Anak muda kelahiran Pekan, Pahang yang baru berusia 22 tahun itu hanya berbekalkan keyakinan bahawa dirinya mampu menjadi usahawan berjaya dengan usaha, doa, tawakal serta diiringi restu keluarga.

Melihat industri penternakan madu lebah menawarkan masa depan yang cerah, dia mengambil keputusan untuk berjinak-jinak dalam bidang tersebut. Malah, langkahnya untuk terjun ke bidang tani juga dianggap selaras dengan dasar serta saranan kerajaan.

Apa tidaknya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sememangnya menggalakkan lebih ramai petani muda terlibat dalam cabang pertanian baharu seperti penanaman herba, penanaman terumbu karang dan pengeluaran madu lebah yang mempunyai potensi sebagai perusahaan bernilai tinggi.

Menurut Iqbal, walaupun terpaksa bekerja dalam cuaca tidak menentu seperti hujan dan panas yang sudah tentu tidak digemari anak-anak muda lain, namun pengorbanan itu amat setimpal dengan usaha gigihnya sehingga mampu memperoleh pendapatan mencecah RM50,000 sebulan.

“Syukur usaha saya dengan bantuan keluarga mampu mencapai ke tahap sebegini. Walaupun, ramai kawan-kawan memilih untuk menyambung pelajaran ke pengajian tinggi, tetapi gerak hati mahu mencuba nasib dalam industri pertanian ternyata menyebelahi saya.

“Alhamdulillah, pendapatan diperoleh juga lumayan. Namun, saya tetap akan meneruskan kehidupan harian seperti biasa dan sedia untuk berkongsi pengalaman,” katanya yang mula terlibat dalam bidang penternakan madu lebah sebaik sahaja menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, dia memilih untuk menternak lebah daripada spesies Apis Mellifera yang berasal dari Australia kerana sifatnya yang jinak.

“Spesies lebah ini mudah dijaga dan tidak banyak kerenah. Malah, kita hanya memerlukan masa kira-kira tiga jam sehari untuk menjaga kesemua populasi haiwan ini.

“Selain itu, berdasarkan kajian, spesies lebah ini juga mengeluarkan madu yang berkualiti tinggi setanding dengan populasi lebah yang hidup liar di hutan,” katanya yang menyanggah persepsi sesetengah masyarakat yang menganggap lebah sebagai haiwan yang ganas dan gemar menyengat.

Menceritakan bagaimana dia mula berminat dengan prospek perniagaan berasaskan madu lebah, Iqbal menjelaskan, dia mula tertarik selepas mengikuti kursus penternakan lebah dengan seorang kenalan bapanya di Terengganu.

“Dari situ, saya mula menternak lebah secara kecil-kecilan dengan menggunakan modal yang dipinjam daripada keluarga sebelum menubuhkan syarikat pada 2011 iaitu Bee Park Sdn. Bhd.

“Sebaik sahaja tertubuhnya syarikat itu, perniagaan ini semakin berkembang maju sehingga Bee Park berjaya mengeluarkan produk madu jenama sendiri iaitu Madu Akasia Bee Park Pahang,” ujarnya yang juga merupakan salah seorang ahli Majlis Agropreneur Muda MOA.

Ujarnya, sebagai seorang usahawan, untuk memperoleh kejayaan pasti ada cabarannya. Cabaran hebat itu hadir apabila pusat ternakannya ditenggalami banjir besar pada penghujung tahun lalu.

“Dalam kejadian banjir itu, kira-kira 100 kotak sarang lebah musnah dan kesemua lebah lari ke tempat lain sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM200,000. Namun, bagi saya, ia adalah cabaran yang perlu dilalui semua usahawan sebelum beroleh kejayaan sebenar,” katanya yang kini sedang mengusahakan penternakan lebah di tempat baharu iaitu di Taman Pertanian Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan sementara membangunkan semula pusat penternakannya di Pekan.

Jelasnya, anak muda yang berminat untuk menyertai bidang pertanian baharu disaran berdaftar dengan Jabatan Pertanian untuk menjadi ahli Agropreneur Muda.–DHIYA’ZULHILMI DAUD

KHASIAT MADU LEBAH 
YANG JARANG DIKETAHUI

> Digunakan sebagai ubat sakit perut
> Menghilangkan ketagihan dadah
> Menghilangkan kahak
> Memutih dan menguatkan gigi
> Menghilangkan kesan terbakar pada kulit
> Menguatkan badan bagi yang berumur

Nama penuh: Muhammad Iqbal Taufik Mat Nawi
Umur: 22 tahun
Nama syarikat: Bee Park Sdn. Bhd
Ditubuhkan: 2011
Produk: Madu Akasia Bee Park Pahang
Pusat Penternakan: Taman Pertanian Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.
Emel: beeparkpahang@yahoo.com