|
Ternakan udang galah amat sensitif tetapi mendatangkan pulangan lumayan.
|
UDANG galah atau nama saintifiknya macrobrachium rosenbergii, berada dalam keluarga palaemonidae bersifat omnivora, cenderung aktif pada waktu malam.
Ia hidup di air tawar dan air payau seperti di sungai, paya, saliran, tasik dan perairan lain yang biasanya mempunyai hubungan air dengan laut.
Udang galah boleh diternak secara sejenis atau monokultur mahu pun polikultur dengan ikan atau secara ternakan bersepadu bersama itik, lembu dan haiwan lain.
Pengurusan ternakannya mudah dan jarang diserang penyakit serta jangka masa ternakan yang agak singkat.
Bagaimanapun kini, taburannya agak terbatas di kawasan perairan yang tidak tercemar dan di kolam-kolam ternakan.
Udang galah sesuai diternak kerana mempunyai permintaan yang baik di samping harga pasarannya yang agak tinggi.
Penyediaan kolam
Di Malaysia saiz biasa kolam udang adalah antara 0.25 ekar hingga 1.5 ekar dengan kedalaman sekitar satu hingga dua meter (m).
Kolam yang terlalu cetek menyebabkan rumput dan lumut tumbuh dan menyukarkan penjaringan, manakala kolam yang terlalu dalam akan menyukarkan pengurusan.
Pengeringan
Dedahan kepada cahaya matahari terik perlu untuk membunuh pemangsa (ikan, belut, serangga) dan patogen (bakteria, kulat, parasit).
Pendedahan dasar kolam kepada udara dan cahaya matahari pula mempercepatkan proses pereputan bahan organik (najis, makanan lebih, daun, rumput dan sebagainya) yang akan menambahkan kesuburan kolam.
Jangka masa pengeringan antara satu dan dua minggu biasa dibuat, bagaimanapun ada ketikanya kolam perlu dikeringkan untuk jangka masa lebih panjang, misalnya di musim hujan atau bila kolam telah terlalu lama digunakan.
Meracun
Kolam yang tidak boleh dikeringkan perlu diracun untuk membunuh ikan liar (pemangsa). Racun organik seperti akar tuba, hampas biji teh (tea seed cake), dan daun tembakau.
Untuk membunuh ikan seperti lampam adalah sekitar 10 miligram setiap liter (mg/l) manakala bagi ikan haruan kadar sekitar 30 mg/l adalah diperlukan.
Mengapur
Kolam dikapur dengan tujuan untuk menstabilkan pH, membunuh ikan liar, menggalakkan proses salin kulit udang, meninggikan kadar pereputan bahan organik seterusnya menyuburkan kolam.
Antara jenis-jenis kapur yang terdapat di pasaran adalah kapur abu panas (quicklime - CaO) berkesan dengan cepat, jangkamasa keberkesanannya pendek.
Kapur batu putih (lime stone - Ca(CO3)), berkesan secara perlahan-lahan tetapi jangkamasa keberkesanannya panjang.
Kapur abu sejuk (slake/hydrated lime) bertindakbalas cepat dan kesannya juga cepat hilang. Cara mengapur kolam yang biasa diamalkan adalah dengan menabur rata serbuk kapur abu sejuk (hydrated) di permukaan dalam kolam kering dengan sukatan sekitar satu kilogram bagi setiap 10 meter (kg/10m).
Membaja
Kolam perlu dibaja bagi menggalakkan pertumbuhan makanan semulajadi yang berbentuk cacing, siput, lumut dan tumbuhan air.
Dua jenis baja yang biasa digunakan adalah baja organik dan baja kimia.
Najis haiwan (ayam, itik, lembu, kambing) adalah jenis baja organik yang biasa digunakan. Bagi baja kimia pula, triple super phosphate (TSP) boleh digunakan dengan kadar 3.5kg/1000m/minggu.
Pengairan
Air memasuki kolam melalui penapis halus bagi menghindari kemasukan haiwan pemangsa.
Sebaiknya udang dilepas seminggu selepas air masuk.
Kadar tukaran air terbaik untuk kolam ternakan udang adalah sekali untuk seminggu hingga dua minggu.
Kadar ini mampu menampung kepadatan ternakan sebanyak 10/m tanpa perlukan alat pengudaraan. Kadar alir air yang lebih perlahan akan menyebabkan air kolam kurang bermutu dan memerlukan alat pengudaraan.
Kadar aliran air yang sangat cepat sebaliknya membawa baja keluar kolam tanpa dapat dimanfaatkan untuk pertumbuhan makanan semulajadi udang.
Kolam udang yang tidak melakukan penukaran air memerlukan alat pengudaraan seperti kincir air (paddle wheel), penyembur angin (air blower), pemampat angin (air compressor) dan pam air bagi membantu menambah kandungan oksigen terutama waktu malam.
Pemakanan
Makanan rumusan udang galah (pellet) sesuai kerana mengandungi protein yang tinggi (30 hingga 40 peratus), mengandungi zat-zat lain yang diperlukan dan stabil dalam air.
Bagaimanapun didapati udang masih memerlukan bekalan makanan semula jadi dari kolam. Pemberian makanan adalah dua atau tiga kali sehari.
Makanan awalan (starter) diberikan untuk bulan pertama hingga kedua, diikuti dengan makanan tumbesaran (grower) bagi bulan kedua hingga keempat dan dua bulan berikutnya dengan makanan Penamat (finisher) sehingga udang dipasarkan.
Hasilkan makanan sendiri
Makanan boleh dihasilkan sendiri untuk mengurangkan kos. Bahan-bahan asas yang biasa diguna untuk membuat makanan adalah seperti tepung ikan, kulit udang, kacang soya, kacang tanah, tepung gandum, beras, ubi kayu, minyak kelapa, sawit dan minyak ikan.
Makanan sampingan seperti kopra kelapa, jagung, daging ayam atau itik, perut ayam dan hampas kacang soya juga boleh diberikan.
Bagaimanapun mutu air kolam hendaklah sentiasa dalam kawalan agar tidak terlalu subur yang memungkinkan kematian udang ternakan.
Pungutan hasil
Kadar tumbesaran individu udang berbeza bergantung kepada jantina, baka, mutu dan jumlah makanan, mutu air dan kadar pelepasan.
Penjaringan boleh dimulakan pada bulan ke empat dan diulangi tiga hingga empat minggu sekali sehingga semua udang dikeluarkan dari kolam.
Kolam kemudian dikeringkan dan rawatan kolam dilakukan. Udang yang terlalu kecil dari beberapa kolam boleh di asing dan di pindah ke satu kolam lain untuk dibesarkan.
Penyakit dan kawalan
Penyakit merupakan faktor yang membatas penghasilan udang galah.
Penyakit yang banyak menyerang udang galah adalah bintik hitam (black spot) iaitu penyakit yang disebabkan oleh bakteria sering menyerang peringkat larva tahap 4 dan 5.
Penyakit tersebut boleh dicegah melalui pengurusan air dan elakkan dari kecederaan fizikal udang, stok melebihi kadar muatan atau kekurangan makanan.
Rawatan
Rendam dalam 10 ppm asid oxolinic untuk selama sejam atau dua ppm nifurpirinol untuk 96 jam. Penyakit yang disebabkan oleh bakterial berasal dari air laut iaitu Vibro sp mempunyai simptom stres. Rawatan : Rendam dalam 11 - 13 ppm Furozolidone selama tiga hari.
sumber: Utusan Malaysia Online