Saturday, April 27, 2013

Reedha bongkar rahsia sarang burung

LIA ZALEE menunjukkan produk Reedha Collagen Sarang Burung Plus yang menjadi produk pertama dibawah label Reedha.



WALAUPUN sudah bergelar isteri dengan dua orang cahaya mata, bagi Lia Zalee Ahmad, 39, ia bukanlah alasan untuknya menoktahkan rutin penjagaan kecantikan dan kesihatan diri.
Malah, kecintaannya terhadap dunia kecantikan dan kesihatan menyebabkan suri rumah itu akhirnya memulakan empayar perniagaan sendiri melalui produk Reedha.
Menurut wanita itu, Reedha lahir melalui pembacaan serta penyelidikannya mengenai bahan kesihatan dan herba-herba Melayu.
Berbeza dengan produk lain, Reedha menyatukan khasiat sarang burung walit, epal hijau, halia, maquiberry dan kacip fatimah untuk menghasilkan Reedha Collagen Sarang Burung Plus.
"Saya memang banyak membuat bacaan mengenai pelbagai bahan kecantikan dan kesihatan sebelum ini. Selepas terfikir untuk memulakan perniagaan sendiri, saya mencari beberapa pakar penyelidikan untuk membentangkan idea.
"Saya nyatakan bahan-bahan yang saya inginkan dan minta penyelidik TPM Biotech jalankan kajian sama ada ia boleh disatukan serta kesannya kepada kesihatan. Alhamdulillah, selepas dua tahun penyelidikan hasilnya sangat baik," ujar wanita kelahiran Kampung Tenang, Labis, Johor itu mengenai bibit-bibit awal pembabitannya sebagai usahawan kecantikan.
Terang Lia Zalee, Reedha Collagen Sarang Burung Plus yang dilancarkan pada Julai tahun lalu, merupakan produk minuman kesihatan yang mampu mengembalikan keremajaan serta menjaga kesihatan dalam dan luaran.
Minuman itu yang merangsang pertumbuhan sel-sel baharu dalam badan bukan sahaja membuat kulit bertambah halus, gebu dan cerah, malah dapat mengembalikan tenaga selepas penat bekerja.
Permintaan yang baik terhadap produk Reedha Collagen Sarang Burung Plus membuatkan Lia Zalee kemudian tampil dengan beberapa produk tambahan seperti Sabun Sarang Burung Plus + Hablur Emas, Toner Gold, UV Foundation Emas 24K + Apple Steam Cell dan Night Cream Sarang Burung + Hablur Emas 24K.
Ditanya mengenai nama Reedha, kongsi Lia Zalee nama produk tersebut diambil inspirasi daripada nama anak keduanya Amyreedha Razalee, 9.
Reedha juga telah melantik penyanyi, Salwa Abdul Rahman sebagai duta, manakala pengacara Karl Shafek sebagai pengguna testimonial.
Untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi 03-4024 2441 atau reedha-collagen.blogspot.com.

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0427&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2RfEy4FiY 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, April 23, 2013

Pengurus jadi penternak lembu


Pekerja Agro Dairy Farm memindahkan susu segar yang dihasilkan lembu susu di ladang tersebut ke dalam tong untuk dihantar ke Pusat Pengumpulan Susu (PPS).

TIGA tahun lepas, M. Jaganatham, bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat perkapalan bertaraf antarabangsa.

Bagaimanapun, atas minat yang mendalam terhadap sektor pertanian dan industri asas tani, Jaganatham, 45, mengambil keputusan meletak jawatan untuk mengusahakan ladang ternakan tenusu.

Juga atas dorongan dan galakan daripada isterinya, M. Letchumi, 40, Jaganatham membulatkan nekad dengan melabur RM1.0 juta sebagai modal permulaan membuka ladang ternakan seluas enam hektar dikenali Agro Dairyfarm Sdn Bhd di Kampung Baru Vinayagar, Gadek, Alor Gajah, Melaka.

Cabaran

Jaganatham, yang berasal dari Teluk Intan, Perak, berkata, sebanyak 50 ekor lembu jenis Friesian Thailand dibeli sebagai titik permulaan kepada perniagaan ternakan tenusu tersebut.

Pada peringkat awal, katanya, pelbagai masalah terpaksa ditempuh khususnya berkaitan pengurusan ladang, penjagaan lembu dan pengeluaran susu.

“Malah kami pernah mengalami kerugian akibat kematian lembu disebabkan jangkitan penyakit," katanya yang berkecimpung selama lebih 20 tahun dalam industri perkapalan.

Beliau berkata, cabaran terbesar yang dihadapi adalah untuk memastikan pengeluaran susu mencapai tahap maksimum.

Seekor lembu tenusu miliknya hanya mampu menghasilkan lapan hingga sembilan liter susu sehari berbanding pengeluaran maksimum susu iaitu sekurang-kurangnya 15 liter bagi seekor lembu sehari.

Bagaimanapun ini bergantung kepada faktor seperti cuaca dan nutrisi makanan yang mencukupi untuk lembu, jelas Jaganatham.

“Kita tidak boleh mengawal cuaca tetapi apa yang lebih penting ialah memastikan lembu yang diternak mendapat rumput yang cukup, ini kerana pengeluaran susu bergantung kepada pemakanan.

“Sekiranya lembu mendapat rumput yang mencukupi, ia akan membantu menghasilkan jumlah susu yang banyak," katanya dan menambah bahawa lembu tenusu memerlukan rumput segar dalam kuantiti yang banyak iaitu 10 peratus daripada berat badannya.

Contohnya, bagi lembu yang beratnya 400 kilogram memerlukan kira-kira 40 kg atau dua guni rumput untuk dimakan.

Bagi mengatasi masalah itu, pihaknya kini menanam rumput di sekitar kawasan ladang. Dengan cara itu ternakannya sentiasa mendapat bekalan rumput mencukupi berbanding kaedah sebelum ini iaitu terpaksa keluar dari kawasan ladang untuk mencari dan memotong rumput untuk diberi kepada ternakannya .

Selain itu, Jagannatham berkata, kualiti susu turut menjadi faktor utama dalam memastikan pendapatan bulanan perniagaan tenusunya tidak terjejas.

Beliau berkata ternakan lembu juga terdedah kepada penyakit terutama Mastitis, yang dijangkiti kuman akibat pemerahan yang tidak betul dan tidak bersih.

Bagaimanapun, berkat kesabaran dan usaha keras terutama dalam mendalami ilmu penternakan lembu tenusu dan pengurusan ladang daripada pelbagai pihak, beliau dan isteri boleh menarik nafas lega dengan kejayaan yang dinikmati sekarang.

Jaganatham berkata, ladangnya kini semakin berkembang sehingga meliputi kawasan seluas 11 hektar dengan 121 ekor lembu tenusu melibatkan keseluruhan aset semasa pada tahun lepas berjumlah RM1.5 juta berbanding RM1.3 juta pada 2010.

Beliau berkata pengeluaran susu ternakannya juga telah meningkat walaupun belum mencapai tahap pengeluaran maksimum.

“Kita belum mencapai tahap pengeluaran maksimum susu lembu. sekarang ini seekor lembu di sini mampu menghasilkan susu kira-kira 12.7 liter berbanding tempoh tiga tahun lepas," katanya yang juga pensyarah di Akademi Laut Malaysia (ALAM) Masjid Tanah di sini.

Susu yang dihasilkan daripada ladangnya kini berjumlah antara 550 hingga 570 liter sebulan. Susu berkenaan dibekalkan kepada Dutch Lady Malaysia pada harga antara RM2.20 dan RM2.30 seliter.

Beliau berkata pendapatan bulanannya juga dijangka meningkat dengan penerimaan peti simpanan sejuk susu berkapasiti 310 liter daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Dengan adanya peti simpanan sejuk itu, susu yang dihasilkan dapat disimpan dengan lebih baik dan penghantaran susu ke Pusat Pengumpulan Susu (PPS) yang terletak di Pengkalan, Alor Gajah dapat diminimumkan.

“Tanpa peti tersebut susu yang dihasilkan perlu dihantar ke pusat pengumpulan dua kali setiap hari iaitu pagi dan petang namun kaedah penyimpanan susu melalui peti penyejuk dapat menjimatkan kos penghantaran," katanya.

Bantuan peti simpanan sejuk susu yang dinikmati Jagannatham adalah sejajar objektif ETP dalam pembangunan kluster susu bagi meningkatkan pengeluaran dan kualiti susu negara. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130422/ag_03/Pengurus-jadi-penternak-Lembu#ixzz2RFc904zk 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, April 20, 2013

Tinggalkan kerjaya sebagai kontraktor


Harga runcit bagi sekilogram (kg) rock melon gred A antara RM6 hingga RM9, manakala harga ladang antara RM3.40 hingga RM3.60 sekilogram.

PENANAMAN menggunakan kaedah atau teknologi fertigasi bukanlah perkara baru bagi golongan petani tempatan. Teknologi tersebut terbukti memberi anjakan baru kepada bidang pertanian dan mendapat sambutan memberangsangkan berikutan mudah dilaksanakan berbanding kaedah konvensional lain.

Selain mudah dan cepat, kaedah tersebut juga tidak memerlukan ruang yang luas kerana medium tanaman fertigasi hanya memerlukan sebuah beg plastik berisi medium dengan baja diagihkan melalui sistem pengairan.

Sesuai dengan namanya fertigation digabungkan dengan pengairan iaitu irrigation dan pembajaan iaitu fertilizer yang disalurkan serentak kepada tanaman khususnya yang bernilai tinggi seperti rock melon dan tomato.

Melihat fertigasi sebagai kaedah yang mampu memberi keuntungan Shahrom Tumiran, 43, bertekad mengambil risiko dan menceburi bidang tanaman itu demi mendapatkan hasil berkualiti serta meningkatkan pencapaian dalam bidang pertanian.

Menurut anak kelahiran Bukit Kapar, Klang itu, memilih untuk bertukar dari tanaman menggunakan kaedah konvensional kepada fertigasi sejak 2006 ternyata tidak sia-sia apabila hasil tanaman serta keuntungan yang diperoleh berlipat kali ganda.

"Ketika masih menggunakan kaedah konvensional dahulu, saya sering berhadapan dengan masalah terutama dari aspek kawalan baja serta serangan rumput-rumpai.

"Namun, apabila menggunakan kaedah fertigasi ia mampu mengatasi masalah tersebut menerusi penggunaan baja yang dikawal dalam beg poli selain buah yang terhasil lebih bernilai tinggi kerana ditanam dan dikendalikan secara sistematik," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis penuaian buah fertigasi rock melon di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gombak dan Petaling baru-baru ini yang dihadiri Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Zainal Dahalan.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu sebelum ini pernah bekerja di sektor perkilangan selama tujuh tahun dan mempunyai lesen kontraktor kelas F sebelum menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Dia kini sedang membangunkan tanaman rock melon varieti Glamour di atas tanah seluas 1.8 ekar di Sungai Plong, Kuala Selangor dan telah berjaya menuai sebanyak 4,700 biji buah tersebut pada 31 Januari lalu.

Menurutnya, kesemua rock melon itu mula ditanam pada 1 Disember dengan mensasarkan pengeluaran sebanyak lapan tan.

Tambahnya lagi, komitmen yang tinggi perlu dipupuk pada peringkat permulaan ketika baru mula menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana dengan kesungguhan itu, bakal petani dapat menilai sendiri hasil yang akan diperolehi.

"Asas prinsip itu penting dan yang paling utama kita tidak perlu cemas atau bimbang untuk menjual hasil tanaman jika ia benar-benar berkualiti dan menepati ciri-ciri terbaik.

"Secara langsung juga Jabatan Pertanian akan memberikan bantuan dan tunjuk ajar kepada petani tentang cara-cara mengusahakan tanaman agar mengeluarkan produk lebih produktif," ujarnya lagi.

Sementara itu, menurut Zainal, projek tanaman rock melon di PPK Gombak dan Petaling merupakan projek yang dikembangkan hasil daripada kejayaan projek tersebut di PPK Klang.

Di kawasan tersebut katanya, seramai 11 orang peladang mengusahakan tanaman rock melon di kawasan seluas 11 ekar sekali gus mengikat kontrak perladangan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan beberapa syarikat pembeli lain.

Mengulas lanjut mengenai projek di PPK Gombak dan Petaling, beliau berkata, pengusaha telah memperoleh pendapatan lumayan dan menguntungkan dalam masa tiga pusingan tuaian.

"Kami berharap projek seumpama ini akan diperkembangkan lagi ke kawasan lain di sekitar PPK Gombak dan Petaling sekali gus dapat membantu peladang meningkatkan lagi tahap ekonomi dan pendapatan mereka.

"Justeru, LPP telah meluluskan peruntukkan RM200,000 bagi memperluaskan projek rock melon yang sedia ada.

"Di samping itu juga diharapkan pengusaha sedia ada dapat membantu bakal pengusaha yang akan melaksanakan projek tambahan tersebut sekali gus menjadi mentor kepada mereka dalam memastikan projek ini berjaya," ujarnya.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130415/ag_01/Tinggalkan-kerjaya-sebagai-kontraktor#ixzz2Qyjt1nXh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, April 17, 2013

Jaminan jadi usahawan



Latihan amalan pertanian yang memenuhi piawaian dan kehendak pasaran.

PENGALAMAN lebih 17 tahun dalam latihan kemahiran terutama sektor pertanian telah memberikan inspirasi kepada Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGROW), Nordin Abdul Malek untuk menjayakan misi melahirkan usahawan tani generasi baru.

Kejayaan beliau melahirkan ramai usahawan tani muda di seluruh negara telah diperakui juga oleh banyak pihak sebagai satu anjakan berganda (quantum leaps).

Kini fokus beliau bukan sahaja mahu melahirkan usahawan baru tetapi pelan melonjakkan pencapaian usahawan tani muda kepada usahawan berpendapatan tinggi dan seterusnya bergelar jutawan.

Oleh itu, beliau telah menubuhkan sebuah pusat latihan pertanian yang dikenali sebagai iGROW.

Modul latihan dan amali iGROW berteraskan keusahawanan sepenuhnya bagi memastikan semua graduan yang dilahirkan bukan hanya berkebolehan dalam bidang teknikal pertanian tetapi juga akan benar-benar bersedia untuk terus menjadi usahawan sebaik sahaja tamat latihan.

"Sudah tiba masanya, kita memberikan perhatian serius kepada usaha memastikan semua graduan pertanian menjadi usahawan dengan mengusahakan pertanian secara komersial dan berskala besar, " katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Penasihat Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) berkata, walaupun pelbagai inisiatif dan insentif disediakan kerajaan tetapi hasilan masih belum begitu membanggakan.

"Ini kerana bilangan usahawan di kalangan graduan pertanian masih rendah, apatah lagi untuk dibanggakan sebagai pengeluar bersaiz besar,'' ujarnya.

Namun, beliau berbangga kerana berjaya menghasilkan ramai usahawan tani muda di kalangan graduan beliau di salah satu pusat latihan pertanian swasta sebelum ini.

Kejayaan terbaru beliau yang terbukti hebat ialah menjayakan program MyAgrosis.

Ini kerana dana MyAgrosis di Agrobank kebanyakannya dimanfaatkan graduan institut milik beliau sebagai kumpulan peminjam tertinggi di negara ini berbanding institusi lain termasuk pusat latihan pertanian awam sendiri.

Selain itu, konsep latihan iGROW juga bersifat pembangunan pertanian di kampung dan desa iaitu dengan cara memanfaatkan ruang dan potensi pertanian di kampung-kampung.

Walaupun begitu, pendekatan dan amalan pertanian adalah berteraskan ilmu, kemahiran, teknologi serta inovasi baru dan segar.

"Konsep ladang iGROW sendiri menggabungkan pelbagai sumber pertanian cara baru di dalam satu kawasan iaitu dusun buah-buahan, tanaman sayur-sayuran, akuakultur, ladang kelapa sawit, ternakan ruminan dan pelancongan inap ladang (moden dan klasik)", ujar Nordin lagi.

Berbeza dengan pusat latihan biasa yang selalunya menempatkan keseluruhan kompleks (kediaman dan ladang) dalam satu kawasan, Nordin pula membahagikan iGROW kepada kawasan kediaman pelatih, tapak amali dan ladang projek berskala besar secara berasingan di sekitar Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak.

"Kami juga ingin memastikan proses latihan dan keusahawanan ini, akan memberikan impak serta limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat terutama dalam memajukan tanah terbiar di kampung-kampung," tegas Nordin.

Kehadiran iGROW memberi nilai tambah kepada pembangunan Mukim Pulau Tiga yang telah diumumkan sebagai perintis program My Kampung My Future oleh kerajaan pada hujung tahun lalu.

Malah, keserasiannya dengan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, membolehkan beliau mendapat kerjasama pelbagai agensi berkaitan terutama Agrobank.

Pakej latihan bersepadu ini sangat penting sebagai persediaan untuk memastikan keberhasilan yang tinggi dalam usaha beliau melahirkan usahawan tani di kalangan semua graduan beliau.

Sungguhpun iGROW berkonsepkan 'Kolej Latihan Dalam Kampung', Nordin yakin pengalaman dan kejayaan beliau selama ini melahirkan golongan muda sebagai usahawan barisan hadapan pertanian, membolehkan beliau menggunakan resipi baru untuk melahirkan usahawan tani generasi baru bertaraf dunia.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130415/ag_02/Jaminan-jadi-usahawan#ixzz2QhuIvU64
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, April 16, 2013

7 Secrets of success




I found the answers in my room.

Roof said: Aim high
Fan said: Be cool
Clock said: Every minutes is precious
Mirror said: See the world
Calender said: Be up-to-date
Door said: Push hard to achieve your goals.

Sunday, April 14, 2013

Resort latih individu berkuda


TETAMU dapat bermesra dengan kuda di Teratak Nalys.

NAMANYA sudah cukup untuk menggambarkan betapa uniknya Batang Kali yang terletak di Selangor ini.
Ibarat pekan transit, ia menjadi alternatif pengguna jalan raya yang ingin ke pusat peranginan Genting Highlands.
Namun, tarikan utamanya kini ialah sebuah ladang sayur yang menghasilkan sehingga 50 tan metrik sayur-sayuran setiap hari.
Berdasarkan kajian Jabatan Pertanian Selangor, sawi ditanam di kawasan ini merupakan yang terbaik di negara ini berikutan kualiti tumbesarannya yang disokong tanah subur.
Sayur-sayuran seperti kangkung, timun, bayam dan kacang panjang pasti membuatkan pengguna berasa teruja untuk membelinya kerana saiz dan tahap kesegarannya.
Namun sayur bukanlah satu-satunya tarikan yang ditawarkan di Batang Kali.
Teratak Nalys Eco Resort & Equestrian yang terletak di Jalan Hulu Tamu, Kampung Orang Asli menjanjikan pengalaman yang berbeza.
Pengunjung bukan sahaja dapat bermesra dengan kuda yang jinak bahkan landskap alam semula jadi yang belum tersentuh oleh arus pembangunan.
Tetamu turut dapat mandi-manda di sungai, bermain-main dengan arnab yang comel, mengejar ayam kampung dan mendengar bunyi bising kambing tatkala hujan turun.

ITIK yang boleh dipilih sendiri menjadi menu makanan anda sepanjang menginap.


Kuda jinak
Minggu ini, kru Jurnal berkunjung ke Teratak Nalys. Kedatangan kami disambut mesra pemiliknya yang berasal dari Arau, Perlis, Datuk Shuhaini Shafie.
Selesa mengenakan baju-T berkolar dan seluar jean, lelaki ini membawa kami menjengah ladang kuda miliknya yang terletak di resort itu.
Terdapat 14 jenis kuda antaranya jenis Arab, Through Breed dan Warm Blood yang kebanyakannya diimport dari Poland.
Kata Shuhaini, pengunjung boleh menunggang kuda dengan kadar bayaran yang berpatutan malah berpeluang mengikuti kursus intensif berkaitan mamalia itu.
“Ramai yang menganggap kuda jinak dan mesra tetapi sebenarnya ia agresif. Ia kelihatan jinak kerana haiwan ini telah dilatih untuk tujuan rekreasi dan riadah.
“Haiwan ini lebih sesuai untuk tujuan perlumbaan dan jelajah hutan.
“Kami memperkenalkan kursus mengenai kuda bermula daripada penjagaannya, jenis ladang, rumput yang dimakan sehingga cara menunggang yang betul,” cerita Shuhaini.
Tambahnya, ramai yang masih tidak mengetahui tabiat sebenar kuda. Haiwan ini dapat mengenali pemiliknya berdasarkan bau dan suara.
“Kuda mengenali penjaganya walaupun jarak antara kedua-duanya jauh. Tetapi, saya sendiri yang telah 10 tahun bergelumang dengan kuda masih terjatuh apabila menunggang kuda kerana sifatnya yang agresif.
“Cara menunggang kuda juga perlu dalam posisi yang betul selain mengikut pergerakan badannya.
“Ramai orang mengatakan mereka yang sering menunggang kuda sombong kerana posisi badannya menegak dan seakan-akan mendada tetapi itu sebenarnya kaedah menunggang yang betul,” ujarnya.
Shuhaini juga menerangkan bahawa sukan berkuda bukan semata-mata untuk golongan kaya.
Jelasnya, itu hanya mitos tetapi mengakui kos penjagaan kuda termasuk makanan agak mahal.
Harga seekor kuda ialah antara RM4,000 hingga RM100,000.
Terangnya, walaupun kuda bersaiz besar tetapi amat sensitif dan mudah terkejut.
“Walaupun ayam terbang berhampiran sekali pun, kuda akan terkejut dan menyebabkan penunggangnya terjatuh,” kata Shuhaini sambil tersenyum.
Kursus itu mengambil masa sehari dengan bayaran RM500.
Tarikan tersendiri pastinya kuda bernama Nalys yang baharu sahaja lahir pada 1 Mei tahun lepas.
Bagi seorang penjaga kuda, Nik Azlan Sulung yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan, dia telah bekerja selama lebih setahun di resort itu.
Nik Azlan bersyukur kerana pelbagai insentif disediakan majikan kepadanya termasuk kemudahan rumah dan makanan.
“Selain itu, saya dapat mempelajari ilmu tentang kuda,” ujarnya.
Terdapat tiga buah ladang kuda bersaiz kecil, sederhana dan besar untuk kemudahan pelanggan.

ARNAB comel yang dibawa pulang pasti menggembirakan tetamu resort terutamanya kanak-kanak.


Ternakan
Bukan itu sahaja tarikan yang terdapat di Teratak Nalys. Konsep resort berdasarkan penternakan dan pertanian yang dipraktikkan membolehkan tetamu memilih sendiri haiwan sebagai menu makanan.
“Mereka boleh memilih haiwan ternakan seperti ayam kampung dan itik di ladang untuk dimasak oleh pihak kami.
“Kebiasaannya kambing akan dimasak barbeku, ayam atau itik pula dimasak rendang atau kari. Terpulanglah kepada cita rasa sendiri,” terang Shuhaini.
Setiap haiwan akan disembelih oleh pekerja mengikut syarat-syarat sembelihan Islam.
Menurut seorang pekerja yang hanya ingin dikenali sebagai Salus, dia teruja melihat gelagat pengunjung terutamanya kanak-kanak yang datang melawat kandang haiwan tersebut.
“Kebanyakan pelanggan berasa pelik kerana mereka jarang menemui resort yang mempunyai ternakan sebegini.
“Pelanggan khususnya kanak-kanak dapat mengejar haiwan-haiwan ini sama seperti suasana di kampung,” katanya.
Menurut Shuhaini, pengunjung juga boleh membawa pulang arnab secara percuma.
“Tetapi kambing tidak boleh diambil percuma kerana kosnya mahal,” katanya.
Harga bagi seekor kambing yang siap dimasak sekitar RM800 manakala bagi ayam kampung seekor RM12 dan itik RM15 tidak termasuk kos masakan.
Telur asin juga diberikan secara percuma. Tambah Shuhaini, tetamu resort juga boleh memberikan makanan seperti kangkung kepada arnab.
“Pengunjung juga dapat mempelajari cara penyembelihan ayam, membuang bulunya dan memasak haiwan itu seperti di kampung,” katanya.
Bukan itu sahaja, pengunjung dapat menggunakan semua tanaman yang ditanam untuk dimasak seperti kangkung, pucuk ubi kayu dan limau.
Paling mengujakan, petai, lengkuas dan jering yang ditanam sekitar resort sedia untuk dimakan.
“Terdapat kolam ikan yang mempunyai pelbagai ikan seperti patin, kerapu dan tilapia. Pelanggan hanya memancing ikan dan boleh dimasak mengikut selera masing-masing,” jelas Shuhaini.
Resort ini menerima rombongan berskala besar dan harga termasuk penginapan bermula daripada RM50 hingga RM1,000 termasuk makanan.

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0414&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2QRFYe227 
Hakcipta terpelihara 

Thursday, April 11, 2013

Sate dibakar atas dapur tanpa arang


Mohd Afiq Zulkifli

TIADA kesan arang dan tidak mempunyai lemak merupakan keistimewaan Kiosk Satay Grill.


KALI pertama menikmati sate yang dibeli dari Kiosk Satay Grill, Muhamad Khafrizal Khalid, 17, mengakui dia dan keluarganya menyukai keenakan sate tersebut.
Walaupun saiz sate itu sedikit kecil berbanding sate yang ada di pasaran, namun harganya berpatutan.
Apatah lagi, sate itu hanya menggunakan paha ayam dan daging berkualiti yang menjadikan rasanya enak.
"Sesekali saya membeli sate antara 40 hingga 50 cucuk untuk dibawa pulang makan bersama keluarga. Meskipun ia masih baharu, saya berharap pada masa hadapan, Kiosk Satay Grill mampu berkembang agar ia mudah didapati di tempat lain," kata Khafrizal yang tinggal di Beranang, Selangor.
Anak kedua daripada empat beradik berpendapat, persembahan Kiosk Satay Grill yang menarik berjaya menarik perhatian pelanggan.
Sambutan positif
Sementara itu, seorang usahawan Kiosk Satay Grill, Akmal Amsyar Azmi, 18, mula berniaga Satay Grill selepas diperkenalkan oleh bapa saudaranya awal Januari tahun ini.
Meskipun baru tiga bulan menjalankan perniagaan, sambutan yang diterima sangat positif. Bahkan, dia juga mempunyai pelanggan tetap.
"Sate ini enak kerana ia tiada kepingan lemak tetapi menggunakan paha atau daging berkualiti,'' katanya memberitahu satu cucuk sate ayam dijual pada harga 70 sen manakala daging pula 80 sen secucuk.
Ketika ditemui baru-baru ini, Akmal Amsyar memberitahu, purata jualan satenya mencecah sehingga 500 cucuk untuk satu malam.
Beliau juga mengakui adakalanya tidak menang tangan kerana permintaan yang tinggi sehinggakan pelanggan terpaksa menunggu.
Dibantu oleh rakan dan adiknya, dia membuka kios itu di pangsapuri Bandar Tasik Kesuma, Beranang.
"Segelintir pembeli gemar makan di sini, sementara sebahagian yang lain membawa balik ke rumah," katanya yang membuka kiosnya dari pukul 6 petang hingga 11 malam.

AKMAL menunjukkan sate yang dibungkus rapi sebelum diedarkan di seluruh negara.


Anak sulung daripada tiga adik-beradik itu pada peringkat awal perniagaan mendapat bantuan modal daripada keluarganya.
Akmal mengakui, perniagaan sate itu mudah dikendalikan. Dia percaya sesiapa sahaja boleh berniaga asalkan mempunyai tekad dan keazaman yang tinggi.
Meskipun tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran, namun atas faktor minat dia mencubanya.
"Perniagaan ini mendidik saya menjadi seorang yang sabar dan menghargai kepayahan hidup. Alhamdullilah, semangat dan sokongan keluarga menjadi kekuatan saya," ujarnya yang sedang menunggu tawaran melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Mohd. Admir Apit Apandi, 34, usahawan muda Kiosk Satay Grill bersependapat dengan Akmal. Menurutnya, aspek kebersihan, jumlah modal yang kecil dan gerai yang menarik menjadi faktor dia tertarik menjalankan perniagaan tersebut.
"Saya berani jual kerana pernah menghadiri kursus yang disediakan dan melihat sendiri proses pembuatan sate dari peringkat awal hingga akhir.
"Saya percaya ia akan menjadi satu fenomena baharu di Malaysia seperti burger bakar," ujarnya yang menjalankan perniagaan setiap hari dari pukul 5 petang hingga 11 malam di kawasan perumahan Taman Bukit Subang, Shah Alam.
Sepenuh masa
Admir yang mengusahakan kios tersebut bersama isterinya mengakui, sehingga kini dia tidak menerima rungutan daripada pelanggan.
Menurutnya, permintaan membeli sate meningkat selepas waktu pulang bekerja iaitu sekitar pukul 6 petang.
Teknik pembakaran baharu sate iaitu dengan menggunakan gril menjadikan sate masak sekata dan tidak mempunyai kesan arang.
Menjalankan perniagaan itu sepenuh masa selepas berhenti sebagai pemandu lori, pelanggan Admir terdiri daripada kaum Melayu dan Cina.
"Kuah kacang memainkan peranan yang penting kerana di situlah ia menjadikan sebab sate digemari oleh orang ramai," kata Admir bahawa resipi kuah itu dipelajari isterinya ketika bekerja di sebuah restoran suatu ketika dahulu.
Jelas Admir, dia memilih untuk berniaga sate kerana ingin meningkatkan taraf hidup.
Kiosk Satay Grill merupakan produk perniagaan terbaharu yang diperkenalkan oleh Ezfas Foods Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat milik bumiputera dan pembekal makanan sejuk beku.
Pendekatan itu diambil atas kesedaran untuk menyemai semangat berniaga. Pada masa sama, syarikat itu menawarkan platform perniagaan tersedia dengan produk halal dan berkualiti terus dari kilang.

KESELURUHAN proses pengilangan sate oleh Syarikat Ezfas Foods dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.


Makanan tradisi
Sate dijadikan perniagaan kerana ia merupakan salah satu makanan tradisi masyarakat Melayu sejak dahulu lagi.
Pegawai Penggerak Usahawan Kiosk Satay Grill menjelaskan, Zaiful Lizan, 42, idea itu tercetus hasil daripada pemerhatian konsep perniagaan burger yang berjaya di Malaysia pada masa kini.
"Jika burger berjaya mendapat tempat, mengapa tidak sate sedangkan perniagaan sate amat popular sejak tahun 50-an.
"Sehubungan itu, kami terpanggil untuk mempopularkan kembali zaman kegemilangan sate ke seluruh Malaysia," katanya ketika ditemui di Shah Alam baru-baru ini.
Kiosk Satay Grill telah memberikan alternatif baharu kepada peniaga yang mahu berjinak-jinak di dalam industri perniagaan.
Menurut Zaiful, biasanya sate boleh dibeli di restoran-restoran yang menyediakan menu itu, namun fenomena tersebut mungkin berubah dengan adanya kios ini.
Mereka yang menjalankan perniagaan sate bersama Kiosk Satay Grill berpeluang berniaga di tempat-tempat yang strategik dan berpotensi mendapat keuntungan lumayan dengan modal yang rendah.
Tambah Zaiful, dengan tagline Citarasa asli Tip Top 1973, Kiosk Satay Grill mampu menarik perhatian orang ramai. "Ia merupakan satu projek perniagaan menggunakan konsep gerai pasang siap dan kaedah pembakaran sate dengan gas tanpa arang.
"Kios pasang siap secara tidak langsung membantu memudahkan usahawan berniaga di dua atau tiga tempat sehari seterusnya mampu meningkatkan jualan harian mereka.
"Peniaga Kiosk Satay Grill juga tidak perlu bersusah payah memproses sate. Mereka hanya perlu mengambil daripada stokis berhampiran atau terus dari kilang untuk menjualnya," katanya.
Pada masa sama, sate yang dibakar menggunakan gas lebih enak dan baik untuk kesihatan kerana tidak mempunyai arang.

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0410&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2Q9PGSOOq 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, April 10, 2013

Sedapnya lemang Kijal
















DARI kiri: Harun dan Hanipah telah mengusahakan perniagaan lemang Kijal selama 13 tahun.


SEPANJANG perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kuala Terengganu, mata disajikan pemandangan indah kampung-kampung.
Perasaan semakin teruja sebaik melewati Cherating, Kuantan, Pahang dengan pintu gerbang Selamat Datang ke Terengganu menyambut kedatangan pengunjung.
Selepas jauh berjalan, perut terasa lapar dan ‘meronta-ronta’ minta diisi. Pastinya makanan tempatan menjadi pilihan utama.
Hendak merasa kelazatan keropok lekor Seberang Takir, perjalanan masih agak jauh dan paling hampir ialah Kemaman.
Keunikan gastronomi
Daerah tersebut juga mempunyai keunikan gastronomi yang perlu dicuba. Kedudukan Kemaman tidak jauh dari bandar Kuantan sekali gus ia menjadi lokasi sempurna bagi pemburuan makanan.
Apabila memasuki kawasan Kijal yang terletak sebelum pekan Kemaman, anda pasti dapat melihat deretan gerai lemang di tepi jalan. Timbul persoalan, apakah istimewanya lemang di situ berbanding lemang di negeri-negeri lain?
“Lemang Kijal ini popular kerana keenakan rasa lemaknya, lembut dan tidak mudah keras seperti lemang di tempat lain,” jelas pengusaha lemang gerai Kak Pah 14B, Hanipah Mohd., 54.
Suapan pertama sudah cukup membuatkan seseorang itu merasai keenakan lemang Kijal. Tambah lazat jika dimakan bersama ayam atau rendang daging.
Proses buat lemang
Proses menyediakan lemang, menurut Hanipah, bagi 10 kilogram (kg) beras, dia menggunakan tiga kg santan. Beras perlu direndam terlebih dulu selama tiga jam sebelum dicampur santan.


KELEMBUTAN lemang dan rasa lemak memberi cita rasa berbeza lemang Kijal berbanding tempat lain.



Selepas siap semuanya, lemang akan dibakar menggunakan kayu api selama dua jam setengah. Tambah Hanipah: “Lemang ini boleh tahan selama tiga hari jika dibiarkan di dalam buluh. Sekiranya mahu tahan lebih lama, tambahkan santan.”
Sementara itu, suami Hanipah, Harun Mat Zin, 60, yang membantu isterinya di gerai tersebut menceritakan, sebanyak 300 batang buluh digunakan bagi tempoh dua minggu. Kesemua buluh di gerai-gerai di sepanjang deretan itu dihantar pembekal dari Kuala Berang.
“Gerai mula dibuka pada pukul 7 pagi dan ditutup selepas semua lemang habis dijual. Kebiasaannya ia habis dijual menjelang lewat petang,” ujar Harun

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0409&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2Pv6JITff 

Hakcipta terpelihara 

Tuesday, April 09, 2013

Peluang wanita asah bakat berniaga



SUASANA di rumah banglo di Seksyen 16, Petaling Jaya itu pada pertengahan Mac lalu berbeza jika dibandingkan dengan hari-hari biasa. Suara riuh-rendah yang diselangi dengan hilai tawa golongan wanita menggambarkan mereka bagaikan mengenali antara satu sama lain.
Sambil rancak berbual, mereka sibuk menjalankan perniagaan menjual kain, kraf tangan, pakaian, aksesori dan wangian untuk lelaki mahupun wanita di dalam rumah banglo yang tersergam indah.
Di bahagian patio rumah pula, pengunjung yang hadir asyik menjamu selera hidangan ala Barat seperti lasagna, ayam goreng dan pencuci mulut yang dijual.
Senario itu merupakan situasi normal bagi penjual atau pengunjung di bazar yang dikenali sebagai Souq di Villa 16. Bazar itu menempatkan seramai 17 peniaga yang keseluruhannya terdiri daripada kaum Hawa.
Walaupun keseluruhan peniaga terdiri daripada golongan wanita, namun masih ada kelibat lelaki yang memeriahkan bazar itu.
"Saya meminati barangan kraf tangan yang dijual di sini. Corak dan ukirannya tampak jujur manakala harga yang dijual juga amat berpatutan jika dibandingkan dengan harga pasaran," ujar seorang pengunjung, Khalid Ibrahim, yang memeriahkan bazar itu bersama keluarganya.
Souq di Villa 16 diilhamkan oleh tiga wanita iaitu Marina Mustafa, 48, Annette Isaac, 38, dan Azlinda Arshad, 42, tahun lalu. Sehingga kini, bazar itu telah tiga kali dianjurkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung.
Kebanyakan peniaga yang berniaga di bazar itu terdiri daripada golongan ibu yang menjalankan perniagaan produk jualan mereka dalam talian. Penyertaan mereka menerusi bazar itu merupakan satu bonus untuk mempromosikan barangan kepada orang ramai.

KANAK-KANAK juga boleh belajar teknik jahitan yang bersesuaian dengan mereka di gerai Sekolah Jahit Nawal.


Meriahkan rumah
Pemilik banglo dan juga pengasas Souq di Villa 16, Marina, 48, memberitahu, banglo tersebut merupakan rumah arwah ibu mertuanya yang kembali ke rahmatullah kira-kira lima tahun lalu.
"Beberapa hari selepas itu, bapa mertua saya pula meninggal dunia. Selepas ketiadaan mereka, banglo itu sunyi kerana kami jarang-jarang ke sana.
"Suami memberi cadangan agar mengadakan satu aktiviti bagi memeriahkan kembali rumah itu pada tahun lalu. Sejak itu, timbul idea untuk mengadakan bazar di rumah itu," ujarnya.
Souq merupakan perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud bazar. Bazar yang bermula dari pukul 11 pagi hingga pukul 5 petang itu ternyata menarik pelbagai golongan untuk membeli-belah atau sekadar bertemu rakan-rakan lama.
Zubaidah Abd. Kadir, 38, merupakan peniaga awal yang menggunakan label saphyrafashion and accessories telah menyertai bazar itu sejak kali pertama ia dianjurkan.
Perkenalan dengan Marina telah membuka ruang kepadanya membuka gerai di Souq di Villa 16. Marina merupakan pelanggan tetapnya yang menjual pakaian daripada fabrik yang diimport dari India.
Dia amat meminati barangan dari India seperti pakaian masyarakat Punjabi, sari, gelang dan pelbagai jenis hijab. Disebabkan minatnya itu, dia mengambil keputusan untuk menjual barangan import kepada rakan-rakan sejak lima tahun lalu.
Laman sosial
"Ketika Souq dianjurkan buat julung-julung kali, saya bersama lima rakan lain yang juga peniaga barangan kelengkapan wanita telah bersetuju untuk menyertai bazar ini. Dengan menggunakan laman sosial Facebook, kami telah menghebahkan mengenai bazar itu kepada rakan-rakan terdekat.
"Bagi saya, penyertaan dalam bazar ini merupakan salah satu cara untuk berkongsi minat kepada rakan-rakan mahupun pembeli. Kesibukan dengan dunia kerjaya sehari-hari terubat apabila saya dapat menjual dan berkongsi barangan saya kepada pembeli," ujar perunding kewangan di salah sebuah bank di ibu negara itu.
Selain aktiviti jual beli, Souq di Villa 16 turut mengadakan kutipan derma untuk para pesakit kanser. Bagi bazar edisi ketiga baru-baru ini, pihaknya telah memilih untuk membantu mengumpul dana bagi organisasi Friends Of Y yang membantu seorang pesakit kanser yang tinggal di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Patricia Rocky merupakan salah seorang peniaga yang terlibat dalam bazar tersebut. Dia yang berumur 55 tahun menderita kanser payu dara sejak tahun tiga tahun lalu tidak mengharapkan belas kasihan orang ramai tetapi berusaha untuk mengumpul dana sebanyak RM7,000 untuk rawatan radiasi dan suntikan kalsium.
Sebelum ini, dia merupakan seorang staf yang bertanggungjawab dalam sistem pentadbiran sebuah syarikat swasta. Namun, selepas disahkan menghidap kanser payu dara, dia terpaksa meninggalkan kerjayanya itu kerana kerap bercuti bagi mendapatkan rawatan di hospital.
Kini, Patricia hanya bergantung kepada hasil jualan jeruk selain bantuan kewangan daripada dua orang anaknya. Patricia menjual jeruk ikan dan sayur-sayuran seperti limau dan terung telah menyertai bazar itu kali kedua berturut-turut.

SUASANA banglo ini meriah sepanjang seharian bazar Souq di Villa 16, Petaling Jaya berlangsung.


"Sejak disahkan menghidap kanser, saya telah membelanjakan hampir RM30,000 untuk kos rawatan. Saya dan anak-anak berusaha mengumpul RM7,000 untuk rawatan susulan tujuh bulan akan datang.
"Saya tidak mempunyai pekerjaan. Saya amat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menerima saya untuk menyertai bazar ini buat kali kedua," ujar Patricia yang menggunakan nama sendiri sebagai label jeruknya.
Antara 17 peniaga yang berniaga di bazar itu, kelihatan seorang remaja memperagakan hasil kreatifnya melalui aksesori wanita seperti gelang, rantai dan subang.
Masih menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), gerai milik Sarah Amelia Mohd. Nor dengan labelnya twenty six by Sarah menjadi tumpuan pengunjung. Dengan batu-batuan yang berwarna-warni, harga yang ditawarkan oleh Sarah melalui produk hasil kreatifnya itu dijual pada harga RM25 hingga RM145.
"Saya belajar membuat gelang, rantai dan subang ini sejak kecil kerana sering ikut ibu, Azlinda Arshad ke bazar-bazar. Sejak itu, timbul minat untuk membuatnya sendiri," ujarnya.
Sarah, salah seorang peserta terawal Souq di Villa 16 sejak kali pertama ia dianjurkan. Beliau juga berkolaborasi dengan label ibunya iaitu Mahani Moleque yang juga menjual aksesori wanita.
Sokongan suami
Sementara itu, seorang suri rumah, Alinna Fitri, 40, turut menyertai bazar itu sebagai salah satu cara untuk mendapatkan pendapatan tambahan untuk keluarganya.
Ibu kepada empat orang cahaya mata itu mahir dalam jahitan manik dan sulaman. Dia juga mendapat sokongan daripada suami untuk melakukan perkara yang diminatinya.
"Penyertaan pertama kali saya dalam Souq di Villa 16 ini juga dapat menarik pelanggan baharu untuk mengenali pakaian daripada label Allinaz Collection. Jahitan manik yang teliti juga menjadi keutamaan saya kepada pelanggan.
"Pada pendapat saya, bazar ini merupakan salah satu cara yang baik untuk melatih golongan wanita bergelar usahawan dalam perkara yang mereka mahir. Bagi suri rumah sepenuh masa seperti saya, bazar ini juga dapat membantu menambah pendapatan keluarga," ujarnya yang ditemani anaknya, Myra Zulkifli, 17, ketika di bazar itu.


Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0409&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2PybCBNA0 
Hakcipta terpelihara 

Pemuliharaan pokok nadir


Buah ciku (Manikara achras).

JIKA disebut nadir pasti ramai di antara kita yang mengetahui maksudnya, iaitu jarang.

Justeru, pokok buah-buahan nadir memiliki maksudnya yang sama iaitu, pokok buah-buahan yang jarang ditemui.

Bahkan sesetengah spesies pokok tersebut hanya boleh boleh ditemui dan dikenal pasti oleh pakar barulah diketahui bahwa buahnya boleh dimakan mahupun tidak.

Malah, terdapat juga pokok serta buah-buahan nadir tersebut hanya boleh didapati di kawasan atau negeri-negeri tertentu sahaja menjadikannya amat jarang temui apatah lagi dijadikan hidangan.

Oleh kerana buah-buahan tersebut jarang ditemui dan dijadikan makanan, kebanyakan spesiesnya semakin dipinggirkan sekali gus boleh menyebabkan kepupusan.

Menyedari kepentingan generasi spesies buah-buahan tersebut perlu dikekalkan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengorak langkah mengumpulkan spesies buah-buahan nadir.

Dua buah pulau iaitu Pulau Tekak Besar dan Pulau Sungai Tekak di Tasik Kenyir, Terengganu telah dipilih berdasarkan kesesuaian kawasan, faktor tanah serta boleh dijadikan tarikan utama pelancong di tasik tersebut.

Menurut Penolong Pengurus KIH Jabatan Pelancongan dan pembangunan Tasik Kenyir, Adnan Awang Sulong, kedua-dua pulau tersebut dijadikan kawasan penanaman pokok buah-buahan nadir serta pusat penyelidikan dan juga pendidikan.

Tambahnya, projek yang dilaksanakan sejak 2008 tersebut kini telah memasuki fasa terakhir sebelum dibuka kepada orang ramai kelak.

“Secara keseluruhan, Taman Tropika Kenyir berkeluasan tujuh hektar (ha) dan antara taman-taman lain yang turut diwujudkan di tasik tersebut adalah Taman Burung, Taman Orkid, Taman Rama-Rama dan Taman Rambutan.

“Objektif penubuhan taman-taman tersebut adalah untuk menambah daya tarikan di samping atas tujuan kajian dan penyelidikan," katanya ketika ditemui dalam program lawatan bersama MARDI ke Terengganu baru-baru ini.

Ujarnya, bagi Taman Tropika, pihaknya mendapatkan tenaga kepakaran daripada pihak MARDI sebagai konsultan dan pelaksana projek tersebut.

“Sehingga kini, hampir 1,500 pokok melibatkan 112 spesies telah ditanam di kedua-dua belah pulau tersebut," katanya.

Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Sumber Strategik MARDI, Dr. Razali Mispan berkata, pihaknya turut melaksanakan pelbagai kajian biodiversiti di samping terus menerus mencari baka dan pokok buah-buahan nadir untuk ditanam di kedua-dua pulau tersebut.

Malah katanya, Taman Tropika tersebut juga bakal dijadikan sebagai Out Reach Station yang memberi tumpuan terhadap kajian berkenaan kepelbagaian bio.

“MARDI turut melaksanakan pelbagai ekspidisi inventori di sekitar Task Kenyir.
“Malah, kami juga turut menemui pokok Melaka yang sedia ada di salah sebuah pulau tersebut," katanya.

Terbaru, menurut Dr. Razali kira-kira 40 spesies pokok buah-buahan nadir baru telah ditanam di Taman Tropika tersebut termasuklah buah-buahan bermusim dan yang tidak bermusim.

Antara pokok buah-buahan nadir yang ditanam di sana adalah seperti buah ajaib, mahkota dewa, buah melaka, buah pokok arang, kedondong, durian dan pelbagai lagi.

Selain dipenuhi dengan pokok buah-buahan nadir, salah sebuah pulau turut dibangunkan dengan pelbagai prasarana seperti dewan, bangunan makmal, bilik penerangan, galeri, bilik mesyuarat serta trek sekitar pulau.

Kemudahan tersebut adalah bertujuan memudahkan orang ramai yang datang melawat ke Taman Tropika tersebut.

Laluan trek berlantaikan blok konkrit serta juntaian tali sebagai tempat berpaut memudahkan orang ramai untuk meneroka ke seluruh pulau sambil menikmati pelbagai jenis buah-buahan yang terdapat di sana.

Ditanya adakah terdapat pihak-pihak lain yang berminat untuk melakukan kajian mahupun kerjasama dalam projek Taman Tropika, Dr. Razali menyatakan fasa kedua projek tersebut adalah menjalinkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT).

Antara institusi yang menunjukkan minat adalah seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi melaksanakan program kesedaran serta pelbagai jenis penyelidikan.

Dalam pada itu, jelas salah seorang bekas pegawai penyelidik MARDI yang bertanggungjawab menjayakan projek Taman Tropika di Tasik Kenyir, Dr. Abdul Jalil Zakaria, biarpun pokok buah-buahan tersebut ditanam di kawasan pulau namun ia tidak terlepas daripada gangguan binatang liar.

“Seperti yang kita sedia maklum, kawasan pulau ini dikelilingi dengan hutan belantara yang masih terpelihara dengan baik.

“Kehadiran hidupan tidak dapat kita elakkan, dan itu merupakan antara cabaran semasa awal pembabitan saya menguruskan kawasan Taman Tropika ini," katanya.

Antara hidupan liar yang sering ditemui mencari makanan di pulau tersebut adalah monyet serta tapir.

Ujar Dr. Abdul Jalil, kehadiran tapir di pulau tersebut tidak menjadi sesuatu yang janggal kerana haiwan tersebut mampu berenang.

“Makanan kegemaran tapir di pulau ini adalah daun nangka, dan semasa peringkat awal penanaman dahulu kita memang mengalami masalah gangguan daripada haiwan ini.

“Justeru itu, pihak MARDI terpaksa memagar pokok tersebut serta beberapa lagi pokok lain yang sering diganggu monyet," katanya.

Antara cabaran lain membangunkan kawasan Taman Topika tersebut adalah keadaan ekosistem semulajadinya.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130401/ag_02/Pemuliharaan-pokok-nadir#ixzz2Pv0E7tGo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, April 04, 2013

7 personaliti para blogger



Terdapat 7 jenis personaliti yang ditonjolkan oleh para blogger dari seluruh dunia. Yang mana satukah menggambarkan personaliti anda?

1. Si Kaki Kontroversi

Kerjanya mencari berita-berita yang terhangat walaupun berita tersebut menjatuhkan air muka
orang lain.

2. Si Kaki Syok Sendiri

Kerjanya menulis apa jua yang mereka rasa tanpa pedulikan respon orang lain. Rata-ratanya golongan
ini menulis personal blog.

3. Si Kaki Copy & Paste

Kerjanya mencari artikel-artikel yang bagus dan copy & paste artikel tersebut di blog mereka tanpa memerah otak.

4. Si Kaki Outsource

Kerjanya hanya keluarkan duit untuk para penulis menulis artikel menulis apa juga artikel yang berkaitan di blog mereka.

5. Si kaki Pasar Borong

Kerjanya menulis apa juga topik yang mereka tahu dalam satu blog tidak kiralah politik, hiburan, sukan dan sebagainya. All in one!

6. Si Selebriti & Golongan Terhormat
Kerjanya menulis artikel, tips serta pandangan profesional mereka terhadap kepakaran mereka kepada para pengikut mereka.

7. Si Problogger

Kerjanya menulis artikel yang terbaik dan memastikan topik artikel yang ditulis tidak lari dari kepakarannya serta niche. Mereka mampu mulakan perniagaan yang menguntungkan hanya melalui Blog!