Sunday, December 09, 2012

Jatuh bangun Haji 'Suco'


Haji 'Suco' atau Ridzuan Mustapha menunjukkan air berkabonat yang telah siap dibungkus dan sedia untuk dihantar keapada pelanggan.

Biarpun berkali-kali tersungkur dalam bidang perniagaan namun ia tidak pernah mematahkan semangat Ridzuan Mustapha untuk meneruskan perniagaan air berkabonat yang diusahakan olehnya sejak belasan tahun lalu.

Masihkah anda ingat akan jenama Suco yang pernah hangat diperkatakan sekitar tahun 2000 dahulu?
Ia merupakan jenama air berkabonat buatan bumiputera sepenuhnya, namun kini pengusahanya kembali bertatih-tatih untuk berniaga setelah beberapa kali kecundang.

Semuanya bermula pada tahun 1997, apabila pada ketika itu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperkenalkan kursus membuat air berkabonat di kalangan anak tempatan.

Salah seorang peserta yang benar- benar tertarik serta yakin bahawa produk tersebut boleh dikomersialkan secara besar-besaran adalah Ridzuan sendiri.

Bermula saat itu, dia bersungguh-sungguh menyertai kursus tersebut biarpun masih berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan.

Minat yang mendalam dalam bidang perniagaan tidak menghalangnya untuk melakukan dua pekerjaan serentak.

Ujarnya, kadang kala perniagaan yang baru dimulakan tersebut turut dibantu oleh isterinya.

Seorang pekerja menyusun deretan botol air minuman sebelum dicop dengan tarikh luput.

"Apabila terdapat permintaan yang tinggi pada ketika itu saya sanggup bercuti, malah pernah bercuti tanpa gaji selama setahun untuk berniaga.

"Isteri dan keluargalah yang banyak membantu saya, malah sehingga kini sekali pun," katanya.

Setelah merasakan perniagaannya benar-benar berjaya, akhirnya Ridzuan mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dan menumpukan perhatian sepenuhnya dalam perniagaan.

Perniagaannya terus berkembang baik sehingga tahun 2000 yang mana ketika itu Ridzuan memiliki seramai 50 pekerja dan enam buah lori dan mampu mengeluarkan produk sehingga 400 kotak sehari.

Semuanya berjalan lancar sehinggalah pada tahun 2005 apabila nasib tidak menyebelahinya, akibat perbuatan khianat pihak tertentu, perjalanan perniagaannya mulai terganggu dan merudum.

Namun dalam tempoh tersebut, Ridzuan tidak mengalah dan kembali mengumpulkan modal melalui ahli keluarga sedikit demi sedikit.

Dia kembali membuka kilang air berkabonat secara perlahan-lahan, namun kali ini perniagaannya tidak serancak dahulu.

Permintaan terhadap airnya tidak lagi tinggi, akibatnya Ridzuan mengalami pusingan modal yang tidak menentu sekali gus menyukarkannya untuk melunaskan sewa kilang secara teratur.

Sekali lagi Ridzuan diuji apabila pemilik kilang tersebut mulai menyita segala peralatan dan kilang tersebut.
Segala peralatan serta kilangnya disita dan dirampas, Ridzuan jatuh 'terduduk' dan terpaksa berehat selama enam bulan.

mesin pengisian air berkabonat ke dalam botol secara automatik merupakan antara pembaharuan yang dilakukan oleh syarikat tersebut.

Jelas Ridzuan, pada ketika itu Mara telah menawarkan kepadanya tapak kilang baru di Kompleks Makanan Mara, di Batu Caves, Selangor.

"Ketika sedang menunggu kelulusan itulah pemilik kilang tersebut telah menyita segala barangan saya.
"Sekali lagi perniagaan saya jatuh merudum," katanya.

Biarpun begitu, atas sikap tidak berputus asa, Ridzuan bangkit semula dengan bantuan agensi kerajaan terutamanya Mara dengan menyediakan kilang serta beberapa bantuan lain.

Kini, Ridzuan kembali bertatih untuk memulakan perniagaanya semula dan kali ini agak berbeza berbanding sebelumnya.

Masakan tidak, jika dahulu proses membuat air berkabonat dijalankan secara manual iaitu bermula daripada proses membancuh sehingga pengisian ke dalam botol semua dilakukan oleh pekerja.

Namun kini tidak lagi apabila beliau menggunakan peralatan automatik sepenuhnya yang mampu mengeluarkan 200 kotak dalam masa satu jam sahaja.

"Kita masih dalam peringkat penyelidikan dan pengembangan (R&D) untuk mesin ini.
"Ia agak berbeza jika dibandingkan dengan kaedah manual, namun melalui teknik automatik kebersihan serta kualiti air yang dihasilkan lebih terjamin," ujarnya.

Ridzuan telah melaksanakan proses R&D tersebut hampir dua tahun dan masih lagi dalam peringkat penyesuaian.

Pembungkusan merupakan proses terakhir dikilang sebelum air minuman tersebut dihantar kepada pelanggan.

Biarpun masih dalam peringkat R&D, namun kilangnya mampu mengeluarkan hampir 5,000 botol dalam masa satu jam dan kebiasaannya akan beroperasi selama lima jam dalam sehari.

Ridzuan kini dalam proses memohon beberapa sijil seperti sijil 1 Malaysian Best dan sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP), bagi menjaga kualiti air yang dihasilkan.

Ujarnya, permintaan daripada pelanggan sehingga kini amat baik, namun masih tidak dapat memenuhi semua permintaan akibat kadar pengeluaran yang terhad.

"Apabila proses R&D serta mesin mampu untuk mengeluarkan air pada kadar maksimum kita akan terima semua permintaan ini.

"Buat masa ini kita sedang menggiatkan promosi terhadap produk Suco," katanya.
Tambahnya lagi, selain air berkabonat, kilangnya turut mengeluarkan air mineral, minuman herba serta minuman penambah tenaga.

"Kita juga sedang dalam proses uji kaji untuk mengurangkan kadar kandungan gula di dalam minuman yang dihasilkan," ujarnya.

Kini, beliau sedang giat mempromosikan produk keluarannya dan sedang dalam perancangan untuk membuka stokis di setiap negeri.

Bagi yang berminat untuk memasarkan air berkabonat keluaran Suco Industries (M) Sdn. Bhd. ini boleh menghubunginya idtalian 03-61859060 atau 03-61859062 dan untuk maklumat lanjut anda juga boleh layari laman web di www.sucoproducts.com.

No comments: