Friday, February 24, 2012

Tinggalkan kerja makan gaji bekal benih




Ismail Abdullah menunjukkan anak ikan puyu dari kolam kuarantin yang sedia untuk dipasarkan.


JIKA dahulu beliau bekerja makan gaji di sebuah syarikat elektronik namun kini tidak lagi. Selain mampu tersenyum bangga dengan hasil usaha yang baru mencecah tiga tahun, syarikat Aquaculture Resource Centre (ARC) yang dibangunkan bersama rakan kongsinya kian dikenali ramai sebagai pembekal benih ikan yang berkualiti tinggi.

Semuanya bermula apabila hati anak muda bernama Mohd. Hafiz Nordin terdetik untuk terjun ke bidang akuakultur apabila melihat peluang bidang tersebut amat luas selain memiliki permintaan yang tinggi.

Baginya bekerja makan gaji di kilang tidak dapat memberi kepuasan sebenar berikutan prestasi sesebuah kilang kadang kala mengikut pasang surutnya ekonomi dunia.

"Saya nekad untuk mengusahakan bidang ternakan ikan yang saya lihat mempunyai potensi yang lebih besar daripada kerja makan gaji.

"Pastinya produk yang berasaskan makanan tidak akan surut permintaannya kerana semua orang memerlukannya dan ia adalah permintaan sepanjang masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kolam asuhan atau kuarantin di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Jelas Mohd Hafiz, ARC bermula secara rasminya tiga tahun lepas namun operasi penternakan dan pembenihan ikan telah lama dijalankan secara kecil-kecilan melalui bantuan kewangan daripada bapanya.

"Semasa menyertai pelbagai kursus dan latihan mengenai penternakan ikan air tawar ini saya bertemu dengan rakan kongsi dan di sinilah bermulanya penubuhan ARC," ujarnya.

Terdapat empat individu yang bertanggungjawab memastikan ARC beroperasi dengan lancar.

Mereka adalah Mohd. Hafiz sendiri sebagai pengurus, seorang pengurus pemasaran, seorang pakar pembenihan ikan dan seorang lagi adalah penyumbang bantuan kewangan.

Ketika ditanya mengapa memilih mengusahakan benih ikan, Mohd. Hafiz berkata ia berdasarkan permintaan yang tinggi untuk produk tersebut di pasaran kini.

Katanya, penternak ikan sama ada sangkar mahu pun kolam sememangnya ramai namun pembekal benih ikan amat kurang terutamanya dalam kalangan bumiputra.

"Justeru saya membuat kajian serta menyertai mana-mana seminar dan kursus untuk melakukan pembenihan ikan.

"Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk menghasilkan benih ikan yang berkualiti," katanya.

Tambah Hafiz, ramai yang mampu melakukan proses pembenihan ikan namun untuk memastikan berjaya memperolehi benih ikan yang benar-benar berkualiti adalah amat sukar.

Justeru tenaga pakar dan individu yang benar-benar berkemahiran diperlukan untuk melaksanakan tugas tersebut dan ARC dianggap bertuah kerana memiliki salah seorang daripada pakar tersebut.

Dikenali sebagai Ismail Abdullah, beliau merupakan salah seorang tenaga pakar dan pengajar yang telah berkhidmat dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dalam aktiviti pembenihan ikan hampir selama 18 tahun.

Kini Ismail bekerja untuk ARC dan beliau merupakan tonggak utama kejayaan syarikat berkenaan menghasilkan benih yang berkualiti tinggi.

Antara benih ikan utama yang disediakan oleh ARC adalah ikan puyu, keli dan patin. Namun mereka turut menyediakan benih ikan tilapia jika terdapat permintaan.

Pasaran bagi benih ikan tersebut adalah terdiri daripada pengusaha kolam ternakan di sekitar Selangor, Perak dan Pahang.

Menurut Hafiz, bagi benih ikan puyu, ia banyak dibeli oleh penternak dari Perak berikutan ikan puyu dewasa popular untuk dijadikan ikan pekasam di sana.

Manakala benih ikan keli adalah di sekitar Selangor, dan benih ikan patin sekitar Pahang.
Benih-benih ikan tersebut akan dikuarantin terlebih dahulu berdasarkan jenis anak ikan dan paling lama adalah seminggu.

Menurut Ismail, tujuan kuarantin adalah bagi mengasingkan benih ikan yang benar-benar kuat sebelum ia dijual.

"Hampir 20-50 peratus benih yang dihasilkan biasanya akan mati atau tidak menjadi justeru ia perlu dikuarantin bagi menjamin kualiti benih yang dihasilkan adalah terbaik.

"Jika tidak, pastinya pelanggan tidak akan mempercayai lagi kami kerana menjual anak benih yang tidak tahan lama malah mereka juga akan kerugian," ujarnya.

Biarpun pengeluaran anak benih ikan di ARC mencecah dua juta ekor sebulan namun ia masih tidak mampu menampung permintaan yang tinggi daripada penternak ikan air tawar.

Kini ARC hanya memiliki sebidang tanah seluas lima ekar yang menempatkan empat buah kolam dan purata pengeluaran bagi benih ikan keli adalah 500,000 ekor dan 200,000 dan 300,000 ekor bagi ikan puyu untuk sebuah kolam.

Manakala benih ikan patin dikeluarkan berdasar permintaan pelanggan.

ARC juga memiliki pelanggan tetap bagi membeli benih-benih ikan mereka dan mereka turut memperolehi pelanggan baru yang berminat setelah melihat iklan yang dipaparkan di laman web mereka.

Biarpun apa jua cabang perniagaan pastinya terdapat cabaran begitu juga bagi ARC di mana mereka masalah untuk mendapatkan kawasan yang lebih luas untuk menambah kolam pembenihan.

"Permintaan kini amat menggalakkan namun kita tidak mampu untuk memenuhi tempahan pelanggan berikutan benih yang dihasilkan adalah amat terhad.

"Oleh itu, cabaran utama ARC kini adalah untuk mendapatkan tanah seluas 30 ekar bagi menampung permintaan benih ikan daripada pelanggan kami," katanya.

Biarpun stok benih ikan ARC yang agak terhad namun ia telah pun dikenali ramai malah turut mendapat permintaan sejauh dari Sabah.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan anak benih ikan atau ingin mendapatkan khidmat nasihat atau sebarang pertanyaan anda boleh menghubungi dengan Hazarul Hafzam Mohd Zaki selaku Pengurus Pemasaran ARC di talian 010-4003600 atau melawat ke laman web ARC di www.arc.com.my.
sumber : Utusan Malaysia

Thursday, February 23, 2012

Mewujudkan lebih ramai bilionair Melayu



BEBERAPA akhbar nasional minggu lalu melaporkan senarai warga Malaysia terkaya. Laporan yang memetik artikel majalah Malaysian Business menonjolkan Robert Kuok sebagai warga Malaysia terkaya dengan nilai harta RM45.7 bilion. Kuok diikuti Ananda Krishnan dengan RM42.9 bilion milik beliau.

Daripada jumlah 10 orang terkaya dalam senarai itu terdapat cuma seorang anak Melayu, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary di tempat kelima (RM9.5 bilion). Ini bermakna, dari segi jumlah bilangan 10 bilionair terkaya, Melayu mempunyai bahagian 10 peratus. Namun, dari segi nilai kekayaan, nilai harta Syed Mokhtar cuma merupakan 6.1 peratus daripada jumlah RM155.7 bilion yang dimiliki oleh 10 bilionair terkaya di Malaysia.

Dalam senarai 40 orang warga terkaya Malaysia pula terdapat lapan orang Melayu-Muslim, iaitu cuma 20 peratus. Namun dari segi nilai harta, lapan orang Melayu- Muslim memiliki hanya RM19.9 bilion, atau 1.03 peratus daripada jumlah besar RM193.2 bilion nilai harta milik 40 warga terkaya. Jelas sekali ketinggalan dan betapa jauh terpinggirnya Melayu dalam pembahagian harta kekayaan negara berdasarkan pembahagian milik individu.

Laporan menyenaraikan individu jutawan dan bilionair terkaya menjadi satu ‘trend’ yang semakin menarik perhatian masyarakat Malaysia. Ia sebenarnya mencontohi negara kapitalis Barat, terutama Amerika Syarikat (AS), yang ghairah menjadikan jutawan dan bilionair individu sebagai ikon masyarakat menerusi senarai “Fortune 500” dan majalah Forbes.

Di Barat, khasnya di AS yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis berciri individualistik ekstrem, keghairahan menonjolkan individu terkaya sememangnya menjadi tradisi. Semua warga bisnes dan korporat akan berlumba- lumba mendapat tempat dalam senarai seperti ini. Siapa yang tidak mahu jadi kaya-raya! Memasuki dan mendapat tempat dalam senarai jutawan dan bilionair menjadi aspirasi hidup setiap warga bisnes dan korporat Amerika, iaitu dalam konteks sebuah negara sekular-materialis dengan falsafah hidup mengutamakan kebendaan. Justeru, mana-mana golongan dalam masyarakat Barat yang kecil jumlah jutawannya, akan dianggap lemah berbanding golongan lain, tidak berjaya, dipandang rendah dan disifatkan “masih belum sampai - has not arrived!”

Apakah dengan rendahnya bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim, umat Islam Malaysia harus turut memandang diri mereka kerdil, lemah dan “belum sampai” ke satu taraf ekonomi yang boleh membanggakan? Adakah kerana itu mereka ketinggalan, justeru darjat sosial mereka juga harus di pandang jauh lebih rendah daripada kaum lain?

Ada bahayanya jika kita terlalu terpengaruh dengan persepsi Barat terhadap hak milik harta kekayaan peribadi dan individualistik. Kerana persepsi ini membuat ramai Melayu memberi keutamaan kepada dasar dan strategi menambah bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim. Kesannya, ada yang akan sanggup mencipta “ bilionair segera” dengan menswasta atau “memfaraidkan” ekuiti milik GLC kepada individu.

Kerajaan juga boleh terpengaruh dengan pendekatan liberalisasi sehingga merancang untuk melepaskan pegangan dalam GLC tanpa berfikir panjang terhadap kesan sampingan yang memudaratkan kepentingan masa depan bangsa dan negara.

Apakah ada pilihan alternatif bagi Melayu- Muslim menguasai syarikat berbilion ringgit tanpa melebarkan jurang kaya-miskin, juga tanpa mengakibatkan ketidakadilan meluas yang berlaku sekiranya hak milik GLC diswastakan? Paradoks ini penting diatasi dengan penuh hikmah. Kerana, berlainan dengan nilai hidup Amerika yang berciri individualistik, masyarakat Melayu yang beragama Islam adalah berciri umat jamaah. Nilai hidup berjemaah menuntut pendekatan dasar dan strategi bercorak ijtimaai yang berupaya menggembleng tenaga dan keupayaan individu, tetapi bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Islam tidak anti kekayaan, malah kuat pro-bisnes sebagai salah satu sunnah besar Rasulullah SAW. Demikian juga, Islam tidak anti harta milik peribadi. Malah harta kekayaan peribadi dan swasta dilindungi dengan tegas oleh syarak. Masyarakat Islam Malaysia telah pun menyambut seruan ini, menjadikannya falsafah dan prinsip yang diterap ke dalam pendekatan dan strategi nasional, terutama di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jutawan individu diketengahkan, tetapi bukan dengan mengetepikan hak dan kepentingan masyarakat besar dan kepentingan jangka panjang generasi muda dan generasi akan datang.

Di sinilah letaknya rasional dan pertimbangan utama negara dalam menentukan supaya sebahagian daripada hak milik ekuiti negara dipegang oleh institusi amanah dan GLC. Perhatikan, dengan kehadiran GLC sebagai institusi amanah dari sejak DEB dilancar, kepentingan besar masyarakat Malaysia untuk semua kaum dan keturunan lebih terjamin, terlindung dan terpelihara. Hasil daripada DEB, keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial dapat kita nikmati sampai ke hari ini.

Perhatikan juga betapa hak milik GLC sebagai institusi amanah berupaya memperkasa rakyat majoriti dan membela kedudukan mereka. Kehadiran GLC besar impaknya kepada pemerkasaan ummah, sekalipun semuanya bukan milik mereka secara langsung di sisi undang-undang.

Sebagai bukti, daripada 20 syarikat tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia pada 17 Februari, 2012, 8 adalah milik GLC. Nilai pasaran modal (market capitalization) 8 syarikat ini berjumlah RM304.7 bilion, iaitu 42.9 peratus daripada jumlah nilai untuk ke 20 syarikat PLC teratas. Seterusnya, GLC seperti Johor Corporation memiliki 4 syarikat PLC dalam senarai 100 syarikat terbesar. Nilai keseluruhan syarikat PLC ini berjumlah RM13.7 bilion, iaitu memberikan kumpulan JCorp kedudukan ke 25 antara syarikat PLC di Malaysia, mengatasi syarikat Nestle Bhd. Selain itu, peranan GLC sebenarnya diiktiraf di beberapa negara lain seperti China, Singapura dan Brazil.

Majalah The Economist, The World in 2012 menyatakan nilai pasaran modal Bursa China membabitkan 80 peratus milik GLC, dan di Brazil 38 peratus. China, Singapura dan Brazil berpendirian tegas tidak menciplak sepenuhnya sistem kapitalis Barat dan sedang giat membina sistem pasaran alternatif. Kenapa pula Malaysia harus menciplak Kapitalis Barat secara membabi-buta?

Malangnya, nilai tinggi harta milik GLC sebagai institusi amanah langsung tidak diambil kira dalam senarai 40 warga terkaya Malaysia, kerana tumpuan masyarakat turut keterlaluan memberi keutamaan kepada harta milik peribadi. Seperti dinyatakan, ekuiti milik GLC dalam syarikat tersenarai melebihi 42 peratus, iaitu satu jumlah yang bukan kecil. Dalam kata lain, setelah diambil kira kepentingan nilai aset milik GLC yang mewakili semua warga negara, golongan majoriti rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya bukan dari kalangan bisnes dan korporat, termasuk golongan miskin, turut mendapat tempat dan diperkasa kedudukan ekonomi dan sosial mereka.

Justeru, kedudukan kepentingan majoriti rakyat dalam ekuiti negara yang dimiliki menerusi institusi amanah GLC wajar dan wajib dipertahankan. Alangkah baiknya, untuk memantapkan lagi kepentingan rakyat jelata supaya lestari dan kekal berpanjangan, sekiranya sebahagian daripada ekuiti amanah milik GLC ini diwakafkan di bawah kendalian institusi Waqaf Korporat! Mewakafkan sebahagian ekuiti milik GLC menepati potensi wakaf sebagai penjana pembangunan umat, di samping menjanjikan hak milik kekal berpanjangan insya Allah, sekali gus menegakkan keadilan masyarakat. Mewakafkan ekuiti sebenarnya juga merupakan langkah “penswastaan”, iaitu mengikut kaedah Islamik.dah berasaskan institusi. Ia jelas menepati seruan titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Seminar Wakaf di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara lain, Baginda berpendapat Waqaf Korporat “…adalah kaedah yang berupaya menampung lubang ketirisan yang pernah berlaku. Ia adalah jarum dan benang yang berupaya menjahit dan mencantumkan kembali DEB yang dirobek dan dikoyakkan oleh perbuatan menyimpang di masa lalu.”


PENULIS ialah Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM). - Utusan Malaysia

Wednesday, February 22, 2012

Dana khas RM50 juta untuk usahawan kecil dinamik


KUALA TERENGGANU 22 Feb. - Kerajaan menyediakan dana khas berjumlah RM50 juta bagi melaksanakan program usahawan kecil (UK) dinamik yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 usahawan dan penjaja kecil di seluruh negara.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, penyaluran dana khas tersebut diyakini dapat melahirkan usahawan dan penjaja kecil berwibawa dan berjaya.

"UK Dinamik merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan penjaja dan peniaga kecil,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian seminar UK Dinamik Mara Terengganu hari ini.

Turut hadir Pengarah Mara negeri Abdullah Mohamad.

Idris berkata, program UK Dinamik juga adalah salah satu mekanisme Mara untuk mencipta kekayaan Bumiputera dan golongan usahawan kecil perlu mempunyai iltizam untuk memajukan perniagaan mereka sendiri. - BERNAMA

Wednesday, February 15, 2012

Bila lakukan sesuatu yang ANDA TIDAK MINAT





Oleh: Irfan Khairi
 
Kalau buat perkara yang kita TAK minat...
 
  • Kalau buat perkara yang kita TAK minat...kita akan rasa cepat je mengalah. bila perniagaan tidak mendapat untung, mula kita salahkan orang lain dan salahkan keadaan. Kita akan cepat bertukar industri dan mencuba perniagaan jenis lain fikirkan, mana la tau kalau buat perniagaan lain boleh dapat duit lumayan...
  • Kalau buat perkara yang kita TAK minat...kita akan rasa bila lakukan perniagaan, lambat masa berlalu. Kita akan rasa cepat bosan dan tertunggu-tunggu bila lah hari ini akan berakhir kerana nak balik rumah untuk rehat. Perniagaan pula dilakukan dengan tidak bersungguh-sungguh...
  • Kalau buat perkara yang kita TAK minat...kita tak suka mendalami ilmu bidang tersebut. Untuk berjaya dalam perniagaan, ilmu adalah amat penting. Tetapi bila dah tak minat, pastinya kita tidak akan luangkan masa dan wang untuk membeli buku, menghadiri majlis ilmu atau bertanya mengenai perniagaan kita. Akhirnya, tanpa ilmu yang cukup, perniagaan kelaka akan gagal...
 Bila kita lakukan sesuatu yang kita minat...
 
  • Bila kita lakukan sesuatu yang kita minat... kita takkan rasa cepat sangat nak give-up. Walaupun belum mendapat keuntungan yang lumayan perniagaan kita, kita tetap gembira kerana kita lakukan apa yang kita suka!
  • Bila kita lakukan sesuatu yang kita minat... kita akan rasa cepat sahaja masa berlalu. Kalau lakukan kerja tersebut dari pagi sampai malam, terasa sekejap je. Bila tidur malam pula, rasa nak cepat je siang hari datang sebab kita dapat ulang kembali melakukan perniagaan yang benar-benar kita suka!
  • Bila kita lakukan sesuatu yang kita minat... kita suka menambahkan ilmu dalam bidang tersebut. Kita rasa seronok membaca, menghadiri majlis ilmu dan bertanya pada yang lebih pakar mengenai sesuatu perkara. Kita akan all out menambahkan ilmu dan aplikasikan ilmu yang dipelajari!
Untuk berjaya, lakukan perkara yang anda MINAT!

Monday, February 13, 2012

Dulu kerani kini tauke ayam


MENELUSURI perjalanan yang jauh berliku melalui kawasan bandar dan kampung sebelum kenderaan memasuki jalan yang agak sunyi berdebu hingga akhirnya sampai ke kawasan separa hutan serta ladang sedikit sebanyak memberi gambaran awal bahawa perusahaan ternak ayam ini tidak jauh bezanya dengan yang lain.

Namun pengusaha terbabit Soh Ah Pin, ceria menyambut kunjungan rombongan AgroBank yang tiba dengan beberapa kenderaan.

Ah Pin, 73, anak jati Segamat terus membawa tetamu ke sekitar ladang ayam yang jumlahnya ratusan ribu ekor.
Tiada bau tidak menyenangkan kerana katanya, penggunaan mikroorganisme efektif (EM) memberi kesan yang baik untuk menyerap bau dan menghindarkan lalat.

Pesara kerajaan itu pernah bertugas sebagai kerani di Majlis Daerah Labis, Johor, selama 32 tahun sebelum menceburi bidang penternakan ayam kampung kerana melihat peluang terhidang depan mata.

‘‘Berniaga tidak semestinya untung. Ibarat hendak pergi perang. Kalau pandai (berperang) kita menanglah.
‘‘Tapi kena ada ilmu untuk jadi pandai,” ujarnya ketika ditemui di ladangnya yang terletak di Labis, Segamat Johor itu.
Sambil berkongsi pengalamannya dengan ahli rombongan, dia menunjukkan cara menghalau ayam ke reban yang menurutnya ternakan itu tahu pulang ke ‘rumah’ masing-masing.

Berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau MCE ketika itu, Ah Pin berkata, selepas bersara dia ditawarkan bantuan oleh seorang kenalan dari Perak.

Pada mulanya dia menawarkan diri untuk menternak hanya 50 ekor ayam. Tetapi rakan terbabit menasihatinya supaya memulakannya 4,000 hingga 5,000 ekor.

‘‘Saya bimbang tidak ada modal kalau hendak pelihara banyak. Teknik (menternak) tidak tahu, reban pun tidak ada,” ujarnya yang memulakan projek tersebut dengan empat buah reban sahaja.

Rakan terbabit membekalkannya 4,000 ekor ayam kampung kacuk, ubat-ubatan, makanan dan pelbagai keperluan lain dengan syarat Ah Pin menjual hasil ternakan kepadanya.

Ah Pin itu merupakan satu tuah kerana dia tidak perlu menyediakan pelaburan tinggi untuk memulakan projek pada tersebut pada 1996.

Selepas satu pusingan, dia menjual sejumlah ternakan yang boleh dipasarkan pada harga RM8 hingga RM10 sekilogram dan berjaya meraih keuntungan.

Keuntungan itu digunakan untuk mengembangkan projek dengan membina lebih banyak reban.
Dia membina empat lagi reban dengan tambahan baka ayam 10,000 ekor menjadikan jumlah keseluruhan 15,000 ekor dan ketika itu jualannya mencecah RM47,000.

Tidak lama selepas itu, rakan terbabit tidak lagi membantunya dan kembali semula ke Perak, meninggalkan dia keseorangan mengurus projek berkenaan.

Katanya, dia telah memiliki tiga syarikat yang mana dua daripadanya dikongsi bersama rakan dan sebuah lagi adalah syarikat keluarga.

Syarikat terbabit ialah Sam Hup Poultry Sdn. Bhd. (SHPSB), Ladang Ayam KPM Sdn. Bhd. (LAKSB) dan Sam Yong Farming Sdn. Bhd. (SYFSB).

Katanya, LAKSB yang terletak di Sungai G merupakan perniagaan keluarga manakala SHPSB dikongsi bersama rakan.
Ladang SYFSB juga terlibat dengan penternakan kambing yang baru dimulakan dan jumlahnya kini 100 ekor pelbagai baka.

Dia yang juga pengurus dan pengarah kepada syarikat terbabit berkata, keseluruhan ternakan ayam yang dimiliki mencecah 320,000 ekor ketika ini.

Ketika ini, kos pemakanan meliputi 70 peratus daripada keseluruhan kos projek tersebut. Manakala bakinya untuk ubat-ubatan, bekalan elektrik dan kos menggaji pekerja seramai 33 orang semuanya.

Katanya, sejak memulakan projek, dia telah lapan kali memperoleh pinjaman dengan Agrobank menerusi Tabung Untuk Makanan (3F) dan kali terakhir pada 2008 sebanyak RM800,000.- Utusan Malaysia