KETIKA banyak pihak bimbang dengan gejala perkongsian fail di internet yang mengakibatkan penggiat muzik sukar 'mencari makan', Hardesh Singh, 31, melihatnya sebagai peluang 'membuat duit'.
...
Mungkin kerana Hardesh pernah berkecimpung dalam bidang muzik sebagai penerbit dan pencipta lagu, beliau tentunya lebih memahami masalah industri muzik dan kaedah terbaik menanganinya. Sikap inovatif dan kepekaan diri melayakkan Hardesh bergelar usahawan dalam bidang muzik.
...
Hardesh adalah pengasas Popfolio.net iaitu sebuah laman web yang menjadi platform memperkenalkan muzik dan pengedaran widget (kod boleh-alih yang boleh dipasang dan dimainkan dalam mana-mana laman web oleh pengguna tanpa memerlukan kompilasi tambahan).
...
Laman ini tampil berlainan dalam sektor muzik online seluruh dunia kerana menggunakan mekanisme paparan iklan di mana keuntungan yang diperoleh daripada pengiklanan, dinikmati artis setiap kali lagu mereka dimainkan pengguna.
...
"Sebagai usahawan muzik, saya sudah mengikuti pembangunan dalam industri muzik sejak beberapa tahun lalu. Saya sedar cabaran yang wujud dengan kemunculan teknologi dan juga kepayahan syarikat rakaman memastikan mereka terus relevan dalam dunia yang pantas berubah. "
...
"Tanpa mempedulikan tindakan undang-undang terhadap perkongsian fail secara tidak sah, kebanyakan golongan muda terus mendapatkan muzik dengan cara yang paling mudah. Cara itu (perkongsian fail) bagaimanapun tidak memberi keuntungan kepada pengkarya," kata Hardesh.
...
Namun, ujar Hardesh, bukan tindakan perkongsian fail yang patut dipersalahkan jika keuntungan berkurangan.
...
"Puncanya adalah kelemahan penyelesaian teknologi untuk menjana potensi kewangan menerusi pengedaran secara digital.
"Puncanya adalah kelemahan penyelesaian teknologi untuk menjana potensi kewangan menerusi pengedaran secara digital.
..
"Di Popfolio, kami menyediakan platform membenarkan pengguna memperoleh lagu kegemaran dan pada masa yang sama, menyalurkan keuntungan kepada pemilik karya," katanya.
...
Sebagai Ketua Produk dan Inovasi Popfolio Sdn Bhd, Hardesh bertanggungjawab membangunkan penyelesaian inovatif dalam menangani beberapa masalah membabitkan penggunaan muzik secara online. Selain Popfolio.net, syarikat yang diterajuinya ini turut menghasilkan program televisyen internet yang antara lain menjadi landasan memasarkan karya hiburan.
...
Bagaimana Hardesh menjayakan semua ini?
Ketahui rahsianya menerusi temu bual Tanya Pakar kali ini.
..
Bagaimana anda mula membangunkan Popfolio?
..
Secara global, peluang mewujudkan pengedaran muzik seperti ini sudah lama wujud kerana kebanyakan negara maju sudah lama mempraktikkan pengedaran muzik secara sah menerusi internet. Namun, di Asia, teknologi ini tidak begitu meluas kerana tidak ramai orang muda memiliki kad kredit ataupun mahir dalam pembayaran menerusi internet.
...
Kewujudan teknologi perkongsian fail secara haram menggagalkan lagi usaha menjadikan pengedaran muzik secara online memberi manfaat kepada pihak yang menghasilkan karya. Sehubungan itu, Popfolio ditubuh sebagai penyelesaian masalah ini.
...
Ditubuhkan hampir dua tahun lalu, Popfolio.net berfungsi sebagai platform bagi pengkarya seni - tidak hanya terhad kepada muzik semata-mata tetapi juga jenis hiburan lain untuk mempromosikan karya kreatif mereka dan memperoleh pendapatan.
..
Bagaimana laman Popfolio.net ini beroperasi?
..
Artis berdaftar menyumbangkan lagu mereka pada sistem kami. Ini kemudian boleh dimuat turun pengendali laman web dan blog untuk memainkannya di laman mereka. Popfolio.net menyediakan aplikasi widget yang dapat memainkan lagu dan boleh dipaparkan di mana-mana laman seperti laman web, jaringan sosial ataupun blog.
..
Semakin banyak sesebuah lagu daripada artis berkenaan dimainkan pengguna internet, semakin banyak pendapatan yang diperoleh artis melalui pecahan keuntungan pengiklanan.
...
Apa yang mempengaruhi anda untuk mewujudkannya?
...
Sebahagian besarnya dipengaruhi kelemahan infrastruktur yang dapat menyokong pengedaran muzik sah secara online. Dari situ saya melihat peluang untuk memperkenalkan sesuatu sebagai alternatif penyelesaian.
...
Namun, kemahuan dan kesabaran yang begitu tinggi diperlukan untuk melaksanakannya.
...
Pada pendapat anda, adakah muzik boleh dijual secara online?
..
Dalam suasana masa kini, secara jujurnya, tidak. Infrastruktur yang lebih meyakinkan perlu diwujudkan terlebih dulu.
..
Apakah ada kriteria tertentu yang diletakkan Popfolio dalam memilih pengkarya atau anda cuma memberi tumpuan kepada pengkarya independant saja?
...
Tidak ada kriteria khusus. Selagi mereka bergelar artis atau pemuzik dan mempunyai karya asli sendiri untuk dipromosikan, mereka boleh menggunakan perkhidmatan Popfolio.net.
..
Sejauh mana anda melihat potensi yang ada pada laman web yang anda bangunkan ini?
..
Untuk perniagaan seperti ini, kita belum dapat melihat potensi sebenar hinggalah dua atau tiga tahun akan datang kerana suasana dalam industri ini sentiasa berubah-ubah. Pun begitu, kami tetap yakin dengan apa yang diusahakan.
..
Pandangan anda mengenai perkongsian fail secara haram?
..
Ia suatu realiti yang sedang berlaku dan sukar diatasi. Pihak dalam industri sudah cuba membendung masalah ini sejak sekian lama namun tidak berjaya. Sebaliknya, di Popfolio.net kami mengekploitasi amalan perkongsian fail yang berlaku ini menjadi sesuatu yang dapat menjana keuntungan. Lebih banyak sesebuah lagu dimainkan, lebih banyak keuntungan yang dijana.
...
Justeru, bolehkah Popfolio dianggap sebagai perniagaan yang menguntungkan?
..
Masih terlalu awal untuk menentukannya. Apapun, menjadi antara yang terawal mewujudkan idea ini adalah sesuatu yang menarik.
...
Bagaimana anda melihat masa depan Popfolio?
Suasana sudah berubah. Masyarakat kini mendapatkan muzik dengan cara ini (menerusi internet dan teknologi seumpamanya). Orang dalam industri tidak harus terlalu marah kerana sudah begitu realitinya. Inilah yang dinamakan evolusi kepenggunaan. Seperti mana yang berlaku ketika kemunculan cakera padat menggantikan kaset dulu. Kita cuma perlu membiasakan diri dengan perubahan yang berlaku ini.
...
Jadi. kewujudan laman seperti Popfolio.net ini dilihat relevan dengan perubahan yang berlaku.
...
Apakah pula cabaran atau halangan yang dihadapi oleh Popfolio?
...
Industri kita tidak sebesar mana, namun terlalu banyak syarikat yang hendak melakukan perniagaan yang sama. Jadi. persaingan menjadi begitu tinggi kerana semua tertumpu kepada kelompok sasaran sama. Selain itu, ada masanya kami menghadapi cabaran dari segi dasar yang diamalkan dalam industri muzik di sesebuah negara.
...
Di sesetengah negara, undang-undang terhadap aktiviti perkongsian fail adalah sangat ketat, maka agak sukar untuk meluaskan pasaran ke tempat sebegini.
...
Nasihat dan tip kepada sesiapa yang hendak menceburi bidang seperti ini?
...
Sesiapa yang berminat, mereka harus peka terhadap peluang yang ada serta memanfaatkan apa saja teknologi yang berkaitan.
..
Popfolio dalam sepuluh tahun akan datang?
...
Waktu itu, kami berjaya 'membina semula' industri muzik tempatan.
..
Apa kelebihan yang ada pada laman web seperti Popfolio?
..
Bagi pengusaha, perniagaan seperti ini tidak memerlukan kos yang tinggi kerana beroperasi menerusi internet. Apa yang penting cuma perkakasan teknologi itu saja. Untuk pengkarya pula, ia adalah ruang yang bagus untuk meluaskan pengaruh karya mereka dan memperoleh keuntungan daripada apa yang mereka usahakan.
...
Bagi peminat muzik pula, mereka mempunyai lebih banyak pilihan hiburan dan boleh memilih hiburan yang menepati cita rasa mereka pada kadar harga yang rendah.
...
Kongsi sedikit pengalaman anda sebagai finalis dari Malaysia dalam pertandingan antarabangsa, International Young Music Entrepreneur Award 2008 anjuran British Council.
...
Sebagai finalis, saya dan sembilan peserta dari negara membangun dibawa melawat tiga bandar iaitu London, Manchester dan Liverpool di United Kingdom (UK).. Di sana, kami bertemu dengan beberapa nama penting yang bergiat dalam industri muzik.
...
Lawatan itu umpama membuka mata kami. Kami bukan saja dapat melihat kemajuan industri di UK tetapi juga mendapat maklumat mengenai industri muzik di sembilan negara lain. Seperkara yang jelas mengenai kemajuan industri muzik di UK adalah sokongan padu yang diberikan kerajaan dalam memajukan industri muzik.
...
Pembangunan bidang muzik boleh disifatkan sebagai agenda nasional negara itu, Bukan itu saja, kerjasama yang baik antara penggiat arus perdana dan bebas lebih memperkasakan usaha yang dijalankan. Sokongan dan kerjasama seperti inilah yang boleh kita jadikan contoh.
..
Sumber: Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment