Tuesday, January 24, 2012

Tanaman kacang soya


KACANG soya (soya bean) dengan nama saintifik Glycine max dari famili Leguminosae berasal dari Asia Timur tetapi pengeluaran sekarang sebanyak 55 peratus adalah dari Amerika Syarikat.

Pokok kacang soya yang matang setinggi 60 sentimeter (sm) akan mengeluarkan bunga berbentuk rama-rama berwarna ungu dan keluar di bawah ketiak daun antara 31 dan 40 hari selepas ditanam.

Lenggai kacang soya berbeza dengan bagai sumber makanan manusia dan ternakan kerana mengandungi protein yang tinggi.

Di Malaysia kacang soya banyak digunakan dalam pembuatan kicap, tempe, air soya dan sebagainya. Ia juga boleh diproses menjadi minyak, kosmetik, sabun dan produk pengilangan yang lain. Antara varieti kacang soya yang sesuai ditanam di Malaysia adalah varieti dari Taiwan sepertiPalmetto dan NK3 di samping Improved Pelican, Bossier dan Hardee.


Penanaman


Penyediaan tanah

* Kacang soya sesuai pada tanah peroi yang mengandungi bahan organik yang tinggi.
* Saliran mestilah baik untuk mengelak dari air bertakung.
* pH tanah yang sesuai adalah di antara 5.5 dan 6.5
* Tanah perlu dibajak dengan bajak piring untuk membalik-balikan tanah untuk menghapuskan rumpai dan menambah bahan organik. Ia diikuti dengan bajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang gembur.
* Pengapuran perlu bagi tanah yang berasid dan dijalankan dua atau tiga bulan bulan sebelum menanam.
Kadar biji benih dan jarak tanaman
* Kadar biji benih yang disyorkan adalah 50kg/ha. Biji benih perlu dirawat dengan racun kulat sebelum ditanam dan disuntik dengan Rhizobium japonicum iaitu dengan mencampurkan 10gram rhizobium dengan 250 ml air bersih untuk setiap 10 kg biji benih.
* Jarak tanaman yang sesuai adalah 102sm x 2.5 sm atau 46 sm x 15 sm atau 66sm x 10sm mengikut kesuburan tanah dan varieti kacang soya.
* Tanam satu atau dua biji selubang sedalam satu hingga tiga sentimeter (sm).
* Biji benih boleh juga ditabur secara berselerak (broadcasting).

Pembajaan

* Kadar pembajaan yang biasa adalah 20N:41P2O5:41K2O kg/ha bergantung kepada kesuburan tanah, jarak tanaman dan keadaan tanah.
Pengawalan rumpai
* Racun rumpai pracambah seperti Lasso boleh digunakan sebelum menanam.
* Kawalan rumpai secara manual dijalankan 1 -2 kali sebelum pokok berbunga.

Kawalan perosak dan penyakit

* Lalat kacang Melanagromyza sojae boleh dikawal dengan racun serangga yang bersesuaian.
* Perosak lenggai, Etella zinckenella juga boleh dikawal dengan racun serangga Diazinon.
* Penyakit daun disebabkan oleh Fusarium sp. , dan Cercospora sp. boleh dikawal dengan racun kulat seperti Maneb, Zineb dan Manzeb.
* Penyakit reput lenggai disebabkan oleh Collectrichum sp. boleh dikawal dengan mengelakkan masa matang terjadi pada musim hujan.

Pemungutan hasil

* Hasil kacang soya boleh dipetik apabila lenggai bertukar warna kekuningan iaitu selepas 79-110 hari ditanam.
* Anggaran hasil adalah 2.2 tan/ha. -utusan malaysia

Wednesday, January 18, 2012

Usahawan muda berkemahiran, berilmu


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) diberi penerangan mengenai produk yang dihasilkan oleh peserta lepasan PBU sambil diperhatikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (kanan).


BIDANG keusahawanan terbukti mampu memberikan pulangan lumayan kepada mereka yang menceburinya.
Namun, rata-rata masyarakat masa kini kurang yakin terhadap bidang ini di samping tidak mempunyai ilmu yang lengkap mengenainya.

Ada yang berminat tetapi ilmu tidak cukup. Ada pula terpaksa berputus asa berhenti separuh jalan gara-gara ketiadaan pengalaman.

Sebab itu Jabatan Pertanian merintis jalan membuka peluang kepada golongan belia dan beliawanis menceburkan diri dalam bidang perniagaan melalui Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan.

Menurut Timbalan Pengarah, Seksyen Industri Asas Tani, Bahagian Pengembangan Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Faridah Aini Muhammad, kursus tersebut diperkenalkan mulai 2002.

"Ia bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mempunyai kemahiran teknikal dan keusahawanan.
"Ia juga bertujuan untuk mendidik mereka agar berupaya menguruskan perusahaan makanan berasaskan pertanian secara serius bagi memenuhi permintaan makanan berproses yang semakin meningkat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Bimbingan Usahawan (PBU) di Serdang, Selangor baru-baru ini.
Jelas Faridah Aini, kursus tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik pemprosesan produk makanan dengan memberi penekanan kepada aspek Amalan Kebersihan Yang Baik (GHP) dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).

Ia bagi menjamin tahap keselamatan produk yang dihasilkan yang merupakan prasyarat kepada Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

Antara yang dipelajari adalah pelbagai produk sejuk beku seperti karipap, roti canai, donat, kuih kasturi, roti bom dan produk bakeri seperti roti, kek, pastri serta biskut.

Selain itu, peserta juga berpeluang mempelajari cara menghasilkan produk berasaskan buah-buahan antaranya kelapa seperti kerisik, santan, dodol, seri kaya, biskut kelapa, pes rendang dan gula-gula kelapa.

Terdapat juga pelbagai produk hasilan buah-buahan seperti jem buah-buahan, kordial, puri, ban, kek buah, buah bersalut serta pelbagai produk makanan ringan seperti kacang bersalut, buah rotan, kuih tiram dan popia mini.

"Untuk melengkapkan kemahiran pengurusan dan jaminan ke atas produk proses yang dihasilkan, peserta turut dilatih dalam aspek keusahawanan.

"Ia meliputi aspek pengurusan perniagaan dalam skala yang kecil, pengurusan kewangan, pemasaran, keupayaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan penyediaan rancangan perniagaan yang betul," katanya.

Jangkamasa kursus ialah enam bulan. Sesi seterusnya dijangka berlangsung pada Mei hingga November tahun ini.

Program tersebut melibatkan pelbagai aktiviti dan terbahagi kepada lima modul utama iaitu empat minggu pertama peserta akan dikumpulkan di PBU di Serdang, Selangor.

Kemudian peserta akan di hantar ke PBU yang terdapat di seluruh negara mengikut kursus yang ditawarkan bagi menjalani modul amali, kelas serta latihan amali selama lapan minggu.

Setelah menjalani pelbagai teori, kelas serta praktikal, peserta akan diberi peluang melaksanakan projek usahawan secara berkumpulan di PBU masing-masing selama lapan minggu juga.

Menurut Faridah Aini, apa yang menarik. peserta bebas menentukan produk dan kaedah perniagaan yang ingin diusahakan.

"Mereka akan diberikan modal permulaan membabitkan bahan mentah, peralatan dan khidmat nasihat kemudian akan mula menjual serta memasarkan produk mereka secara sendiri.

''Biarpun mereka akan bergerak sendiri namun perjalanan projek tetap akan dipantau oleh pegawai jabatan bagi memastikan ia berjalan lancar," katanya.

Peserta juga bebas untuk menentukan lokasi jualan. Malah jika ingin mendapatkan keuntungan lebih peserta juga boleh menggunakan segala peralatan di PBU masing-masing pada bila-bila masa.

Malah, keuntungan yang diperoleh semasa menjalankan projek praktikal tersebut boleh diambil oleh peserta untuk kegunaan mereka sama ada sebagai simpanan mahupun sebagai modal untuk memulakan perniagaan apabila tamat berkursus.

"Biarpun ia hanya merupakan projek berkumpulan ketika berkursus, namun ada kumpulan peserta sebelum ini pernah mencatatkan keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit biarpun hanya dalam masa dua bulan (lapan minggu projek) sahaja.

"Malah, ada di antara mereka sendiri tidak mempercayai dengan pulangan lumayan yang mereka peroleh," katanya.
Setelah berjaya menjalankan projek berkumpulan tersebut selama satu minggu, peserta akan diperkenalkan bersama pihak swasta, syarikat serta agensi yang berkaitan perniagaan serta keusahawanan.

Ia bertujuan untuk memberi gambaran yang lebih jelas tentang perjalanan sektor keusahawan secara realiti dan hands on.

Pada minggu akhir ini juga turut diadakan pertandingan mencipta resipi dan majlis penyampaian sijil.

Tambah Faridah Aini, sejak kursus tersebut diwujudkan sambutan orang ramai adalah amat menggalakkan.

"Kadang-kala untuk satu-satu sesi kita menerima sehingga 300 permohonan namun hanya terdapat 70 atau kurang kekosongan yang boleh diberikan.

"Justeru kita perlu melaksanakan temuduga dan memilih mereka yang benar-benar berminat untuk menjadi usahawan, ini kerana kos yang ditanggung kerajaan untuk melaksanakan kursus ini juga amat tinggi," katanya.

Jelas Faridah Aini, kos bagi seorang peserta mampu mencecah sehingga RM10,000 atau pun lebih bagi satu-satu sesi selama enam bulan.

Bagi keseluruhan kursus, Jabatan Pertanian membelanjakan jutaan ringgit.

"Justeru, bagi pihak kami, pemilihan adalah berdasarkan kepada mereka yang menunjukkan minat yang mendalam didalam bidang ini serta berpotensi untuk menjadi usahawan apabila tamat berkursus.

"Semuanya telah tersedia secara percuma, terpulang kepada mereka-mereka yang benar-benar berminat untuk menyertainya serta bercita-cita untuk menjadi usahawan berjaya," katanya. -Utusan Malaysia

T-shirt Angry Bird terbaru






Harga?

RM35 untuk saiz dewasa
RM28 untuk saiz kanak-kanak

tambahan RM7 untuk kos penghantaran.

Sila sms saya di 019-7589774 untuk tempahan dan langkah pembayaran. Sebutkan kod yang anda minati.
Bertindaklah sekarang!

Tuesday, January 10, 2012

Baja EM kajian sendiri



Zamani Mohd. Noor kini boleh berbangga dengan kejayaan menghasilkan baja organik sendiri.


Bermula dengan hobi berkebun, Zamani Mohd. Noor sentiasa mencari yang terbaik untuk meningkatkan produktiviti tanamannya.

Mana saja baja yang dikatakan berkesan pasti dia akan membeli dan mencuba pada tanamannya.

Bagaimanapun kesukaran mencari baja yang berkesan, baik serta sesuai bagi pertanian mendorong Zamani menjalankan kajian sendiri.

"Memang sukar mencari baja yang menepati keperluan tanaman saya ketika.

"Bukan semua baja dapat menyuburkan tanah dan dalam masa yang sama mengelakkan jangkitan pada tanaman," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Wangsa Biz Avenue, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biasanya ukuran baja menggunakan rujukan nitrogen, fosforus, kalium atau NPK dan biasanya baja kimia mempunyai nisbah NPK yang tinggi.

Bagaimanapun kebanyakan baja yang ada di pasaran seperti tidak mampu mengeluarkan hasil yang tinggi.

Malah penggunaan baja kimia secara berterusan dan berlebihan boleh menyebabkan tanah 'mati' dan perlu dipulihkan semula.

"Tanah yang telah mati mengambil masa hampir tiga tahun untuk dipulihkan dengan memelihara koloni cacing yang berfaedah dalam pertanian," katanya.

Justeru pada tahun 2007, Zamani menjalankan kajian mengenai baja yang menggunakan mikrob yang berfaedah (EM).

Minatnya terhadap baja mendorong Zamani membangunkan Suzahara Ventures Sdn. Bhd. bagi memasarkan produk bajanya.

"Bagi memastikan produk baja kami berkesan, kami bekerjasama dengan BIFA Farm yang menanam pelbagai tanaman di tanah seluas 1,000 hektar di Bandar Muadzam dan Rompin Pahang serta Kota Tinggi dan Gelang Patah di Johor," katanya.

Buat masa ini, pelanggan tetap Suzahara Ventures adalah PPK Johor.

Mempunyai kilang di Gelang Patah, Johor ia berupaya mengeluarkan sehingga 10 hingga 12 tan baja setahun.

"Kami sedang merancang meluaskan lagi operasi dengan membina sebuah lagi kilang di Kempas, Johor bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Zamani berkata, kelebihan baja Suku Bumi keluaran Suhazara adalah pokok cepat berbuah.

Misalnya pokok durian belanda yang biasanya berbuah apabila mencapai usia 18 bulan, telah mula mengeluarkan bunga pada bulan ke lapan.

"Ketika itu kami yang tidak mempunyai cukup pekerja terpaksa memetik buah yang masak untuk dijadikan puree," katanya.

Selain itu Zamani berkata pihaknya juga memasarkan jus limau kasturi yang sesuai untuk masakan dan minuman.
Mereka yang berminat mengetahui mengenai baja Suku Bumi boleh menghubungi Suzahara Ventures di http://suzahara.blogspot.com/ atau menghubungi 03-4142 4140/4450/4453. -utusan malaysia