Friday, October 29, 2010

Kemudahan test bed MARDI bantu usahawan


Bangunan yang menempatkan test bed teknologi MARDI di Stesen MARDI, Kuching, Sarawak.


Sebagai institusi penyelidikan pertanian terkemuka di negara ini , Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sentiasa berusaha membantu membangunkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

Salah satu khidmat sokongan teknikal yang dianjurkan di bawah Program Pembangunan Usahawan MARDI adalah sistem test bed teknologi MARDI.

Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Datuk Dr. Masri Muhamad berkata,sistem test bed teknologi MARDImerupakan premis atau makmal pemprosesan yang lengkap dengan mesin dan peralatan untuk pengeluaran skala kecil bagi industri makanan terpilih.

"Bermula pada tahun 2006 semasa Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) , sistem dibina dalam bangunan atau premis yang baru atau diubahsuai sebelum dilengkapkan dengan mesin, diuji lari dan diberikan Prosedur Piawaian Operasi (SOP) dan barulah boleh menerima usahawan," katanya semasa ditemui di pejabatnya., baru-baru ini.

Buat masa ini, jelas Dr. Masri terdapat sembilan sistem tersebut tetapi hanya lapan saja yang beroperasi dan boleh menerima usahawan.

Setiap sistem test bed teknologi MARDI khusus bagi mengeluarkan produk-produk tertentu.

"Dari segi konsep, ini merupakan kaedah memindahkan teknologi MARDI yang lebih berkesan," katanya.

Usahawan yang terlibat dengan MARDI boleh membina perniagaan berasaskan teknologi yang memerlukan teknologi tinggi di samping perlu menguasai teknologi supaya boleh berkembang dan bersaing.

Di sini katanya, usahawan akan menggunakan rumusan sendiri, menguruskan mesin yang ada serta memasarkannya sendiri.

"Ini bagi memberikan keyakinan kepada usahawan untuk melabur membeli peralatan dengan bantuan dan tunjuk ajar MARDI" kata Dr. Masri.

Selain itu usahawan juga didedahkan dengan Akta Makanan bagi memudahkan mereka membawa produk lebih jauh seperti pasar raya dan global.

Usahawan makanan boleh memohon ke sistem test bed teknologi MARDI asalkan mematuhi syarat seperti mempunyai syarikat berdaftar, usahawan baru atau mereka yang mempunyai perniagaan makanan yang berpotensi. Bagaimanapun pengusaha bimbingan atau anak angkat MARDI atau usahawan bimbingan agansi lain juga digalakkan memohon.

Biasanya seorang usahawan menggunakan sistem test bed teknologi MARDI dalam tempoh sebulan.

Kini sistem test bed teknologi MARDI dalam proses mendapatkan pengiktirafan ISO9001 (2008) dari SIRIM.

sumber : Utusan Malaysia Online

Saturday, October 23, 2010

17 bilionair baru India



REKOD bilangan usahawan bergelar bilionair di India bertambah ketika jurang ekonomi semakin melebar dan kebanyakan rakyatnya masih dihimpit kemiskinan.


MUKESH AMBANI mengekalkan gelaran sebagai individu terkaya di India ketika perkembangan pesat ekonomi melahirkan 17 bilionair baru pada 2010.

Tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 69 orang, berdasarkan senarai individu terkaya yang disiarkan majalah Forbes baru-baru ini.

Ambani, pengerusi syarikat persendirian terbesar India, Reliance Industries, mempertahankan kedudukannya sebagai individu terkaya di India untuk tiga tahun berturut-turut dengan kekayaan bernilai AS$27 bilion (RM83.2 bilion), petik majalah Forbes India.

Bilionair itu diekori rapat pengasas syarikat keluli terkemuka yang berpusat di London, Lakshmi Mittal dengan kekayaan bernilai AS$26.1 bilion (RM80.4 bilion).

"Jumlah bilionair yang direkodkan belum lagi menunjukkan petanda jelas betapa seriusnya peningkatan itu di India dan China pada dekad mendatang," kata Indrajit Gupta, editor Forbes India.

Menurutnya, usahawan dari India menunjukkan kemampuan mereka memanfaatkan peluang mencipta kekayaan yang tidak pernah berlaku di kalangan masyarakat lain di dunia.

Jurang ekonomi

Peningkatan jumlah bilionair itu terjadi ketika kumpulan antikemiskinan memberi amaran mengenai pelebaran jurang yang berterusan antara golongan kaya dan miskin di negara berpopulasi 1.2 bilion penduduk itu.

Sebahagian daripada 836 juta penduduk India hidup dengan pendapatan kurang daripada 20 rupee (RM1.30) sehari. Dalam satu laporan kerajaan, statistik di India mengenai tahap kesihatan, kematian bayi, nutrisi dan pendapatan adalah lebih buruk daripada mereka yang menetap di sub-Sahara Afrika.

Ketempangan pertumbuhan ekonomi, kes rasuah yang berleluasa dan kelemahan pentadbiran awam, dilihat sebagai pencetus pemberontakan Maoist di daerah miskin negara itu.

Taikun teknologi informasi, Azim Premji yang mengawal syarikat pembekal Wipro, merampas kedudukan tangga ketiga senarai itu dengan kekayaan bernilai AS$17.6 bilion (RM54.24 bilion), menggantikan adik lelaki Ambani, Anil, yang mengetuai telekomunikasi, kewangan dan perniagaan utiliti Reliance.

Anil Ambani, yang baru berdamai dengan abangnya itu selepas perbalahan ekoran pembahagian aset keluarga, jatuh di tempat keenam dengan AS$3.3 bilion (RM10.6 bilion). Kejatuhan saham syarikat telah menyebabkan kekayaannya itu susut sebanyak 24 peratus.

Jumlah kekayaan 40 bilionair terkaya di India ketika ini bernilai AS$243 bilion (RM748 bilion), naik daripada AS$229 bilion (RM705 bilion) tahun lalu. Namun, catatan itu masih belum menghampiri rekod AS$351 bilion (RM1,081 trilion) yang dicatatkan pada pada tahun 2007.

Namun begitu, jumlah kekayaan mereka adalah lebih dua kali ganda daripada kekayaan 40 orang individu terkaya di China tahun lalu, iaitu sebanyak AS$106 bilion (RM326 bilion).

Golongan kaya di India mengalami kerugian besar pada 2008. Ketika itu gabungan kekayaan bersih 40 individu tersebut turun 60 peratus dan hanya 27 individu bergelar bilionair akibat terkena tempias krisis kewangan global.

Kerugian besar membabitkan nilai kekayaan di India pada 2008 pantas menjadi kenangan. Pencapaian itu disokong lonjakan pasaran saham dan pertumbuhan ekonomi hampir sembilan peratus.

Pasangan adik-beradik Shahi dan Ravi Ruia, peneraju Kumpulan Essar yang memegang kepentingan dalam industri besi, penyulingan minyak dan tenaga, berada di tempat keempat dengan kekayaan bernilai AS$15 bilion (RM46.2 bilion), manakala Savitri Jindal, pengerusi Jindal Steel and Power, kekal di tempat kelima dengan kekayaan AS$14.4 bilion (RM44.4 bilion).

Gelombang kedua

Senarai tahun ini juga merupakan isyarat gelombang kedua bagi kapitalis India mengumpul laba besar selepas permulaan yang tidak menentu awal dekad lalu.

Ketika gelombang pertama bilionair dikaitkan dengan perniagaan teknologi maklumat, keluli dan tenaga, gelombang kedua pula dijangka membabitkan syarikat-syarikat gergasi dalam bidang farmasi dan hartanah.

Pencapaian peratusan tertinggi pula diraih Raja Media, Kalanithi Maran, pemilik syarikat Sun TV Network, yang mempunyai lebih daripada satu pertiga saham di syarikat penerbangan tambang rendah domestik SpiceJet. Kekayaan bersihnya naik 74 peratus iaitu AS$4 bilion (RM12.4 bilion).

Bagaimanapun, terdapat juga beberapa individu yang terjejas. Raja Hartanah, Kushal Pal Singh, pemilik DLF yang sarat dengan hutang, kehilangan hampir satu pertiga daripada kekayaannya. - AFP

Thursday, October 21, 2010

Mesin layan diri moden



MESIN layan diri di Jepun bukan saja menjual makanan atau minuman bahkan mempunyai fungsi sosial.


IA menjual payung, bunga, makanan yang dimasak, minuman sejuk selepas gempa bumi malah adakalanya mampu membaca fikiran manusia. Begitulah cara lima juta mesin layan diri di Jepun berfungsi.

Boleh didapati di seluruh negara, jumlah kedai runcit automatik itu menyamai lampu isyarat di negara tersebut dan menawarkan pelbagai produk menarik, bahkan adakalanya memeningkan kepala.

Memandangkan kadar jenayah yang rendah di Jepun, syarikat pengeluar mesin layan diri boleh meletakkannya di mana-mana saja. Sama ada di tengah-tengah kota yang penuh dengan lampu neon sehinggalah di puncak Gunung Fuji, tanpa perlu bimbang dicuri atau dimusnahkan bagi mendapatkan duit syiling yang terdapat di dalamnya.

"Ia memang memudahkan hidup, saya berharap mempunyai satu mesin yang sama dalam bilik saya," kata Hibiku Miura, 18, yang banyak bergantung kepada mesin itu sama seperti rakyat Jepun lain.

Persaingan sengit

Jepun mempunyai 2.5 juta mesin layan diri yang menjual minuman, bersamaan dengan satu mesin bagi setiap 50 orang. Ia menjana pendapatan AS$27 bilion (RM83 bilion) tahun lalu, menurut Pertubuhan Pengeluar Mesin Layan Diri Jepun.

Mesin yang menjual barangan lain seperti rokok hinggalah alat permainan, jambangan bunga malah cetakan ramalan di kuil Shinto. Kesemua itu meningkatkan pendapatan yang mencecah lima juta, mengikut anggaran industri.

Dalam pasaran mesin layan diri paling tepu di dunia, para pengeluar mesin bersaing untuk menarik perhatian pelanggan dengan menggunakan lampu neon hinggalah tawaran pelbagai rangkaian barangan.

Dole Japan Ltd. misalnya, menarik perhatian ramai apabila mesin layan dirinya menjual pisang sejuk di sebuah stesen kereta api di Tokyo bulan Jun lalu pada harga 130 yen (RM4.80) sebiji atau 390 yen (RM14.40) sesikat yang mempunyai lima biji pisang.

"Kamu boleh membeli pisang di kedai 24 jam atau pasar raya, tetapi ada yang gemar membeli daripada mesin layan diri. Ramai berpendapat ia seronok untuk dilihat, dibeli dan dimakan," kata jurucakap Dole, Hiromi Ohtaki.

Sejumlah daripada mesin tersebut mempunyai fungsi sosial seperti laporan berita dan skor terkini besbol pada papan elektroniknya.

Coca-Cola (Japan) Co. menyatakan 5,100 daripada keseluruhan 980,000 mesin layan dirinya mengeluarkan minuman percuma jika berlaku gempa bumi besar dan bencana-bencana lain.

Terbaru, sebuah mesin layan diri membekalkan 680 botol minuman kepada mereka yang melarikan diri dari kediaman masing-masing di utara Jepun, Hokkaido, apabila gempa bumi di Chile mencetuskan amaran tsunami di negara tersebut pada Februari lalu.

Di sebuah kampung terpencil di Okinawa, Coca-Cola menyatakan sokongannya pada tinjauan alam sekitar dengan meletakkan mesin layan diri bermikrofon untuk merakamkan kicauan burung yang jarang ditemui.


MESIN layan diri di sebuah stesen kereta api di Tokyo menjual pisang pada harga RM4.80 sebiji.


Mesin layan diri terkini yang berteknologi tinggi menggunakan kamera dan perisian yang boleh mengesan jantina dan usia seseorang, dengan ketepatan sekitar 75 peratus.

Dengan menggunakan data jualan, mesin yang diletakkan di stesen kereta api Shinagawa, Tokyo itu mampu melihat seseorang dan menyarankan minuman sukan atau setin espresso sejuk mengikut jumlah kebijaksanaan pemasaran terkumpul.

Privasi pengguna

Hidemi Mio, 48, yang mencuba mesin itu berkata, mesin yang menggunakan otak digital itu selepas sesaat mencadangkan kepadanya tiga jenis minuman di paparan skrin sentuh sebesar 119 sentimeter lebar, termasuklah teh berperisa.

Apabila mesin itu mencadangkan salah satu minuman kegemarannya, Mio menyatakan dia akan memilih saranan mesin tersebut pada masa akan datang jika dia tidak boleh membuat keputusan.

Bayaran boleh dibuat dengan meleretkan kad kredit, telefon bimbit atau tunai.

Bagi melindungi privasi pengguna, mesin tersebut akan memadam imej pengguna tetapi data jantina, umur dan pilihan belian dikumpulkan, kata Pengurus Besar Jualan di JR East Water Business Co. yang memiliki mesin itu, Toshinari Sasagawa.

"Kami mendapat data mengenai barang yang dijual, lokasi dan waktu sesuatu barang dijual. Malah kami turut mengumpul maklumat ciri-ciri pelanggan dengan harapan dapat mengeluarkan produk baru dan pembangunan," katanya.

Mesin itu banyak diperkatakan sejak bulan lalu dengan hasil jualan yang meningkat tiga kali lebih banyak berbanding 50 mesin layan diri lain di stesen yang sama.

JR East Water Business, yang dimiliki penuh oleh pengendali kereta api gergasi, merancang untuk menempatkan 500 unit mesin layan diri generasi baru mesin itu dalam masa dua tahun.

Pada masa depan, mesin layan diri mungkin ditingkatkan dari sudut komunikasi dengan pelanggan.

"Kami mahu pelanggan menikmati pengalaman dan seronok ketika proses membeli yang berbeza daripada mesin layan diri lain," ujar Sasagawa. - AFP

Saturday, October 16, 2010

Bekas exco usahawan nanas


ABDUL Fatah menunjukkan buah nanas yang baru dipetik sedia dijual kepada peraih.


SAYA pernah gagal dan ditipu ketika mula-mula menceburi bidang pertanian. “Namun, semua itu saya jadikan sebagai pengajaran serta pengalaman berguna untuk terus berjaya didalam bidang ini,” ujar Datuk Abdul Fatah Iskandar ketika ditemui di ladang nanasnya di Kuala Selangor.

Bagi yang mengenalinya, Abdul Fatah bukanlah orang asing di kalangan masyarakat kerana beliau merupakan bekas ahli politik suatu ketika dahulu.

Abdul Fatah merupakan bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sijangkang, Kuala Langat, Selangor.

Beliau pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Dari 1998-2008 beliau menjadi Ketua Bahagian UMNO Kuala Langat dan kini tidak lagi bertanding dalam pemilihan UMNO Kuala Langat mulai Oktober 2008.

Bagaimanapun, populariti beliau dahulu tidak pernah dijadikan ‘modal’ untuk berjaya dalam sektor baru yang diceburinya kini.

Berdasarkan kecenderungan serta minat yang mendalam terhadap sektor pertanian, beliau nekad untuk bertani seterusnya kini beliau mampu bergelar usahawan tani.

Keputusan meninggalkan keselesaan kerusi empuk serta sejuknya udara yang dihembus alat penghawa dingin tidak sedikit pun dikesali beliau.

Malah beliau merasakan tindakan tersebut telah terlambat kerana baru menyedari potensi bidang pertanian yang amat menguntungkan.

Menceritakan semula detik permulaan di dalam sektor pertanian, Abdul Fatah bermula secara kecil-kecilan dengan mengusahakan tanaman serai.

“Pada mulanya saya sendiri tidak yakin bahawa serai boleh ditanam di kawasan paya gambut.

“Tetapi ada seorang hamba Allah ini bersungguh-sungguh menyakinkan saya bahawa serai boleh ditanam di kawasan tersebut akhirnya saya bersetuju mengusahakannya,” jelas beliau.

Namun, percaturan mempertaruhkan tanaman serai nyata terpesong jauh kerana tanaman tersebut tidak mampu hidup dengan baik.

Justeru beliau mengalami kerugian, namun nasib beliau amat baik kerana beberapa orang tempatan telah mencadangkan kepadanya untuk menanam nanas pula.

“Pada peringkat awal saya juga agak risau, takut-takut jika pekara yang sama berulang semula.

“Lalu saya dapatkan nasihat dari mereka yang berpengalaman serta mengkaji sendiri cara terbaik untuk mengusahakan tanaman nanas tersebut,” katanya.

Berbekalkan sebidang tanah seluas tiga ekar, Abdul Fatah memulakan tanaman nanas secara kecil-kecilan sebagai percubaan.

Setelah melihat tanaman tersebut subur serta menyakinkan untuk ditanam secara besar-besaran, beliau beralih kepada ladang kelapa sawitnya seluas sembilan ekar.

Pokok kelapa sawit milik beliau pada waktu itu adalah pada peringkat awal penanaman, justeru bagi mendapatkan hasil memerlukan masa yang panjang.

Justeru beliau mengambil keputusan untuk melakukan tanaman secara integrasi iaitu dengan tanaman nanas.

" Pada peringkat awal saya hanya ingin menanam kelapa sawit sahaja, tetapi memandangkan masih terdapat ruang kosong saya mula memikirkan untuk menanam tanaman kontan yang lain,” ujarnya.

Bermula setahun yang lalu, kini tanaman nenas beliau telah membuahkan hasil dan kini ladangnya sedang dalam proses penuaian.

Terdapat tiga jenis baka nanas yang ditanam oleh beliau iaitu Yanke (Selangor Sweet), Josaphine serta Morris.

Bagi setiap seekar tanah, beliau mampu memuatkan tujuh hingga lapan ribu pokok nanas dalam satu-satu masa.

Malah jika tanpa diintegrasikan ia boleh memuatkan 12 hingga 14 ribu pokok di dalam satu-satu masa.

Menurutnya, bagi pasaran sekitar Kuala Selangor, nanas jenis Yanke mendapat permintaan utama malah harganya juga agak mahal, sekitar empat hingga lima ringgit.

Manakala bagi nanas baka Morris atau Josaphine boleh dijual dengan harga serendah seringgit sebiji.

Jelas Abdul Fatah, nanasnya akan diambil peraih justeru beliau tidak perlu memikirkan jalan untuk memasarkannya.

Malah stok nanas yang sedia ada miliknya tidak pernah mencukupi untuk menampung permintaan walau hanya di sekitar Kuala Selangor.

“Nanas dari jenis Yanke amat diminati, yang sedia ada sekarang pun telah ditempah oleh peraih walaupun masih belum memasuki musim menuai,” katanya.

Beliau juga banyak mendapat bantuan dari segi khidmat nasihat daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dari segi penyediaan tanaman, penggunaan hormon pembuahan, serta penjagaan tanaman nanas sehingga ia mengeluarkan hasil.

sumber : utusan malaysia online

Tuesday, October 12, 2010

Sambutan luar biasa lelong Dorper


celoteh juru lelong Khairuddin Ismail menarik minat pembida yang mencari ternakan terbaik bagi ladang mereka.


"Kita akan mulakan dengan plot satu, 10 ekor biri-biri Dorper betina baka dengan harga RM4,500," kata juru bida, Khairuddin Ismail sambil menunjukkan kepada plot yang akan dilelong.

Sepuluh ekor biri-biri Dorper betina mengembek dalam plot 1 mencari makanan.

Mentol di plot yang akan dibida dinyalakan bagi membolehkan pembida menentukan plot pilihan mereka.

Episod membida bermula, pembida mengangkat nombor masing-masing sebagai tanda menambahkan pembidaan dengan nilai RM50 sekali.

Khairuddin yang berpengalaman sebagai juru bida di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) selama 15 tahun, berdiri menghadap plot yang diisi dengan 10 ekor biri-biri Dorper. Setiap satu mempunyai harga, jantina dan kegunaan sama ada untuk baka atau sembelihan.

Seramai 50 orang pembida yang datang dari seluruh negara telah meninjau plot diberikan nombor, duduk di tempat yang dikhaskan.

"RM4,500 satu...!"Jerit Khairuddin dengan matanya meliar memandang pembida.

Belum sempat dia menghabiskan ayatnya pembida dengan nombor 015 mengangkat kadnya.

"Sekarang siapa berani dengan RM4,550...!" Katanya menarik minat bukan saja pembida tetapi juga mereka yang datang untuk meninjau lelongan biri-biri Dorper yang pertama kali dijalankan di Projek Agropolitan Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Pembidaan semakin rancak apabila nama pembeli pertama akan diabadikan di ladang berkenaan.

Setengah jam berlalu, harga yang ditawarkan telah meningkat lebih dua kali ganda, masing-masing berebut mengabadikan nama di ladang berkenaan.

"RM13,950... dua kali...!" Belum sempat juru lelong menghabiskan kata-katanya, pembida dengan nombor 011 mengangkat kadnya.

Akhirnya tinggal hanya tiga pembida yang benar-benar berminat mendapatkan Dorper dalam plot 1.

"Sapa berani lawan untuk harga RM14,900... satu, RM14,900 .... dua, RM4,900 tiga.. ! Kalau macam tu, plot 1 kepunyaan 015!" Katanya.

Pembantu juru bida Azhar Ibrahim, memalu gong tiga kali sebagai menandakan plot 1 telah menjadi milik pembida dengan nombor 015.

Aktiviti bidaan berjalan rancak dan mengambil masa lebih empat jam dengan 435 ekor biri-biri Dorper bernilai RM265,550.

Aktiviti bidaan biri-biri Dorper diadakan buat kali pertama selepas genap setahun Projek Agropolitan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jualan biri-biri Pekan Dorper Auction dianjurkan bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Melebihi jangkaan

Bidaan kali pertama itu melibatkan biri-biri Dorper dengan jenama Pekan Dorper yang diternak di bawah Projek Agropolitan Pekan bagi golongan miskin tegar.

Kini biri-biri Dorper merupakan salah satu aktiviti utama di Agropolitan Pekan selepas ladang kelapa sawit.

Dalam tempoh setahun, Projek Agropolitan Pekan telah berjaya menggandakan populasi biri-biri baka Dorper kepada hampir 2,000 ekor daripada 1,000 ekor pada peringkat permulaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John gembira dengan kejayaan yang dicapai.

"Kami tidak menyangka mendapat sambutan yang melebihi jangkaan dengan lebih 50 pembida mengambil bahagian memandangkan ini adalah aktiviti pertama di Agropolitan Pekan" katanya.

Beliau menambah aktiviti bidaan akan diadakan dari masa ke semasa mengikut kesesuaian dan bilangan biri-biri.

Dalam tempoh setahun Projek Agropolitan telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dalam usaha meningkatkan taraf hidup para peserta projek.

Malah, kejayaan projek perintis penternakan biri-biri akan menjadi pelopor pembangunan 250 unit kandang ternakan (APU) di Agropolitan Pekan yang melibatkan sejumlah 25,000 biri-biri baka Dorper.

Apabila jumlah berkenaan dicapai, Agropolitan Pekan bakal mempunyai populasi biri-biri terbesar di satu lokasi tunggal di Asia dan dalam tempoh lima tahun tempat ini akan menjadi pusat pembidaan Dorper.

Projek Agropolitan merupakan sebuah projek sosioekonomi bersepadu yang dilaksanakan oleh ECERDC dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat miskin tegar.

Melalui aktiviti ekonomi yang dijalankan peserta projek mampu menjana pendapatan tetap antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Felda dilantik bagi menyelaras dan mengurus projek berkenaan dan pada permulaan 30 peserta Orang Asli telah melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti ternakan Dorper sejak Julai tahun lalu.

Selain 11 buah APU sedia ada untuk menempatkan biri-biri, 60 buah APU sedang dibina, 30 dijangka siap November 2010 manakala bakinya pada 2011.


sumber: Utusan Malaysia Online

Thursday, October 07, 2010

Seminar Marketing Power di JB


Salam buat rakan di Usahawan Bistari.

Saya ingin berkongsi pengalaman menghadiri Seminar Marketing Power di JB oleh DR Azizan Osman pada 3 Oktober lepas. Memang berbaloi menghadiri kursus ini kerana anda akan mendapat petua dan tip terkini tentang cara bagaimana untuk meningkatkan pemasaran bisnes anda dan membawa ia ke tahap yang lebih jauh lagi. Kursus yang diadakan di M-Suites Hotel dan dihadiri oleh lebih daripada 600 orang peserta.


Salah satu tip yang saya ingati ialah : Anda perlu fokus promosikan kepada satu produk dahulu, jadilah pakar dalam bidang yang anda ceburi. Dari situ kembangkan lagi sehingga menjadi besar!



35 Lagi Idea Hebat Untuk Pemasaran Luar Biasa

35) Berkawan dengan selebriti radio atau TV: Cari jalan untuk merapatkan diri dengan selebriti radio atau tv. Mereka adalah manusia biasa yang sukakan penghargaan. Kirimkan mereka hadiah yang luar biasa yang membuatkan mereka akan menyebut nama anda apabila mereka bersiaran.

34) Tukar mesej telefon anda : Sekiranya ada orang yang menelefon telefon pejabat atau telefon bimbit anda selepas waktu pejabat, ianya mungkin merupakan peluang anda untuk memasarkan kepada mereka. Tukar mesej panggilan telefon anda daripada “Maaf, kami sedang sibuk, sila tinggalkan pesanan anda!”, tukarkan kepada “Maaf, kami amat sibuk melayan pelanggan kami sepanjang hari dan kami agak keletihan. Tinggalkan nama dan nombor telefon anda, kami pasti akan memanggil anda semula pada pukul 9.05pagi nanti!”

33) Mewujudkan sistem memperkenalkan kawan: Sekiranya pembekal atau pelanggan gembira untuk berurusan dengan anda, anda boleh memberikan mereka penghargaan contohnya voucher RM50 untuk setiap pelanggan baru yang diperkenalkan.

32) Lancarkan kempen untuk membuat sesuatu perubahan: Apakah perkara yang membuat orang ramai tidak gembira atau tidak berpuashati? Anda boleh menjadi penganjur kepada sesuatu kempen kesedaran di kawasan anda, contohnya, kempen menentang aedes. Sekiranya perniagaan anda memang secara terus dapat menyelesaikan masalah ini, ia adalah lebih baik.

31) Menawarkan perundingan atau memberikan ucapan: Cari kumpulan sasaran yang dikehendaki dan sertai mereka, tawarkan kepakaran anda dengan memberikan perundingan atau ucapan secara percuma. Ia akan mula membina anda untuk menonjol sebagai pakar dalam bidang tersebut.

30) Berpakaian menarik mengikut tema pakaian tertentu : Ia hampir sama dengan idea sebelum ini, tetapi ini adalah berpakaian mengikut tema pada hari-hari tertentu dalam seminggu. Ini akan membuatkan pelanggan tertarik dengan keceriaan kedai atau pejabat anda.

29) Berkenalan dengan hampir sesiapa sahaja: Mereka yang bijak membuat pemasaran adalah mereka yang bukan berkenalan dengan orang lain untuk menjual tetapi berkenalan untuk mengenali orang lain, ketahui apa yang mereka lakukan. Pendek cerita, berkawan dan minat untuk mengenali orang lain. Tetapi, suka atau tidak, mereka pasti akan mula bertanya tentang apa yang anda lakukan. “Terpaksalah” anda kongsikan tentang perniagaan anda.

28) Menulis Ebook percuma: Ya, tuliskan ebook atau artikel dan berikan secara percuma di laman web anda atau melalui emel. Ia akan membina kredibliti anda.

27) Menaikkan Harga : Kadang-kadang, strategi menurunkan harga bukanlah cara paling baik untuk menarik pelanggan tetapi menaikkan harga pun boleh menarik pelanggan kepada anda. Anda mungkin akan kehilangan pelanggan yang “low-end” tetapi anda akan mendapat pelanggan yang lebih tinggi kualitinya.

26) Mulakan e-newsletter: Gunakan format newsletter yang mudah untuk sentiasa “stay connected” dengan pelanggan-pelanggan atau prospek anda. Ingat, rahsia pemasaran adalah bagaimana anda sentiasa mengingatkan mereka tentang “kewujudan” anda!

25) Ubah cara bagaimana telefon anda dijawab : Berikan staf anda kebebasan untuk mencuba menjawab telefon dengan stail yang berbeza tetapi bersemangat. Sekiranya kita menjawab panggilan telefon dengan senyuman dan ceria, pelanggan anda pasti dapat merasakan keceriaan tersebut, begitulah sebaliknya.

24) Gunakan krew promosi: Anda boleh mendapatkan krew “part-time” atau sementara yang boleh membantu anda membuat promosi serta memberikan informasi perniagaan anda kepada orang ramai. Pastikan mereka memakai tshirt yang mempunyai logo perniagaan dan kempen pemasaran anda. Pastikan mereka ceria apabila menyertai kempen ini.

23) Mempromosikan produk atau perkhidmatan anda secara bersilang (Cross Promotions) : Apakah produk atau perkhidmatan lain yang pelanggan anda mungkin perlukan? Setelah mereka membeli daripada anda, biasanya mereka gembira untuk tahu apakah produk lain yang anda boleh tawarkan.

22) Menjual hadiah/ voucher penghargaan : Ramai pelanggan gemar untuk membeli hadiah atau voucher untuk dijadikan hadiah kepada orang lain. Contohnya jika anda ke kedai buku Borders, mereka ada menjual voucher hadiah di kaunter tunai mereka untuk anda hadiahkan kepada orang lain.

21) Buat sesuatu yang di luar jangkaan : Apa perasaan anda jika kedai kek ditempat anda mengirimkan SMS kepada anda dan meminta anda untuk datang ke kedainya untuk mengambil hadiah istimewa atau memberikan anda diskaun kepada anda untuk hari itu sahaja, tanpa sebarang sebab. Hanya sebagai tanda penghargaan. Pasti anda akan rasa gembira. Itulah yang anda boleh lakukan kepada pelanggan anda. Anda boleh dapatkan sistem sms dan kredit percuma diwww.ETSI.com.my, ia adalah sangat efektif.

20) Mengeluarkan Press Release : Salah satu perkara yang penting untuk anda lakukan adalah untuk menghantar press release kepada media. Press release dengan kisah yang menarik akan memberikan anda pendedahan percuma di akhbar atau majalah. Ini akan meningkatkan reputasi anda serta meningkatkan jualan anda.

19) Sertai mana-mana organisasi yang boleh menyokong perniagaan anda: Libatkan diri dengan mana-mana persatuan, kelab, dewan perniagaan atau koperasi yang dapat memberikan anda kelebihan untuk mengembangkan jaringan perniagaan anda serta meningkatkan perniagaan anda.

18) Menjual apabila anda mengeluarkan inbois: Sekiranya anda berurusan dengan pelanggan korporat atau syarikat kecil dan sederhana, biasanya yang melihat dokumen inbois tersebut adalah orang penting di syarikat tersebut. Buat satu cop getah yang berbunyi “Terima kasih kerana berurusan dengan kami, semoga kami mendapat bayaran yang pantas!” dan copkan di atas inbois tersebut.

17) Membuat katalog produk : Salah satu cara paling klasik untuk memberikan pelanggan informasi tentang senarai produk atau perkhidmatan anda. Untuk mengurangkan kos, adalah lebih elok produk tersebut di senaraikan di laman web anda dan ianya boleh dicetak daripada situ. Anda juga boleh menggunakan digital printing yang kosnya adalah lebih rendah daripada percetakan biasa.

16) Kempen Mengutip Sampah : Atau kempen bersihkan rumah kebajikan serta kempen menderma untuk tabung anak yatim. Pastikan anda terlibat secara aktif di dalam kempen yang melibatkan masyarakat setempat. Pastikan juga yang anda menaja Tshirt yang mempunyai logo syarikat anda serta membuat press release untuk mengumumkan kempen tersebut.

15) Gunakan kajian kes : Sama seperti testimonial pelanggan, kajian kes akan menunjukkan anda sebagai pakar dan pengalaman pelanggan yang gembira dengan anda.

14) Menggunakan kaedah pemasaran yang menyeronokkan : Pasang spotlight di atas bangunan majlis perbandaran yang menunjukkan logo perniagaan anda atau berikan belon yang mempunyai loga perniagaan anda kepada kanak-kanak, ia adalah cara pemasaran yang mudah tetapi berkesan.

13) Menulis kepada akhbar tempatan : Akhbar tempatan biasanya memerlukan banyak berita tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka. Biasakan membeli akhbar tempatan serta menulis kepada editor mereka mengenai mana-mana isu yang anda boleh sumbangkan cadangan atau kepakaran.

12) Fokus untuk memperbaiki staf anda : Gunakan pihak ketiga untuk menguji dan menilai staf anda bagi memastikan yang mereka sentiasa menjaga reputasi syarikat serta memberikan yang terbaik kepada pelanggan anda.

11) Lakukan sesuatu yang orang lain tidak lakukan atau tidak dapat lakukan: Analisa pesaing anda dan perhatikan apa yang pelanggan anda perlukan tetapi tiada siapa yang berikan kepada mereka. Ia mungkin agak sukar tetapi berbaloi untuk dilakukan kerana ia akan membuatkan anda unik.

10) Pergi bercuti : Sekiranya anda bekerja 18 jam sehari, 7 hari seminggu tiap-tiap minggu bertahun-tahun lamanya, anda pasti akan ketandusan tenaga dan idea baru untuk memperbaiki perniagaan dan membuat strategi pemasaran baru. Apabila anda bercuti, anda mempunyai masa untuk melihat perniagaan anda dari perspektif yang berbeza dan biasanya anda akan mendapat lebih banyak idea untuk memperbaikinya.

9) Lancarkan publisiti tergempar : Buat sesuatu yang dapat menarik media dan orang ramai kepada anda atau perniagaan anda. Kalau boleh pastikan yang ianya ada kaitan dengan jenama anda atau perniagaan anda.

8) Gunakan forum di internet : Sekiranya anda ingin menambah database pelanggan yang datang ke laman web anda, luangkan masa 1 jam seminggu untuk menjawab emel atau soalan di forum yang ada kaitan dengan anda atau perniagaan anda.

7) Tips percuma di Facebook atau mana-mana sosial media di internet : Bersedia untuk memberikan tips percuma yang membantu orang lain tentang topik atau perkara yang ada kaitan dengan kepakaran anda. Ini membina reputasi anda dan mempromosikan perniagaan anda.

6) SMS pelanggan anda : Apa perasaan anda sekiranya setiap tahun, kedai kek berdekatan dengan rumah anda mengirimkan sms 1 hari sebelum harijadi anda dan paling awal mengucapkan selamat harijadi kepada serta menawarkan voucher diskaun pembelian kek kepada anda? Sistem SMS yang bagus seperti di www.ETSI.com.my dapat membantu anda untuk memprogramkan sistem automatik dengan nama pelanggan bagi menghantar sms dengan lebih efektif.

5) Tingkatkan imej anda, perniagaan atau kedai anda : Pelanggan suka berurusan dengan mereka yang sentiasa nampak baru, segar, terkini dan ceria.

4) Sokong Badan Kebajikan : Tuliskan di kad perniagaan serta pejabat atau perniagaan anda yang anda menyokong badan kebajikan mana serta sediakan tabung derma untuk pelanggan anda juga dapat membantu bersama-sama anda. Pelanggan suka ahli perniagaan yang pemurah.

3) Tulis dan kongsikan profil atau kisah anda : Ya, pelanggan suka mengenali latar belakang pengasas atau pemilik sesuatu perniagaan, apatah lagi anda yang mungkin pernah gagal dan hari ini lebih berjaya. Ia memberikan inspirasi dan meningkatkan nilai diri anda. Jangan fikir yang anda belum menjadi orang yang berjaya. Anda mungkin lebih berjaya daripada ramai mereka yang gagal di luar sana.

2) Emel : Mengirimkan emel kepada pelanggan anda dan memberikan panduan, tips atau memberikan perkembangan terkini tentang produk atau perkhidmatan anda akan membuatkan mereka tertunggu-tunggu berita daripada anda.

1) Sentiasa tersenyum dan teruja : Ya, ini adalah penting kerana pelanggan suka berurusan dengan mereka yang memberikan mereka tenaga positif. Pastikan anda juga boleh buat pelanggan tersenyum dan teruja selepas berjumpa dengan anda atau berurusan dengan anda. Mereka akan ingat dan kongsikan dengan orang lain secara percuma!

Tuesday, October 05, 2010

Stevia pemanis semula jadi


Antara produk yang dihasilkan berasaskan stevia.


Ramai sudah menyedari kehadiran stevia, sejenis tanaman seperti herba yang berfungsi sebagai pengganti gula kerana kemanisan semula jadinya.

Kehadiran pokok tersebut di tengah-tengah kegilaan masyarakat Malaysia kepada rasa manis melampau seakan-akan memberi khabar gembira dan mengurangkan rasa terancam kepada penyakit diabetes.

Bayangkan rakyat Malaysia yang dikatakan ‘gilakan’ kepada manisan– sumber utamanya ialah susu pekat dan gula – merupakan pengguna kelapan tertinggi di dunia dengan jumlah 46.9 kilogram perkapita pada 2005 atau 26 sudu sehari, meningkat daripada 17 sudu pada 2007.

Bagi menambah ‘kemanisan’ fakta-fakta tersebut, rakyat Malaysia merupakan pengidap diabetes keempat tertinggi di Asia yang mana jumlahnya ialah 800,000 pada 2009 dan dijangka meningkat kepada 1.3 juta pada tahun ini.

Demikian penangan gula dan manisan kepada gaya hidup rakyat Malaysia yang dilaporkan mengalami peningkatan angka masalah obesiti atau kegemukan.

Dengan angka-angka tersebut, kecenderungan pengguna kepada usaha penjagaan kesihatan terarah kepada bagaimana rasa manis dapat dikekalkan dalam hidup mereka tetapi pada masa sama, sentiasa sihat.

Tetapi adakah stevia menjadi penyelesaian terbaik ketika ini sehinggakan industri kecil dan sederhana berasaskan pokok tersebut kian bercambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Selaras dengan teori mudah perniagaan, ada permintaan maka adalah pembekal, maka stevia mula menjadi sebutan sebagai pemanis sihat.

Ketika ini, banyak pemanis tiruan berada di pasaran dengan pelbagai jenama tetapi kesangsian tetap timbul sama ada ia menyihatkan atau sebaliknya.

Bagaimanapun menurut Pegawai Penyelidik Prinsipal, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Tan Swee Lian, pada masa sama, beberapa pemanis semula jadi juga digunakan antaranya Glycyrrhin, lo han go, stevioside , periallaetin dan thaumatin turut dimanfaaatkan oleh pengguna.

Katanya, glycyrrhin diperoleh daripada akar Glycyrrhiza Glabra, lo han go (buah Siratia Grosvenorii) manakala stevioside (daun stevia iaitu Stevia Rebaudiana), perillartin (Perilla frutescens) dan thaumatin daripada buah ajaib atau nama saintifiknya Thaumatoccus Danielli.

“Hanya stevia dan thaumatoccus yang boleh tumbuh di negara ini manakala yang lain adalah tumbuhan beriklim sederhana,'' ujar beliau.

Katanya, oleh kerana thaumatococcus yang diuji pada oleh MARDI pada 1980-an menunjukkan hasil yang rendah, maka kajian kini tertumpu kepada stevia.

Masalahnya ialah, harga untuk mengeluarkan stevia di ladang di negara ini lebih tinggi berbanding mengimportnya.

Stevia merupakan sumber pemanis semulajadi dan menyihatkan kerana tidak mengandungi kalori dan sesuai untuk mengurangkan berat badan.

Gula pemanis sihat itu lebih manis sehingga 250 kali ke 300 kali berbanding gula biasa.

Disebabkan pengetahuan baru rakyat Malaysia berkenaan stevia dan pada masa sama kesedaran penjagaan kesihatan semakin meningkat, permintaan kepada pemanis semula jadi itu semakin ketara.

Dengan permintaan yang meningkat, ramai pengusaha telah muncul menawarkan produk masing-masing tetapi yang menjadi masalah ialah bekalan yang sukar diperoleh.

Ini mendorong kepada usaha penanaman sendiri untuk menampung bekalan supaya tidak terputus.

Meskipun belum ada usaha penanaman sendiri secara komersial, setakat ini, terdapat beberapa syarikat yang terlibat dalam pemprosesan yang mengeluarkan produk berasaskan stevia.

Beliau belum lagi menggalakkan pengusaha menanam sendiri buat masa ini memandangkan kajian mengenainya masih dijalankan.

Menurut Swee Lian, stevia ditemui oleh seorang warga Itali, Bertoni, di Paraguay di benua Amerika Selatan yang mana orang asli di negara berkenaan menggunakannya sebagai manisan pada ubatan.

“Ini bermakna mereka (Orang Asli) tidak menggunakannya secara rutin atau makanan harian.

“Oleh itu perlu ada kajian apakah kesannya jika diambil (digunakan) selalu,'' katanya.

Di Malaysia, kajian mengenai penanaman stevia telah dijalankan sejak 1970-an yang mana seorang pelajar telah berjaya memperoleh ijazah doktor falsafah. Tetapi penyelidikan lanjut mengenainya tidak dijalankan kerana kemungkinan tidak ada sokongan teknologi atau varieti baru.

Pada 1990-an, sebuah syarikat, Stevian Biotechnology mengeluarkan produk pemanis berasaskan stevia.

Syarikat tersebut yang beroperasi di bandar Enstek, Labu, Negeri Sembilan dikatakan membawa masuk 69 varieti stevia dari luar negara antaranya Rusia, Paraguay, China dan Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, sebuah syarikat lain telah mengambil alih operasinya dan banyak membawa masuk ekstrak mentah stevia berbanding penggunaan daun kering.

Pada masa sama, syarikat terbabit, Pure Circle juga pernah merancang untuk mengadakan kerjasama dengan MARDI.

Namun kata Swee Lian, pihaknya telah menghasilkan beberapa klon sendiri dan daripada itu, terdapat klon yang berpotensi untuk ditanam di negara ini.

Masalahnya kata beliau, waktu siang selama 12 jam yang terdapat di Malaysia dianggap pendek dan menyebabkan stevia cepat berbunga.

Apabila cepat berbunga, tuaian terpaksa dilakukan sedangkan ketika itu, daun mungkin sedikit dan kualiti kemanisan masih rendah.

Apabila cepat berbunga, pertumbuhan tampang berhenti dan ini menjadikan tumbesarannya terbantut.

Proses berbunga boleh berlaku sekerap sebulan sekali dan ini tidak sesuai kerana ini bermakna perlu menuai sangat kerap. Tambahan pula kos operasi meningkat kerana penggunaan tenaga buruh meningkat.

Di negara yang mana waktu siangnya mencapai 16 jam, pokok stevia boleh mencapai ketinggian sehingga dua meter manakala di negara ini, ketinggian pokok stevia mencapai antara 30 dan 40 sentimeter (sm).

MARDI telah menghasilkan beberapa varieti yang ditanam di beberapa lokasi iaitu di stesen penyelidikan agensi terbabit antaranya Bukit Tangga, Telong, Kubang Keranji, Kluang, Serdang dan Pontian.

Varieti yang dihasilkan ialah MSR007, MSR012, MSR024, MSR024, MSR028 dan MSR029.

Selepas lapan penuaian, jumlah yang diperoleh ialah 11.56 tan sehektar (t/ha) dalam satu tahun berbanding di China (1.3 t/ha), Kanada (2.85 t/ha), Amerika Syarikat (3.6 t/ha), India (4 t/ha) dan Rusia (1.5- 5.5 t/ha) di mana hanya satu tuaian dilakukan.

Pada masa sama, berdasarkan data MARDI, jumlah kandungan pemanis dalam stevia stevioside amat rendah iaitu antara dua dan 4.9 peratus, rebaudioside A (0.9-4.8 peratus) berbanding di Kanada sebagai contoh sehingga 10 peratus stevioside dan rebaudioside A sehingga empat peratus.

Pada masa sama, pengeluaran benih stevia di negara ini bukan pilihan yang bagus manakala penggunaan keratan sebagai bahan tanaman menunjukkan kejayaan yang kurang memberangsangkan.

“(Setakat ini) kita tidak syorkan orang menanam, kerana perlu bersaing dari China yang mana harganya murah - hanya RM7 sekilogram daun kering.

“Pada kos tersebut, kita tidak mampu bayar kos pengeluaran,'' katanya lagi.

Beliau berkata, berdasarkan kajian awal daripada lapan atau sembilan tuaian setahun pendapatan kasar yang diperoleh ialah RM77,000 sedangkan kos mengurus ladang mencapai RM96,000 setahun.

Oleh kerana itu, kata Swee Lian, masih banyak perlu dilakukan dalam usaha menambah baik industri penanaman stevia di negara ini.

Kajian beliau bersama beberapa pakar sejak 2007 melibatkan 10 sub bidang antaranya mekanisasi, pengurusan rumpai, penyakit dan perosak, pengurusan air, agronomi dan fisiologi.

Kajian berkenaan dijangka siap seawal-awalnya tiga tahun lagi yang mana satu pakej yang menguntungkan dapat dihasilkan apabila ia siap.

Setakat ini katanya, pengusaha tempatan kebanyakan mengimport dari luar negara dan antara pengeluar utama ialah China, India, Brazil, Kanada dan Rusia.

Sesetengah syarikat juga mempunyai kontrak perladangan stevia dari negara luar terutama Thailand, Vietnam, Indonesia, Laos, China dan Paraguay.

.

sumber : Utusan Malaysia Online