Khamis, Disember 26, 2013

Teknik berunding yang betul

 

Apa itu rundingan? 

Rundingan merupakan satu proses di mana dua pihak mencapai kata sepakat yang mampu memberikan kepuasan kepada semua pihak dengan mengekalkan elemen kerjasama. Kebiasaannya terdapat beberapa tujuan untuk mengadakan rundingan iaitu:

1. Mencapai hasil yang diingini melalui perbincangan dalam proses mengembangkan sayap perhubungan dalam perniagaan.
2. Merupakan cara yang paling efektif untuk mengatasi & penyelesaian konflik atau perbezaan pendapat atau kepentingan.
3. Mencari penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak terhadap sesuatu permasalahan tanpa ada unsur kekerasan.
4. Meningkatkan hubungan professional dengan rakan niaga dan rakan sekerja.
5. Perlaksanaan dengan penuh kenyakinan demi mencapai kesepakatan.
6. Membangunkan sikap kepimpinan dan keahlian dalam membentuk sebuah pasukan yang kuat.

Dalam sesuatu rundingan, persetujuan dan percanggahan adalah fenomena biasa dalam mencari kesepakatan. Oleh itu, penting bagi kita untuk mengetahui cara atau teknik yang betul yang sebenar ketika melakukan rundingan agar memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Langkah pertama dalam melakukan rundingan adalah persiapan yang cukup. Persiapan yang baik sangat perlu sebelum proses rundingan berlangsung. Proses persiapan ini turut mengambil kira TUJUAN SESUATU RUNDINGAN DIADAKAN. Tanpa tujuan yang jelas, pastinya matlamat sesuatu rundingan tidak dapat dicapai dengan pihak terbabit.

Ini diikuti dengan langkah seterusnya yang melibatkan PERSIAPAN MENTAL. Bagi mengelakkan berlangsungnya perdebatan hangat, pastikan diri kita sentiasa berada dalam keadaan tenang dan selesa. Pastinya proses rundingan akan berlangsung dengan lancar dan mulus.

Sebaik-baiknya, apabila kita menjejakkan kaki di ruang rundingan, pastikan kita BERJABAT TANGAN dengan pihak yang berkaitan terlebih dahulu. Ketika berjabat tangan, lakukan dengan tegas dan singkat.

Selain itu, amat perlu untuk sentiasa MEMPAMERKAN SENYUMAN sebelum memulakan rundingan. Cara ini dilihat sebagai seorang individu yang boleh memberikan kerjasama dengan mudah, selain mengeratkan diri dengan pihak terbabit.

Sepanjang rundingan berlangsung juga jangan lupa untuk menyatakan TUNTUTAN ATAU KEINGINAN pihak kita secara singkat tapi jelas dengan perasaan yang penuh percaya kepada diri sendiri. Ini bagi menunjukkan betapa seriusnya kita terhadapa rundingan tersebut selain mempamerkan keyakinan atas kejayaan rundingan yang dilakukan.

Dalam masa yang sama juga, jelaskan kepada pihak berkenaan bahawa kita dan organisasi BERKEINGINAN UNTUK MENCAPAI KATA SEPAKAT. Setidak-tidaknya, penggunaan masa berjalan dengan lebih efektif kerana rundingan berlangsung terus kepada objektif tanpa membincangkan perkara remeh yang merugikan kedua-dua belah pihak.

Akhir kata, semoga tips yang diberikan dapat membantu kita dalam setiap rundingan yang kita lakukan.

Rabu, Disember 25, 2013

Cili Gedong


Gedong bukanlah satu nama yang begitu dikenali di negara ini, malah menyebutnya berkali-kali dan menyatakannya sebagai sebuah daerah di Sarawak, masih ramai yang tertanya-tanya apakah yang istimewa mengenainya.

Gedong terletak agak jauh dari pusat Bandar Kuching dengan perjalanan melalui jalan darat mengambil masa kira-kira satu jam setengah atau kira-kira 90 kilometer (km) jarak perjalanan.

Mudahnya, Gedong berada dalam daerah Simunjan dan bahagian Samarahan.

Menyedari Gedong belum begitu dikenali, sekumpulan anak muda bertekad menjadikannya popular menerusi aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dengan menanam cili menggunakan teknologi fertigasi.

Ramai daripada kita agak popular dengan teknologi fertigasi iaitu sistem penanaman tanpa tanah menggunakan baja yang telah dilarutkan dan ditempatkan dalam tangki khas sebelum disalurkan kepada tanaman dalam polibeg menggunakan tiub getah.

Kumpulan anak muda terbabit percaya mereka mampu merealisasikan hasrat untuk mengeluarkan cili yang akan mempopularkan Gedong dengan syarat teknologi fertigasi tersebut berjaya dimanfaatkan sebaiknya.

Lebih memudahkan impian mereka apabila Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghulurkan bantuan dalam bentuk khidmat kepakaran sehingga projek tersebut kini menjadi kenyataan.

Seorang pengusaha cili fertigasi Kamaziha Amran, 28, yang memulakan projek My Kampung My Future di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 6 antara yang bertuah kerana teroilih sebagai peserta.

Anak jati Saratok Sarawak yang dari sebuah kolej menceburkan diri dalam bidang pertanian dengan dibantu oleh 'aset’ semula jadi dalam dirinya iaitu kegigihan dan minat.

Dia yang ditemui semasa kunjungan rombongan pejabat MARDI, Kuching berkongsi pengalaman bagaimana minat dalam bidang pertanian menjadikannya pengusaha yang sentiasa mencuba tanaman baru.

Pada mulanya Kamaziha yang menceburi bidang penanaman sawit sebagai penyelia ladang tersebut di Miri dan bersama abang angkatnya, dia mempelajari selok belok menguruskan ladang.

Dengan sedikit pengalaman dan wang simpanan, dia memulakan projek penternakan kambing, ayam kacukan secara kecil-kecilan memandangkan ilmu dan pengalamannya juga belum mencukupi.

Dengan modal permulaan sebanyak RM500, Kamaziha, mula mengusahakan cili di Kampung Gedong, Simunjan, Samarahan sebanyak 200 pokok di kawasan terbuka bermula tahun lalu.

"Saya memilih cili sebab tanaman ini banyak permintaan tetapi tidak ramai yang mengusahakannya,’’ ujarnya sambil memberitahu hasratnya ingin mengusahakan di kawasan lebih luas, tetapi modal yang tidak mencukupi.

Usahanya menanam cili secara kecil kecilan rupanya mendapat perhatian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang memilihnya sebagai peserta yang perlu dibimbing.

Selepas itu, dia diberi lebih perhatian apabila diserahkan kepada MARDI dan 'jodoh’ nya dengan agensi terbabit menjadi pemudahcara dan membuka jalan kepada hasratnya menjadi petani moden.

Di bawah bimbingan MARDI, Kamaziha menyertai kursus fertigasi selama tiga hari dan bermula dari situlah menyemarakkan semangatnya untuk terlibat dalam pertanian berskala besar.

Dia memulakan usaha penanaman bermula hujung tahun lalu di kawasan seluas kirakira tiga ekar dengan empat struktur pelindung hujan (SPH) yang mana jumlah keseluruhan yang ditanam kira-kira 600 pokok atau setiap SPH mengandungi 150 pokok.

"Saya dapati fertigasi lebih bagus, senang mengawal penyakit dan mampu menghasilkan lebih banyak cili,katanya.

Dengan itu pendapatan nya agak meningkat berbanding menanam cili konvensional yang diusahakan sebelum ini.

Menurut Kamaziha, dengan menggunakan penanaman secara sistem fertigasi, dia mampu menghasilkan kira-kira 1.5 kilogram (kg) cili sepokok berbanding hanya satu kilogram menggunakan kaedah konvensional.

Mengenai pasaran, dia kini tidak perlu memikirkannya kerana hasil cili dijual secara kontrak perladangan dengan FAMA.

Mengenai perancangan, Kamaziha yang mempunyai 11 adik beradik bercadang mengusahakan tanaman sayur-sayuran lain seperti tomato dan rock melon menggunakan sistem yang sama.

Malah dia juga telah menerika khabar gembira apabila pejabat MARDI Sarawak membantu untuk menambah empat lagi SPH dengan tambahan sebanyak 600 lagi pokok cili.

Menurut Penolong Pegawai Penyelidik Kanan MARDI Kuching, Jilum a/k Makup sebanyak RM28,000 lagi diperuntukkan bagi menambah empat SPH berkenaan selain meningkatkan kemudahan infrastruktur termasuk pembinaan jalan di situ.

"Kawasan ini perlu dinaik taraf sebagai pusat pembelajaran memandangkan kedudukannya sebagai projek terawal, apatah lagi sering menerima kunjungan pelawat terutama daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), FAMA dan Jabatan Pertanian,ujarnya.

Menurut Jilum, program fasa kedua My Kampung My Future kini sedang digerakkan dengan peruntukan RM65,000.


Rabu, Disember 18, 2013

Kursus tanam cendawan di Puchong 2014





Assalam.

Tahun baru 2014 akan bermula dengan kursus asas tanaman cendawan yang akan dianjurkan oleh rakan bisnes Cendawan Global iaitu Cendawan Puchong. 

Kursus yang masuk tahun ke-7 anjuran En. Zul dari Puchong ini merupakan peluang terbaik buat anda mendapatkan maklumat dan tips berguna dalam memulakan bisnes cendawan. Tiada apa lagi yang lebih berguna selain mendapatkan tunjuk ajar daripada usahawan cendawan sendiri.

Cadangan saya ialah tetapkan satu masa berdasarkan tarikh-tarikh yang disenaraikan dan hubungi pihak urusetia untuk pertanyaan lanjut dan juga pendaftaran.

Selamat maju jaya diucapkan!

Khamis, Disember 12, 2013

Potensi bisnes hasil laut



PUTEH menunjukkan pilihan ikan kering yang dijual di premisnya.


JIKA anda telah melewati simpang masuk ke Pekan Pasir Penambang, Kuala Selangor, perhatikan betul-betul papan tanda di sebelah kanan yang memaparkan lokasi Kompleks Pusat Gerai Pasir Penambang.
Biarpun lokasinya terpisah daripada kawasan pekan Pasir Penambang, kompleks tersebut juga menawarkan aneka produk hasil laut setanding dengan lot-lot kedai menjual hasil laut di pekan itu.
Sudah menjadi kebiasaan, kalau bertandang ke Kuala Selangor pada hari bekerja pasti keadaannya kelihatan lengang berbanding hujung minggu. Rata-rata yang datang pada waktu tersebut ialah pelanggan tetap yang mahu membeli-belah dengan tenang.
Antara barisan lot kedai, paling menarik perhatian di kompleks tersebut ialah sebuah kedai di bahagian tepi yang menggabungkan tiga buah premis menjadi sebuah lot yang besar.
Melihat saiznya sebegitu sudah pasti pilihan barangan jualan bukan setakat banyak tetapi pelbagai termasuk yang bergantungan di atas siling.
Pelanggan
Ketika kunjungan Kosmo!, pemiliknya, Puteh Saidin, 63, dan isteri, Rohmah Yusof kelihatan sedang melayan pelanggan yang membelek ikan kering. Biarpun suasana kedai tidak ramai pengunjung tetapi pelanggan datang silih berganti.
“Kebanyakan yang datang pada hari biasa merupakan pelanggan berulang,” kata Puteh sambil disambut dengan senyuman isterinya yang sedang membungkus ikan kering.
Puteh menawarkan hampir kesemua jenis produk hasil laut termasuk ikan kering yang jika dibilang satu persatu boleh mencecah angka 44.
“Bagaimanapun, bidang perikanan segar ini tidak mesra industri kerana jika cuaca tidak baik, para nelayan tidak turun ke laut sekali gus bekalan akan berkurangan.
“Jika air laut mati, nelayan juga tidak dapat membawa naik ikan pada kuantiti banyak,” katanya.
Berbanding perniagaan hasil makanan laut kering, ia boleh dipastikan sentiasa mempunyai stok seperti yang berjaya dilakukan Puteh dalam memastikan produk sentiasa cukup di kedainya tanpa mengira musim.

HASIL laut yang dijual di Kompleks Pusat Gerai Pasir Penambang ini dijamin bersih dan segar.


Bekalan stok
Ekoran itu, Puteh mempunyai sebuah peti sejuk besar untuk simpanan stok sekali gus dapat memastikan stok bekalan sentiasa mencukupi setiap waktu.
Bekalan stok produk tidak terhad daripada pembekal di Kuala Selangor malah Puteh mendapatkannya daripada pembekal dari seluruh tanah air terutamanya dari Kedah dan Kelantan.
Puteh juga mencari sendiri pembekal tersebut bagi memastikan kesemua produk yang dijual di kedainya halal dan bersih dengan melihat sendiri cara pembuatan, bahan yang digunakan dan tempat pembuatan.
“Memang makanan berasaskan hidupan laut ini hukum asalnya halal tetapi cara penyediaan dan tempat dibuat sangat penting untuk diteliti,” tegasnya.
Mengulas mengenai industri ikan segar dan kering di Kuala Selangor, Puteh yang telah berniaga sejak berusia 50 tahun berkata, ia sangat berpotensi untuk terus berkembang sejak Tan Sri Abu Hassan Omar menjadi Menteri Besar Selangor lagi.
Katanya, Kuala Selangor merupakan lokasi terakhir yang mempunyai industri sebegitu jika diteliti dari arah utara sehingga ke selatan.
Maka, kalau mahu kembangkan industri ikan kering di pantai negeri Johor dan Melaka pun amat bertepatan.
Puteh turut menjual secara pukal kepada pembekal-pembekal atau peniaga dari Pahang dan Johor.
Di kedai Puteh juga terdapat kelengkapan bahan masakan yang sesuai dimasak bersama ikan kering seperti sos dan rempah campuran.

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2nE1HBG4W 
Hakcipta terpelihara 

Selasa, Disember 10, 2013

Bubu baharu tingkat tangkapan udang kara


Seorang nelayan menunjukan udang kara yang berjaya ditangkap olehnya.

DAHULU nelayan di sekitar Kampung Sungai Musoh, Pengerang, Johor menangkap udang kara hanya menggunakan peralatan yang dikenali sebagai bintoh yang merupakan kaedah tradisional diamalkan oleh nelayan setempat.

Bagaimanapun, kaedah tradisional itu didapati kurang berkesan untuk menangkap udang kara.

Justeru, usaha membina serta menghasilkan sejenis bubu baharu yang lebih berkesan dan mesra sumber telah dihasilkan oleh Jabatan Perikanan.

Bubu baharu yang dibina dengan kos RM80 hingga RM90 seunit dan berupaya memberikan pulangan yang tinggi di samping faedah-faedah lain seperti menjimatkan masa operasi, kawasan operasi yang lebih luas.

Pada masa yang sama nelayan boleh mengusahakan perkakas perikanan yang lain.

Projek membina bubu tersebut telah dimulakan pada tahun 2003 yang merupakan peralatan bubu yang diperbaharui.

Menerusi percubaan yang dijalankan di sekitar Kampung Sungai Musoh mendapati bubu tersebut berupaya menangkap udang karang dengan kuantiti yang lebih tinggi.

Pengenalan inovasi tersebut telah menarik minat seramai 50 vesel yang membabitkan seramai 100 orang nelayan yang berpengkalan di jeti nelayan Sungai Musoh bagi menggunakan teknik tersebut.

Setiap vesel menggunakan sehingga 30 unit bubu di mana kawasan penangkapan ialah di sekitar lima batu nautika.

Terdapat dua tenik penggunaan bubu tersebut iaitu teknik menghanyut di mana bubu diletakkan di lokasi terdapatnya udang kara tanpa menggunakan sauh dan diangkat apabila air laut pasang penuh.

Teknik kedua pula menggunakan sauh di mana bubu diperam dan diangkat setiap kali air laut pasang penuh dan kedua-dua teknik tersebut menggunakan umpan.

Secara amnya, nelayan yang mengusahakan bubu udang tersebut mampu memperolehi pendapatan mencecah RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20131209/ag_02/Bubu-baharu-tingkat-tangkapan-udang-kara#ixzz2n4PAvqBn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rabu, Disember 04, 2013

Usahawan keropok lekor


Proses pembungkusan dilakukan berhati-hati bagi menjamin kualiti keropok lekor berada dalam keadaan yang baik.

Biarpun kedengaran agak janggal bagi sesetengah daripada kita kerana kontraktor dan perusahaan makanan merupakan dua perkara yang berbeza. Namun, tidak bagi Zainal Abidin kerana bagi beliau, kedua-duanya membabitkan perniagaan.

Segalanya bermula apabila isterinya menyertai kursus membuat keropok lekor yang akhirnya menimbulkan minat mereka berdua untuk mengusahakan produk makanan tersebut.

Menurut Zainal Abidin yang juga merupakan pengarah, Keropok House dan Industry Sdn. Bhd., berbekalkan modal pendahuluan RM50,000 dia dan isteri membuka sebuah kilang kecil di kawasan perindustrian Glenmarie di Shah Alam, Selangor.

"Pada ketika itu (peringkat awal) saya masih meneruskan perniagaan sebagai seorang kontraktor sehinggalah perniagaan berkembang maju akhirnya saya mengambil keputusan untuk fokus dalam perusahaan keropok lekor sejuk beku ini.

"Semasa di peringkat awal perusahaan, saya banyak dibantu oleh agensi-agensi kerajaan terutamanya Jabatan Perikanan Malaysia” katanya ketika ditemui di kilang keropok lekor sejuk beku miliknya di Shah Alam, Selangor pada program Kembara Media Perikanan yang diadakan baru-baru ini.

Ujar Zainal Abidin, mengusahakan produk makanan lebih mudah berbanding bidang kontraktor kerana aliran wang tunai diperoleh setiap hari. Manakala bayaran bagi bidang kontraktor adalah berdasarkan projek yang dilaksanakan.

Ketika ditanya mengapakah memilih keropok lekor berbanding produk makanan lain, Zainal Abidin menjelaskan, ketika berkursus di bawah seliaan Jabatan Perikanan, jabatan tersebut lebih menumpukan kepada produk berasaskan ikan.

Setelah menjalani beberapa kursus pembuatan makanan berasaskan ikan, akhirnya Zainal Abidin memilih perusahaan keropok lekor kerana produk tersebut masih kurang diusahakan di sekitar Selangor.

Perusahaan keropok lekor Zainal Abidin terus berkembang, mendorongnya membuat keputusan untuk terjun terus ke bidang tersebut dan terus mengikuti pelbagai lagi kursus di bawah seliaan Jabatan Perikanan dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

Selain kursus, Zainal Abidin turut menerima bantuan peralatan pemprosesan keropok lekor, bantuan pemasaran daripada jabatan dan promosi produk menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Kini Zainal Abidin telah berpindah ke lokasi yang lebih baik dan kadar pengeluaran keropok lekornya juga dapat dipertingkatkan antara 45 hingga 55 tan sebulan.

Kebanyakan produk Keropok House & Industry Sdn. Bhd. dipasarkan di pasar malam, kedai makanan sejuk beku, pasar raya, malah turut berjaya menembusi pasaran luar negara seperti ke Brunei dan juga Singapura.

Antara cabaran menghasilkan produk makanan berasaskan ikan seperti keropok lekor pastinya stok bahan mentah atau isi ikan.

Jelas Zainal Abidin, dia mendapatkan stok bahan mentah berupa isi ikan yang dikenali sebagai oto shimi di sekitar Sungai Besar, Selangor dan juga Pantai Remis, Perak.

Selain menghasilkan keropok lekor, Zainal Abidin kini mula mempelbagaikan produk antaranya otak-otak dan bebola ikan bagi mengurangkan persaingan dengan pengusaha keropok lekor yang semakin bertambah di Selangor.
- ASHRIQ FAHMY AHMAD


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20131202/ag_01/Usahawan-keropok-lekor#ixzz2mftuxO2v
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Nota UB: Saya baru sahaja melancarkan satu blog persatuan pengusaha cendawan besut di http://masiliumbesut.blogspot.com/

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails