Thursday, February 07, 2013

Tanpa pendidikan tinggi mampu jadi tauke bilis


IkAN bilis yang tidak berkualiti diproses menjadi budu.

RAMAI penggemar ikan bilis mengetahui di mana mereka boleh mendapatkan hasilan laut itu yang sedap dan mungkin pada harga murah.

Antaranya, hasilan laut itu banyak didapati di Tawau dan di Daerah Kunak Sabah yang diusahakan penduduk di situ menerusi projek kelong atau lebih dikenali di kalangan masyarakat tempatan sebagai bagang.

Satu lagi destinasi menarik ialah di Pulau Pangkor, Perak yang menjadi pengeluar ikan bilis mata biru yang dianggap terbaik di rantau ini.

Tapi jangan lupa, Kampung Fikri di Setiu Terengganu juga menawarkan ikan bilis kering yang tidak kurang popular di pantai Timur.

Bilis Setiu meskipun masih belum dikenali sehebat Pulau Pangkor dan Tawau, tapi hasilan laut yang yang begitu sedap dan ramai penggemarnya boleh menjadi saingan kepada jenama sedia ada ketika ini.

Di situ, seorang pengeluar bilis begitu dikenali oleh penduduk tempatan ialah Omar Ismail, 53, yang juga bapa kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hairuddin.

Memiliki iras wajah hampir serupa dengan anak sulungnya itu, Omar menjadi nelayan pukat ketika usia muda dan menempuh liku-liku hidup yang dihimpit kesusahan.

''Saya pasti tidak dapat melupai masa sukar ketika baring di celah-celah bakul berisi ikan bilis setiap kali bapa saya balik dari laut dan perlu merebus hasil tangkapan tersebut," kata Omar ketika ditemui di jeti di Kampung Fiktri, Setiu Terengganu baru-baru ini.

Omar ditemui pada kunjungan wakil Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Setiu bagi meninjau projek-projek persatuan itu di Setiu baru-baru ini.

Sambil melepaskan pandangan jauh memerhatikan pekerjanya membuat kerja-kerja menjemur dan menggred ikan bilis, Omar menarik nafas sebelum menyambung bicara.

Menurut Omar, minatnya yang mendalam untuk turun ke laut ketika masih di bangku sekolah mendorongnya mengikut bapanya, Ismail Abdul Rahman meskipun pada hari persekolahan.

Malah katanya, dia sanggup keluar awal pagi mengikut bapanya yang berasal dari Kampung Payang, ke laut untuk menangkap bilis dan hanya balik ke darat selepas lima hari.

Omar yang berasal dari Kampung Fikri, Setiu memberitahu, minat mendalam itu juga mendorong dia menyambung kerjaya bapanya menjadi nelayan pukat bilis dan akhirnya tidak sempat menamatkan persekolahan hingga tingkatan tiga.

''Saya mula mula mengambil alih bot bilis bapa saya ketika berumur 30 tahun menggunakan bot kecil dan hanya bertukar kepada yang lebih besar bersaiz 65 kaki x 20 kaki selepas 13 tahun menggunakannya," katanya.
Omar dan pekerjanya menggunakan dua pendekatan untuk menangkap ikan bilis di laut.

Pada bulan September Oktober, Februari hingga April, mereka keluar pada waktu siang dari hari Sabtu hingga Khamis.

Pada bulan-bulan tersebut dia keluar pada awal pagi balik semula ke darat menjelang waktu Zuhur.

Pada bulan Mei hingga Ogos, mereka ke luar ke laut pada waktu malam iaitu bermula pukul 4 petang hingga 9 pagi dari hingga Sabtu hingga Khamis.

''Pada musim tengkujuh kira-kira dari November hingga Januari kami tidak ke laut," ujarnya.

Sebagai nelayan, ombak laut bukanlah satu cabaran yang perlu dirisau tetapi mereka terpaksa berhati-hati bagi mengelak daripada memasuki kawasan larangan dan kawasan utama ialah sekitar 15 batu nautika dari pantai.

Biasanya mereka akan membawa balik antara 20 dan 40 bakul atau seberat kira-kira 45 kilogram (kg) sebakul dengan anggaran 1.8 tan bilis basah sehari.
Daripada jumlah itu, kira-kira 600 kilogram daripadanya dapat menghasilkan bilis kering.

Ikan bilis perlu di rebus di atas bot sebelum dinaikkan ke darat dan dijemur dan digredkan.

Ikan bilis dijemur secara terbuka di bawah terik matahari selama sehari suntuk atau menggunakan ketuhar besar bersuhu 65 darjah Celsius selama sembilan jam.

Ikan digred kepada dua jenis itu bilis kasar dan halus.

''Biasanya ikan bilis yang dikeringkan secara semula jadi atau menggunakan panas matahari lebih sedap," ujar Omar yang memasarkan keluarannya ke Kuala Terengganu.

Omar bukan satu-satunya nelayan ikan bilis di Setiu kerana terdapat dua lagi pengusaha bot bilis bersaiz besar turut beroperasi di situ selain bot-bot kecil lain.

Bilis Setiu katanya lebih keras berbanding di pantai barat tetapi sesuai untuk semua jenis masakan terutama nasi lemak.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130204/ag_01/Tanpa-pendidikan-tinggi-mampu-jadi-tauke-bilis#ixzz2KBQLSr8r
© Utusan Melayu (M) Bhd
 

No comments: