Thursday, December 26, 2013
Teknik berunding yang betul
Apa itu rundingan?
Rundingan merupakan satu proses di mana dua pihak mencapai kata sepakat yang mampu memberikan kepuasan kepada semua pihak dengan mengekalkan elemen kerjasama. Kebiasaannya terdapat beberapa tujuan untuk mengadakan rundingan iaitu:
1. Mencapai hasil yang diingini melalui perbincangan dalam proses mengembangkan sayap perhubungan dalam perniagaan.
2. Merupakan cara yang paling efektif untuk mengatasi & penyelesaian konflik atau perbezaan pendapat atau kepentingan.
3. Mencari penyelesaian yang menguntungkan kedua-dua pihak terhadap sesuatu permasalahan tanpa ada unsur kekerasan.
4. Meningkatkan hubungan professional dengan rakan niaga dan rakan sekerja.
5. Perlaksanaan dengan penuh kenyakinan demi mencapai kesepakatan.
6. Membangunkan sikap kepimpinan dan keahlian dalam membentuk sebuah pasukan yang kuat.
Dalam sesuatu rundingan, persetujuan dan percanggahan adalah fenomena biasa dalam mencari kesepakatan. Oleh itu, penting bagi kita untuk mengetahui cara atau teknik yang betul yang sebenar ketika melakukan rundingan agar memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
Langkah pertama dalam melakukan rundingan adalah persiapan yang cukup. Persiapan yang baik sangat perlu sebelum proses rundingan berlangsung. Proses persiapan ini turut mengambil kira TUJUAN SESUATU RUNDINGAN DIADAKAN. Tanpa tujuan yang jelas, pastinya matlamat sesuatu rundingan tidak dapat dicapai dengan pihak terbabit.
Ini diikuti dengan langkah seterusnya yang melibatkan PERSIAPAN MENTAL. Bagi mengelakkan berlangsungnya perdebatan hangat, pastikan diri kita sentiasa berada dalam keadaan tenang dan selesa. Pastinya proses rundingan akan berlangsung dengan lancar dan mulus.
Sebaik-baiknya, apabila kita menjejakkan kaki di ruang rundingan, pastikan kita BERJABAT TANGAN dengan pihak yang berkaitan terlebih dahulu. Ketika berjabat tangan, lakukan dengan tegas dan singkat.
Selain itu, amat perlu untuk sentiasa MEMPAMERKAN SENYUMAN sebelum memulakan rundingan. Cara ini dilihat sebagai seorang individu yang boleh memberikan kerjasama dengan mudah, selain mengeratkan diri dengan pihak terbabit.
Sepanjang rundingan berlangsung juga jangan lupa untuk menyatakan TUNTUTAN ATAU KEINGINAN pihak kita secara singkat tapi jelas dengan perasaan yang penuh percaya kepada diri sendiri. Ini bagi menunjukkan betapa seriusnya kita terhadapa rundingan tersebut selain mempamerkan keyakinan atas kejayaan rundingan yang dilakukan.
Dalam masa yang sama juga, jelaskan kepada pihak berkenaan bahawa kita dan organisasi BERKEINGINAN UNTUK MENCAPAI KATA SEPAKAT. Setidak-tidaknya, penggunaan masa berjalan dengan lebih efektif kerana rundingan berlangsung terus kepada objektif tanpa membincangkan perkara remeh yang merugikan kedua-dua belah pihak.
Akhir kata, semoga tips yang diberikan dapat membantu kita dalam setiap rundingan yang kita lakukan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment