Monday, May 28, 2012

Ladang kontrak tingkat hasil petani


Shahrom Tumiran menunjukkan buah rock melon yang sudah masak di Ladang Agrotek Sementa.

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor dan Wilayah Persekutuan menyasarkan tambahan 210 peserta yang menyertai ladang kontrak melibatkan keluasan 334 hektar di Selangor pada tahun ini.

Pengarahnya, Mansor Omar berkata, ia berikutan pencapaian memberangsangkan apabila sehingga 26 Februari lalu, seramai 765 peserta menyertai program tersebut melibatkan keluasan tanah 1,756 hektar.

Menurutnya, sasaran itu dibuat bagi membolehkan golongan terbabit meningkatkan hasil pertanian seterusnya menjual kepada FAMA untuk dipasarkan di dalam dan luar negara.

''Dengan sasaran itu, hasil pertanian pada tahun ini dijangka sebanyak 14,008 tan metrik dengan setiap peserta terbabit akan memperoleh pendapatan kasar sekitar RM2,000 sebulan," katanya kepada Mega baru-baru ini.

Mansor berkata, kebanyakan peserta yang menyertai program itu mengeluarkan buah-buahan dan sayur-sayuran seperti rock melon dan timun.

Mengulas lanjut mengenai program ladang kontrak, jelasnya, kesan yang diperoleh kepada pembeli adalah dapat menjamin bekalan yang tetap dan berkualiti dengan harga yang menarik. Manakala pembekal pula menjamin pasaran dan pulangan yang setimpal.

''Ladang Kontrak juga boleh memainkan peranan dalam menyumbang ke arah pengeluaran produk yang halal dan selamat di mana kebanyakan peserta menghantar hasil masing-masing terus kepada rangkaian pasar tani yang dikendalikan oleh FAMA untuk pasaran dalam dan luar negara," katanya.

Mengenai lambakan sayur-sayuran import di pasar tani pada masa kini, Mansor memberitahu, jumlahnya tidak begitu banyak.

Malah hasil kajian pihaknya menunjukkan sayur-sayuran itu diambil daripada pasar borong.

''Mungkin harga sayuran seperti lobak, kubis, kentang dan bawang import jauh lebih murah berbanding sayur tempatan dan penghantarannya yang konsisten tetapi kita tidak boleh memberi jaminan mengenai kesegaran dan kualitinya," katanya.

Mengenai matlamat ladang kontrak, Mansor berkata, ia untuk menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan pengusaha.

Tambahnya, secara tidak langsung ia mendorong pengeluaran dan pemasaran buah-buahan serta sayur-sayuran secara bersistematik.

''Ia sekali gus memastikan pengeluaran hasil pertanian yang berkualiti menepati kehendak pasaran dan juga meningkatkan pemindahan teknologi dalam rantaian bekalan," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan ladang kontrak menggunakan pendekatan bersepadu berkonsepkan perjanjian dimeterai bersama peserta yang mana jabatan dan agensi pertanian akan berganding bahu bermula daripada pengeluaran sehingga kepada pemasaran.

''Ini melibatkan perkhidmatan teknikal daripada Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), pembiayaan oleh pihak Agrobank dan pemasaran oleh FAMA dan agensi swasta.

''Peserta turut diberi latihan dan bimbingan di mana setiap peserta diperkenal konsep pertanian secara komersial melalui perancangan dan pelaksanaan yang sistematik," katanya.

Wednesday, May 23, 2012

Pemborong ikan usahawan keropok


Pekerja memasukkan bancuhan sata ke dalam ketuhar.

MENYEDARI produk berasaskan ikan mampu memberi pulangan berlipat kali ganda terutama jika dikomersialkan sekitar ibu kota, seorang pemborong ikan tekad meninggalkan kampung halaman untuk mencuba peluang tersebut.
Keputusan berhijrah dari Terengganu ke ibu negara pada tahun 1977 merupakan percaturan yang terpaksa diambil walaupun pada mulanya dia sendiri tidak yakin dengan tindakannya itu .

Namun bagi Wan Mohd. Yusof Ali, 59, keputusan itu merupakan antara risiko yang harus ditanggung usahawan jika berhasrat untuk memajukan perniagaan mereka.

"Jika tidak berani dan bersedia untuk menanggung risiko, sampai bila-bila pun kita tidak akan maju.

''Golongan usahawan kecil dan sederhana terutamanya akan terus ketinggalan dalam arus pemodenan negara," katanya ketika ditemui di kilang pemprosesan keropok lekor miliknya di Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman mengusahakan Twin Softa Food Enterprise (Softa), dia yang merupakan pemborong ikan di Pasar Borong Selayang mendapat idea untuk mengusahakan keropok lekor setelah menyedari lebihan ikan terpaksa dijual pada harga yang jauh lebih murah setiap hari.

Menyedari perkara tersebut akan memberi kesan negatif terhadap perniagaannya, dia mendapat idea untuk memproses lebihan ikan tersebut menjadi keropok lekor dan bercita-cita mengkomersialkan hasil keluarannya.
Pada awal pembabitan, dia mengusahakan keropok perusahaan secara kecil-kecilan di belakang rumahnya yang terletak di Kampung Semarak, Sentul bersama isteri, Che Latifah Ahmat.

Dengan modal permulaan sebanyak RM1,000 untuk membina bangsal, dia bersama isteri menghasilkan keropok lekor secara manual dan tradisional tanpa sebarang peralatan sokongan.

"Memandangkan saya berasal daripada keluarga nelayan dan kebanyakan penduduk sekitar kampung juga merupakan pengusaha keropok lekor, saya dapat ilmu pemprosesan melalui pemerhatian serta tunjuk ajar dari mereka.

"Dari situ, saya menggunakan segala ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk memproses sendiri keropok lekor.
"Sebagai permulaan, kami hanya dapat menghasilkan lima hingga 10 kilogram keropok lekor sahaja sehari satu hari," katanya ketika menceritakan pengalamannya memulakan perusahaan keropok lekor.

Oleh kerana kekangan tugas sebagai pemborong ikan, dia hanya dapat memasarkan keropok lekor keluaran syarikatnya kepada beberapa orang penjual di pasar malam sekitar Selayang.

Menyedari sambutan yang semakin menggalakkan daripada pelanggan, Wan Mohd. Yusof mengambil keputusan untuk berpindah ke sebuah lot tanah di Kampung Padang Balang, Sentul bagi memudahkan pengeluaran keropok berkenaan.

Selain penghasilan produk utama seperti keropok lekor, kini Softa sedang giat mempromosikan produk sejuk beku lain seperti sata dan otak-otak.

Menurut Wan Mohd. Yusof, kedua-dua produk tersebut dihasilkan dalam pelbagai variasi seperti inti sata dibalut kulit popia dan otak-otak tradisional yang dibungkus dalam daun pisang.

Sehingga kini, produk sejuk beku Softa telah berada di beberapa pasar raya sejuk beku sekitar Lembah Klang serta turut menjadi pemborong kepada peniaga pasar malam sekitarnya.

Mengenai perancangan memajukan rangkaian jenama Softa, Wan Mohd Yusof menjelaskan, promosi kini sedang giat dijalankan termasuk menggunakan lori bergerak ketika Festival Halal, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan sebagainya.

"Bagi memperkenalkan rangkaian produk, Softa menyertai pameran makanan halal seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), MIHAS dan sebagainya supaya orang ramai dapat mengenali produk kami dengan lebih dekat.

"Kami percaya, dengan menyertai pameran seperti itu, orang ramai dapat rasa sendiri keenakan rangkaian produk kami sekali gus akan memilih jenama ini sebagai pilihan di masa akan datang," ujarnya penuh yakin.

Ketika ditanya mengenai sumber bekalan isi ikan, dia menjelaskan, pelbagai spesies ikan terpilih digunakan bagi menyediakan keropok lekor dan produk lain.

Jelasnya bahan mentah tersebut didatangkan khas dari Besut, Terengganu dan Kedah dua kali seminggu dengan setiap bekalan sebanyak tiga tan.

Berdasarkan bekalan bahan mentah, Softa berupaya menghasilkan sehingga dua tan keropok lekor dan 30 kilogram sata setiap hari selain produk sampingan lain seperti bebola ikan.

Dengan bantuan seramai 30 orang pekerja di kilangnya yang terletak di Bukit Beruntung, kini Softa mampu memenuhi permintaan pelanggan sekitar Seremban, Melaka, Perak , Pahang dan Terengganu. -utusan malaysia

Tuesday, May 08, 2012

Nilai hasilan sarang burung

INDUSTRI sarang burung walet semakin mendapat tempat di negara ini. Potensi untuk diperluas dan diperkembangkan sangat besar.

Di peringkat global, industri berkenaan mempunyai pasaran sehingga RM10.2 bilion. Malaysia pula ketika ini menyumbang RM1.5 bilion setahun kepada perusahaan itu.

Jumlah itu melibatkan pengeluaran sarang burung walet mentah yang belum diproses dengan anggaran kos sekitar RM4,000 sekilogram (kg) dan boleh mencecah harga RM9,000 untuk setiap kg yang telah dicuci.

Melihat kelebihan itu, kini terdapat banyak syarikat tempatan mula terlibat dalam aktiviti penghasilan sarang burung dan tidak kurang juga bidang pengeluaran untuk produk hilirannya.

Ini kerana, berdasarkan kepada harganya di pasaran, nilai sarang burung walet boleh diibaratkan seperti emas.

Salah sebuah syarikat tempatan yang aktif dalam industri hiliran sarang burung walet ialah Alga Prima Sdn. Bhd. (Alga Prima) yang memberi fokus kepada aktiviti mengilang dan membekal pelbagai produk minuman berasaskan sarang burung.

Menurut Pengarah Urusannya, Mohammad Nazari Ahmad, Alga Prima bermula dengan pengeluaran produk minuman popular di kalangan orang Cina iaitu teh Oolong.

“Sehingga pada tahun 2009, hasil kajian dan penyelidikan makmal kami mendapati ramuan teh Oolong bersama sarang burung dapat menghasilkan minuman kesihatan yang kaya dengan antioksida.

“Selain teh, Alga Prima turut mengeluarkan minuman sarang burung dalam bentuk produk sedia diminum, pati dan kordial dengan formula campuran kolagen, ginseng dan herba-herba terpilih,’’ katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini.

Minuman-minuman tersebut dihasilkan melalui proses yang bersih dan halal mengikut syarat-syarat oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) bermula daripada pengeluaran bahan mentah sehingga pembungkusan, penyimpanan dan penghantaran.

Kesemua 20 kakitangan Alga Prima juga terdiri daripada mereka yang beragama Islam bagi memastikan pengguna dapat menikmati khasiat serta kebaikan minuman tersebut tanpa sebarang halangan atau keraguan.

Apa yang paling penting, proses mencuci sarang burung di syarikat itu tidak melibatkan sebarang penggunaan alkohol. Tumpuan utama diberikan terhadap penghasilan produk yang baik untuk kesihatan dan kecantikan.

Alga Prima turut membina pusat mencuci sarang burung mentah di Kulim dan Shah Alam. Kilang pembuatan produk juga terletak di Kulim, Kedah.

Ketika ini, syarikat berkenaan mampu mengeluarkan 50,000 botol minuman sarang burung sebulan selain produk sarang burung kering yang telah dicuci turut mendapat permintaan tinggi.

Untuk bahan mentah, Alga Prima banyak menjalankan kerjasama dengan pengusaha-pengusaha rumah sarang burung dari beberapa buah negeri seperi Kedah, Perlis, Selangor dan Terengganu.

“Sebenarnya, setiap rumah sarang burung mampu mengeluarkan antara dua hingga tiga kilogram sahaja sarang burung sebulan,’’ jelasnya.

Daripada sudut pasaran, Alga Prima menerima permintaan yang cukup menggalakkan dari seluruh negara selain produk mereka telah memasuki ruang niaga pasar raya besar.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga ada menerima tempahan daripada pemborong di Brunei, Singapura, China dan Dubai di samping menyedia kemudahan pembuatan untuk syarikat-syarikat luar yang berminat menjual produk berkenaan menggunakan penjenamaan sendiri.

“Tidak dinafikan memang terdapat banyak saingan dalam perniagaan produk minuman kesihatan sarang burung ini.

“Namun, pengguna perlu merasai dan menilai sendiri produk Alga Prima. Banyak pengguna yang telah mencuba memberi respons positif terhadap rasa serta khasiatnya,’’ jelasnya.

Justeru, bagi memantapkan kedudukan perniagaan mereka, Alga Prima tidak ketinggalan menyertai beberapa siri pameran bergerak seperti Festival Halal, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

Di samping itu, mereka turut menjalankan kolaborasi bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta sirim bagi mendapatkan khidmat nasihat dan sokongan.

Thursday, May 03, 2012

Mengapa perlu BLOG?


Oleh: Irfan Khairi

Mengapa blog masih lagi relevan pada zaman media sosial yang lebih aktif seperti Facebook, Twitter dan You Tube? Jom ikuti akronim B-L-O-G ;)
B - Bina Jenama
Blog amat penting dalam mebina jenama perniagaan kita. Seseorang masuk ke laman web kita sekali, dua, belum lagi akan membeli produk yang kita pasarkan. Ia memerlukan pelawat melawati laman web kita berkali-kali (5-6 kali) barulah mereka akan membeli daripada kita. Ini kerana, ia mengambil masa untuk membina kepercayaan orang ramai keatas laman kita, dan blog yang sering dikemaskini akan membina kepercayaan dan jenama perniagaan anda! ;)
blogimage.jpg
L - Letakkan imej/gambar
A picture paints a thousand words! Untuk memberi tarikan kepada blog kita, pastikan setiap posting kita mengandungi imej atau gambar (dan bukan hanya teks sahaja). Imej atau gambar pada setiap posting blog anda akan memberi tarikan untuk pelawat membaca. Satu tip tambahan, meletakkan gambar orang/manusia dapat menarik psikologi pelawat oleh kerana manusia boleh relate dengan manusia lain.
O - Optima di enjin pencari
Enjin pencari seperti Google, Yahoo atau MSN suka pada laman web yang banyak maklumat dan sering dikemaskini. Blog, boleh mengoptimakan laman web kita di enjin pencari dan membawanya ke muka hadapan enjin pencari. Segala mesej-mesej yang ditulis di blog akan diarkibkan untuk selama-lamanya- tidak kira sama ada artikel yang ditulis pada tahun 2006 (seperti di blog ini), masih lagi boleh dijumpai di enjin pencari di muka hadapan!
G - Gandakan pendapatan
Di blog, kita boleh menjana pendapatan tambahan dengan meletakkan iklanGoogle.com/adsense ataupun NuffNang.com.my. Dengan meletakkan iklan di blog kita, sambil blogging, kita boleh menjana pendapatan.Jangan lupa juga, blog merupakan platform yang amat baik untuk menjalankan perniagaan berbentuk affiliate tanpa sebarang modal!