Tempe merupakan makanan tradisonal masyarakat Jawa yang dihasilkan daripada kacang soya manakala coklat diperbuat daripada koko. Hari ini coklat datang dalam banyak variasi dan jenama, jenis dan rasa tetapi tempe mempunyai keunikannya kerana kekal begitu melainkan cara dimasak kerana pengusaha kini mempunyai pilihan untuk memasarkannya dalam pelbagai cara masakan termasuk digoreng.
Satu perkara yang perlu diambil kira ialah coklat dianggap menggemukkan manakala tempe menyihatkan.
Sebab itu coklat kadangkala menimbulkan isu tertentu kepada penggemarnya sama ada berkaitan ramuan atau rasanya.
Namun bagi Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL), Banting Selangor, keunikan kedua-dua makanan tersebut sepatutnya ditonjolkan.
Memperkenalkan produk ciptaan mereka sebagai DeTemps, KKKL menggabungkan dua bahan utama iaitu tempe dan coklat bagi memberi keunikan menikmati makanan tradisi masyarakat Jawa di Kuala Langat, Selangor.
Berkongsi lebih lanjut Pengarah KKKL, Zainah Rujihan memberitahu, idea menghasilkan coklat tempe tercetus selepas kolej tersebut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records menerusi kejayaan menghasilkan Jalur Gemilang Terpanjang pada tahun lalu.
Keunikan dan kelainan produk kami menggabungkan dua bahan utama iaitu tempe dan coklat dikenali sebagai DeTemps yang menjadi bahan utama dalam penghasilannya.
Gabungan ini yang memberikan lebih manfaat kesihatan dari tempe itu sendiri. Kita mengetahui bahawa peminat seluruh dunia amat meminati coklat, ujarnya.
Oleh itu kata beliau, KKKL menginovasikan tempe itu sendiri dengan mengabungkan bersama coklat.
Daripada idea pengilhaman ini maka terhasillah produk tersebut yang akan memberi seribu kelainan berbanding produk-produk coklat di pasaran sekarang.
Pihaknya kata beliau, menggunakan 28,880 keping tempe bersaiz 0.95 meter lebar dan 503.4 meter panjang untuk menghasilkan Jalur Gemilang tersebut.
Menurut beliau, tujuan pembangunan produk DeTemps ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan pendapatan masyarakat setempat kerana bahan utama iaitu tempe diperoleh daripada pengusaha tempatan.
Pada masa yang sama, KKKL turut menjalankan satu bentuk perniagaan produk makanan unik yang belum ada di pasaran terbuka.
Secara tidak langsung ia mampu melonjak nama kolej tersebut sebagai perintis kepada produk berasaskan tempe dan coklat.
Sebagai permulaan, DeTemps memperkenalkan lima variasi coklat tempe iaitu Crispy Temps, Crunchy Temps, Choc Temps, Passion Temps dan Shocky Temps.
Kesemua jenis produk ini dijual dalam pelbagai jenis pakej yang boleh dijadikan cenderahati bagi pelbagai majlis sambutan keraian.
Harga yang kompetitif daripada harga pasaran itu adalah menjadi senjata utama dalam kejayaan produk.Ini kerana produk ini dihasilkan dari bahan-bahan yang murah dan berpatutan.
Bahan utama sendiri adalah tempe yang mudah didapati dan mudah untuk dibuat sendiri.
Selain itu sokongan kuat daripada pihak agensi luar yang membantu mempromosikan produk ini menjadi salah satu kekuatan yang mampu meningkatkan lagi pemintaan produk ini.
Kerjasama yang kami dapat dari semua inilah yang membuatkan produk DeTemps lebih cepat meningkat dalam pemasaran.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140602/ag_01/Coklat-tempe#ixzz34haDw7qH
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment