Tuesday, May 28, 2013

Usahawan burung baji




KATANYA, pada peringkat awal dia hanya memiliki 30 pasang sahaja burung baji yang dibeli di Kuala Terengganu, Terengganu.

Namun kini Mohd. Nasir memiliki hampir 200 pasang.

Burung baji yang lebih dikenali sebagai love bird memiliki rupa yang menarik, comel di samping warna yang pelbagai menjadikan ia amat menarik untuk dipelihara.

Selain kelihatan jinak, burung baji juga tidak sukar dipelihara kerana tidak memerlukan kawasan sangkar yang luas, diet yang ringkas dan mudah membiak.

Menurut Mohd. Nasir, burung baji juga agak tahan lasak dalam keadaan cuaca yang sederhana negara ini.

Namun, jika musim tengkujuh, burung itu mudah mati kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk.

Memiliki ciri seakan-akan burung nuri atau kakak tua, burung baji dengan nama saintifiknya Melopsittacus undulates adalah lebih kecil dan comel.

Jelas Mohd. Nasir, dia turut mengunjungi rakan-rakan yang berminat dengan burung tersebut hingga ke daerah Dungun malah ke Kelantan untuk mempelajari cara-cara memeliharanya.

"Apa yang saya dapati memelihara serta menternak burung baji adalah lebih mudah berbanding burung-burung tempatan yang lain seperti tekukur.

"Malah, harga burung ini juga agak baik serta permintaannya sentiasa ada," kata Mohd. Nasir ketika ditemui di kediamannya sempena program lawatam media anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Tambah Mohd. Nasir, usahanya menternak burung tersebut mendapat perhatian pihak MARDI sekali gus tampil membantunya.

Hampir RM10,000 diperuntukkan oleh MARDI serta khidmat nasihat kepada Mohd. Nasir bagi menguruskan perusahaan tersebut.

Menerusi bantuan tersebut, Mohd. Nasir mampu membina lebih 100 buah sangkar segi empat sama berukuran dua meter bagi menempatkan 100 pasang burung baji yang memiliki hampir 50 warna yang berbeza.

Dalam pada itu, pasaran burung baji di sekitar Terengganu sahaja tidak mencukupi kerana permintaan terhadap haiwan peliharaan yang comel tersebut amat tinggi.

Malah, Mohd. Nasir mengakui ada sesetengah pembeli sanggup menempah burung baji daripadanya seawal induk burung tersebut baru bertelur.

"Kebiasaannya, pembeli akan mengambil burung biarpun seawal peringkat anak kerana mudah untuk diasuh.

"Ini kerana anak-anak burung baji amat mudah untuk dipelihara selain harganya lebih murah daripada dewasa," katanya.

Sepasang burung baji dijual pada kadar harga antara RM50 dan RM450 berdasarkan jenis dan gred burung tersebut.

"Paling mahal adalah burung baji gred A dan burung gred ini memiliki saiz yang agak besar berbanding saiz lain.

"Terbaru, pembeli amat meminati burung baji yang memiliki warna mata seakan kemerah-merahan menjadikan harganya melonjak naik," katanya.

Sepasang burung baji gred A memerlukan masa satu hingga empat tahun untuk matang seterusnya bertelur.

Setelah bertelur, induk burung akan mengeram telur selama 18 hari dan mampu menghasilkan anak sehingga tujuh ekor dalam satu-satu masa.

Tambah Mohd. Nasir lagi, setelah hampir sebulan di bawah jagaan induk, anak-anak burung akan diasingkan sehingga mampu makan sendiri sebelum dijual kepada peraih.

Burung baji mampu membiak sebanyak lima kali setahun dan purata telur yang dihasilkan adalah lima biji.

Mohd. Nasir turut menggunakan tulang sotong diletakkan di dalam sangkar agar dimakan oleh induk yang dikatakan mampu menjadikan kulit telur lebih keras.

Petua tersebut adalah bagi mengelakkan telur yang dihasilkan mudah pecah sekali gus mengelakkan kerugian.

Biarpun memiliki pekerjaan hakiki sebagai nelayan pantai, ia tidak sedikit pun menyukarkan beliau untuk mengusahakan ternakan burung tersebut.

Malah, katanya, kadang-kala tugas memantau serta menjaga burung-burung peliharaannya diambil alih oleh ahli keluarga terutamanya anak-anak Mohd. Nasir yang mula menunjukkan minat.

Mohd. Nasir yang juga ahli Persatuan Peminat Burung Budgie dan Cocktail Terengganu (PPBCT) pernah dianugerahkan dengan sijil Master Breeder yang juga merupakan anugerah peringkat tertinggi persatuan tersebut.

Bagaimanapun, setiap perusahaan pasti memiliki cabaran yang tertentu dan terkini burung tersebut bakal dilesenkan untuk tujuan pengawalan.

Biarpun usaha melesenkan burung baji masih di peringkat cadangan namun ia sedikit sebanyak membimbangkan beliau kerana prosedur perlesenan pasti akan merumitkan perusahaannya.

Namun, bergerak di bawah persatuan PPBCT memudahkannya untuk menangani sebarang isu yang berbangkit.

Kini, Mohd. Nasir mampu meraih pendapatan tambah sebanyak RM1,500 sebulan hasil penjualan burung baji tersebut.

Katanya angka tersebut masih dianggap kecil berbanding pengusaha burung baji yang lebih berpengalaman di mana mereka mampu meraih hasil jualan sekitar RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

Ketika ditanya adakah beliau ingin membesarkan perusahaannya, katanya ia bergantung kepada modal dan pendapatan yang diperolehi.

Namun, ujarnya, hasrat untuk meningkatkan perusahaan di masa-masa akan datang sentiasa menyala.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130527/ag_02/Usahawan-burung-baji#ixzz2UVof1GBX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, May 23, 2013

Cendawan unik untuk dijual





Assalamualaikum wbt,

Saya Muzaffar dr Alor Setar, Kedah. Ceritanya begini. Saya ada satu Cendawan yang unik dan ada nilai seninya telah disimpan lama oleh keluarga sebelah isteri saya. Abang ipar saya telah menjumpainya semasa mencari madu lebah di hutan tebal sebelah Pokok Sena, Kedah sekitar 10 tahun yg lalu.

Keadaan cendawan tersebut masih lagi baik walaupun telah dikerat dari tutasnya dan tidak reput. Saya tidak tahu apa kelebihan kulat ini. Ada yang kata ianya boleh buat ubat, buat perhiasan rumah dll.

Apa-pun, saya & isteri tidak lagi berhasrat mahu menyimpannya. Lebih baik dijual kepada mereka yg tahu menilai dan boleh menjadikan ia lebih unik dan berniali tinggi. Saya mahu menjualnya dengan kadar segera.

Mohon tuan nilai dan beri pendapat pada saya kerana saya percaya anda lebih berpengetahuan dalam cendawan daripada saya.

Tuan boleh hubungi saya 013-497 5996.

Terima kasih.

Wednesday, May 15, 2013

Ayam hibrid



Jangan terperanjat dengan kenyataan ini. Tidak ada keaslian pada ayam kampung tempatan kerana beberapa faktor antaranya ayam kampung tempatan adalah warisan baka-baka ayam moden dari luar negara.

Ayam kampung atau nama saintifiknya Gallus gallus domesticus merupakan jenis ayam yang popular dan mempunyai pasaran tersendiri atau niche market yang mendapat sambutan.

Mereka yang sudah biasa makan daging ayam kampung pasti mengetahui rasanya yang berbeza berbanding ayam lain.

Yang pasti lazat ialah daging ayam kampung tradisional.

Keenakan rasa ayam kampung tradisional adalah lebih baik berbanding jenis ayam kampung yang membanjiri pasaran tempatan sekarang iaitu ayam kampung kacukan dan ayam warna.

Badan ayam kampung tradisional tidak terlalu berisi berbanding ayam lain termasuk ayam kampung kacukan yang biasanya lebih berisi dan besar.

Oleh itu ayam kampung tradisional biasanya lebih aktif, lasak dan membuatnya lebih ringan, manakala ototnya kental dan mempunyai nilai nutrisi yang tinggi.

Ciri-ciri lain pada ayam kampung tradisional ialah keting kaki yang tak khusus warnanya dan balung yang tidak khusus bentuknya.

Selain susuk badan yang ramping, memang tidak ada piawaian lain bagi ayam kampung tradisional kerana darahnya mempunyai gabungan pelbagai baka moden termasuk gabungan dengan ayam hutan.

Kini, antara jenis ayam kampung yang popular ialah ayam arab dan ayam leher botak.

Ramai mungkin telah mendengar mengenai baka yang dikategorikan sebagai moden seperti Plymouth Rock , New Hampshire, Brown Leghorn dan Australorp pada era 80an.

Pada masa sama, ayam hutan yang dianggap sebagai baka asal mungkin juga tidak lagi tulen kerana berlaku kacukan dengan ayam kampung yang dibawa ke hutan pada zaman komunis dahulu.

Lebih-lebih lagi adalah menjadi perkara biasa sekarang melihat ayam hutan jantan berkawan dengan ayam kampung betina.

Namun isu yang kini menjadi semakin mendapat perhatian ialah meskipun popular dan mendapat permintaan, bekalan ayam kampung amat terhad.

Dengan sambutan yang semakin menggalakkan itu, sesuatu perlu dilakukan bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

"Malangnya pengeluaran ayam kampung tempatan ketika ini hanya empat peratus berbanding keseluruhan lebih sejuta ekor ayam sehari yang dipasarkan dalam industri," kata penyelidik Jabatan Sains Haiwan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Azhar Kasim.

Dr. Azhar menunjukkan sangkar yang direka khas untuk penyelidikan yang dijalankan.

Beliau berkata, jumlah yang boleh dianggap sedikit itu sebenarnya satu peluang bagi industri memikirkan kaedah penambahan pengeluaran ayam kampung ketika ini.

Industri ayam kampung sebenarnya berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana jumlahnya di pasaran yang sedikit diancam oleh masalah penyakit seperti penyakit sampar (Newcastle disease) yang boleh membantutkan industri tersebut.

Menurut Dr. Azhar, antara masalah lain ialah ayam kampung tradisional dipelihara lepas bebas tanpa pengurusan sistematik, berskala kecil dan tidak komersial.

Menurut beliau, bagi mengatasi kekurangan bekalan itu, antara langkah yang diambil oleh pengusaha tempatan ialah mengimport ayam warna sebagai alternatif.

Baka tersebut kemudian dikahwinkan dengan ayam kampung tempatan untuk mendapat anak yang memperlihatkan ciri ayam kampung, biasanya pada warna bulu.

Usaha tersebut yang bermula pada 1980an akhirnya berjaya meningkatkan jumlah ayam kampung untuk tujuan komersial selepas 30 tahun tetapi belum memadai bagi menghasilkan baka yang lebih baik atau sempurna.

Ayam kampung tradisional hanya sesuai dijual ketika berumur 16 minggu. Ayam warna pada seawalnya umur lapan minggu dan ayam kampung kacukan pada umur 12 minggu.

"Apa yang kita ada sekarang dalam industri tempatan pada skala yang besar ialah ayam kampung kacukan yang belum dapat menyerupai ayam kampung tradisional.

"Contohnya, bagi ayam kampung kacukan tersebut, saiz badannya yang kurang ramping (banyak berisi) dijual dengan harga borong RM9 sekilogram berat hidup .

"Saiz badan yang ramping sedikit boleh meningkatkan harga kepada RM12 sekilogram," ujar Dr. Azhar.

Katanya, ayam kampung tradisional pula dengan jumlahnya yang terhad boleh melampaui harga RM16 sekilogram atau dikira mudah dengan harga RM25 seekor jika tidak ada alat penimbang.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130513/ag_01/Ayam-hibrid#ixzz2TLD2uHF0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, May 14, 2013

Ikan keli kaya protein

Pilih induk  matang, sihatNama saintifiknya Clarias Batrachus (Linn) dari keluarga Claridae.

  • Ikan keli adalah ikan air tawar yang banyak terdapat di negara ASEAN, khususnya di negara ini. 
  • Di sesetengah tempat khususnya di Selangor, ikan keli dipanggil ikan semilang sementara dalam bahasa Jawa dan di Indonesia pada am­nya, ikan keli dikenali ‘iwak lele’. 
  • Ikan keli boleh didapati di kebanyakan sawah padi, contohnya di kawasan Pahang iaitu Paya Pahang Tua, Mambang, Ganchong dan Paloh Hinai, Pekan.
  • Ia juga banyak terdapat di Tasik Chini, Paya Bungor atau Bera.
  • Keli juga menghuni di kuala anak sungai kecil seperti Sungai Lepar di Paloh Hinai hingga ke Jerantut dan Kuala Lipis, selain di Sungai Bera dan Sungai Serting. 
  • Antara jenis ikan keli yang boleh didapati ialah Ikan Keli Kayu (Clarias batrachus), Ikan Keli Bunga (Clarias macrosephalus), Ikan Keli Eksotika (Clarias gariepinus), Ikan Keli Limbat (Clarias neuhorfii), Ikan Keli Mata Kati (Clarias spp), Ikan Keli Rusia (Clarias spp), Ikan Keli Afrika (Clarias spp), Ikan Keli Jeram (Clarias foratum) dan Ikan Keli Hutan (Clarius spp). 
  • Keli Eksotika dan Keli Afrika menjadi spesies yang banyak diternak untuk tujuan komersial kerana ia spesies cepat membesar serta memberikan keuntungan yang optimum. 
  • Ikan keli di negara ini ditemui secara semula jadi dan kini menjadi satu industri yang menguntungkan jika dijalankan secara komersial atau bersistem. 
  • Di negara ini juga terdapat banyak jenis ikan keli dan sebahagiannya sudah dikomersialkan serta mendapat pasaran yang cukup memberangsangkan. 
  • Produk ikan keli ini adalah salah satu pilihan terbaik sebagai sumber protein bagi rakyat negara ini, mudah di dapati, dijual secara segar di pasar besar, pasar malam, dan kebanyakan pasar raya besar. 
  • Antara resipi yang paling popular ialah ikan keli goreng bersambal, ikan keli goreng berempah dan ikan keli masak pecel yang popular bagi masyarakat Jawa di Muar, Johor. 
  • Ketika ini ikan keli boleh dipelihara di dalam kolam besar atau sekadar di dalam kolah simen atau kolah kanvas. 
  • Struktur kolam dibina tidak melebihi tiga hingga empat kaki kerana ikan keli mengambil oksigen dari permukaan air dan berenang turun naik di permukaan air. 
  • Pastikan ada sumber air bersih sebelum pembinaan kolam ternakan dan tentukan ada air masuk serta keluar. 
  • Punca utama kematian anak benih keli biasanya di makan musuh seperti ikan haruan, burung, biawak, selain faktor kualiti air dan makanan tidak sesuai. 
  • Ramai pengusaha tempatan yang sudah berkursus dengan Jabatan Perikanan mampu menghasilkan anak benih keli. 
  • Sperma daripada keli jantan yang dikeluarkan dengan membelah perut di gaul de­ngan sperma daripada keli betina yang dikeluarkan dengan mengurut bahagian telur. 
  • Ikan keli kini menggunakan pelet makanan ikan yang dihasilkan syarikat pengeluar makanan ikan. 
  • Kawalan dan pengurusan air amat penting untuk memastikan ikan tidak diserang penyakit kudis atau pecah perut (sering berlaku dalam kolam simen). 
  • Ikan keli atau catfish sejenis ikan dikatakan mempunyai nyawa panjang dan ia mampu berjalan di atas tanah menggunakan siripnya untuk bergerak dari satu lubuk ke lubuk yang lain. 
  • Ikan keli juga menyusup atau masuk ke dalam lumpur untuk beberapa lama apabila datang musim kemarau atau musim kering. 
  • Penyelidikan Technology Park Malaysia (TPM) mendapati ikan keli mempunyai kandungan Omega-3 pada kadar 0.51 gram bagi setiap 100 gram, jauh lebih tinggi berbanding kandungan Omega-3 dalam ikan salmon. 
  • Kadar lemak dalam ikan keli (sembilan hingga 12 peratus) juga didapati antara yang tertinggi di kalangan ikan air tawar dan masin, sama ada yang hidup di perairan tropika atau kawasan beriklim sederhana. 
  • Penyelidikan yang dikendalikan Institut Ikan Keli Amerika Syarikat mendapati ikan keli diternak dan diberi makan dengan pelet mempunyai sumber protein yang baik. 
  • Ia kaya dalam protein dan lemak asid omega-3 serta rendah kolesterol dan lemak tepu. 
  • Ia adalah ideal untuk diet kesihatan. 
  • Mengikut satu kajian diterbitkan Jurnal Persatuan Perubatan Amerika, tahap sederhana lemak politepu dan asid lemak omega-3 memberi faedah kesihatan untuk gastrousus, neurologikal, kaediovaskular, sistem peredaran dalam badan. 
  • Laporan itu juga me­nyebut bahawa pengambilan satu hingga dua sajian ikan keli dalam seminggu boleh mengurangkan separuh risiko kematian akibat serangan jantung. - Harian Metro
  • Saturday, May 11, 2013

    Manisan penyeri majlis perkahwinan


    Buat masa ini Rohana hanya memiliki dua unit dapur yang dibekalkan oleh MARDI.

    DIJADIKAN sebagai buah tangan bagi tetamu yang hadir di setiap kenduri kahwin, gula-gula atau manisan Terengganu merupakan antara makanan popular di negeri pantai timur tersebut.

    Usahawan industri kecil sederhana (IKS) Rohana Md. Noor, 49 menjadikan manisan tersebut sebagai punca pendapatan utamanya.

    Bermula daripada suka-suka akhirnya Rohana membuka sebuah bangsal berhampiran rumahnya untuk membuat manisan yang semakin mendapat perhatian masyarakat kampungnya.

    “Saya tidak memiliki pelajaran yang tinggi, jadi saya cuba-cuba buat gula-gula ini dan jual kepada pelajar sekolah dan orang ramai sekitar kampung," katanya ketika ditemui dalam program lawatan bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

    Jelas Rohana lagi, gula-gula atau manisan tersebut bukanlah produk baru, malah produk makanan tersebut amat dikenali sekitar Kuala Terengganu.

    “Manisan ini merupakan makanan tradisional orang dulu-dulu, tetapi saya cuba perbaharui dengan menambah pelbagai perisa lain serta kekacang.

    “Resipinya saya peroleh daripada ibu saya dan daripada dia jugalah saya belajar membuat manisan ini," katanya.

    Menerusi kelainan yang dibuat oleh Rohana, manisannya mendapat perhatian sekitar kampung sebelum ada yang datang dari luar untuk menempah.

    Sehingga kini, Rohana tidak menang tangan untuk menghasilkan manisan apabila tempahan yang diterima semakin meningkat.

    Jika dahulu, proses pembuatan manisan tersebut hanya dilakukan di dalam rumah dan secara kecil-kecilan.

    Namun setelah mendapat bantuan daripada MARDI berupa bantuan pembinaan bangsal, peralatan memasak, rak serta kursus rezekinya semakin bertambah.

    Menurut Rohana, dia hanya menggunakan gula kabung, kacang serta perisa bagi mendapatkan kelainan.

    “Sehari saya akan mengacau (masak) tiga buah kuali yang mana setiap kulai mampu menghasilkan hampir 30 bungkus manisan.

    “Setiap bungkusan mengandungi 10 biji manisan pelbagai perisa," katanya.

    Apa yang menjadi kekangan Rohana adalah, bermula proses mengacau adunan manisan yang memerlukan hampir tiga jam, menguli sehingga kepada pembungkusan adalah dilakukan secara manual.

    Buat masa ini, Rohana dibantu oleh adik-beradik serta anak-anaknya bagaimanapun manisan yang dihasilkan adalah terhad serta tidak mampu memenuhi permintaan yang ada.

    Rohana pernah menerima tempahan sehingga 1,000 bungkus sehari namun terpaksa menolak dengan cara baik kerana tidak mampu menghasilkan manisan sebanyak itu.

    Bagaimana pun, dia bercita-cita untuk memiliki sebuah mesin khas yang mampu membantunya mengacau manisan agar masa memasak dapat dipendekkan.

    Selain membantu menyediakan kemudahan peralatan memasak serta bangsal khas untuk membuat manisan, MARDI turut membantu Rohana dalam urusan pembungkusan produk.

    Ujarnya, pelekat yang digunakan pada bungkusan tersebut juga turut disediakan oleh MARDI bagi membantu mempromosi produknya.

    Dia juga menghasilkan produk sampingan yang dikeluarkan mengikut tempahan dan kebiasaannya tempahan diterima apabila menjelangnya musim perayaan.

    Produk manisan Rohana turut dipasarkan keluar Terengganu, namun dia lebih menumpukan perhatian dengan menghasilkan manisan untuk dijadikan buah tangan majlis kenduri kahwin.

    “Untuk tempahan kenduri kahwin pun kadang kala saya tidak menang tangan, tapi syukurlah usaha saya selama ini semakin membuahkan hasil," katanya.


    Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130429/ag_02/Manisan-penyeri-majlis-perkahwinan#ixzz2SzjAuHcr
    © Utusan Melayu (M) Bhd 

    Tuesday, May 07, 2013

    Ahmad tauke belangkas

    Oleh Mohd Sabran Md Sani

    Kepakarannya terhadap spesies belangkas yang terdapat di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, tidak boleh dipertikaikan kerana berpengalaman mengendalikan haiwan eksotik itu hampir 30 tahun.

    Ahmad Mustafa, 47, mampu mengenali jantina belangkas dengan mudah, selain mengetahui usia belangkas yang dijual nelayan kepadanya. 

    Ketika membelek-belek haiwan itu di pusat pengumpulannya, baru-baru ini, dia dilihat menekan kulit belangkas dengan tangan bagi menentukan usianya sebelum menasihatkan agar ia dilepaskan semula ke laut kerana berkulit lembut.

    Usia seperti itu tidak sesuai untuk tujuan urus niaga kerana ia baru menjangkau sembilan tahun, sedangkan tempoh me­ngawan ketika berusia 10 tahun ke atas.

    Selain belangkas muda, dia juga menasihatkan nelayan supaya melepaskan belangkas jantan yang mempunyai saiz lebih kecil supaya haiwan itu dapat mengawan dengan belangkas betina lain.

    Bermodalkan RM100,000, Ahmad membangunkan pusat penternakan berkenaan dengan membina sebanyak sembilan kolam bagi menempat­kan kira-kira 15,000 ekor belangkas yang dijual nelayan.

    Dia juga bernasib baik kerana memperoleh peruntukan berjumlah RM35,000 daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk membangunkan bilik penetasan belangkas yang dibangunkan di dalam ba­ngunan 0.4 hektar.


    Ahmad berkata, semua belangkas yang dikumpul di sekitar Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang diletakkan dalam penjagaannya dalam tempoh sebulan sebelum dieksport ke luar negara seperti Thailand dan Amerika Syarikat.


    “Pasaran belangkas ketika ini agak baik. Belangkas diketahui amat digemari penduduk Thailand yang menggunakan telurnya untuk dijadikan kerabu, selain dijadikan produk farmaseutikal.


    “Selain itu, belangkas mendapat permintaan tinggi di Amerika Syarikat kerana telurnya yang ‘separa menjadi’ dan membusuk digunakan sebagai umpan ikan,” katanya.


    Berkongsi pengalaman katanya, belangkas banyak diperoleh pada Januari hing­ga Mac, namun kembali menyusut pada bulan berikutnya.


    “Pada Januari hingga Mac, sekurang-kurangnya 15,000 ekor belangkas dapat dikumpulkan daripada nelayan tempatan kerana tempoh berkenaan digunakan pasangan haiwan itu mengawan dan melepaskan telur.


    “Belangkas hanya naik ke kawasan pantai berpasir untuk melepaskan telurnya dan akan kembali turun ke laut sebaik semuanya selesai,” katanya yang turut mengakui bilangan belangkas berkurangan sehingga 10,000 ekor pada April hingga Jun.


    Dia menggalakkan nelayan supaya menjual terus haiwan laut berkenaan kepada pusat pe­ngumpulan belangkas kerana harga sangat tinggi iaitu sekitar RM7 hingga RM9 seekor.


    “Bukan saja kami menjanjikan semua belangkas diambil, tetapi harga yang dibeli daripada nelayan masih tinggi, berbanding pengumpul haram dari Thailand meletakkan harga murah RM4 seekor.


    “Malah, ada pengumpul tidak bertanggungjawab membiarkan haiwan itu jika berlaku lambakan di pasaran tempatan,” kata­nya.


    Menyentuh mengenai pusat penetasan belang­kas, katanya usaha berkenaan bagi memastikan haiwan eksotik itu tidak pupus di perairan negara.


    “Projek LKIM itu bermula pada 2011 dan teknik penetasan mengikut kaedah semulajadi di pesisir pantai.


    “Saya menggunakan kaedah pasang surut air laut dua kali sehari dan benih belangkas ditempat­kan di bilik khas menggunakan sistem pe­ngairan air laut,” katanya.


    Berkaitan perancangan masa depan, beliau berharap sebuah pusat penetasan belangkas dapat diwujudkan di kawasan berkenaan dengan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan dan LKIM.


    Katanya, sebuah bilik sejuk juga akan diba­ngunkan di pusat pendaratan LKIM Sedili tidak lama lagi bagi memudahkan penghantaran belangkas sejuk beku ke Amerika Syarikat. 

    sumber: Harian Metro