Monday, November 18, 2013

Kejayaan kreativiti dan inovasi



Philipus Jani tidak pernah berhenti menghasilkan alat muzik berasaskan buluh kerana minatnya yang mendalam terhadap instrumen tersebut.
.
"Orang punya saksofon besi tetapi, kau punya saksafon buluh, lebih baik buat kayu api. Puas saya dicaci, dihina dan diejek sehingga pada 2005 barulah saya berani naik ke atas pentas bersama-sama rekaan saksofon buluh ini, di situ baru orang mula nampak hasil reka cipta ini.''

Demikian luahan pencipta saksofon buluh atau somporingPhilipus Jani, 46, yang ditemui di Pusat Inovasi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Cyberjaya baru-baru ini.

Pembabitan Philipus sebagai pembuat somporing bermula secara kebetulan selepas dia berpeluang meminjam sebuah saksofon loyang daripada rakannya. Kisah itu sudah 19 tahun berlalu.

Walau bagaimanapun, sebaik sahaja dia mula 'jatuh cinta' dengan alat muzik tersebut, saksofon yang dipinjam terpaksa dipulangkan semula, sekali gus mendorong memiliki saksofon sendiri.

Minatnya yang mendalam terhadap saksofon mendorongnya mula mencipta alat muzik tersebut pada 1993 walaupun tanpa sebarang pendidikan formal mengenai alat muzik.

"Oleh kerana tidak mampu membelinya, memandangkan harganya yang sangat mahal, saya mula mencari jalan untuk menghasilkan saksofon sendiri.

"Selepas 12 tahun melakukan R&D (penyelidikan dan pembangunan), saya akhirnya berjaya menghasilkan saksofon buluh yang saya panggil somporing . Ia boleh mengeluarkan bunyi hampir serupa dengan saksofon dari nada A hingga G major," katanya.

Produk ciptaannya yang menggunakan buluh kuning ini telah berjaya menarik minat bukan sahaja pengkaji muzik tetapi juga profesor universiti dan peminat muzik tempatan dan antarabangsa.

Walaupun berdepan persepsi negatif daripada masyarakat sekeliling, bekas guru pendidikan khas di salah sebuah sekolah di Kota Kinabalu ini turut menghasilkan 18 alatan muzik berasaskan buluh, antaranya gitar, bass, drum, seruling dan sebagainya.

Malah, anak jati Tambunan, Sabah itu kini sibuk menerima tempahan penggemar alat muzik tersebut dari dalam dan luar negara yang jumlahnya kira-kira 10 unit, setakat ini

Sementara itu, seorang lagi pereka cipta yang mendapat perhatian YIM untuk disenaraikan sebagai inovator berpotensi ialah pemilik Nurkasih Enterprise, Wasihah atau Resiminah Kuntagil, 41, mengenai inovasi 'tuhau' yang merupakan sejenis makanan tradisi masyarakat Kadazandusun-Murut di Negeri Sabah.

"Jika dahulu, pendapatan saya hanya RM850 sebulan kerana menggunakan kaedah pengeluaran tradisional mengeluarkan 'tuhau' kini, pendapatan saya boleh meningkat berkali ganda sebulan.

Jelasnya, pencapaian itu adalah hasil bantuan YIM menerusi program Jejak Inovasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Katanya, bantuan daripada MOSTI telah menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan pengeluaran tuhau, sejenis sayur yang dijeruk, melalui inisiatif pembangunan pengeluaran dan kaedah pemprosesan inovatif.
Teknologi inovatif ini telah dibiayai di bawah geran pembangunan projek MOSTI dan dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Bioteknologi di kementerian tersebut.

Nurkasih Enterprise yang beroperasi di Kampung Marakau, Ranau, Sabah adalah syarikat pertama yang menggunakan inovasi pengeluaran tuhau besar-besaran untuk dikomersialkan ke pasaran domestik dan antarabangsa.

Keseluruhan teknologi pemprosesan dan pengeluaran yang melibatkan pembersihan dan mengupas, parutan, menggoreng dan pengeringan sehingga kepada memasak, mencampur jeruk dan pembungkusan akhir diilhamkan dan dibangunkan sejak September 2011.

"Saya gembira dan berterima kasih kepada MOSTI dan Yayasan Inovasi Malaysia kerana bantuan mereka dalam membangunkan pemprosesan dan kaedah pengeluaran inovatif ini yang telah menyumbang kepada kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi."

"Saya yakin inovasi baru ini akan menyediakan peluang baru bagi usahawan tempatan Sabah terutama ibu tunggal yang berminat untuk memanfaatkan potensi perniagaan yang tuhau tawarkan pada skala yang lebih luas," katanya.
Seorang lagi inovator yang mendapat perhatian YIM ialah Rozana Musa, 31, yang merupakan pemenang anugerah khas Inovasi Akar Umbi Jejak Inovasi 2011.

Rozana meminati kerja seni seramik sejak di bangku sekolah dan mendalaminya sehingga berjaya mencipta alat pembakar seramik.
Tambahan pula, bermain dengan lumpur di bendang ibunya sejak kecil lagi turut memberi ilham kepada Rozana menghasilkan seramik menggunakan bahan berkenaan.

"Saya mempunyai pelbagai idea untuk menghasilkan bahan seramik namun kos untuk membeli alat pembakar agak mahal sehingga mencecah RM12,000.
"Oleh itu, bermodalkan RM2,500 saya membuat inovasi alat pembakar sendiri dan kemudian membuka perniagaan produk seramik, " katanya.
Selain itu, syarikatnya Bendang Studio yang mempunyai kaitan dengan bendang ibunya di Melaka, kini turut mampu memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan.

Sementara itu, seorang lagi inovator yang mendapat perhatian YIM untuk disenaraikan sebagai inovator berpotensi ialah Ahmad Mujib Abd Rashid, 54, yang berjaya mencipta kipas (propeller) buatan Malaysia.

Jelasnya, sukan paramotor memerlukan kos yang tinggi . Malah untuk membeli kipas saja memerlukan RM500 hingga RM700 memandangkan setiap kali terjatuh, kipas yang diperbuat daripada kayu turut patah dan rosak.

Apatah lagi kipas ketika itu hanya boleh diganti dengan menempah dan membeli dari luar negara seperti Itali dan Perancis kerana belum lagi dijual di negara ini.

Justeru, melalui inisiatif dan kreativiti bekas jurulatih paramotor ini, peminat sukan udara ini tidak perlu risau lagi berikutan bilah kipas yang dulunya diimport boleh didapati di sini.

Ahmad Mujib menjelaskan, hasrat untuk mencipta kipas buatan Malaysia tercetus kerana bahan yang digunakan untuk membuat kipas adalah kayu yang sememangnya banyak di Malaysia.

"Saya mula menjalankan penyelidikan terhadap proses pembuatan kipas mengikut kaedah yang betul. Tanpa sebarang kelas, saya menggunakan pengalaman yang ada mencipta beberapa jenis kipas menggunakan cara tukangan konvensional iaitu menggunakan gergaji, parang, tukul dan sebagainya.

"Tetapi melalui kaedah konvensional itu, kipas tidak dapat dihasilkan mengikut ukuran dan berat yang betul. Seterusnya saya mula mencari idea untuk mencipta mesin pemotong khas kipas selain mencipta alat mengukur dan menimbang keseimbangan kipas," katanya.

Tambah beliau, melalui usaha bersungguh-sungguh dan berlandaskan niat untuk memudahkan peminat sukan paramotor memperoleh kipasr, akhirnya Ahmad Mujib berjaya mencipta kipas buatan Malaysia.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Produk/20131028/pr_01/Kejayaan-kreativiti-dan-inovasi#ixzz2kxz7i300 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: