Tuesday, June 26, 2012

Pengeluaran produk tani Negeri Sembilan membanggakan



MOHAMAD Hasan cuba mengangkat nangka gergasi seberat hampir 30 kilogram selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) peringkat negeri sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di bekas tapak Kem Paroi, Seremban, semalam.

SEREMBAN 25 Jun - Hasil pengeluaran produk tani di negeri ini membanggakan selepas langkah proaktif diambil oleh kerajaan negeri untuk memastikan pencapaian optimum.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pencapaian itu disebabkan usaha gigih pengusaha dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan yang merancakkan aktiviti masing-masing untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan import.

"Biarpun ketika ini import produk tani dari negeri lain ke sini masih berlaku, namun ia dapat dikurangkan selepas usaha yang dilakukan oleh pengusaha tempatan dipertingkatkan.

"Hasil yang dicapai itu masih di bawah permintaan dan sebab itulah galakan terus dibuat supaya rakyat membangunkan kawasan mereka sebagai 'taman hijau' untuk mengusahakan tanaman makanan," ujarnya di Paroi dekat sini hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) peringkat negeri sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di bekas tapak Kem Paroi, dekat sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Mohamad turut menyampaikan beberapa anugerah, bantuan dan pengiktirafan kepada peserta pertanian, perladangan dan penternakan pada MAHA 2012 yang bermula hari ini hingga Ahad nanti.

Katanya, terdapat tiga tindakan yang perlu dibuat semua penggiat dalam industri ini iaitu mengurangkan kos sara hidup dan kebergantungan daripada import bahan makanan dan menjadikan pertanian sebagai satu perniagaan.

Selain itu, Mohamad berkata, pengusaha juga perlu menempatkan negara mahupun negeri ini sebagai hab pertanian yang tidak mengimport sebaliknya mengeksport produk untuk keperluan luar selepas wujudnya lebihan permintaan di kalangan rakyat.

Katanya, rakyat hendaklah menjadikan kawasan terbiar sebagai ladang untuk mengeluarkan apa juga produk hasil tani.

Sehingga kini, tambahnya, terdapat lima Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan dua ladang rakyat yang telah dibangunkan di negeri ini dengan keluasan 285 hektar yang mana ia dijangka menyumbang kepada hasil pertanian sebanyak 509.5 tan dengan nilai RM2.59 juta. -Utusan

Jersey pasukan kegemaran EURO 2012 anda


GERMANY HOME
GRED ORI
SIZE S,M & L



Harga : RM60 (tidak termasuk pos)





SPAIN HOME
GRED ORI
SIZE S,M,L & XL


Harga : RM60 (tidak termasuk pos)




RUSSIA HOME

GRED ORI

SIZE S,M & L

Harga : RM60 (tidak termasuk pos)






NETHERLAND HOME
GRED ORI
SIZE S,M,L & XL


Harga : RM60 (tidak termasuk pos)









ITALY HOME
GRED ORI
SIZE L



Harga : RM60 (tidak termasuk pos)





BERITA BAIK!



Buat anda yang berminat untuk memiliki jersi yang hebat ini, boleh hubungi saya untuk pembelian secara online mahupun offline bagi yang tinggal di kawasan Johor.



019-7589774 (Nizam)

Tuesday, June 19, 2012

Panduan Penternakan Burung Puyuh


Penternakan Burung Puyuh Daging / Puyuh Telur

Sektor penternakan merupakan salah satu daripada cabang-cabang pertanian selain tanaman makanan asas, buah-buahan, perikanan dan juga akuakultur. Semua cabang dalam tersenarai dalam bidang pertanian ini secara umumnya banyak menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka dengan peningkatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Penternakan puyuh telah lama dipelihara oleh penternak puyuh tempatan dan hasil utama penternakan ini adalah telur puyuh yang telah sedia ada di pasaran tersendiri dan ia amat terhad. Harga telur puyuh di pasaran juga amat tinggi kini. Contoh:- 50 biji telur puyuh berharga sekitar RM6.80. Manakala pengeluaran daging pula adalah sampingan daripada penternakan telur puyuh ini. Harga bagi daging puyuh sekitar RM2.40 sehingga ke RM4.50.


Puyuh jantan yang tidak diperlukan untuk pengeluaran telur akan diproses dan dijual . Begitu juga puyuh-puyuh penelur yang tua akan diproses dan dijual sebagai daging puyuh. Bagi penternak khusus untuk pengeluaran daging puyuh didapati menggunakan puyuh jenis penelur. Walaupun demikian ada juga terdapat pemeliharaan dari jenis puyuh berbadan besar dari baka yang diimport.

Penternakan puyuh masih ditahap kecilan kerana ramai yang menganggap penternakan ini susah untuk mencapai ketahap komersil. Kebanyakan penternakan puyuh mengamalkan cara penternakan yang tradisional. Pembekalan anak puyuh adalah sangat terhad. Punca anak puyuh adalah samada dari ladang sendiri atau dibeli dari penternak lain yang mempunyai penternakan puyuh baka.

Kebanyakan penternak puyuh tempatan menggunakan satu jenis puyuh untuk pengeluaran telur dan daging. Penternak baka induk puyuh menggunakan sistem pembiakan kaedah pusingan dimana anak menggantikan induk. Apabila stok induk telah tua dan perlu diganti maka penternak ini akan mengambil telur-telur dari stok ini untuk ditetaskan dan kemudian dijadikan stok induk. Cara penternakan ini telah berjalan dengan lamanya dan didapati hasil pengeluaran dan prestasi puyuh semakin merosot atau tiada perubahan. Penternakan puyuh tidak memakan masa yang lama, hanya dari 1 minggu ke 6 minggu sahaja. Selepas enam minggu kita telah mendapat hasil/pulangannya.

Kos / Modal
Diperlukan untuk:-
Kos tetap iaitu Reban/bangsal, peralatan makanan & minuman, alat pemanas, kebersihan dan lain-lain.

Kos berulang: - iaitu air, makanan, gas/elektrik, ubatan dan sampingan lain (jika diperlukan)
Tidak memerlukan modal yang tinggi.

Pemakanan Puyuh
Puyuh diberi makanan dari jenis 'Quail Starter mash' atau Makanan Permulaan Puyuh. Kandungan nutrien yang disyorkan adalah seperti di Lampiran 3. Tentukan pengusaha menggunakan makanan jenis ini untuk mempastikan pembesaran yang cepat. Di lapangan banyak pengusaha puyuh pedaging tempatan tidak menggunakan makanan dari jenis ini. Makanan permulaan ayam pedaging digunakan dengan meluas bagi memberi makan puyuh pedaging. Keadaan ini berlaku kerana syarikat pembuat makanan ternakan tidak menjual makanan puyuh pedaging kerana volume yang kecil. Walaubagaimanapun pengusaha besar boleh mendapatkan makanan puyuh pedaging dengan rundingan terus kepada pengeluar makanan.

Pengurusan
Sistem pemeliharaan diatas lantai sampah sarap sekali gus masuk sekali gus keluar adalah disyorkan. Dengan sistem ini satu peringkat umur puyuh berada didalam satu bangsal. Dengan sistem ini pengurusan adalah lebih sempurna dengan kawalan penyakit yang baik. Sistem pemeliharaan menggunakan kotak kayu khas biasa digunakan oleh penternak tempatan. Anak puyuh diinduk didalam kotak perindukan dan kemudiannya dipindahkan ke kotak pembesaran yang biasanya bertingkat.

Bangsal
Keperluan bangsal adalah tertakluk kepada kumpulan ternakan atau kekerapan pengeluaran puyuh pedaging. Sebagai contoh, bagi pengusaha yang hendak mengeluarkan puyuh pedaging seminggu sekali keperluan bangsal hendaklah sekurangnya lapan. Ini berdasarkan sistem penternakan sekali gus masuk sekali gus keluar bagi setiap bangsal. Begitu juga bagi keperluan kawasan. Sais bangsal untuk memuatkan 10,000 ekor puyuh adalah 10 meter lebar x 21 meter panjang dan 3.6 meter tinggi dengan luas kawasan pemeliharaan sekor sebanyak 210 sentimeter persegi. Berikan jarak sekurangnya 15 meter antara 2 bangsal. Kawasan penternakan perlu dipagar untuk mengelakan gangguan dari ternakan atau binatang lain. Puyuh masih lagi mempunyai sifat terkejut dan 'excitability' yang boleh menjejaskan prestasi.

Bagi penternakan puyuh pedaging pada lazimnya pengusaha digalakan menjalankan aktiviti sembelihan dan menjual puyuh secara bersih proses. Dengan cara ini pengusaha diperlukan mengadakan logi pemprosesan sendiri. Logi ini hendaklah berjauhan dari kawasan penternakan. Bangunan yang diperlukan bergantung kepada jumlah pemprosesan yang hendak dijalankan. Bilik sejuk atau peti sejuk perlu diadakan untuk penyimpanan stok puyuh proses.

Struktur Industri
Dari tinjauan yang dibuat didapati struktur penternakan puyuh ini sangat kompleks. Ada terdapat beberapa kategori ladang yang terlibat dengan penternakan puyuh ini. Ada pengusaha yang terlibat dengan pengeluaran anak untuk kegunaan daging dan telur. Terdapat pengusaha yang menternak puyuh dari jenis pedaging dan penelur. Walaupun demikian pengusaha puyuh pedaging adalah tertinggi dan merupakan 60% dari jumlah penternak. Penternakan yang mempunyai baka induk dan kemudahan penetasan adalah sebanyak 30 % dari jumlah penternak. Penternak dari kategori ini berperanan membekalkan keperluan anak puyuh kepada industri. Negeri-negeri Perak dan Kelantan mempunyai bilangan pengusaha yang tertinggi.

Pecahan pengusaha mengikut sais penternakan seramai 23 % dari jumlah keseluruhan pengusaha mempunyai populasi penternakan kurang dari 1000 ekor. Saiz ladang yang terbanyak adalah diantara 1000 - 3000 ekor. Hanya 12% penternak yang mempunyai saiz ladang melebihi 10,000 ekor. Dari maklumat ini didapati kebanyakan pengusaha ternakan puyuh adalah secara kecilan sahaja.

Penternakan burung puyuh ini amat berpotensi dan permintaan terhadap telur puyuh dan dagingnya kini kian meningkat.

Sunday, June 10, 2012

Aida kini usahawan tudung

Daripada personaliti TV kini Khairul Noormaidah Zali atau Aida menjadi usahawan.
 
JIKA sebelum ini penyertaannya sebagai salah seorang peserta dalam program realiti televisyen, Gadis Melayu berlaku secara tidak sengaja, begitu juga dengan dunia perniagaan yang diceburinya hari ini.

Segala-galanya bermula apabila tudung yang sering digayakan seharian mahupun ketika sesi fotografi menjadi perhatian rakan-rakan.

Apabila semakin ramai yang bertanyakan hal tersebut, Aida atau nama sebenarnya Khairul Noormaidah Zali, akhirnya membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai satu perniagaan.

Bagi anak kelahiran Kuantan, Pahang, ini, perniagaan yang dilakukan bermula secara kecil-kecilan melalui Internet di samping ingin mengisi masa yang terluang.

Ibu kepada seorang cahaya mata ini bagaimanapun mengakui dia tidak mempunyai pengetahuan apatah lagi pengalaman dalam bidang perniagaan.

Tuesday, June 05, 2012

Kenaf komoditi serbaguna



Mesin menuai kenaf memotong tumbuhan tersebut bagi mendapatkan biji benih dan serat tumbuhan itu di Ladang Biji Benih Kenaf di Kampung Pering, Kodiang.

Kenaf adalah pokok yang ditanam untuk menghasilkan serat,yang mempunyai potensi besar dalam aplikasi komersial pelbagai industri.


Dalam hubungan ini, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah dipertanggungjawab untuk menerokai potensi tumbuhan itu sebagai komoditi eksport baru Malaysia.


Pada 2008, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menyatakan kenaf akan menjadi sumber tanaman baru kepada penduduk luar bandar khususnya di kawasan tanah Beris yang sesuai dengan tanaman itu.


LKTN yang dipertanggungjawabkan bagi menjadikan kenaf sebagai tanaman utama petani selain tembakau, kini mengorak langkah bagi merealisasikan matlamat itu.


Pengerusi LKTN, Datuk Ismail Kassim ketika membawa wartawan ke Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf Beseri baru-baru ini, berkata, matlamat lembaga itu ialah mengkomersialkan kenaf sehingga ke peringkat global.


"LKTN juga sedang bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi melaksanakan percubaan verifikasi benih kenaf baru iaitu KB6 di Bukit Tangga, Kedah dan bekerjasama dengan Fujian Agriculture and Forestry Universiti bagi pembiakan benih kenaf F992 bermula Ogos 2011," katanya.


Bermula 2006, pada awalnya pengeluaran biji benih kenaf hanya mampu dihasilkan sebanyak 7,190 kilogram dan terus meningkat setiap tahun. Pada tahun lepas, biji benih yang dikeluarkan itu mampu mencapai 151,250 kilogram.


Oleh kerana Kedah dan Perlis mempunyai musim kemarau yang panjang, maka kedua-dua negeri itu paling sesuai untuk ditanam kenaf bagi pengeluaran biji benih.


Ismail berkata, tanaman kenaf sangat sesuai kerana hasilnya yang sangat tinggi dan mampu mengeluarkan petani daripada garis kemiskinan.


Katanya, petani boleh mendapat keuntungan bersih kira-kira RM2,000 atau RM3,000 dalam sehektar.


''Sebab itu, yang paling penting adalah bagaimana untuk menghasilkan kenaf bermutu tinggi. Ini memerlukan kajian dan penyelidikan oleh LKTN," katanya.


Kenaf sebenarnya sangat mudah ditanam dan petani hanya perlu mempraktikkan sistem 3T iaitu tanam, tengok dan tuai.


''LKTN akan membantu petani untuk menanam kenaf di samping memasarkannya," katanya.


Beliau berkata buat masa ini benih kenaf banyak diimport dari negara maju dalam bidang tanaman itu seperti China, Mexico, Australia dan Amerika Syarikat.


Ketua Pengarah LKTN, Ahmad Loman ketika ditemui di ladang benih kenaf di Kampung Pering, Kodiang, Kedah pula berharap lebih ramai petani menceburi penanaman kenaf.


"Contohnya, di ladang ini kita menggalakkan petani menanam kenaf sebagai tanaman sampingan bersama tanaman lain, yang juga melibatkan bekas siswazah," katanya.


Ahmad berkata, sasaran LKTN pada tahun ini adalah menanam kenaf pada skala lebih besar iaitu kira-kira 3,000 hektar tanah di seluruh negara terutama tanah terbiar.


Seorang bekas siswazah dari Universiti Putra Malaysia, Imran Fahmi Tajul Ariffin, 25, berkata tanaman kenaf yang diusahakannya di ladang itu ternyata memberi pulangan lumayan.


"Semuanya hasil usaha LKTN dan kami perlu komited dalam mengusahakannya dan saya rasa inilah tanaman masa depan yang sangat menguntungkan," katanya.


Beliau berharap lebih ramai siswazah yang belum mendapat pekerjaan agar tidak malu terbabit dalam bidang pertanian terutama penanaman kenaf.


Potensi kenaf


Sementara itu, Ahmad menambah, LKTN melihat potensi kenaf ini sangat besar pada masa hadapan terutama dalam bidang automobil kerana beberapa pembuat kereta ternama seperti Toyota dan Honda kini mula merangka badan kenderaan yang diperbuat daripada kenaf.


"Toyota sudah mula mengorak langkah memperkenalkan kereta hibrid yang diperbuat daripada gentian kenaf untuk badan kenderaan. Kita berharap syarikat automobil tempatan seperti Proton dan Perodua turut menjalankan kajian mengenainya," katanya.


Beliau berkata, LKTN bercadang mengadakan perbincangan dengan syarikat automobil tempatan berhubung perkara itu.


Ahmad berkata walaupun ia mengambil masa untuk melihat kejayaan industri kenaf namun beliau yakin akan potensi tanaman itu adalah sesuatu yang tidak ada tandingnya.


Kenaf ibarat lubuk emas yang belum diteroka sepenuhnya dan sudah sampai masanya semua pihak bersama-sama meneroka hasil alam ini, katanya. - Bernama