Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my
sitizarinah@hmetro.com.my
SOKONG...Jamilah sentiasa menyokong apa juga dilakukan Siraj.
KETIKA berkunjung ke rumah pemilik Siraj’s Chocolious Honey Cookies
(Siraj’s ChoC), aroma segar dan enak biskut pelbagai perisa begitu
membangkitkan selera.
Ada yang masih di dalam ketuhar manakala
selebihnya sudah dibungkus dan
dimasukkan di dalam balang untuk dihantar ke kedai.
Semua dilakukan seorang pekerja, daripada tugas membuat adunan
biskut, membakar sehingga menyusun di dalam bekas. Di ruang tamu,
seorang remaja berusia 14 tahun sedang asyik melukis menggunakan
komputer riba.
Begitu leka sekali membuat setiap lakaran namun sekali
sekala dia beralih ke dapur untuk melihat perkembangan tempahan biskut
yang disiapkan pekerjanya.
Melihat fizikal dan personalitinya yang pemalu, tentu ramai tidak
menyangka dalam usia muda dia sudah memiliki perniagaan sendiri. Malah
dalam tempoh dua tahun, Ahmad Sirajuddin Ahmad Fakhri sudah mampu
menggaji seorang pekerja untuk menyambung tugas yang dilakukan sebelum
ini.
Semuanya bermula ketika Ahmad Sirajuddin atau mesra disapa Siraj yang ketika itu berusia 11 tahun, berasa sedih kerana teman baik sejak di sekolah tadika ingin berpindah ke negara asalnya, Afrika Selatan. Bermula dari situ, Siraj sugul, kurang selera makan dan kurang menumpukan perhatian di dalam kelas kerana tiada teman untuk meluahkan masalah, berkongsi kegembiraan dan belajar bersama.
Menyedari hal ini, ayah Siraj, Ahmad Fakhri Hamzah mencadangkan agar suatu hari nanti mereka melancong ke Afrika Selatan dan melawat rakan baik Siraj. Namun bagi seorang kanak-kanak, jumlah keseluruhan tambang yang mencecah RM4,000 amat besar ertinya walaupun ibu bapa Siraj mampu menyediakannya. Dari sini, tercetuslah idea menjual biskut pelbagai perisa bagi membiayai kos keseluruhan perjalanan Siraj ke Afrika Selatan.
Menurut ibu Siraj, Jamilah Samian, sejak berusia tiga tahun Siraj sangat suka melakukan eksperimen. Tidak seperti kanak-kanak lain yang gemar bermain bola atau kenderaan, masa Siraj dipenuhi dengan membuat pelbagai uji kaji menggunakan apa saja barang yang ditemuinya.
“Kadang-kadang Siraj memotong dan mematahkan barang yang ditemuinya. Malah dia menampal, memadankan atau menyusun menjadi satu bentuk barang yang cantik dan kreatif. Ketika sudah mampu membaca buku, kegemaran Siraj ialah The Big Book of Experiment yang padat dengan lebih 200 uji kaji saintifik,” kata Jamilah.
Menariknya, eksperimen Siraj kebanyakannya membabitkan bahan masakan. Malah dia sendiri membuka buku resipi ibunya dan mencuba pelbagai menu yang terdapat di dalamnya. Siraj akan menyemak resipi, mengubah suai sedikit demi sedikit ramuannya sehingga menjadi rasa yang enak dan lazat mengikut cita rasanya sendiri.
“Ketika ini kami biarkan saja apa yang dilakukan Siraj kerana beranggapan ia sesuatu yang positif terutama dalam proses perkembangan kanak-kanak. Saya tidak marah apabila dia suka ke dapur dan menyepahkan barang dan pada masa sama saya memperkenalkan pelbagai peralatan yang tidak membahayakan sesuai dengan usianya.
“Dari situ saya tahu Siraj seorang yang gemar membuat eksperimen dan ini secara tidak langsung membantu minda menjadi lebih kreatif. Apa yang membuatkan Siraj gembira apabila mendapati campuran bahan yang berbeza akan memberikan rasa dan hasil yang berlainan.
“Daripada semua resipi yang sudah diuji, dia akhirnya berjaya menghasilkan adunan resipi istimewa iaitu biskut berperisa coklat dengan pelbagai perisa tambahan,” katanya.
Bagi menjadikan impian Siraj satu kenyataan, sebagai ibu, Jamilah hanya membantu dengan membelikan bahan yang diperlukan seperti tepung, gula dan coklat manakala tugas menimbang, mencampurkan bahan dan membentuk biskut semuanya dilakukan Siraj. Selepas siap, Jamilah membantu memasukkannya ke dalam ketuhar kerana khuatir Siraj tidak mampu mengendalikan kepanasan ketuhar.
Bagi memberi gambaran mengenai jualan serta keuntungan yang diperlukan, ayah Siraj menetapkan jumlah yang harus dikumpul bagi membolehkan dia ke Afrika Selatan. Menerusi cara ini, ia akan lebih menyedarkan Siraj banyak lagi perkara yang harus dilakukan untuk mencapai impiannya.
Siraj tidak keseorangan dalam usaha memasarkan biskut buatannya apabila abangnya, Ahmad Saifuddin, 27, Ahmad Salahuddin, 24, Ahmad Safiuddin, 19, Ahmad Sharifuddin, 16, dan kakak, Alia Nadhirah, 22, membantu membuka ruang iklan di dalam laman sosial facebook dan blog menerusi http://sirajschoc.com supaya lebih ramai mengetahui mengenai perniagaannya dan membeli menerusi dalam talian.
Mereka juga berusaha membuat kad perniagaan dan menjual di kolej dan pejabat masing-masing. Hasilnya dalam jangka masa enam bulan saja, Siraj berjaya mengumpul lebih daripada jumlah yang diperlukan untuk ke Afrika Selatan.
“Memang Siraj sangat gembira kerana dapat bertemu kawan baiknya di Afrika Selatan pada November 2010. Lebih membuatkannya sangat bermakna apabila keseluruhan tambang ke sana menggunakan hasil daripada penjualan biskut coklat miliknya. Bukan itu saja, atas usaha keras yang ditunjukkan pada 2011, kami membawa Siraj bercuti ke Australia menggunakan hasil keuntungan Siraj’s ChoC,” kata Jamilah yang menjual biskut menerusi sistem ejen kepada sesiapa yang berminat.
Kini selepas dua tahun, Siraj’s ChoC mempunyai logo perniagaan hasil bimbingan ibu bapa dan adik-beradik yang lain. Siraj juga sudah mengambil seorang pekerja bagi menguruskan kerja membuat biskut manakala dia hanya memantau dari segi urusan kualiti biskut yang dihasilkan.
Siraj juga diajar melakukan kerja amal apabila setiap bulan, hasil keuntungan diberikan kepada pertubuhan kebajikan atau mereka yang kurang bernasib baik. Dengan cara ini, dia mulai mengenal erti sedekah dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan.
Menurut Jamilah, setiap anak mempunyai kecenderungan masing-masing dalam bidang yang mereka minati. Tanggungjawab ibu bapa adalah menyediakan asas serta menyokong apa saja yang disukai anak-anak dengan cara yang betul.
Mengajar anak-anak mengenai pentingnya menghargai sesuatu serta berusaha mendapatkan barangan yang menjadi idaman mereka sesuatu yang harus dimulakan sejak kecil. Ini kerana anak-anak pada zaman sekarang berbeza dengan dulu yang hidup dalam kemewahan apabila ibu bapa menyediakan semua keperluan bagi memenuhi permintaan mereka.
“Sekiranya apa yang diminta melebihi daripada peruntukan, sepatutnya ibu bapa boleh mengajar menabung untuk mendapatkan sesuatu. Dengan cara ini mereka sendiri tahu tidak semua mampu diperoleh dengan mudah tanpa disertai usaha bersungguh-sungguh,” katanya yang bukan saja menerapkan teknik ini kepada Siraj malah kelima-lima anaknya yang lain.
Misalnya Alia yang meminati seni lukis, dia berusaha mengumpul dana makan malam sekolahnya dengan menjual penanda buku peribadi. Bukan itu saja, dia bekerja mencuci kereta bersama kawan-kawan supaya dia dapat makan di restoran pilihan mereka malah ketika menunggu keputusan peperiksaan, Alia menjadi guru sambilan dengan mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di sebuah pusat tuisyen dengan bayaran RM500. Jumlah itu cukup untuk membeli tablet melukis idamannya yang berharga RM500 tanpa menyusahkan ibu bapa.
Dalam hal ini, menurut Jamilah, penting untuk mengimbangi dua perkara utama iaitu keinginan anak-anak memperoleh pendapatan serta melatih anak meluangkan masa dan tenaga untuk orang lain secara sukarela tanpa mengharapkan balasan.
“Ini kerana dalam melatih anak-anak mencari wang simpanan sendiri, ibu bapa tentunya tidak mahu anak-anak menjadi mesin pencari harta sehinggakan hanya wang yang berlegar dalam fikiran mereka,” ujarnya. -Harian Metro
No comments:
Post a Comment