Isnin, Mac 26, 2012

Sajian istimewa udang kara

Mohd. Izham Gulam Ali memeriksa suhu air udang di kolam udang kara air tawar yang diternaknya. – UTUSAN/ FAIZAL ABU HASSAN


KANGAR 11 Sept. – Udang kara atau lobster merupakan makanan laut yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Pengusaha restoran makanan laut sering menjadikan udang kara sebagai sajian istimewa di restoran dan hotel-hotel berikutan isinya yang dikatakan lebih enak daripada udang biasa.

Udang kara juga sukar didapati dan ia dianggap makanan istimewa terutama di kalangan penggemar makanan laut.
Tidak hairan udang kara boleh mencecah sehingga RM100 sekilogram bergantung kepada saiznya.

Di negara ini antara lokasi tangkapan udang kara ialah di sekitar Teluk Ramunia, Johor terutama ketika musim tengkujuh iaitu April sehingga Disember kerana spesies ini menjadikan waktu ini untuk membiak di sepanjang pesisir pantai.

Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak mengetahui terdapat spesies udang kara yang boleh diternak dalam air tawar.

Perkara ini dibuktikan sendiri oleh bekas chef hotel lima bintang, Mohd. Izham Gulam Ali, 34, yang kini menjalankan ternakan udang kara air tawar secara komersial di Beseri di sini.

Menurut Mohd. Izham, udang kara air tawar atau nama saintifiknya Cherax Quadricarinatus merupakan jenis Red Claw iaitu sejenis krustasia yang hidup di sungai-sungai kecil di utara Australia dan Papua New Guinea.

Katanya, terdapat lebih 1,000 jenis udang kara seluruh dunia tetapi spesies ini merupakan yang paling senang dan berpotensi diternak.

‘‘Walaupun saiznya lebih kecil berbanding udang kara laut, tetapi isinya mendapat permintaan tinggi kerana lebih manis dan enak. Sebelum ini udang kara air tawar banyak dijadikan sebagai ternakan hiasan.

‘‘Kadar kolestrol udang kara ini lebih rendah berbanding udang kara laut dan ia dikaitkan sebagai makanan eksklusif kerana harganya yang agak mahal ,” katanya ketika ditemui di pusat pembiakan udang kara beliau baru-baru ini.

Mohd. Izham memberitahu, dia hanya menyedari potensi udang kara air tawar apabila makanan itu mendapat permintaan tinggi di hotel-hotel bertaraf lima bintang.

‘‘Selepas membuat beberapa penyelidikan baru saya menyedari akan potensi ternakan udang kara air tawar kerana harganya boleh mencecah RM60 sekilogram mengikut saiz.

‘‘Mulanya saya menternak udang kara air tawar sebagai mengisi masa lapang, tetapi kini saya semakin meminati bidang ini apabila berjaya menghasilkan baka yang lebih baik melalui teknik pembiakan bersilang crossbreed,” katanya yang telah menceburi bidang itu selama tiga tahun.

Udang kara air tawar boleh membesar sehingga 30 sentimeter panjang dengan berat sehingga 75 gram seekor dalam tempoh sembilan bulan.
Udang kara air tawar menjadikan paip PVC sebagai rumahnya.


Bagaimanapun, tempoh matang dan sesuai dijual adalah antara 15 sentimeter dengan berat kira-kira 55 gram.

Menurut Mohd. Izham, bagi sesetengah orang, mereka mempercayai bahawa udang kara air tawar merupakan makanan penguat tenaga batin bagi lelaki dan awet muda bagi wanita.

‘‘Tiada kajian khusus yang dilakukan mengenai kesahihan perkara ini tetapi apa yang nyata isi udang kara air tawar ini lebih enak dan manis.

‘‘Walaupun terdapat beberapa penternak di negara ini, tetapi ia masih belum mampu memenuhi permintaan hotel-hotel tempatan,” ujarnya yang memasarkan udang kara air tawar ternakannya ke hotel-hotel sekitar Pulau Pinang dan Pulau Langkawi, Kedah.

Mohd. Izham memberitahu, kaedah ternakan udang kara air tawar tidak terlalu rumit kerana ia merupakan spesies yang tahan lasak dan memakan apa sahaja termasuk daging, rumpai dan sayur.

‘‘Udang kara air tawar sesuai diternak di dalam kolam kanvas, akuarium dan kolam simen.

‘‘Udang jenis ini agak agresif dan boleh memakan spesies sejenisnya jika terlalu lapar. Sebab itu untuk memelihara udang jenis ini paip polivinil klorida (PVC) perlu digunakan sebagai tempat perlindungan,” ujarnya.

Katanya, dia bekerjasama dengan abangnya, Dr. Shamsinar Gulam Ali yang banyak membantunya membuat penyelidikan terutama membabitkan pembiakan.

‘‘Kami memilih baka-baka terbaik dan melakukan pembiakan silang agar baka yang diperolehi lebih berkualiti dan cepat membesar.

‘‘Selain itu, pelbagai aktiviti diadakan bagi memperkenalkan ternakan udang kara air tawar termasuk mengadakan kursus dan jualan benih bermutu,” ujarnya.

Tambahnya, beliau yakin pasaran udang kara air tawar terbuka luas berikutan permintaan yang tinggi.

Mereka yang berminat dengan ternakan itu boleh menghubungi beliau di talian 012-4591350 atau melalui emel beserijaya@yahoo.com untuk mendapatkan maklumat lanjut. -Utusan

Rabu, Mac 14, 2012

Tips tanam kundur



Selain digunakan untuk membuat minuman kundur juga dimanfaatkan bagi tujuan perubatan.


KUNDUR daripada keluarga Cucurbitaceae yang turut dikenali sebagai beligu, tung kua, petha atau dalam bahasa Inggeris di gelar winter melon, wax gourd atau ash gourd.

Pada masa kini banyak diusahakan di Asia Selatan dan Asia Barat.

Sehingga kini, asal-usul sebenar kundur tidak dapat dipastikan kerana ia juga merupakan tanaman terpenting dan utama di China, India, Filipina dan sebahagian dari Asia.

Di Malaysia, terdapat dua jenis buah kundur iaitu kundur Cina dan Kundur Jawa.

Beza di antara keduanya adalah berdasarkan keadaan kulit luar iaitu kundur Cina mempunyai kulit luar yang licin, manakala kundur Jawa mempunyai kulit yang berbulu.

Keistimewaan dan khasiat Kundur


Kundur atau 'dong gua' dari sudut perubatan tradisional masyarakat Cina berupaya menghilangkan dahaga dan mampu menyejukkan badan untuk pesakit yang menghidap demam.

Selain itu, di negara China, biji dan minyak biji kundur banyak digunakan sebagai ubat untuk membuang cacing.
Biji kundur digoreng dan dimakan oleh orang Cina disebabkan nilai perubatan yang baik dan bukannya sebagai makanan.

Lazimnya, mereka menggunakan kundur untuk mengurangkan rasa sakit dan mengelakkan kelaparan serta memanjangkan hayat.

Malah, biji kundur digunakan bagi merawat masalah kulit dan abu bijinya pula dibakar sebagai penawar untuk penyakit gonorea.

Di Filipina, sirap dari buah kundur segar dijadikan sebagai ubat bagi mengatasi masalah pernafasan dan paru-paru.

Di Korea, kundur banyak digunakan untuk mengatasi masalah diabetes atau kencing manis dan diuresis.

Di India pula, kundur telah digunakan sebagai agen terapeutik untuk rawatan kencing manis, penyakit dieresis, jangkitan kencing, dan masalah keradangan kronik.

Jus dan ekstrak buah kundur sesuai sebagai penawar antiulser, antidepressant dan diuretik, serta memberi perlindungan terhadap penyakit histamine-induced bronchospasm.

Masyarakat Melayu menggemari buah kundur bagi menghilangkan dahaga dan sebagai perangsang membuang air kecil.

Air buah kundur itu juga boleh digunakan sebagai pencuci mata yang merah dan bengkak. Daun dan buah kundur dapat digunakan untuk mengurangkan panas dengan cara memupuk di dahi orang yang demam panas atau yang mengalami sawan.

Manakala, orang Cina pula gemar menggunakan buah kundur untuk membuat acar manisan dan mengukus buah kundur bersama daging, udang, dan lain-lain.

Pucuk dan daun muda kundur boleh dimakan sebagai sayuran segar. Biji kundur dikeringkan dan diproses untuk dijadikan makanan ringan dipanggil kuaci.

Kulit, isi buah, jus dan biji kundur digunakan sebagai penawar demam panas dan dapat menyejukkan badan, buasir, lebam atau bengkak, sakit usus, sakit buah pinggang, baik untuk sistem penghadaman serta mereka yang menghidapi sakit kencing manis dan lemah limpa.

Abu biji kundur digunakan untuk merawat penyakit gonorea manakala abu kulit buahnya dapat mengubat luka. Pada masa dahulu, lapisan luar kulit buah kundur digunakan untuk membuat lilin.

Sifat tanaman


Pokok kundur mempunyai daun lebar berwarna hijau dan mampu mencapai ketinggian sehingga 15 hingga 20 sentimeter (sm).


Bunga kundur pula berwarna kuning dan mampu menarik serangga untuk aktiviti pendebungaan seperti lebah, rama-rama, lalat dan sebagainya.

Buah kundur mampu membesar dan mencapai berat sehingga 10-15 kilogram (kg) sebiji.

Terdapat satu lapisan putih atau lilin di bahagian luar kulit buah kundur dan sebagai menunjukkan bahawa buah tersebut telah mencapai tempoh matang dan boleh dituai.

Tanaman kundur tidak mempunyai masalah penyakit yang serius dan kurang di serang serangga.

Buah jenis labu ini mengandungi 97 peratus air, sedikit garam galian serta vitamin, kanji, alkaloid, asid resin, protein dan gula.

Buah kundur adalah labu yang tahan lama dan boleh disimpan selama setahun selepas dituai dengan kualiti tetap segar.

Kaedah penanaman


Pokok kundur mudah ditanam jika dibandingkan dengan jenis cucurbit lain, sama ada ditanam secara melata di atas tanah atau menjalar pada tiang sokongan.

Di rantau ini, pokok kundur ditanam dengan biji dan mengeluarkan hasil dalam empat hingga lima bulan.

Kaedah penanaman berbeza mengikut keadaan tanah dan iklim persekitaran di sesuatu kawasan. Berikut adalah kaedah penanaman yang biasanya digunapakai :

* Bahan tanaman - Biji.
* Jarak tanaman - 100 sm x 100 sm.
* Keperluan benih - 600 gram/ekar.
* Kaedah semaian - Dulang semaian atau tanam terus.
* Baja - Baja organik (50g/pokok) dan semburan foliar (daun) organik.
* Pengairan - Siram dua kali sehari. Elakkan dari banjir serta keadaan pokok dan tanah yang terlalu lembap kerana boleh memusnahkan pokok.
* Kesesuaian tanah - Sesuai di kebanyakan jenis tanah yang mempunyai pH kuran daripada lima. Jenis tanah berpasir, menerima cahaya matahari 100 peratus serta mempunyai saliran yang baik.
* Sungkupan - Menggunakan sungkupan seperti plastik silvershine atau jerami untuk mengekalkan kelembapan pada tanah.
* Kesesuaian iklim - Tropika.
* Mula memetik hasil - 14 minggu selepas ditanam.
* Hasil purata antara 20 dan 30 tan seekar.

sumber: utusan malaysia

Khamis, Mac 08, 2012

MARDI terajui penanaman sayuran lestari



Tanaman sayur dengan teknologi tanpa tanah kelihatan subur.


CUBA bayangkan anda memetik sendiri sayur yang ditanam di sekeliling rumah. Untuk mencari pendapatan lebih, sayur itu dijual kepada jiran di kawasan anda dan mereka juga boleh memetiknya sendiri.

Senario sedemikian biasa berlaku di kampung-kampung. Tetapi ia biasanya diberikan percuma kerana menjadi adat resam, memberi sesuatu kepada tetangga merupakan satu terjemahan berbudi bahasa.

Orang akan bertanya, bagaimanakah senario tersebut boleh berlaku di kawasan perumahan bandar?

Tidak mungkin terdapat kawasan perumahan yang menanam sayur-sayuran kerana kawasan yang begitu terhad.

Namun bagi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), teknologi boleh memberi jawapan bagaimana untuk merealisasikan impian tersebut.

Hanya yang penting dan menjadi persoalan ialah sejauh mana teknologi tersebut mampu dikuasai oleh mereka di kawasan bandar yang berhasrat mahu menanam sayuran di kawasan rumah.

MARDI berpegang kepada kata kunci Pemimpin Agroteknologi dan Bridging knowledge and communities dan inilah yang menggerakkan inisiatif agensi tersebut untuk membawa teknologi pertanian kepada masyarakat.

Agensi tersebut memiliki ratusan teknologi mencakupi pelbagai bidang pertanian dan ia sewajarnya dinikmati oleh masyarakat.

Sebagai contoh mudah, Stesen Penyelidikan MARDI di Cameron Highlands mewujudkan satu Taman Agroteknologi yang menghimpunkan pelbagai teknologi penanaman sayur tanpa tanah yang realistik dan mudah dilaksanakan.

Penggunaan teknologi tersebut mungkin menimbulkan persepsi bahawa ia memerlukan kos tinggi, renyah dan perlu mempelajari kemahiran teknikal yang sukar.

Bagi Pegawai Penyelidik Agronomi MARDI Cameron Highlands, Mohammad Abid Ahmad, ramai yang mungkin memandang sinis teknologi tersebut apath lagi ia telah diperkenalkan di negara ini beberapa dekad yang lepas.

''Ada yang mungkin berkata, sistem tersebut sudah lama ,tak perlulah kita sebutkan lagi dan sudah mencubanya tetapi susah (untuk dilaksanakan)," ujarnya.

Mohammad Abid berkata, segelintir mereka yang beranggapan demikian mungkin menyalahkan teknologi tersebut kerana gagal memanfaatkannya sedangkan mereka sewajarnya menguasainya terlebih dahulu.

Sebab itu kata beliau, MARDI berusaha untuk mengadaptasi teknologi sedia ada supaya mudah difahami dan dikuasai. Pada masa yang sama, pihaknya juga cuba mengubahsuai daripada segi penggunaan dan bahan yang digunakan supaya murah dan mudah diperoleh.

Beliau memberi contoh , antara cara mudah dalam teknologi hidroponik yang menggunakan platform high impact polikarcarbonate pada harga RM160 satu meter persegi sedangkan ia boleh digantikan dengan papan lapis.

Penggunaan papan lapis sebagai contoh untuk tiangnya boleh digunakan dengan kayu berbanding penggunaan besi pada masa ini akan dapat menjimatkan kos serta tidak menjejaskan fungsi dan seterusnya pengeluaran hasil.

Sebenarnya kata Mohammad Abid, pendekatan MARDI bagi menjadikan teknologi tanaman sayur tanpa tanah lebih mesra pengguna menjadi satu amalan yang diperkenalkan selama ini.

Ia sejajar dengan tag line MARDI Cameron Higlands sebagai Pusat pertanian lestari tanah tinggi.

''Pertamanya, kami memperkenalkan teknologi yang ada kepada masyarakat dan golongan sasar dan kedua, mencetuskan idea untuk berinovasi dengan teknologi tersebut iaitu mengubahsuainya mengikut kemampuan.

''Ketiga, kami menganjurkan latihan dan kursus kepada mereka yang berminat untuk mempelajari teknologi berkenaan," ujar beliau.

Beliau memberitahu, terdapat lebih dari sepuluh jenis teknologi penanaman sayuran tanpa tanah yang ada dan sebahagiannya diperkenalkan di taman tersebut.

Antara teknologi tersebut ialah sistem hidroponik teknik banjir, surut dan alir, teknik aliran nipis (NFT), sistem hidroponik teknik pengairan titis bertingkat, dan teknik aliran dalam (DFT).

Pelbagai lagi sistem dan teknik sedang dan dalam perancangan untuk dibangunkan bagi menambahkan variasi dalam teknik hidroponik.

Pihaknya sebelum ini telah dua kali mengadakan kursus kepada penggemar perkebunan di rumah (home gardener) atau mereka yang berminat untuk menanam sayur di kawasan rumah.

Teknologi tersebut katanya tidaklah rumit seperti yang digembar-gemburkan, dengan syarat mereka mempunyai minat dan menguasai ilmu teknologi berkenaan.

''Teknologi tersebut boleh digunakan di belakang dapur dengan skala kecil untuk kegunaan sendiri.

''Setakat 20 puluh atau 30 pokok, mereka tidak perlu risau sebab baja dan air disalurkan ke tanaman secara automatik," ujarnya.

Teknologi berkenaan mengamalkan pengurusan mudah sebab penggunaan sistem automatik tanpa penggunaan racun dan amalan agronomi yang baik dengan kerja-kerja penyelenggaraan yang minimum.

Penanam juga boleh bekerja dalam keadaan bersih dan paling penting, sistem tersebut dapat mengelakkan penyakit bawaan tanah.

Hasil pengeluaran pula lebih tinggi sehingga tiga kali ganda dan kos infrastruktur yang murah dan efektif hanya untuk sekali sahaja.

Setakat ini katanya, teknologi tersebut boleh diguna pakai untuk sayuran jenis daun seperti sawi, kubis, kangkung, salad, kailan manakala jenis berbuah seperti tomato dan timun memerlukan sokongan lain yang memungkinkan kos tambahan.

''Satu lagi, teknologi ini sesuai untuk tanaman jangka pendek dan intensif dengan hasil tuaian yang cepat antara sebulan hingaa dua bulan," katanya.

Pada masa sama, meskipun penggunaan struktur pelindung hujan tidak menjadi syarat, ia lebih baik untuk mengelakkan ancaman penyakit dan air berlebihan dan hasil mungkin lebih rendah. - Utusan Malaysia

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails