Saturday, October 29, 2011

Kerani bergaji RM399 menang kuiz RM3.07 juta

SUSHIL KUMAR memegang cek bernilai AS$1 juta (RM3.07 juta) sambil bergambar bersama bintang Bollywood, Amitabh Bachchan.



NEW DELHI - Seorang kerani kerajaan dengan gaji bulanan cuma AS$130 (RM399) menjadi peserta pertama yang pernah memenangi AS$1 juta (RM3.07 juta) dalam rancangan kuiz popular di negara berkenaan.
Kemenangan Sushil Kumar dalam kuiz Who Wants to Be a Millionaire versi India menjadikannya ikon kepada jutaan belia di India yang mahu membebaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.
Kejayaan pemuda berusia 26 tahun yang berasal dari pedalaman negeri Bihar, timur India itu mirip plot filem popular 2008, Slumdog Millionaire.
Filem tersebut yang memenangi beberapa anugerah Oscar, mengisahkan tentang seorang pemuda miskin yang menjadi kaya selepas memenangi kuiz berkenaan.
Kumar dan isteri yang baru lima bulan dikahwininya menangis semasa hos rancangan itu, Amitabh Bachchan, menyerahkan cek AS$1 juta kepada mereka selepas dia berjaya menjawab semua soalan dengan betul.
"Anda mencipta sejarah. Kecekalan dan keazaman anda membolehkan anda pergi begitu jauh dalam program ini," kata Bachchan.
Program yang dirakam pada Selasa lepas itu akan ditayangkan di India pada minggu depan.
Bercakap mengenai kemenangannya, Kumar berkata, dia terpaksa menonton rancangan kuiz itu di rumah jiran kerana tidak mampu membeli set televisyen.
Menurutnya, dia akan menggunakan sebahagian wang kemenangan tersebut untuk menduduki peperiksaan pentadbiran awam bagi menjamin masa depan yang lebih cerah.
Sebahagian lagi wang tersebut akan digunakan untuk membeli kediaman baharu buat isterinya, membayar semua hutang ibu bapanya dan dijadikan modal untuk adik-beradiknya membuka perniagaan kecil. - AP
sumber: kosmo!

Sunday, October 16, 2011

Berjaya tanpa bantuan

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH







BAK kata orang di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalannya. Begitulah juga dengan Mistinah Sanduan, 57, yang mengusahakan pelbagai jenis biskut dan kerepek di rumahnya.

Segalanya bermula pada 1990 dengan berbekal wang RM250, Mistinah membeli barangan seperti ketuhar, kuali serta bahan-bahan mentah untuk membuat biskut menjelang musim perayaan.

“Daripada jumlah wang itulah segalanya berkembang menjadi seperti sekarang,” katanya semasa ditemui di premisnya di Kimpalan Kreatif Peket 100 Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor.

Mistinah yang telah lebih 20 tahun mengusahakan pelbagai produk industri asas tani seperti kerepek pisang tanduk, abu dan awak, kerepek bawang dan lima jenis biskut iaitu mama carrie, semperit, almond london, tart nanas dan biskut aiskrim dengan jenama Miscookies sempena nama Mistinah.

Beliau banyak dibantu oleh anaknya Khairul Azman Abdullah, 30, yang bertindak mengurus, merancang dan mencari bahan mentah bagi pembuatan kuih-muih dan kerepek terutama semasa musim perayaan.

Biarpun telah lebih 20 tahun mengusahakan produk industri asas tani, Mistinah masih menggunakan modal sendiri selain bantuan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Jabatan Pertanian.

“Selama ini kami tidak pernah mendapat apa-apa bantuan atau pinjaman daripada mana-mana pihak.

“Segalanya kami beli sendiri daripada keuntungan yang didapati,” katanya yang membeli sendiri ketuhar, mesin mengadun tepung, mesin menghiris pisang dan pelbagai jenis mesin bagi memudahkan tugasnya.

Bagaimanapun menjelang musim perayaan, Mistinah sedikit mengeluh kerana memerlukan modal yang banyak dan peralatan bagi menyediakan pelbagai produk untuk dipasarkan.

Buat masa ini produknya hanya dihantar ke Pasar Jawa Klang dan Pasar Borong Meru.

Ditanya mengenai sambutan yang diterima, Mistinah berkata, pelanggan memberikan maklum balas yang cukup memberangsangkan.

“Malah ada kalanya pengeluaran kerepek pisang yang boleh mencecah sehingga 300 kilogram sehari tidak dapat menampung permintaan yang semakin meningkat.

“Buat masa ini kami menghantar produk dua kali seminggu ke Pasar Jawa Klang dan Pasar Borong Meru selain ke kedai-kedai runcit berhampiran,” katanya.

Justeru menjalang musim perayaan, Mistinah menggaji 20 orang pekerja berbanding hanya lapan orang semasa hari biasa.

Ditanya mengenai harapan masa depan, Mistinah menjawab, beliau sentiasa berharap bisnes yang akan diwarisi anak-anaknya terus berkembang.

“Saya berharap satu hari nanti jenama Miscookies akan dikenali ramai bukan hanya di Klang tetapi juga di tempat lain,” katanya.

Pembaca yang berminat dengan produk Miscookies boleh menghubungi 012-6835355 atau 03-32242332.

sumber: utusan malaysia

Friday, October 14, 2011

3 Strategi Perniagaan Steve Jobs


Oleh: Irfan Khairi
 
 
1. Fikir berbeza
Slogan apple satu masa dulu adalah "Think Different". Slogan yang begitu simple, tetapi memberi makna yang hebat. 
 
Dalam perniagaan, kita perlu ciptakan perbezaan dalam perniagaan kita. Kita tidak boleh lakukan perkara yang sama dengan pesaing kita oleh kerana, ia tidak dapat membezakan kita dan pesaing. Untuk mendapat pasaran perniagaan yang lebih besar, cari kelainan dan ciptakan perbezaan untuk perniagaan kita. Sama ada pada harga, pada kualiti, pada kecepatan, pada perkhdmatan, pada rekabentuk dan sebagainya.
 
Apple berjaya mencipta kelainan daripada pesaing-pesaing oleh kerana menitik berat aspek kualiti dan rekabentuk gajet yang unik dan cantik seperti iPad, iPod, iPhone dan sebagainya!
 
2. Komunikasi dalam perniagaan
Steve Jobs bukan sahaja pakar dalam bidang perniagaan, tetapi juga pakar dalam bidang komunikasi. Setiap kali pelancaran produk Apple, Steve Jobs akan turun padang dan memberi persembahan/talk ringkas mengenai produk terbarunya. 
 
Steve Jobs sering mendapat pujian dari segi komunikasinya yang amat mudah dan boleh mencapai pelbagai usia dan latar belakang. Dalam perniagaan, komunikasi adalah amat penting, hinggakan kejayaan sesuatu perniagaan bergantung kepada komunikasi yang efektif.
 
Untuk berjaya, kita perlu tahu produk dan perkhidmatan kita secara meneyluruh dan boleh menyampaikannya kepada orang lain dengan mudah, bertenaga, dan penuh passion!
 
3. Keep it simple
Permudahkan perniagaan kita. Steve Jobs menekankan 'simplicity' dalam hidupnya, bukan sahaja dalam produk-produk yang dihasilkan oleh Apple yang menggunakan konsep minimalis, tetapi juga dalam hidup harian dirumahnya dilaporkan menggunakan konsep Zen dan tidak mempunyai banyak perabot!
 
Dari segi perniagaan, dengan memudahkan segala urusan - jual beli, rekacipta, laman web, pemasaran, dan lain-lain, ia juga memudahkan pelanggan. Dengan menggunakan konsep 'simple', dalam perniagaan, ia dapat menarik lebih ramai pengguna dari berbagai lapisan masyarakat! Permudahkan urusan perniagaan anda dalam pelbagai aspek.
 
Mudah idea -idea ini dapat membantu anda dalam perniagaan anda.
 

Monday, October 10, 2011

Industri kerepek terus berkembang


PEMBUATAN kerepek dan kudapan tradisional kini pesat berkembang dengan nilai jualan mencapai lebih RM150 juta sepanjang tahun lepas.

Sebut sahaja apa jenis kerepek sama ada ubi kayu, pisang, keledek, bawang, ubi pedas, ubi masin, pisang atau rempeyek, jarang lagi yang tidak dapat membayangkannya.

Malah ketika menonton televisyen atau bersembang minum petang bersama keluarga pun kerepek menjadi antara hidangan ringan.

Kalau suatu ketika dahulu produk kampung ini kelihatan comot tetapi kini sudah menyamai standard kudapan antarabangsa daripada segi kepelbagaian rasa, kesetaraan bentuk, saiz dan pembungkusannya.

Menurut data Pertumbuhan Industri Snek Malaysia daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), kerepek adalah penyumbang jualan terbesar dalam pertumbuhan industri itu dengan sasaran jualan sebanyak RM102.1 juta.

Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin berkata, peningkatan keseluruhan jualan bagi industri kudapan Malaysia kini berada pada tahap yang amat memberangsangkan dan keadaan ini disebabkan faktor permintaan yang tinggi di pasaran.

"Permintaan yang tinggi bagi kerepek telah menyebabkan ramai pengusaha menghadapi kekurangan bahan mentah seperti ubi kayu, ubi dan pisang.

"Bagi menampung kekurangan bahan mentah untuk pemprosesan kerepek, FAMA mewujudkan sistem ladang kontrak di mana peserta digalakkan bercucuk tanam dan hasilnya nanti akan dibeli oleh FAMA," katanya.

Selain kerepek, snek buah-buahan juga dijangka meningkat jualannya iaitu sebanyak RM46.7 juta berbanding RM44.5 juta tahun lepas. Angka ini belum termasuk kudapan lain seperti muruku dan kekacang.

Beliau berkata, menerusi promosi FAMA banyak produk tempatan yang berjaya dipasarkan di peringkat antarabangsa dengan menggunakan perakuan jenama 1Malaysia Best.

Katanya, kerepek tempatan seperti kerepek ubi kayu dan pisang bukan sahaja mempunyai peminatnya tersendiri dalam kalangan warga tempatan, bahkan turut diminati di luar negara.

"Setakat ini bagi kerepek, kita dah eksport ke Brunei Darussalam dan Asia Barat. Kita juga cuba untuk memasarkan produk tempatan ini ke negara lain, tetapi kita menghadapi kekurangan bahan mentah.

"Insya-Allah kita akan cuba tingkatkan pengeluaran bahan mentah itu, supaya banyak lagi negara yang boleh kita masuki pasarannya. Sekarang ini kerepek kita yang pelbagai jenis perasa sudah pun setanding dan mengambil tempat cip kentang keluaran luar negara," katanya.

Sementara itu, Abdulah Sani Adam, 67, dari Kampung Sungai Lang, Banting, satu daerah yang terkenal dengan produk kerepeknya, berkata kerepek kini diusahakan bukan lagi di rumah tetapi di kilang milik pengusahanya.

"Kini sebab dah terkenal, pakcik tengok bila nak dekat musim raya saja, mesti ramai datang ke Banting nak beli kerepek," katanya,

Industri snek ini dalam caranya tersendiri membantu menggerakkan ekonomi luar bandar dan meningkatkan pendapatan penduduk, yang tidak kurang banyaknya berusaha secara berkelompok di bawah projek Satu Industri Satu Kampung.

Sementara itu, Mohd Afiq Mohd Zain, 25, yang bekerja di kedai kerepek di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini berkata, sambutan meningkat masyarakat terhadap kerepek menyebabkan tuan kedainya memutuskan untuk terus berniaga di situ untuk tahun keempat.

"Saya di sini berniaga dah empat tahun iaitu ketika musim perayaan. Harga jualan kita masih lagi sama iaitu pada RM8, RM10 dan RM15 mengikut jenis kerepek. Jualan kita tak pernah tak habis. Setiap tahun kita berniaga, memang habis kerepek kita," katanya. - BERNAMA

Sunday, October 09, 2011

Sabah berpotensi keluar sarang walit

Sabah berpotensi menjadi pengeluar utama sarang burung walit (EBN) di negara ini. 

Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Rimaforce Sdn Bhd, Dr Faiz Hashim berkata, keyakinan itu berdasarkan beberapa faktor termasuk suasana alam sekitar yang belum tercemar dan kehadiran pelbagai spesies burung walit di negeri ini. 

“Di Sabah, terdapat empat spesies burung walit dan tiga daripadanya menghasilkan EBN yang bermutu tinggi dan apabila diproses, ianya amat sesuai untuk dijadikan minuman kesihatan. 

“Ini satu kelebihan bagi Sabah apatah lagi dengan keadaan alam sekitar yang tidak tercemar dan suasana indah yang kondusif untuk industri sarang burung walit berkembang,” katanya selepas majlis perasmian Kursus Keusahawanan EBN yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutit Rimaforce Sdn Bhd Datuk Seri Jenar Lamdah di Kota Kinabalu, semalam yang disertai 50 peserta dari seluruh Sabah. -Bernama

Friday, October 07, 2011

Dunia sanjung Jobs

SEORANG lelaki meletakkan epal di foto Steve Jobs sebagai penghormatan terakhir kepada pengasas bersama Apple.
SEORANG lelaki meletakkan epal di foto Steve Jobs sebagai penghormatan terakhir kepada pengasas bersama Apple.
Pengasas bersama Apple diberi pengiktirafan terakhir 

CALIFORNIA: Pemimpin, pakar teknologi dan orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada pengasas bersama Apple, Steve Jobs, yang meninggal dunia kelmarin pada usia 56 tahun kerana barah pankreas.
Presiden Barack Obama menyifatkan tokoh yang memberikan Mac, iPod dan iPhone kepada dunia itu sebagai ‘antara pencipta paling hebat Amerika Syarikat.’
Lembaga pengarah Apple ketika mengumumkan kematian bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) itu dalam satu kenyataan ringkas berkata: “Kami amat sedih untuk mengumumkan kematian Steve Jobs. Kepintaran, kesungguhan dan tenaga Jobs adalah sumber inovasi tidak terkira yang memperkaya dan memperbaiki kehidupan kita. Dunia lebih baik kerana Steve.” 

Penghargaan diberi dari seluruh dunia untuk Jobs, manakala peminat Apple membanjiri laman rangkaian sosial untuk meluahkan kesedihan mereka berikutan kematian lelaki yang membantu meletakkan komputer mini berbentuk telefon dalam berjuta poket. 

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, berkata: “Apple kehilangan genius yang kreatif dan dunia kehilangan seorang manusia mengagumkan. Kami yang cukup bertuah mengenali dan bekerja dengan Jobs kehilangan seorang rakan baik dan mentor.” 

Jobs yang bercuti atas sebab kesihatan Januari lalu, meletak jawatan sebagai CEO Apple, bulan lalu, menyerahkan tugasnya kepada Cook tetapi kekal sebagai pengerusi syarikat itu. 
Dalam ucapan penghargaannya, Obama berkata dunia kehilangan seorang tokoh hebat. 

“Mungkin tiada kata-kata lebih hebat untuk bercakap mengenai kejayaan Jobs berbanding hakikat dunia mendengar kematiannya menerusi alat yang dicipta.” 

Pengerusi dan pengasas bersama Microsoft, Bill Gates, memberikan penghargaan kepada lelaki yang pernah menjadi pesaingnya. 

“Jobs dan saya berjumpa buat kali pertama hampir 30 tahun lalu dan sejak itu kami menjadi rakan sekerja, pesaing dan rakan lebih separuh hayat kami. 

“ Dunia jarang menyaksikan seseorang yang memberikan impak seperti diberikan Jobs, kesan yang akan dirasakan untuk generasi akan datang. Bagi kami yang cukup bertuah dapat bekerja dengannya, ia satu penghargaan amat besar,” katanya. 

Sementara itu, CEO News Corporation, Rupert Murdoch, berkata: “Kita kehilangan seorang pemikir paling berpengaruh, pencipta dan usahawan sepanjang masa. Steve Jobs adalah CEO paling hebat generasinya. 

Pengasas laman web sosial Facebook, Mark Zuckerberg, berkata Jobs lebih daripada sekadar seorang pencipta baginya. 

“Jobs, terima kasih kerana menjadi mentor dan rakan. Terima kasih kerana menunjukkan apa yang anda cipta boleh mengubah dunia. Saya akan merindui anda,” katanya. – Agensi