Thursday, February 28, 2013

Ternak lobster


SAIZ anak udang karang yang mula diternak.

UDANG karang atau lebih dikenali sebagai lobster merupakan hidangan enak tetapi berharga mahal.

Kebiasaannya hidupan laut tersebut diperoleh daripada habitat liarnya.
Namun, akibat tekstur isinya yang sedap dan hidangannya menjadi simbol kekayaan seseorang menjadikan permintaan terhadapnya meningkat saban tahun.

Oleh itu, bilangan udang karang di habitat liarnya dikatakan semakin merosot apabila jumlah tangkapan yang diperoleh oleh nelayan saban hari semakin berkurangan.

Menyedari fenomena tersebut, seorang penternak hidupan laut di Semporna, Sabah, Shamsudin Pua memulakan penternakan udang karang bagi menampung permintaan yang semakin tinggi.

Ujarnya, pendekatan tersebut diambil berikutan kesukaran nelayan untuk memperolehi tangkapan udang karang yang memuaskan kini.

Tambahnya lagi, idea untuk menternak udang karang itu juga timbul daripada minat yang mendalam terhadap hidupan laut tersebut.

Shamsudin tidak seperti penternak hidupan laut lain kerana berani mengambil risiko menternak udang karang yang tidak diusahakan oleh sesiapa pun sebelum ini.

‘‘Sepanjang pemerhatian saya, masih tiada nelayan ataupun penternak di sekitar Sabah yang menternak udang karang.

“Dan ini (ternakan udang karang) merupakan yang pertama di Sabah dan juga negara ini," katanya ketika ditemui di Pulau Bait, Semporna, Sabah baru-baru ini.

Jelas Shamsudin lagi, ternakan udang karang yang diusahakannya itu masih di peringkat percubaan.

“Udang karang bukanlah sesuai untuk diternak, namun ada beberapa negara seperti Indonesia telah berjaya menternak hidupan tersebut Indonesia," katanya.

Malah, Shamsudin sendiri mendapatkan benih udang karang dari negara tersebut pada kadar harga RM10 seekor bagi saiz hanya satu inci.

Sebagai permulaan, Shamsudin menyediakan hanya 40 buah sangkar sahaja untuk menempatkan hampir 7,000 ekor benih udang karang.

Katanya harga udang karang yang mahal merupakan serta permintaan yang tinggi di pasaran pendorong beliau mengusahakan ternakan tersebut.

‘Jika di Kota Kinabalu sekilogram lobster berharga RM160, Semporna (RM140) dan jika dihantar ke Kuala Lumpur harganya mencecah RM186 sekilogram," katanya.

Biarpun biasa dengan keadaan laut di Semporna, namun katanya ia bukan jaminan bahawa ternakan udang karangnya akan membuahkan hasil.

Antara cabaran yang dihadapi dalam menternak udang karang adalah faktor perubahan cuaca, seperti taburan hujan yang kerap untuk sepanjang tahun.

Selain itu, udang karang juga mudah terdedah kepada serangan penyakit.

Dalam pada itu, proses memelihara udang karang juga bukanlah mudah kerana haiwan tersebut amat cerewet dalam pemilihan makanan.

“Di sini udang karang diberikan isi siput dan ikan yang ditangkap sendiri. 

Udang ini tidak makan makanan tambahan yang biasa diberikan kepada udang lain yang biasa diternak," katanya.

Oleh itu, pekerja beliau perlu sering ke laut untuk menjaring ikan untuk dijadikan makanan segar kepada udang karang yang diternak.

Antara spesies yang diternak Shamsudin adalah bamboo lobster serta green lobster.

Kedua-dua jenis udang karang tersebut akan dihantar ke pasaran sekitar Kuala Lumpur apabila dituai kelak.

Buat masa ini, udang karang yang diternak masih di peringkat pra-matang dan belum sedia untuk dijual di pasaran.

Berat yang ideal seekor udang karang untuk dipasarkan adalah antara 700 hingga 800gram (g).

Jelas Shamsudin, penternakan udang karang juga memerlukan kepakaran khas justeru beliau telah menjemput beberapa pakar penternakan udang karang daripada Filipina untuk memberi tunjuk ajar.

Selain itu, kos yang mahal juga merupakan cabaran kepada penternakan udang karang.

Sehingga kini, Shamsudin telah membelanjakan hampir RM1 juta untuk projek yang didakwa pertama kali dilaksanakan, namun pulangan masih belum kelihatan kerana udang karangnya belum dipasarkan.

Keberanian Shamsudin mengambil risiko menternak hidupan laut yang kini sukar untuk diperolehi tersebut wajar dipuji dan diberi perhatian serta galakkan agar lebih ramai usahawan yang berminat untuk mencuba.

Apa yang diharapkan adalah lebih ramai lagi usahawan serta penternak di negara ini yang berani mengambil risiko melakukan pembaharuan dalam sektor tersebut seperti mana yang dilakukan oleh Shamsudin.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130225/ag_02/Ternak-lobster#ixzz2M9wAb3iA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, February 20, 2013

Ceburi bidang keusahawanan


Penganjuran kursus pemprosesan makanan memberi peluang golongan muda menceburi bidang keusahawanan.

SEBAGAI sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam melaksanakan agenda kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan Jabatan Pertanian kini sedang membuka peluang kepada semua belia dan beliawanis untuk menyertai Kursus Keusahawanan Kemahiran.

Kursus yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian sejak tahun 2002 adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mempunyai kemahiran teknikal dan keusahawanan serta berupaya menguruskan perusahaan makanan berasaskan pertanian secara serius.

Ia juga bagi memenuhi permintaan makanan berproses yang semakin meningkat dewasa ini.

Merujuk kepada kenyataan Jabatan Pertanian, sehingga 2012, seramai 596 peserta telah dilatih dan berjaya menamatkan kursus tersebut.

Antara objektif Kursus Keusahawanan Kemahiran diadakan ialah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai pemprosesan produk-produk makanan.

Kursus itu turut memberi penekanan kepada aspek Amalan Kebersihan Yang Baik (GHP) dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) bagi menjamin tahap keselamatan produk yang dihasilkan.

Kedua-dua aspek amalan tersebut merupakan pra syarat utama untuk memperolehi pengiktirafan Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal (HACCP)

Selain itu, peserta juga diberi pendedahan mengenai Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI)ke atas produk proses yang dihasilkan.

Malah, peserta turut dilatih dalam aspek keusahawanan meliputi pengurusan keusahawanan kecil, pengurusan kewangan, pemasaran, kompetensi ICT serta menyediakan Rancangan Perniagaan yang betul.

Di antara produk yang akan dipelajari adalah pelbagai produk sejuk beku seperti karipap, roti canai, donut, kasturi, roti bom, pelbagai produk pembuatan roti (bakery) seperti roti, kek, pastri dan biskut.

Antara lain adalah produk kelapa seperti kerisik, santan, dodol, serikaya, biskut kelapa, pes rendang dan gula-gula kelapa.

Malahan, pelbagai produk hasilan buah seperti jem buah-buahan, kordial, puri, ban, kek buah, buah bersalut dan pelbagai produk makanan ringan seperti kacang bersalut, buah rotan, kuih tiram, popia mini juga turut diajar dalam masa enam bulan kursus tersebut dijalankan.

Bagi yang berminat terdapat syarat-syarat permohonan yang perlu dipatuhi antaranya kursus tersebut terbuka kepada semua belia dan beliawanis warga negara Malaysia yang berumur antara 20 dan 40 tahun pada 1 Januari 2013 (dilahirkan pada 1.1.1973 sehingga 1.1.1993).

Peserta juga sekurang-kurangnya memiliki berkelulusan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM).

Malah anda juga perlu memiliki tubuh badan yang sihat serta amat berminat untuk meneruskan projek selepas tamat kursus.

Untuk pengetahuan anda juga, para peserta yang telah terpilih akan menetap di asrama yang telah disediakan sepanjang tempoh berkursus.

Antara kemudahan yang disediakan sepanjang kursus berlangsung adalah tempat tinggal (asrama) serta makan dan minum.

Pihak Jabatan Pertanian juga akan terus membimbing dan memantau tahap kemajuan peserta lepasan Pusat Bimbingan Usahawan (PBU) yang mana peserta yang telah menjalankan projek akan diberikan khidmat nasihat secara berterusan dari pegawai pembimbing Jabatan Pertanian terlibat.

Untuk mereka yang berada di daerah-daerah mahupun negeri anda juga boleh berhubung dengan Jabatan Pertanian Negeri atau Pejabat Pertanian Daerah yang berhampiran.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130218/ag_02/Ceburi-bidang-keusahawanan#ixzz2LPxP77Dc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, February 11, 2013

Teknologi GM


Tanaman yang menggunakan teknologi GM bukan sahaja meningkatkan hasil malah khasiat pemakanan, rasa, kualiti dan daya tahan terhadap penyakit dapat diperkasakan.

SEPERTI rakan sejawatan mereka di negara maju, penyelidik tempatan percaya Teknologi pengubahsuaian genetik (GM) mampu meningkatkan pengeluaran makanan di Malaysia pada masa akan datang.

Tanaman GM bukan saja membantu meningkatkan hasil dan khasiat pemakanan, tetapi juga menambah baik rasa serta kualiti dan memperkasa daya tahan terhadap penyakit serta musuh, yang sekali gus dapat mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak dan racun herba.

Malaysia melakar kejayaan besar dalam tanaman GM apabila tanaman pengubahsuaian genetik pertamanya akan menghijaukan kebun atau ladang di negara ini dalam tempoh enam hingga lapan tahun akan datang.

Tanaman GM bukan saja membantu meningkatkan pengeluaran melalui penggunaan kadar sumber yang lebih rendah, tetapi juga dapat mengatasi pelbagai isu berkaitan khasiat pemakanan dan kesihatan yang mendepani masyarakat Malaysia seperti yang didedahkan Timbalan Pengarah Program Biologi Molekular dan Kejuruteraan Genetik Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (Mardi) Dr. Indu Bala Jaganath.

“Walaupun Malaysia tidak berada di ambang ancaman krisis makanan, ia dilanda kebimbangan berkaitan khasiat pemakanan berikutan meningkatnya kes penyakit komunal seperti sakit jantung (CVD), kencing manis dan kanser.
Pengubahsuaian Genetik (GM) boleh digunakan untuk meningkatkan tahap khasiat pemakanan dan terapeutik tanaman," kata Dr. Indu, dengan menyebut padi jenis transgenic golden yang sedang dihasilkan Institut Penyelidikan Padi Antarabangsa (IRRI) bagi menangani kes kekurangan Vitamin A, sebagai contoh.

MARDI mengambil keputusan menghasilkan sejenis padi yang diubahsuai genetiknya dan memiliki ciri-ciri lebih ampuh, termasuk mampu menyesuaikan diri dengan perubahan iklim seperti kemarau dan banjir serta mampu menahan diri daripada serangan makhluk perosak dan penyakit.

“Kita tidak boleh bergantung pada kaedah pertanian konvensional semata-mata.

“Kita memerlukan inovasi teknologi yang ampuh untuk merevolusikan pertanian sedia ada bagi mencapai tahap sara diri dari segi makanan.

“Kita perlu melakukan transformasi pertanian secara radikal.

“Mungkin, teknologi adalah kuncinya. Kita tidak boleh memandang remeh teknologi GM dalam usaha kita untuk menangani cabaran global dari segi pertambahan penduduk, yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim dan kawasan subur yang terhad keluasannya," kata beliau.

Dr. Indu berkata, MARDI sedang menghasilkan padi GM yang kebal daripada serangan penyakit hawar upih akibat serangan kulat Rhizoctonia solani.

Hawar upih adalah penyakit utama yang menjejaskan pengeluaran hasil dan kualiti bijirin serta mengakibatkan petani menanggung kerugian besar.

Oleh kerana jenis padi yang kebal atau mampu menahan penyakit itu belum ada, maka petani dan penyelidik tidak boleh semat-mata bergantung pada kaedah pembiakan konvensional untuk meningkatkan daya tahan terhadap penyakit itu.

Memandangkan belum terdapat bahan kimia atau amalan pertanian yang berkesan untuk mengawal penyakit ini, maka Mardi mengguna pakai pendekatan GM untuk membangunkan jenis padi yang kebal terhadap serangan penyakit itu.

“Kami sedang mengusahakannya di peringkat makmal dan ladang.
Langkah seterusnya ialah membuat penilaian di lapangan, yang melibatkan analisis keselamatan bio secara komprehensif.

“Kita akan dapat melihat tanaman GM pertama di Malaysia enam hingga lapan tahun lagi.

Bagaimanapun, semuanya bergantung pada kejayaan percubaan dan kestabilan gen yang digunakan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Bioteknologi Mardi Dr Umi Kalsom Abu Bakar berkata betik transgenik yang memiliki trait tangguh masak sedang dihasilkan bagi membolehkan buah-buahan ini mempunyai hayat simpanan lebih panjang dan mengekalkan kualitinya sewaktu tempoh penghantaran."

Sekiranya kita ingin mengeksport betik kita melalui udara, kosnya amat tinggi. Untuk mengurangkan kerugian pasca tuaian dan meningkatkan kadar bolehpasaran betik, Mardi sedang menghasilkan betik yang mampu melambatkan proses masaknya bagi menolong pengeksport.

“Idea untuk menghasilkan betik yang memiliki hayat simpanan lebih panjang bagi tujuan eksport telah wujud sejak lama dulu, tapi kami tidak mempunyai trait yang dikehendaki.

Kini, oleh kerana kami sudah mempunyai traitnya, maka kami berharap dapat memajukannya lagi dan mengkomersialkannya tidak lama lagi," kata beliau.

Beberapa betik transgenik daripada jenis Eksotika yang memiliki ciri-ciri yang mampu menangguhkan tempoh masak, sudah dihasilkan dan penilaian terhadap percubaan di lapangan akan dibuat untuk mengesahkan trait yang dicari bagi betik GM.

Dr. Umi Kalsom berkata selain itu, MARDI juga menghasilkan jenis betik yang mampu menahan diri daripada penyakit mati rosot yang boleh memusnahkan tanaman ini.

Penyakit mati rosot pertama kali dilaporkan berlaku pada 2003 dan penyakit ini menyebabkan jumlah eksport betik menjunam daripada 57,000 tan metrik pada 2003 kepada 10,000 tan metrik pada 2008, melibatkan kerugian berjumlah RM51.5 juta.

“Penyakit mati rosot betik menjadi ancaman kepada industri perladangan betik di Malaysia. Saintis kami sedang bekerja keras untuk mengenal pasti gen yang mampu menahan serangan penyakit ini," katanya.

- LINDA KHOO
dan NUR SYUHADA SHAMSUDIN


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130211/ag_01/Teknologi-GM#ixzz2KbMTxmba
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, February 07, 2013

Tanpa pendidikan tinggi mampu jadi tauke bilis


IkAN bilis yang tidak berkualiti diproses menjadi budu.

RAMAI penggemar ikan bilis mengetahui di mana mereka boleh mendapatkan hasilan laut itu yang sedap dan mungkin pada harga murah.

Antaranya, hasilan laut itu banyak didapati di Tawau dan di Daerah Kunak Sabah yang diusahakan penduduk di situ menerusi projek kelong atau lebih dikenali di kalangan masyarakat tempatan sebagai bagang.

Satu lagi destinasi menarik ialah di Pulau Pangkor, Perak yang menjadi pengeluar ikan bilis mata biru yang dianggap terbaik di rantau ini.

Tapi jangan lupa, Kampung Fikri di Setiu Terengganu juga menawarkan ikan bilis kering yang tidak kurang popular di pantai Timur.

Bilis Setiu meskipun masih belum dikenali sehebat Pulau Pangkor dan Tawau, tapi hasilan laut yang yang begitu sedap dan ramai penggemarnya boleh menjadi saingan kepada jenama sedia ada ketika ini.

Di situ, seorang pengeluar bilis begitu dikenali oleh penduduk tempatan ialah Omar Ismail, 53, yang juga bapa kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hairuddin.

Memiliki iras wajah hampir serupa dengan anak sulungnya itu, Omar menjadi nelayan pukat ketika usia muda dan menempuh liku-liku hidup yang dihimpit kesusahan.

''Saya pasti tidak dapat melupai masa sukar ketika baring di celah-celah bakul berisi ikan bilis setiap kali bapa saya balik dari laut dan perlu merebus hasil tangkapan tersebut," kata Omar ketika ditemui di jeti di Kampung Fiktri, Setiu Terengganu baru-baru ini.

Omar ditemui pada kunjungan wakil Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu bagi meninjau projek-projek persatuan itu di Setiu baru-baru ini.

Sambil melepaskan pandangan jauh memerhatikan pekerjanya membuat kerja-kerja menjemur dan menggred ikan bilis, Omar menarik nafas sebelum menyambung bicara.

Menurut Omar, minatnya yang mendalam untuk turun ke laut ketika masih di bangku sekolah mendorongnya mengikut bapanya, Ismail Abdul Rahman meskipun pada hari persekolahan.

Malah katanya, dia sanggup keluar awal pagi mengikut bapanya yang berasal dari Kampung Payang, ke laut untuk menangkap bilis dan hanya balik ke darat selepas lima hari.

Omar yang berasal dari Kampung Fikri, Setiu memberitahu, minat mendalam itu juga mendorong dia menyambung kerjaya bapanya menjadi nelayan pukat bilis dan akhirnya tidak sempat menamatkan persekolahan hingga tingkatan tiga.

''Saya mula mula mengambil alih bot bilis bapa saya ketika berumur 30 tahun menggunakan bot kecil dan hanya bertukar kepada yang lebih besar bersaiz 65 kaki x 20 kaki selepas 13 tahun menggunakannya," katanya.
Omar dan pekerjanya menggunakan dua pendekatan untuk menangkap ikan bilis di laut.

Pada bulan September Oktober, Februari hingga April, mereka keluar pada waktu siang dari hari Sabtu hingga Khamis.

Pada bulan-bulan tersebut dia keluar pada awal pagi balik semula ke darat menjelang waktu Zuhur.

Pada bulan Mei hingga Ogos, mereka ke luar ke laut pada waktu malam iaitu bermula pukul 4 petang hingga 9 pagi dari hingga Sabtu hingga Khamis.

''Pada musim tengkujuh kira-kira dari November hingga Januari kami tidak ke laut," ujarnya.

Sebagai nelayan, ombak laut bukanlah satu cabaran yang perlu dirisau tetapi mereka terpaksa berhati-hati bagi mengelak daripada memasuki kawasan larangan dan kawasan utama ialah sekitar 15 batu nautika dari pantai.

Biasanya mereka akan membawa balik antara 20 dan 40 bakul atau seberat kira-kira 45 kilogram (kg) sebakul dengan anggaran 1.8 tan bilis basah sehari.
Daripada jumlah itu, kira-kira 600 kilogram daripadanya dapat menghasilkan bilis kering.

Ikan bilis perlu di rebus di atas bot sebelum dinaikkan ke darat dan dijemur dan digredkan.

Ikan bilis dijemur secara terbuka di bawah terik matahari selama sehari suntuk atau menggunakan ketuhar besar bersuhu 65 darjah Celsius selama sembilan jam.

Ikan digred kepada dua jenis itu bilis kasar dan halus.

''Biasanya ikan bilis yang dikeringkan secara semula jadi atau menggunakan panas matahari lebih sedap," ujar Omar yang memasarkan keluarannya ke Kuala Terengganu.

Omar bukan satu-satunya nelayan ikan bilis di Setiu kerana terdapat dua lagi pengusaha bot bilis bersaiz besar turut beroperasi di situ selain bot-bot kecil lain.

Bilis Setiu katanya lebih keras berbanding di pantai barat tetapi sesuai untuk semua jenis masakan terutama nasi lemak.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130204/ag_01/Tanpa-pendidikan-tinggi-mampu-jadi-tauke-bilis#ixzz2KBQLSr8r
© Utusan Melayu (M) Bhd
 

Monday, February 04, 2013

Bangunkan projek guna BMO


Zainal Ayub menunjukkan penyakit batang reput pada pokok buah naga yang ditanamnya di Kampung Parit Kudus Pontian Johor.

PENGGUNAAN teknologi mikroorganisma berfaedah (BMO) atau mikroorganisma baik (EM) dalam pertanian sememangnya bukan sesuatu yang baru kerana ia sudah mula diperkenalkan di negara in sejak lewat 90-an.

Namun penggunaan teknologi BMO yang dihasilkan oleh seorang profesor dari Universiti Ryukyus, Okinawa Jepun, Dr. Teruo Higa secara berleluasa di negara ini hanya bermula sekitar pertengahan tahun 2000.

BMO adalah campuran mikroorganisma berfaedah terdiri daripada bakteria fotosintetik, bakteria laktik asid, yis, aktinomaiset dan fungi (kulat) penapaian yang menjanjikan kebaikan kepada tanaman berbanding ditanam secara konvensional.

Antara ciri kebaikan teknologi tersebut ialah menggalakkan pertumbuhan pembesaran, penghasilan dan kemasakan buah.

Teknologi baja seumpama itu juga mampu meningkatkan kapasiti fotosintesis pokok, menambah kebolehan bahan organik sebagai baja, meningkatkan ketahanan tumbuhan terhadap penyakit, memperbaiki keadaan fizikal tanah.

Menyedari potensi serta kelebihan yang ada pada teknologi BMO itu, sebuah syarikat bumiputera, Bifa Farms di Gelang Patah, Johor mengambil langkah tepat dengan menjalankan perusahaan menghasilkan baja berasaskan teknologi BMO.

Pengarahnya, Rahmat Md. Amin berkata, dia mula menceburi bidang itu pada tahun 2007 dengan mendirikan sebuah kilang memproses BMO tersebut iaitu jenis baja cecair dan organik dengan modal sebanyak RM300,000.

"Alhamdulillah, buat masa ini, kita berjaya menghasilkan tiga jenis baja cecair dan satu jenis baja organik di atas tanah seluas 2.4 hektar dan mampu menghasilkan 1,000 tan sebulan," katanya.

Menurut beliau, jenis baja yang dihasilkan syarikatnya dikenali sebagai Baja Bio OrganikBifa Microb Growth Solution (BMGs), Bifa Microb Growth K2O (BM Super K) dan Bifa Mikrob Protection (BMP).

Tambahnya, proses penghasilkan baja tersebut juga mudah, malah ia menggunakan bahan-bahan yang senang diperoleh.

''Sebagai contoh, terdapat lima langkah dalam menghasilkan baja bio organik iaitu bahan seperti tinja (najis) ayam dikisar secara kasar sebelum dicampur dengan baja dan diperam dan melalui proses pembungkusan serta bebas bahan kimia.
"Semua jenis baja itu dicampur dengan BMO sebelum dibungkus dalam botol dan dipaketkan. Baja tersebut sesuai digunakan ke atas pelbagai jenis tanaman kelapa sawit, getah, padi, pokok buah-buahan, landskap dan padang golf," ujar Rahmat.

Beliau berkata, setiap baja yang dihasilkan itu mempunyai fungsi yang berlainan iaitu baja bio organik mampu merawat dan membaik pulih tanah sekali gus mengekalkan tahap kesuburan dalam jangka panjang.

BMGs pula mampu menambah kapasiti fotosintesis dan kehijauan tanaman selain mempercepatkan percambahan benih dan tunas pokok BM Super K pula bertindak mempercepatkan mematangkan tanaman dan BMP merupakan pelindung serangan dan penyakit.

"Kita pernah menjalankan kajian penggunaan baja bio organik ke atas tanaman padi dan hasilnya anak pokok padi mencecah ketinggian 78.7 sentimeter pada hari ke-60 berbanding 71 sentimeter menggunakan baja kimia.

"Malah berat padi yang dihasilkan meningkat sebanyak 886 kilogram iaitu dari 1,624 kepada 2,510 kilogram," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor, Adnan Mat Kasim berkata, pihaknya sedang giat mempromosikan penggunaan BMO kepada mereka yang terlibat sekali gus sudah menjadi satu agenda di negeri ini.

Beliau memberitahu, Johor telah mula menggunakan teknologi BMO secara meluas bermula pada 2007, malah kerajaan negeri juga menyokong usaha tersebut dengan matlamat membawa Johor ke arah pertanian unggul, lari daripada cara konvensional.

"Kerajaan negeri telah mengarahkan supaya dua pusat mikrob memproses BMO ini diwujudkan di setiap dewan undangan negeri (DUN)sejajar usaha menjana pendapatan tambahan kepada golongan terlibat.

"Di Johor kini sudah mempunyai sebanyak 112 pusat mikrob dan bilangan pusat seumpama itu akan bertambah. Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2,000 bagi setiap pusat tersebut," katanya.

Ini kerana, tambahnya, penggunaan teknologi BMO yang bukan sahaja boleh digunakan ke atas tanaman, malah ternakan dan sungai itu selamat daripada bahan kimia dan jelas mampu meningkatkan hasil pertanian, ternakan dan membersihkan sungai.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130128/ag_01/Bangunkan-projek-guna-BMO#ixzz2JuDeQGpy
© Utusan Melayu (M) Bhd