Wednesday, June 30, 2010

Biomanis daripada pemanis semula jadi

TIDAK ramai yang mengetahui apakah pokok stevia, apatah lagi maklum akan khasiatnya. Namun segelintir daripada kita yang sukakan kemanisan tetapi bencikan kemudaratan mungkin memilih pokok ini sebagai pemanis.
.
Ini kerana stevia sudah mula dikenali sebagai alternatif kepada gula untuk pemanis dalam minuman.
.
Ada yang melabelkan 'gula sebagai racun', 'gula lebih bahaya daripada dadah', 'gula pembunuh senyap' dan macam-macam lagi.
.
Di sinilah stevia memainkan peranan kerana bahaya gula telah menampakkan impak dan kesan sangat positif kepada masyarakat.
.
Pengambilan makanan manis yang mengandungi tinggi kalori tanpa khasiat dan serat dalam jangka panjang mampu menyingkirkan beberapa vitamin dan zat galian dari dalam badan.
.
Melihatkan betapa seriusnya peningkatan pesakit diabetes ini, Perintis Dagangan Sdn. Bhd. (Perintis), sebuah syarikat yang telah lama terlibat dalam kajian dan pembangunan hasil pertanian ini telah mengeluarkan produk Biomanis iaitu sejenis pemanis semula jadi yang berasaskan 100 peratus ekstrak daun pokok stevia gred A+ dengan kadar kemanisan yang lebih tinggi berbanding gula tebu.
Bagaimanapun Biomanis ini tidak mengandungi kalori, lemak, kolestrol, protein, toksik, glukos dan karbohidrat.
.
Memandangkan Biomanis mempunyai kadar kemanisan yang tinggi berbanding gula, maka sebotol produk tersebut boleh digunakan untuk 400 gelas air. Sekotak Biomanis yang mengandungi lima botol ini boleh digunakan untuk tempoh setahun.
.
Pembelian sekotak Biomanis dilihat lebih praktikal berbanding penggunaan sebotol sahaja memandangkan tindak balas gula stevia pada badan mengambil masa untuk menolak segala stok glukos dan kalori yang terdapat pada darah yang telah lama berada di dalam badan.
.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perintis, Norzana Rafie, selain daripada khasiat dan kelebihan semula jadi secara biologi yang terkandung di dalam Biomanis ini proses pembuatan produk ini disulam dengan beberapa khasiat dan kebaikan secara metafizik.
.
''Ini termasuk bacaan 30 juzuk al-Quran, ayat dan selawat syifa', doa-doa mustajab dan
terbaik dari al-Quran dan hadis, Asma al-Husna dan banyak lagi,'' katanya.
.
Menurut beliau, ia bertujuan menambahkan keberkatan dan keberkesanan penggunaan produk ini sesuai dengan peranan Biomanis sebagai pemanis semula jadi terbaik.
.
Melalui beberapa ujian kadar gula dalam darah oleh beberapa doktor penasihat, Biomanis menunjukkan kesan yang amat menakjubkan kerana ujian ke atas kadar gula selepas dua jam menunjukkan kadar gula adalah sama seperti sebelum meminumnya.
.
Ini jelas membuktikan dengan menggunakan Biomanis dalam air, ia tidak menambahkan kadar glukos dan kalori dalam darah.
Semua orang yang mengamalkan Biomanis juga boleh membuat ujian darah sendiri sekiranya ingin mendapatkan pengesahan dan menambah keyakinan.
.
Biomanis dikatakan pemanis semula jadi paling mesra dengan pesakit diabetes, darah tinggi dan obesiti. Menurut satu kajian mendapati jumlah karbohidrat, kalori dan glukos yang terkandung di dalam gula tebu antara penyumbang kepada kenaikkan paras gula dalam darah.
.
Dengan menggantikan penggunaan gula tebu kepada Biomanis ini secara amalan yang konsisten dan berpanjangan, kita mampu menghentikan kemasukan kalori, karbohidrat dan glukos yang baru secara berlebihan dalam badan.
.
Lama-kelamaan lemak dan kalori yang dah lama tersimpan dalam badan akan terbakar untuk bekalan tenaga.
.
Memandangkan Biomanis tidak menghasilkan glukos maka ekstrak ini mempunyai potensi untuk menjadi agen antihiperglisemik untuk diabetes.
.
Pengambilan gula stevia yang konsisten dan kerap dalam menggantikan gula tidak akan memudaratkan memandangkan sifat daun stevia yang sifar segalanya.
Produk berkenaan dijual dalam botol dengan harga RM59.90 yang boleh digunakan untuk dua bulan setengah dan satu kotak besar yang mengandungi lima botol dijual pada harga RM200 sekotak boleh digunakan untuk tempoh setahun.
.
Memandangkan satu botol Biomanis boleh digunakan untuk 400 gelas air maka pelanggan hanya perlu membelanjakan kira-kira 10 sen sahaja untuk segelas minuman sekali gus berpeluang menikmati hidup yang lebih sihat dan menjauhi kesan bahaya gula.
.
Selain digunakan dalam minuman seperti teh, kopi atau minuman kegemaran lain, Biomanis juga disarankan penggunaannya ketika mengambil minuman berherba seperti teh misai kucing, mas cotek, tunjuk langit dan lain-lain bagi menambahkan keberkesanan herba tersebut pada badan.
.
Selain itu, sifat ekstrak daun stevia yang tahan pada suhu yang tinggi, terikat dan tidak terampai ini boleh digunakan di dalam masakan berempah dengan menambah secubit Biomanis ke dalam masakan bagi menambahkan keenakan masakan dan mengelakkan masakan bersantan dari cepat basi.

Saturday, June 26, 2010

Teknologi biogas hasil teh serai

Oleh LAUPA JUNUS
Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI

.

USAHLAH bertanya kepada sesiapa apakah khasiat dan manfaat Cymbopogon citratus kerana ramai akan terpinga-pinga?

Namun menyebut sahaja serai, ramai akan tersenyum kerana telah maklum bahawa herba tersebut sudah diketahui khasiatnya sejak turun temurun.

Serai biasanya digunakan dalam masakan bukan sahaja kerana khasiatnya tetapi juga aroma yang membuka selera.

Sebab itu, banyak syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) memanfaatkan serai sama ada untuk dijadikan masakan atau rempah yang telah ditumbuk untuk kegunaan masakan.

Pada masa sama, penyelidikan untuk mencari khasiat serai terus dijalankan, bagi mencari kemungkinan sebatian aktif dalam serai boleh bertindak dalam melawan penyakit tertentu.

Manfaat serai

Menyedari serai mempunyai pelbagai kegunaan, sebuah syarikat tempatan, Rapat Nusantara Sdn. Bhd. memanfaatkan tanaman herba tersebut untuk menghasilkan minuman herba berkhasiat.

Produk yang mereka hasilkan ialah teh serai berjenama Citralife yang telah mula berada di pasaran sejak tahun lepas.

Syarikat tersebut terlibat dalam penanaman, pemprosesan, pengedaran dan pemasaran serai sejak 2008 lagi.

Menurut jurutera syarikat yang banyak memainkan peranan penting membangunkan produk mereka, Najwa Mohd. Nor, pihaknya telah terlibat dalam penanaman serai dengan hasrat mempopularkan teh daripada herba tersebut terutama kepada mereka yang mementingkan kesihatan.

Najwa berkata, peluang menceburkan diri dengan industri pemprosesan serai perlu dimanfaatkan selepas Azed Bina Sdn. Bhd. menerima geran daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi sistem atau mesin biogas.

Azed Bina bekerjasama dengan Rapat Nusantara untuk memproses dan mengeringkan serai dengan teknologi hijau yang mesra alam.

Pada mulanya , ia hanya dimanfaatkan untuk industri biomas atau penjanaan tenaga daripada bahan terbuang.

Pihaknya mendapati, sistem tersebut boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk serai dengan menggunakan pemanasan pada suhu 100 darjah Celsius.

Pada masa sama, mereka menjalankan kajian mengenai manfaat serai dan mendapati kandungan citral yang terkandung dalam herba tersebut boleh membantu dalam penjagaan kesihatan antaranya membantu mengurangkan kolesterol, membantu mengurangkan tekanan darah dan terdapat khasiat lain.

''Berdasarkan kandungan citral tersebut, kami menamakan jenama produk kami sebagai Citralife,'' ujarnya ketika ditemui di pusat pemprosesan serai di Jalan Enam, di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, kandungan citral dalam Citrallife agak tinggi iaitu 280 peratus berbanding kandungan semula jadinya dalam pokok serai.

Menurut Najwa, teknologi untuk memproses serai tersebut direka dan dibina sendiri oleh pihak syarikat.

''Sistem ini mampu memproses satu tan serai segar sehari untuk dijadikan minuman herba Citralife.

Serai segar perlu dibersihkan dan dipotong terlebih dahulu sebelum dikeringkan dan dikisar.

Sebanyak tiga tan serai segar diperlukan untuk menghasilkan 500 kilogram, serai kering.

''Pihak kami sendiri telah menjalankan ujian perbezaan antara serai segar dan kering (Citralife) di FRIM (Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia) Kepong, dan hasil ujian mendapati kandungan citral (agen yang mampu membunuh sel kanser) dalam serai kering tiga kali lebih tinggi berbanding serai segar.

''Orang yang minum jus serai segar juga tidak mendapat kesan yang sama sebagaimana mereka meminum Citralife,'' kata Najwa.

Kata Najwa, minuman serai ini merupakan tradisi orang Melayu yang makin dilupakan generasi muda.

Banyak khasiat dan kajian telah dijalankan terutama di negara-negara asing mengenai pengaruh serai dalam kesihatan manusia, terutamanya dalam penyakit kanser, darah tinggi, arthritis dan lain-lain.

Katanya, Citralife dihasilkan dalam dua bentuk produk iaitu uncang yang dijual dalam satu paket mengandungi 15 uncang teh berharga RM16 dan bungkusan 80 gram berharga RM12.

Najwa berkata, sejak berada di pasaran kira-kira setahun lepas, produk tersebut mendapat maklum balas menggalakkan daripada pengguna.

Pihaknya juga mendapat banyak respons yang baik daripada pesakit-pesakit darah tinggi, artritis dan beberapa pesakit kanser.

''Tidak disangka serai yang selama ini digunakan sebagai bahan ramuan dalam masakan mempunyai ubat untuk merawat pelbagai penyakit tanpa kita sedari,'' katanya.

Kini produk berkenaan memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sijil kategori makanan daripada Kementerian Kesihatan.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi 03-79872080 begin_of_the_skype_highlighting 03-79872080 end_of_the_skype_highlighting atau layari http://lemongrassherbal.blogspot.com

Tuesday, June 22, 2010

Industri Halal Boleh Beralih Daripada Pasaran Khusus Utk Peroleh Manfaat Dunia

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Industri Halal boleh beralih daripada pasaran khusus dan menjadi tarikan besar di seluruh dunia, memandangkan nilainya berasaskan integriti, kualiti dan menyeluruh, kata pengasas dan pengarah urusan KasehDia Sdn Bhd dan Forum Halal Dunia, Jumaatun Azmi.
.
Bagi menjayakannya, beliau berkata industri itu mesti memiliki syarikat yang cemerlang, yang berjaya mengharungi gelombang, untuk menghasilkan jenama yang diperakui bukan sahaja oleh industri, malah oleh ekonomi utama.
.
"Menerusi usaha berterusan, kita akan dapat bergerak daripada jenama serantau kepada multinasional," katanya pada Anugerah Jurnal Halal Kelima yang diadakan sempena Forum Halal Dunia, di sini Isnin malam.Jumaatun berkata peserta pasaran mesti diberikan motivasi berasaskan hakikat bahawa mereka bukan sekadar menjual produk dan perkhidmatan, malah menjual gaya hidup berasaskan nilai bahawa ia memberi manfaat kepada semua.
.
Anugerah Jurnal Halal 2010 diberikan kepada tujuh syarikat dan individu dari seluruh dunia atas inisiatif luar biasa mereka dalam tujuh kategori.Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan anugerah itu. Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza mengungguli Anugerah Produk Terbaik bagi SimplySiti, barisan produk kecantikan dan penjagaan kulit halal menggunakan teknologi penjagaan kulit terkini.
.
Anugeah bagi Perkhidmatan atau Produk Kewangan Terbaik dimenangi FORAS International Investment Jeddah, Arab Saudi.Colgate-Palmolive (Malaysia) Sdn Bhd memenangi Anugerah Pembangunan Komuniti dan Alam Sekitar.Dalam bidang Perjalanan dan Hospitaliti, anugerah dimenangi Cresentrating Pte Ltd Singapura.
.
Anugerah Penyedia Perkhidmatan Terbaik pula diungguli Al-Jazeera English, manakala anugerah Inovasi Terbaik oleh ImHalal.com, yang diasaskan oleh adik-beradik dari Iran-Kuwait yang berpejabat di Belanda.
.
Anugerah yang memperakui pencapaian Peribadi Luar Biasa pula dimenangi Dr Naif Al-Mutawa, pakar psikologi klinikal Kuwait dan pencipta "The 99", kumpulan pertama komik adiwira Islam.
.
-- BERNAMA

Thursday, June 17, 2010

70 Peratus Pengusaha Rumah Burung Walit Di Terengganu Berakhir Kegagalan

KUALA TERENGGANU, 16 Jun (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mendapati lebih 70 peratus pengusaha rumah burung walit di negeri ini berakhir dengan kegagalan.
.
Pengarah JPV negeri Dr Azizol Mohd Sharun berkata di Terengganu terdapat kira-kira 300 buah rumah burung walit yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.
.
"Rumah burung walit yang gagal kebanyakannya disebabkan kelemahan dari segi pengurusan," katanya kepada Bernama selepas melawat salah satu projek rumah walit yang gagal di Kampung Mengabang Telipot, Batu Rakit Rabu.
.
Katanya kos paling rendah untuk membina rumah burung walit ialah RM100,000 dan kebanyakannya dimiliki orang perseorangan. Kos bangunan setinggi empat tingkat yang dilawati hari ini menelan belanja lebih kurang RM500,000, yang dibina kira-kira tiga tahun lalu.
.
Dr Azizol berkata projek itu dikira gagal kerana burung tidak masuk sejak ia dibina hingga kini memandangkan bangunan itu tidak mempunyai kemudahan sebagai rumah burung walit seperti perakam suara burung dan elektrik. Beliau berkata ia amat merugikan kerana industri burung walit terbukti mampu memberi pulangan lumayan jika dilaksanakan dengan betul.
.
"Dalam erti kata yang lain, kerajaan mahu seramai mungkin melibatkan diri dalam industri bernilai tinggi itu," katanya. Bagaimana pun, katanya JPV akan melihat perkara itu dan akan cuba mengatasinya supaya industri burung walit terus berkembang di Terengganu.
.
-- BERNAMA

Produk hiliran nanas

Buah nanas mengandungi vitamin, zat galian, serat dan enzim yang baik untuk sistem penghadaman dan membantu dalam memberikan zat pemakanan yang seimbang.
.
Nanas juga merupakan sumber utama Vitamin C manakala kandungan lemak dan natriumnya amat sedikit.
.
Jus nanas dan jus buah-buahan campuran dalam kotak tetrapak adalah antara minuman yang popular di pasaran.
.
Jus itu juga boleh digunakan bagi menghasilkan jus jernih, kordial, cuka dan wain manakala jus yang diperam boleh dijadikan agar pejal atau nata de coco.
.
Isi nanas yang dikisar halus yang dipanggil pulpa boleh digunakan terus atau dipekatkan dan dibungkus dalam tin atau beg plastik aseptik untuk digunakan sebagai bahan mentah bagi pemprosesan produk lain.
.
Gegelung nanas pula merupakan sejenis snek pejal yang dihasilkan daripada daripada pulpa nanas bersama-sama ramuan lain dan berbentuk sekeping agar nipis yang digulung.
.
Serbuk nanas boleh dihasilkan daripada pulpa nanas melalui proses pengeringan sembur selain kepingan flake daripada proses pengeringan deram.
.
Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyediakan pelbagai teknologi bagi menghasilkan produk hiliran nanas.
.
Timbalan Pengarah Program Pembangunan Produk dan Pemprosesan Makanan, Pusat Penyelidikan Teknologi Makanan MARDI, Hasimah Hafiz Ahmad berkata, pihaknya telah menghasilkan pelbagai teknologi pemprosesan nanas bagi sesuai bagi industri kecil dan sederhana.
.
"Selain jus, kordial dan jem, MARDI juga telah membangunkan snek hirisan nanas secara gorengan vakum yang dihasilkan dengan kandungan minyak yang rendah," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.
.
Nanas bersalut sejuk beku adalah produk baru yang telah dipasarkan di mana hirisan nanas yang telah dirawat disalut dengan adunan tepung dan serbuk roti menyerupai naget.
.
Pihak MARDI jelas Hasimah telah bekerjasama dengan beberapa pengusaha IKS bagi menghasilkan jeli konfeksi, bar granola rendah kalori atau tinggi serat, halwa bersalut coklat, acar buah, inti nanas, hirisan nanas dalam jus dan dadih.
Selain makanan, jus nanas dan batang pokok nanas merupakan sumber enzim bromelain yang boleh menguraikan protein dan boleh digunakan bagi melembutkan daging.
.
Ekstrak nanas yang mengandungi asid alfa hidroksi dan enzim telah digunakan dalam produk kosmetik bagi menggalakkan ketegangan kulit dan menanggalkan sel kulit mati.
.
Nanas juga digunakan sebagai ubat dalam perubatan tradisional dalam beberapa negara misalnya akar dan buah nanas dimakan atau disapu di atas kulit sebagai ubat anti-inflamatori.
.
Di Filipina, nanas digunakan sebagai ubat cacing manakala daun nanas digunakan sebagai sumber pembuatan kain.
.
Manakala serat yang daun nanas digunakan oleh penduduk China, India, Afrika Barat dan Taiwan bagi membuat benang, jala dan kain.
.
Jambul dan hampas nanas dari kilang pemprosesan nanas dikeringkan bagi dijadikan makanan ternakan.
.
Kegunaan nanas yang pelbagai daripada makanan, perubatan, tekstil, kosmetik dan makanan menjadikan tanaman berkenaan mendapat jolokan 'Buah seribu guna'.
..
--- Utusan Malaysia Online