Friday, June 08, 2018

Jual produk IKS melalui Internet


AMALAN membeli belah dalam talian bukan lagi sesuatu yang asing. Boleh dikatakan aplikasi atau laman sesawang inovasi teknologi maya itu telah menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan masyarakat umum hari ini.

Kepercayaan komuniti pembeli terhadap inovasi itu bertambah kuat apabila wujudnya jaminan perlindungan undang-undang bukan hanya daripada pihak berkuasa, bahkan peniaga dalam talian itu sendiri.

Situasi itu telah mewujudkan beratus-ratus aplikasi atau laman sesawang membeli belah dalam talian. Masing-masing tampil dengan kelebihan dan tawaran yang tersendiri.
Antara yang terkini dalam pasaran adalah cmasa.my yang dikendalikan sepenuhnya oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Tarikan utama cmasa.my atau Kelab Maya Sahabat Ar-Rahnu YaPEIM adalah lebih memfokuskan kepada produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.

IKS tempatan

“Platform membeli belah alam maya itu diwujudkan pada Februari lalu dan sehingga kini ada lebih 1,200 produk dan perkhidmatan yang dihasilkan kira-kira 300 usahawan IKS tempatan.

“Antaranya adalah plastik sampah serai wangi, asam pedas, pes masakan, kosmetik, barangan kesihatan, tudung, peralatan rumah, perkhidmatan dan lain-lain lagi,” kata Pengarah Kanan Kewangan Korporat, Pelaburan dan Koordinasi Perniagaan YaPEIM, Parihah Hasan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Pertemuan itu turut disertai Ketua Bahagian cmasa.my, Umi Kalthom Ahmad.

Mengulas lanjut, Parihah berkata, selain jaminan kualiti dan kepatuhan syariah, aspek kepatuhan kepada tempoh penghantaran dan pemulangan wang antara isu utama untuk membina kepercayaan masyarakat pembeli.

Ini kerana, tambahnya, urusan jual beli sedemikian memerlukan pembeli menyelesaikan bayaran tanpa memiliki produk yang dibelinya, sebaliknya pengesahan pemilikan tersebut hanya pada sehelai kertas sahaja.

Sejajar itu, pihaknya mewujudkan satu unit khas untuk memantau secara teliti pergerakan produk yang telah disahkan pembayarannya.

“Unit itu akan pantau secara teliti setiap pesanan itu supaya ia sampai ke tangan pembeli dalam tempoh ditetapkan.

“Jika ada masalah atau aduan, unit berkenaan akan menghubungi peniaga berkenaan dan jika ia melepasi tempoh masa tersebut, mereka akan pastikan pembayaran balik dilakukan secepat mungkin,” katanya.

Ketegasan sedemikian bagi Parihah tidak hanya untuk kebaikan komuniti pembeli sahaja tetapi ia turut memberi kesan positif jangka panjang kepada peniaga IKS itu sendiri.

Selain dapat membina kepercayaan masyarakat pembeli, beliau berkata, para peniaga IKS juga dapat mempelbagaikan saluran pemasaran barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan mereka.
“Perniagaan dalam talian kini menunjukkan peningkatan cukup ketara berikutan meningkatnya penggunaan Internet dalam kalangan masyarakat umum.
“Kelab Maya Sahabat Ar-Rahnu adalah komuniti usahawan diperkenal oleh YaPEIM yang menggunakan perkhidmatan Ar-Rahnu YaPEIM untuk mendapat modal bagi menjayakan perniagaan secara kecil-kecilan dan seterusnya berusaha memajukan diri dan keluarga,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/jual-produk-iks-melalui-internet-1.685761#ixzz5HpKNgnPg 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: