Showing posts with label Mencari keberkatan dalam perniagaan. Show all posts
Showing posts with label Mencari keberkatan dalam perniagaan. Show all posts

Friday, March 12, 2010

10 Cara Bagaimana Untuk Membahagiakan Ibu Bapa

.
Jika Mereka Sudah Pergi Baru Kita Menyesal
.
" Mengapa aku tidak Membantu ibu dan bapa ku semasa mereka Hidup"

Marilah kita membahagiakan mereka sebelum terlambat.

SETIAP anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa demi membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan mulia.
.
Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk material dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.
.
Antara bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa:
.
1. Memberi bantuan kewangan
.
Ada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Jika bekerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.
.
Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.
.
2. Menyediakan tempat tinggal
.
Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal atau tidak sesuai untuk didiami, menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal lebih sesuai kepada ibu bapa.
.
Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.
.
3. Memberi kasih sayang
.
Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini dicurahkan ibu bapa. Jadi, seharusnya kasih sayang itu dibalas sebaik-baiknya.
.
Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.
.
Firman Allah bermaksud: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil." (Surah al-Isra, ayat 24)
.
4. Memberi perhatian
.
Ibu bapa yang diabaikan akan kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.
.
Ramai ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa, sedangkan mereka mampu menjaga dan membesarkan beberapa anak.
.
5. Memenuhi permintaan
.
Ibu bapa sering memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.
Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat dan seumpamanya.
.
Malah, keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama daripada berjihad di medan perang. Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata:
.
"Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: "Apakah perbuatan disukai oleh Allah?" Lalu Baginda bersabda: "Sembahyang pada waktunya." Kemudian apa?" tanya saya lagi. Baginda menjawab: "Berbakti kepada kedua ibu bapa." Saya bertanya: "Apa lagi." Jawab Baginda: "
Berjihad pada jalan Allah."
.
6. Melakukan apa yang disukai
.
Ibu bapa tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.
.
Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.
.
Sabda Rasulullah bermaksud: "Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa." (Hadis riwayat at-Tirmizi).
.
Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: "Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Maka, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati."
.
7. Bercakap dengan lemah lembut
.
Satu cara menjaga perasaan ibu bapa adalah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendak direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.
Firman Allah bermaksud: "Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua-dua orang tua.. Jika salah seorang telah lanjut usianya atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata 'cis' terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut." (Surah al-Israk, ayat 23).
.
Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa.. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.
.
8. Menghadiahkan kejayaan
.
Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.
.
9. Meluangkan masa bersama-sama
.
Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi mereka. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.
.
10. Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa
.
Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan walaupun mereka meninggal dunia.
Sabda Rasulullah bermaksud:
.
"Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya." (Hadis riwayat Muslim).
.
Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.

Saturday, May 16, 2009

Mencari keberkatan dalam perniagaan

Berniaga rezeki paling menguntungkan
..
Dalam mana-mana masyarakat, majoriti jutawan dan hartawan terdiri daripada golongan peniaga atau lebih popular dipanggil ahli perniagaan. Ahli perniagaan menguasai kekayaaan dan ekonomi negara, menjadikan mereka berpengaruh dan dihormati dalam masyarakat.
..
Berniaga adalah usaha mencari rezeki menguntungkan.
Sebab itu, Islam amat menggalakkan agar umatnya menjadi peniaga untuk merebut peluang keuntungan itu.

Semasa Nabi Muhammad SAW berada di Madinah, didapati banyak orang kaya terdiri daripada golongan peniaga. Bahkan aktiviti ekonomi di Madinah dikawal sepenuhnya golongan Yahudi yang menjadi peniaga.
.
Bangsa Cina kuasai ekonomi
..
Di negara kita, bangsa Cina menguasai ekonomi Negara disebabkan majoriti bangsa itu menjadi peniaga. Bangsa Melayu seharusnya mempelajari daripada bangsa Cina bagaimana hendak menjadi peniaga yang berjaya.
..
Menyedari betapa penting bidang perniagaan, Nabi Muhammad SAW banyak memberi panduan atau hukum mengenai urusan perniagaan. Terdapat kira-kira 500 hadis yang memperkatakan mengenai perniagaan yang sebahagian besarnya menjelaskan bagaimana perniagaan perlu dilakukan mengikut kehendak syariat.
..
Antara hadis berkaitan perniagaan paling kerap dibaca ialah mengenai keuntungan terlibat dalam bidang perniagaan. Sabda Rasulullah bermaksud: “Sembilan per sepuluh rezeki datangnya dari perniagaan.” (Hadis riwayat Bukhari).
..
Berniaga bukan sekadar menguntungkan
..
Sebenarnya galakan menyertai bidang perniagaan bukan sahaja bermatlamat mencari keuntungan, sebaliknya perniagaan adalah aktiviti penting yang perlu diutamakan dalam kehidupan seharian manusia.
..
Peniaga membantu orang ramai mendapat apa yang diperlukan untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik. Ekonomi dan kesejahteraan rakyat bergantung kepada urusan perniagaan. Sebab itu, kegiatan perniagaan dibenarkan ketika musim haji, sedangkan kegiatan lain tidak dibenarkan.
..
Hal ini membuktikan betapa pentingnya perniagaan dilakukan dilakukan bila-bila masa. Sekiranya aktiviti perniagaan dihentikan, seluruh sistem kehidupan manusia dengan sendirinya terhenti.
..
Peraturan dalam perniagaan
..
Islam menetapkan peraturan dalam urusan perniagaan bagi menjamin urusan berkaitan dengannya berjalan dengan lancar. Antara perkara yang ditekankan dalam perniagaan adalah keuntungan diperoleh semua pihak yang terlibat.
..
Dengan kata lain, keuntungan bukan sahaja di pihak penjual tetapi juga pembeli dan pihak lain. Jika diketahui akan ada pihak yang akan menanggung kerugian akibat urusniaga itu, maka hendaklah tidak diteruskan.
..
Antara perkara penting dalam urusan perniagaan adalah kejujuran dalam semua peringkat urus niaga. Kejujuran amat penting bagi mengelak berlaku penindasan.
..
Sistem kapitalis diharamkan Islam
..
Islam menolak system yang membenarkan peniaga memperoleh keuntungan berlebihan yang nyata memberi keburukan kepada pengguna seperti diamalkan sistem ekonomi kapitalis.
..
Spekulasi dan manipulasi berlaku dengan berleluasa dalam sistem ekonomi kapitalis yang sering kali menimbulkan keadaan tidak menentu dalam ekonomi.
..
Masalah harga petroleum dunia yang tidak stabil antara lain berpunca amalan spekulasi dan manipulasi yang diamalkan pembekal dan peniaga. Sikap tamak pihak yang terlibat dalam urus niaga petroleum itu memberi kesan ekonmomi yang besar kepada seluruh dunia.
..
Nilai kemanusiaan dan tolong menolong tidak dipentingkan dalam sistem ekonomi kapitalis. Masyarakat global berbangga dengan system kapitalis yang didakwa system terbaik yang membangunkan ekonomi mereka.
..
Sedangkan, system yang berteraskan nafsu itulah yang melahirkan masyarakat mementingkan kebendaan dan rosak akhlak.
..
Sistem sosialis penuhi matlamat
..
Sementara itu, system ekonomi sosialis menetapkan urusan perniagaan sebagai memenuhi matlamat kesamarataan dalam masyarakat. Semua urusan perniagaan berada dalam kawalan tangan pemerintah.
..
Dalam system sosialis, peniaga sekadar dianggap menjadi agen kepada pemerintah dalam menyediakan keperluan rakyat. Sistem ini diamalkan di negara yang mengamalkan fahaman komunis. Bagaimanapun, semakin banyak negara komunis mengamalkan pasaran terbuka berasaskan kapitalis.
..
Sebenarnya, urusan perniagaan bukan terhad membeli dan menjual barangan semata-mata. Bahkan, perniagaan juga meliputi penyediaan perkhidmatan, sewaan, pembuatan, pembinaan dan sebagainya.
..
Peniaga, pembeli saling memerlukan
..
Islam mebenarkan peniaga mendapat keuntungan atas perkhidmatan diberikan kepada pengguna. Peniaga memperuntukkan modal, kepakaran, fikiran, tenaga dan masa untuk tujuan itu. Berdasarkan perkhidmatan itu, peniaga berhak mendapat upah yang dipanggil untung.
..
Sesungguhnya antara pembeli dan peniaga saling memerlukan. Tiada peniaga tanpa pembeli dan tiada pembeli tanpa peniaga. Justeru, antara kedua-dua pihak perlu saling menghormati, menjaga hubungan baik dan memahami keperluan antara satu sama lain. Urus niaga perlu berjalan dalam suasana harmoni, selesa, selamat, berterusan dan memenuhi keperluan.
..
Sebaliknya, sikap rakus dan tamak, menyebabkan urus niaga dipenuhi dengan tipu daya dan penindasan.
..
Dalam hal ini bukan sahaja pengguna menjadi mangsa, bahkan peniaga sendiri terdedah kepada kerugian. Pengguna juga kadang kala bijak menipu peniaga.
..
Etika perniagaan
..
Etika utama yang patut diamalkan peniaga adalah jujur, amanah dan ikhlas. Peniaga sedemikian mendapat keuntungan daripada perniagaannya di dunia dan akhirat.
..
Sabda Rasulullah bermaksud: “Peniaga yang jujur akan bersama-sama nabi, siddiqin dan golongan mati syahid.” (Hadis riwayat Hakim dan Tirmizi).
..
Sebaliknya, peniaga yang melanggar etika, menjalankan perniagaan terkeluar daripada landasan ditetapkan Islam.
..
Kepentingan untuk memberi kepuasan kepada pengguna tidak lagi menjadi matlamat. Apa yang dilakukan mendapat keuntungan secara batil dan dusta. Mereka mengejar keuntungan dunia, sedangkan di akhirat kelakk bakal berdepan pembalasan maha pedih.
..
Cahaya keimanan tertahan daripada menyinari hati peniaga yang menafikan amanaah dalam perniagaan. Itulah yang berlaku selagi manusia bersikap tamak dan menolak janji Allah.
..
Firman Allah bermaksud : “Mereka itulah membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidaklah beruntung perniagaannya dan tidaklah mereka mendapat petunjuk.”(Surah al-Baqarah, ayat 16)
..
Perniagaan ganti amalan riba
..
Perniagaan menggantikan amalan riba yang dijalankan berasarkan kepada penindasan dan mementingkan diri sendiri. Tetapi, perniagaan yang dijalankan dengan unsur penindasan dan penipun juga di sebahagian daripada perbuatan berbentuk riba.
..
Islam tidak mengiktiraf sebarang bentuk perniagaan yang tidak menepati etika ditetapkan syariat. Antara amalan yang menyebabkan urusan perniagaan menyerupai riba adalah peniaga menaikkan harga tidak munasabah sesuak hati.
..
Peniaga tidak beretika mengambil peluan mendapat keuntungan lebih tinggi dengan menindas pembeli. Pembeli yang terdesak memerlukan barangan atau perkhidmatan terpaksa membayar lebih biarpun mengetahui harga sepatutnya lebih rendah daripada itu.
..
Sikap pengguna yang sanggup bertolak ansur dalam perkara ini menyebabkan peniaga lebih mengambil kesempatan menindas pembeli. Kenaikan harga terlampau tinggi tanpa alasan munasabah menyalahi kontrak sosial atau hubungan baik antara peniaga dengan pembeli. Peniaga berasakan dirinya berkuasa penuh menentukan apa yang diingini.
..
Manipulasi harga
..
Dalam istilah perniagaan, sikap pengguna menaikkan harga sesuka hati atau memperdayakan tidak boleh dikawal. Peniaga dianggap permintaan meningkat disebabkan factor tertentu.
..
Dalam system ekonomi kapitalis, keadaan tersebut dibenarkan, bahkan mesti direbut oleh setiap peniaga. Peniaga dianggap bijak jika berjaya mewujudkan manipulasdi harga yang memberi keuntungan lebih kepada mereka.
..
Konsep yang dipegang adalah peniaga bebas menentukan harga berdasarkan kepada penawaran dan permintaan. Pergerakan barangan juga tidak boleh dikawal. Peniaga dianggap bebas untuk membawa keluar dan memasarkan barang di mana yang disukai biarpun tindakan itu akan menyebabkan sesuatu kawasan mengalami kekurangan bekalan dan menyusahkan pengguna.
..
Konsep inilah yang ditekankan dalam amalan perniagaan era globalisasi dan liberalisasi. Pergerakan bebas barangan tanpa memikirkan kesan kepada pengeluar, peniaga lain dan pengguna dianggap kehebatan globalisasi. -Sinar Harian