Tuesday, December 08, 2009

JPV terajui industri burung walet negara

PUTRAJAYA 7 Dis. - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang menerajui industri burung walet negara menyasarkan lebih ramai pengusaha menceburi perniagaan yang mempunyai nilai tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa itu.
.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, kekurangan bekalan menyebabkan Malaysia hanya mampu memenuhi 10 peratus nilai eksport sarang burung walet ke China iaitu RM1 bilion.
.
''China, Hong Kong dan Taiwan lebih berminat dengan sarang burung walet dari Malaysia berbanding Indonesia, selatan Thailand dan selatan Vietnam kerana negara ini telah disahkan bebas dari wabak selesema burung.
.
''Hanya sekitar 50,000 rumah dijadikan tempat perusahaan sarang burung walet di seluruh negara dan kita memerlukan lebih ramai pengusaha untuk memenuhi permintaan dari China," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
.
Ketika ini Malaysia hanya mampu menyumbang 10 peratus kadar pengeluaran sarang burung walet untuk pasaran antarabangsa berbanding Indonesia (70 peratus) dan Thailand (20 peratus).
.
Abdul Aziz berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga permohonan sehari daripada orang ramai yang berminat untuk menceburi industri sarang burung walet.
.
Menurutnya, JPV juga bekerjasama rapat dengan Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia untuk mengendalikan kursus-kursus penternakan burung walet.
.
JPV juga berjaya menangani isu-isu berkaitan perladangan walet seperti di bangunan warisan, berdekatan lapangan terbang dan premis tertutup di kawasan bandar.
.
''Kos termurah untuk memulakan perusahaan ini ialah RM10,000 dan sarang burung walet boleh mencecah RM4,000 sekilogram bagi yang belum dibersihkan dan RM7,000 jika sudah dibersihkan.
.
Jelas beliau, masih ramai yang tidak mengetahui burung walet berbeza dengan burung layang-layang walaupun fizikalnya hampir sama.
.
Burung layang-layang membuat sarang daripada bahan seperti rumput atau daun tetapi burung walet membuat sarangnya daripada air liur.
.
Sarang yang dibuat bukan untuk burung berkenaan tinggal di situ sebaliknya untuk bertelur dan anaknya membesar sahaja.
.
Abdul Aziz menambah, JPV telah mewujudkan laman web burungwalit.com.my untuk pendaftaran premis burung walet sebagai langkah pemantauan, pengawalseliaan dan pendaftaran. -Utusan Online

1 comment:

PG said...

Salam Tuan.
Salam Jutawan.
Nice blog anf TQ for the good info sharing

PG
pgcare.blogspot.com