd. Johari Baharum dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Menurut Maximus, padi hibrid itu mampu mengeluarkan hasil lebih tinggi 20 peratus berbanding padi biasa malah prestasi hasil padi berkenaan di Kedah, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Selangor mencapai lebih 25 peratus sehingga 60 peratus lebih tinggi berbanding varieti padi biasa.

"Walaupun harga benih lebih mahal namun petani hanya perlu menggunakan antara 25 sehingga 30 kilogram benih bagi keluasan satu hektar berbanding 250 kilogram sehingga 300 kilogram benih padi biasa untuk keluasan yang sama," ujarnya.

Sementara itu, Johari berkata, stesen berkenaan akan memainkan peranan sebagai pusat informasi dan pemindahan teknologi yang dijana serta akan memberi manfaat kepada agensi pengembangan penyelidik dan institusi penyelidikan.

Menurut beliau, melalui stesen tersebut padi hibrid akan diterima secara meluas di negara ini dan akan meningkatkan pengeluaran beras negara selain mengurangkan import beras.

Program padi hibrid mendapat peruntukan sebanyak RM23 juta dari MOSTI di bawah Rancangan Malaysia kesembilan (RMK-9).

Melalui kerjasama tersebut, padi hibrid Siraj telah berjaya dihasilkan pada 2005 daripada kacukan padi luar negara jenis Indica dan Japonica dan dijangka padi hibrid baru iaitu Siraj 2 akan dihasilkan tidak lama lagi.

Penghasilan Siraj 2 adalah merupakan padi hibrid pertama hasil kacukan varieti luar negara dan tempatan, MR220.

sumber: Utusan Malaysia

Isnin, Jun 20, 2011

Potensi ternakan tilapia

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDINnazrul.sharuddin@utusan.com.my


TILAPIA matang yang cukup umur akan dituai sebelum dimasukkan ke dalam kolam jualan.


SEBELUM terlibat secara serius dalam ternakan ikan air tawar, Abdul Karim Mohd. Yusof, 50, telah mempersiapkan dirinya dengan pelbagai ilmu dan maklumat bersesuaian. Antara yang dilakukan seperti membuat kajian dan penyelidikan terhadap potensi perniagaan tersebut selain mengenalpasti permintaan pasaran.

Tujuannya adalah untuk memastikan dia benar-benar bersedia memulakan aktiviti ternakan itu sekali gus berhadapan dengan segala cabaran mendatang.

Selepas semuanya berjalan lancar, pada awal tahun lepas, Abdul Karim memulakan perusahaan ternakan ikan air tawar di tanah milik bersama adiknya seluas 2.4 hektar ( enam ekar) di Kampung Padang Melekek Luar, Alor Gajah, Melaka.

''Sebagai permulaan, saya dan adik membuka lima buah kolam untuk menternak ikan keli dengan modal RM100 ribu.

''Peringkat awal penglibatan, saya banyak dibantu oleh Jabatan Perikanan Daerah Alor Gajah daripada segi khidmat nasihat dan juga latihan.

''Selain itu, saya turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melekek Luar serta ahli keluarga yang banyak membantu,'' katanya ketika di temui di kolam ternakannya di Melaka baru-baru ini.

Menurut Abdul Karim, operasi penternakan itu dijalankan di bawah penjenamaan syarikatnya, Mentari Timur Agrofarm yang ditubuhkan pada awal 2010.

Selepas melihat perjalanan operasi ternakan keli yang terus stabil dan konsisten, dia terdorong untuk cuba menternak ikan tilapia pula.

Percaturannya berhasil apabila ternakan tilapia yang diusahakan memberi hasil memuaskan serta menerima permintaan tinggi.

Abdul Karim kemudiannya mengambil keputusan untuk lebih memberi fokus dan komitmen terhadap penternakan tilapia.

Kini, dia dan adiknya mempunyai sebanyak 19 buah kolam ternakan dengan 15 daripadanya merupakan kolam ternakan tilapia dan selebihnya ikan keli.

Bagaimanapun, dia turut bercadang menambah kapasiti ternakan kelinya pada masa akan datang.

Bercerita mengenai perniagaan ternakan ikan air tawarnya, Abdul Karim memberitahu, dia dan adiknya telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan terutama di peringkat awal.

''Sebagai contoh, dahulu kami mengambil anak benih ikan daripada pembekal di Ipoh, Perak.

''Apa yang menjadi masalah, banyak anak benih ini mati disebabkan jarak perjalanan yang agak jauh.

''Mencari penyelesaian masalah itu, kami kemudian membeli pula anak benih daripada pembekal di sekitar kawasan negeri Melaka,'' katanya yang turut mempunyai perniagaan pengurusan sisa pepejal di sekitar Lembah Klang dan juga Alor Setar, Kedah.

Cabaran lainnya, ketika fasa awal aktiviti penternakan, dia berhadapan dengan masalah keadaan tanah dan air yang belum disesuaikan lagi.

Namun, untuk fasa kedua, dia dan adiknya semakin mempelajari teknik penternakan yang bersistem dengan penggunaan air yang lebih serasi untuk ternakan.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut berhadapan dengan cabaran penyakit serta serangan binatang seperti burung dan biawak.

Untuk mengatasi masalah tersebut, dia ada mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Perikanan Daerah Alor Gajah.

''Pegawai Perikanan Daerah sering datang membuat lawatan untuk memberi nasihat dalam pelbagai perkara selain memeriksa sukatan kandungan pH dan kesesuaian air kolam yang diperolehi daripada anak sungai berhampiran,'' jelasnya yang turut dibantu oleh adiknya, Samsuddin Mohd. Yusof bersama beberapa kakitangan lain.

sumber: Utusan Malaysia Online

Isnin, Jun 13, 2011

Tips penjagaan udang galah



Ternakan udang galah amat sensitif tetapi mendatangkan pulangan lumayan.


UDANG galah atau nama saintifiknya macrobrachium rosenbergii, berada dalam keluarga palaemonidae bersifat omnivora, cenderung aktif pada waktu malam.

Ia hidup di air tawar dan air payau seperti di sungai, paya, saliran, tasik dan perairan lain yang biasanya mempunyai hubungan air dengan laut.

Udang galah boleh diternak secara sejenis atau monokultur mahu pun polikultur dengan ikan atau secara ternakan bersepadu bersama itik, lembu dan haiwan lain.

Pengurusan ternakannya mudah dan jarang diserang penyakit serta jangka masa ternakan yang agak singkat.

Bagaimanapun kini, taburannya agak terbatas di kawasan perairan yang tidak tercemar dan di kolam-kolam ternakan.

Udang galah sesuai diternak kerana mempunyai permintaan yang baik di samping harga pasarannya yang agak tinggi.

Penyediaan kolam

Di Malaysia saiz biasa kolam udang adalah antara 0.25 ekar hingga 1.5 ekar dengan kedalaman sekitar satu hingga dua meter (m).

Kolam yang terlalu cetek menyebabkan rumput dan lumut tumbuh dan menyukarkan penjaringan, manakala kolam yang terlalu dalam akan menyukarkan pengurusan.

Pengeringan

Dedahan kepada cahaya matahari terik perlu untuk membunuh pemangsa (ikan, belut, serangga) dan patogen (bakteria, kulat, parasit).

Pendedahan dasar kolam kepada udara dan cahaya matahari pula mempercepatkan proses pereputan bahan organik (najis, makanan lebih, daun, rumput dan sebagainya) yang akan menambahkan kesuburan kolam.

Jangka masa pengeringan antara satu dan dua minggu biasa dibuat, bagaimanapun ada ketikanya kolam perlu dikeringkan untuk jangka masa lebih panjang, misalnya di musim hujan atau bila kolam telah terlalu lama digunakan.

Meracun

Kolam yang tidak boleh dikeringkan perlu diracun untuk membunuh ikan liar (pemangsa). Racun organik seperti akar tuba, hampas biji teh (tea seed cake), dan daun tembakau.

Untuk membunuh ikan seperti lampam adalah sekitar 10 miligram setiap liter (mg/l) manakala bagi ikan haruan kadar sekitar 30 mg/l adalah diperlukan.

Mengapur

Kolam dikapur dengan tujuan untuk menstabilkan pH, membunuh ikan liar, menggalakkan proses salin kulit udang, meninggikan kadar pereputan bahan organik seterusnya menyuburkan kolam.

Antara jenis-jenis kapur yang terdapat di pasaran adalah kapur abu panas (quicklime - CaO) berkesan dengan cepat, jangkamasa keberkesanannya pendek.

Kapur batu putih (lime stone - Ca(CO3)), berkesan secara perlahan-lahan tetapi jangkamasa keberkesanannya panjang.

Kapur abu sejuk (slake/hydrated lime) bertindakbalas cepat dan kesannya juga cepat hilang. Cara mengapur kolam yang biasa diamalkan adalah dengan menabur rata serbuk kapur abu sejuk (hydrated) di permukaan dalam kolam kering dengan sukatan sekitar satu kilogram bagi setiap 10 meter (kg/10m).

Membaja

Kolam perlu dibaja bagi menggalakkan pertumbuhan makanan semulajadi yang berbentuk cacing, siput, lumut dan tumbuhan air.

Dua jenis baja yang biasa digunakan adalah baja organik dan baja kimia.

Najis haiwan (ayam, itik, lembu, kambing) adalah jenis baja organik yang biasa digunakan. Bagi baja kimia pula, triple super phosphate (TSP) boleh digunakan dengan kadar 3.5kg/1000m/minggu.

Pengairan

Air memasuki kolam melalui penapis halus bagi menghindari kemasukan haiwan pemangsa.

Sebaiknya udang dilepas seminggu selepas air masuk.

Kadar tukaran air terbaik untuk kolam ternakan udang adalah sekali untuk seminggu hingga dua minggu.

Kadar ini mampu menampung kepadatan ternakan sebanyak 10/m tanpa perlukan alat pengudaraan. Kadar alir air yang lebih perlahan akan menyebabkan air kolam kurang bermutu dan memerlukan alat pengudaraan.

Kadar aliran air yang sangat cepat sebaliknya membawa baja keluar kolam tanpa dapat dimanfaatkan untuk pertumbuhan makanan semulajadi udang.

Kolam udang yang tidak melakukan penukaran air memerlukan alat pengudaraan seperti kincir air (paddle wheel), penyembur angin (air blower), pemampat angin (air compressor) dan pam air bagi membantu menambah kandungan oksigen terutama waktu malam.

Pemakanan

Makanan rumusan udang galah (pellet) sesuai kerana mengandungi protein yang tinggi (30 hingga 40 peratus), mengandungi zat-zat lain yang diperlukan dan stabil dalam air.

Bagaimanapun didapati udang masih memerlukan bekalan makanan semula jadi dari kolam. Pemberian makanan adalah dua atau tiga kali sehari.

Makanan awalan (starter) diberikan untuk bulan pertama hingga kedua, diikuti dengan makanan tumbesaran (grower) bagi bulan kedua hingga keempat dan dua bulan berikutnya dengan makanan Penamat (finisher) sehingga udang dipasarkan.

Hasilkan makanan sendiri

Makanan boleh dihasilkan sendiri untuk mengurangkan kos. Bahan-bahan asas yang biasa diguna untuk membuat makanan adalah seperti tepung ikan, kulit udang, kacang soya, kacang tanah, tepung gandum, beras, ubi kayu, minyak kelapa, sawit dan minyak ikan.

Makanan sampingan seperti kopra kelapa, jagung, daging ayam atau itik, perut ayam dan hampas kacang soya juga boleh diberikan.

Bagaimanapun mutu air kolam hendaklah sentiasa dalam kawalan agar tidak terlalu subur yang memungkinkan kematian udang ternakan.

Pungutan hasil

Kadar tumbesaran individu udang berbeza bergantung kepada jantina, baka, mutu dan jumlah makanan, mutu air dan kadar pelepasan.

Penjaringan boleh dimulakan pada bulan ke empat dan diulangi tiga hingga empat minggu sekali sehingga semua udang dikeluarkan dari kolam.

Kolam kemudian dikeringkan dan rawatan kolam dilakukan. Udang yang terlalu kecil dari beberapa kolam boleh di asing dan di pindah ke satu kolam lain untuk dibesarkan.

Penyakit dan kawalan

Penyakit merupakan faktor yang membatas penghasilan udang galah.

Penyakit yang banyak menyerang udang galah adalah bintik hitam (black spot) iaitu penyakit yang disebabkan oleh bakteria sering menyerang peringkat larva tahap 4 dan 5.

Penyakit tersebut boleh dicegah melalui pengurusan air dan elakkan dari kecederaan fizikal udang, stok melebihi kadar muatan atau kekurangan makanan.

Rawatan

Rendam dalam 10 ppm asid oxolinic untuk selama sejam atau dua ppm nifurpirinol untuk 96 jam. Penyakit yang disebabkan oleh bakterial berasal dari air laut iaitu Vibro sp mempunyai simptom stres. Rawatan : Rendam dalam 11 - 13 ppm Furozolidone selama tiga hari.

sumber: Utusan Malaysia Online

Isnin, Jun 06, 2011

Kuih bakar sejuk beku dapat sambutan



NURA Mardi bersama kuih bakar sejuk beku berperisa jagung, pandan dan keladi buatan syarikatnya


HIDANGAN kuih bakar memang popular di kalangan komuniti masyarakat Melayu negara ini.

Rasanya yang enak, manis dan bertekstur lembut menjadikannya sesuai dibuat santapan ringan untuk minum petang atau sebagai pencuci mulut.

Walaupun terdapat pelbagai jenis kuih moden muncul di pasaran, namun makanan tradisional ini masih terus diterima baik.

Ia biasanya dijual di pasar-pasar malam dan juga bazar-bazar jualan pada hujung minggu.

Mencari peluang mempromosi kuih bakar secara komersial, ia kini disediakan dalam bentuk sejuk beku.

Pendekatan baru itu dijalankan oleh syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan iaitu Perusahaan As-Nura.

Bercerita mengenai bisnesnya, pengusaha syarikat itu, Nura Mardi, 51, memberitahu, dia telah terlibat dalam perniagaan kuih-muih dan kerepek sejak tahun 2001 namun hanya mula dikomersialkan menjelang 2008.

''Saya sudah biasa berniaga kerana dahulu saya selalu membantu keluarga menjual hasil tanaman jagung dan ubi.

''Selepas berkahwin, saya terlibat pula dalam bisnes kacang goreng, pelbagai jenis kuih dan kerepek di kantin sekolah,'' katanya ketika di temui di kilang kuih bakarnya di Semenyih, Selangor baru-baru ini.

Bagi menambah pengetahuan dalam bidang perniagaan, dia aktif menyertai aktiviti-aktiviti anjuran Persatuan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) sehingga dilantik sebagai Pengerusi.

''Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti kelas membuat kuih, khidmat nasihat dan lawatan ke kilang-kilang perusahaan.

''Ilmu yang diperolehi dimanfaatkan untuk memperluas dan mempertingkatkan perniagaan saya,'' jelas ibu kepada lima orang anak ini.

Nasib terus menyebelahi Nura apabila dia terpilih menerima dana perusahaan daripada kerajaan bernilai RM10,000.

Dana tersebut digunakan untuk membeli peralatan membuat kuih seperti mesin pembancuh dan ketuhar.

Kesemua aktiviti perusahaan dijalankan di rumahnya dengan bantuan suami dan anak-anak.

Melihat potensi perniagaan itu, dia kemudiannya membuat pinjaman modal Kredit Mikro daripada Agrobank sebanyak tiga kali bernilai RM10,000, RM20,000 dan RM30,000.

''Sambutan pengguna sangat menggalakkan terutama untuk kuih bakar. Jadi, bagi memenuhi permintaan itu, saya mendapat idea untuk menghasilkan kuih bakar secara sejuk beku.

''Tujuannya supaya kuih bakar sejuk beku ini boleh disediakan dalam kuantiti yang banyak dan disimpan sebelum dipanaskan sekiranya terdapat permintaan.

''Selepas menyertai Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada tahun 2008, permintaan terhadap kuih bakar ini terus meningkat termasuk daripada Singapura dan juga Brunei,'' katanya yang mempunyai seramai tujuh orang kakitangan.

Tahun 2010 pula menyaksikan Nura membina kilang perusahaan kuih bakarnya di Semenyih dengan kos RM250,000 selain bantuan dana pembungkusan produk daripada RISDA bernilai RM44,000.

Melihat keunikan kuih bakar sejuk beku ini, ia tersedia dalam empat pilihan perisa iaitu pandan, labu, jagung dan keladi selain boleh disimpan untuk tempoh enam bulan.

Hari ini, kilang perusahaan Nura mampu mengeluarkan sebanyak 800 biji kuih bakar sehari dengan penggunaan 64 kilogram tepung.

Produk kuih bakar sejuk beku ini telah memasuki pasaran kedai-kedai runcit, hotel-hotel, pasar raya besar Mydin dan juga kedai FAMA dengan harga RM4.20 sebungkus.

Untuk perancangan masa hadapan, Nura turut bercadang menghasilkan kuih bakar berlauk seperti daging, ayam dan udang.

Bagi memantapkan perniagaannya pula, dia turut menghadiri beberapa siri kursus anjuran Jabatan Pertanian dan juga RISDA selain mengikuti ekspo Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

sumber: Utusan Malaysia Online

Khamis, Jun 02, 2011

dr. Cafe Coffee jadi pemangkin usahawan bumiputera


Idris Jusoh sambil ditemani Harmidi Ismail (kiri sekali) mencuba mesin kopi pada majlis perasmian kiosk dr.Cafe Coffee di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Jun - Pembukaan kios kedua dr. Cafe Coffee di ibu pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini diharap menjadi pemangkin kepada semangat keusahawanan di kalangan golongan muda bumiputera.

Produk berkenaan dijangka menjadi pesaing kepada jenama kopi terkenal yang lain dan mampu melonjakkan ekonomi bumiputera yang menyertai rangkaian kios berkenaan.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, usahawan bumiputera harus membuka minda dan sentiasa berdaya saing dengan menghasilkan produk yang mengikut kehendak pasaran.

"Pembukaan kios ini merupakan salah satu Pelan Transformasi Mara dalam membuka minda usahawan bumiputera supaya lebih kreatif dalam menjana perniagaan hingga ke peringkat global.

"Dahulu Mara sering membantu golongan usahawan dari segi kewangan dan kemahiran, kini kami mahu mendekati mereka dengan kaedah keusahawanan bagi menjana hasil yang lebih lumayan," katanya selepas merasmikan kios berkenaan hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Youth Al-Rajhi Retail Sdn. Bhd., Harmidi Ismail iaitu pemilik dr. Cafe Coffee yang mula beroperasi di Mont Kiara dua tahun lalu.

Menurut Idris, usahawan bumiputera tidak perlu mengambil masa yang lama untuk memohon membuka francais kafe berkenaan.

"Kita berusaha menggunakan kaedah yang produktif supaya usahawan bumiputera lebih berminat menceburi bidang keusahawanan," katanya.

dr. Cafe Coffee turut menawarkan beberapa menu lain seperti pastri, kek dan kopi buatan tempatan bersesuaian dengan cita rasa masyarakat negara ini.

sumber: Utusan Malaysia Online

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails