SEPANJANG perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kuala Terengganu, mata disajikan pemandangan indah kampung-kampung.
Perasaan semakin teruja sebaik melewati Cherating, Kuantan, Pahang dengan pintu gerbang Selamat Datang ke Terengganu menyambut kedatangan pengunjung.
Selepas jauh berjalan, perut terasa lapar dan ‘meronta-ronta’ minta diisi. Pastinya makanan tempatan menjadi pilihan utama.
Hendak merasa kelazatan keropok lekor Seberang Takir, perjalanan masih agak jauh dan paling hampir ialah Kemaman.
Keunikan gastronomi
Daerah tersebut juga mempunyai keunikan gastronomi yang perlu dicuba. Kedudukan Kemaman tidak jauh dari bandar Kuantan sekali gus ia menjadi lokasi sempurna bagi pemburuan makanan.
Apabila memasuki kawasan Kijal yang terletak sebelum pekan Kemaman, anda pasti dapat melihat deretan gerai lemang di tepi jalan. Timbul persoalan, apakah istimewanya lemang di situ berbanding lemang di negeri-negeri lain?
“Lemang Kijal ini popular kerana keenakan rasa lemaknya, lembut dan tidak mudah keras seperti lemang di tempat lain,” jelas pengusaha lemang gerai Kak Pah 14B, Hanipah Mohd., 54.
Suapan pertama sudah cukup membuatkan seseorang itu merasai keenakan lemang Kijal. Tambah lazat jika dimakan bersama ayam atau rendang daging.
Proses buat lemang
Proses menyediakan lemang, menurut Hanipah, bagi 10 kilogram (kg) beras, dia menggunakan tiga kg santan. Beras perlu direndam terlebih dulu selama tiga jam sebelum dicampur santan.
Selepas siap semuanya, lemang akan dibakar menggunakan kayu api selama dua jam setengah. Tambah Hanipah: “Lemang ini boleh tahan selama tiga hari jika dibiarkan di dalam buluh. Sekiranya mahu tahan lebih lama, tambahkan santan.”
Sementara itu, suami Hanipah, Harun Mat Zin, 60, yang membantu isterinya di gerai tersebut menceritakan, sebanyak 300 batang buluh digunakan bagi tempoh dua minggu. Kesemua buluh di gerai-gerai di sepanjang deretan itu dihantar pembekal dari Kuala Berang.
“Gerai mula dibuka pada pukul 7 pagi dan ditutup selepas semua lemang habis dijual. Kebiasaannya ia habis dijual menjelang lewat petang,” ujar Harun
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0409&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz2Pv6JITff
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment