Showing posts with label Penternakan Ikan Kelisa. Show all posts
Showing posts with label Penternakan Ikan Kelisa. Show all posts

Tuesday, March 23, 2010

Keuntungan lumayan ternak arowana

EMAS berenang dengan warna yang pelbagai dan dianggap membawa tuah. Mungkin itu kata-kata paling tepat menggambarkan bagaimana ikan arowana terlalu berharga.

.

Sebab itu, industri ini semakin menarik minat mereka yang berkemampuan untuk melabur, kerana melihat potensinya yang boleh menjana keuntungan lumayan.

.

Sebab itu, banyak syarikat telah menceburkan untuk membuat pelaburan sama ada sebagai perniagaan teras atau cabang perniagaan, dan jumlahnya semakin meningkat terutama di kawasan Bukit Merah.

.

Bagi Happy Arowana Farm, keluasan kawasan yang mencecah 200 hektar (500 ekar) itu sewajarnya dimanfaatkan sebagai kawasan pertumbuhan industri ternakan ikan arowana.

.

Apatah lagi menurut pemiliknya Ismail Ali, 33, kira-kira 90 peratus kawasan tersebut telah diwartakan sebagai ladang ternakan ikan tersebut.

.

"Kawasan ini terkenal sebagai pusat ternakan ikan kelisa kerana kesesuaian airnya dengan pH antara 6.8 dan 7.4 dari tasik berhampiran,'' katanya sambil menjelaskan kesemua kawasan ternakan pada asalnya merupakan bendang sawah.

.

Ismail, anak jati Alor Pungsu, berhampiran kawasan Bukit Merah menceritakan, penglibatannya sebenarnya bertitik tolak daripada pengalamannya sejak kecil iaitu pada 1987 yang sering mencari ikan di Sungai Kerian.

.

Sehinggalah pada tahun lepas, dia menyambung minatnya meskipun terlibat dengan beberapa pekerjaan lain.

.

Ismail memberitahu, dia bermula secara serius setelah mengambil kira potensi industri tersebut yang berpotensi dikembangkan dan menjana usahawan tempatan.

.

Selepas berusaha dengan modal permulaan RM80,000 dengan berniaga menjual induk ikan kelisa, Ismail mengorak langkah lebih jauh untuk mengembangkan lagi projek ternakannya.

.

Katanya, ikan arowana bagaikan emas berenang dan membiak untuk menjana pendapatan. Dalam tempoh lima bulan sahaja terlibat dalam perdagangan induk, dia mampu menjana pendapatan lumayan.

.

"Satu ketika saya mengalami kerugian kerana masalah yang tidak dijangka tetapi tidak mematahkan semangat,'' katanya.

.

Dia membuka kolam ternakan dan menawarkan kepada mereka yang berminat untuk melabur, dan pada masa sama masih menjual induk ikan.

.

Pakej yang ditawarkannya tidak begitu membebankan iaitu seorang pelabur ditawarkan induk ikan arowana emas (Malaysia Gold atau spsies lain seperti high back dengan 20 induk setiap satu pakej.

.

Ketika ini, syarikat berkenaan menawarkan 30 buah kolam atau 30 pakej manakala fasa kedua akan menyusul yang menawarkan 70 buah kolam.

.

Setiap pakej menawarkan kontrak lima tahun dengan penyelenggaraan dan makanan dibiayai oleh syarikat.

.

Kata Ismail, hasil anak akan dipawah 50 peratus untuk syarikat dan 50 peratus lagi untuk pelabur.

.

"Ketika ini saya menguruskan kolam yang bernilai RM4 juta," ujarnya.

.

Bagaimanapun, beliau berharap agar kerajaan dapat membantu terutama dalam memberi insentif memajukan industri tersebut, khususnya dalam bidang penyelidikan atau pembiakbakaan.

.

Mengulas perkara tersebut, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub berkata, mana-mana pengusaha yang berminat menjalankan penyelidikan boleh memohon di bawah geran yang ditawarkan oleh agensi kerajaan berkaitan.

.

"Mereka perlu mengadakan kerjasama dengan institusi penyelidikan tempatan termasuk universiti untuk tujuan ini,''katanya.

.

Ikan arowana katanya merupakan komoditi yang unik terutama Malaysian Gold kerana ia satu-satunya spesies di dunia.

.

Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak mengenai tiga komoditi di beri tumpuan menjadikannya industri yang semakin popular.

.

"Potensinya memang besar sebab itu ramai yang menyatakan minat melabur tetapi kita (Jabatan Perikanan) menasihati mereka supaya berhati-hati dengan tawaran pakej pelaburan yang tidak meyakinkan,'' katanya.

.

Junaidi berkata, akan ada pihak mengambil kesempatan menipu orang awam dengan menawarkan pakej menerusi seminar sedangkan mereka mungkin tidak memiliki kolam sekali pun.

.

"Tawaran pakej BMA (Bukit Merah Aquaculture) memang baik sebab mereka ada ladang dan kolam,'' katanya.

.

Beliau mengingatkan demikian kerana ada kes pengusaha rumpai laut yang menipu pelanggan dengan menawarkan pakej tetapi sebaliknya tidak wujud sedangkan ada peserta telah melabur.

.

Info

Taksonomi Arowana

Kelas: Pisces

Order Clupeiformes

Suborder Osteoglossoidei

Famili Osteoglossidae

Genus : Scleropages sp.

Spesies: Scleropages formosus

.

Berdasarkan pengkelasan ini ikan dalam famili Osteoglossidae dikatakan merupakan kumpulan ikan air tawar mempunyai ciri ikan primitif. Ini berdasarkan kepada fosil yang telah ditemui dimana asal usul arowana telah wujud pada zaman kewujudan dinosour di zaman karbon kira-kira 360 juta tahun dahulu.

.

Antara spesies ikan air tawar lain yang terkandung dalam famili ini termasuklah

Arapaima gigas iaitu sejenis ikan air tawar yang terbesar dan arowana perak (silver), Osteoglossum bicirrhosum dan O. ferreirai yang berasal dari Amerika Selatan.

.

Arowana mutiara (Scleropages leichardtii) dan arowana hitam (Scleropages jardinii) yang berasal dari Australia juga tergolong dalam famili Osteoglossidae.

.

Heterotis niloticus boleh ditemui dai bahagian barat Afrika dan Sungai Nil

.

Jenis arowana

Pada asalnya Arowana Asia (Scleropages formosus) terbahagi kepada tiga varieti utama iaitu Arowana Emas, Arowana Merah dan Arowana Hijau.

.

Arowana Emas

Terdapat dua varieti iaitu varieti emas Malaysia dan emas Indonesia.

Arowana Emas Malaysia merupakan jenis yang terbaik dan cantik berbanding varieti Indonesia.

Melalui pembiakan dalam kurungan pelbagai varieti seperti blue base gold dan high back gold telah dihasilkan. Jenis albino merupakan jenis arowana emas yang paling jarang ditemui di pasaran.

.

Arowana Merah

Arowana Merah berasal dari Kalimantan, Indonesia tetapi ia telah dihasilkan secara intensif di ladang arowana tempatan.

.

Arowana Hijau

Arowana Hijau merupakan jenis yang paling meluas taburannya di negara kita.

.

sumber: utusan online

Wednesday, January 27, 2010

Rezeki si ikan kelisa






BAGAN SERAI 16 Dis. - Ikan kelisa atau nama saintifiknya arowana merupakan ikan hiasan yang menjadi kegilaan ramai orang.
.
Walaupun harganya mencecah ribuan ringgit seekor namun penggemar kelisa tidak kisah. Mereka akan tetap membelinya demi kepuasan diri.
.
Ramai yang akan garu kepala jika dimaklumkan bahawa harga anak ikan kelisa bersaiz antara tujuh hingga sepuluh sentimeter (cm) mencecah RM2,000. Paling murah harga anak ikan kelisa ialah RM12 seekor.
.
Salah seorang pengusaha ialah Ahmad Don, 55. Hasil usahanya, dia mempunyai sebanyak 1,400 ekor pelbagai jenis induk ikan kelisa.
.
Apa yang membanggakan, usaha gigihnya yang bermula sejak 2001 itu kini dalam proses untuk membina 680 buah kolam lagi di Kuala Kangsar dan sekitar Bukit Merah, dekat sini.
.
''Sebenarnya saya mula terlibat dalam penjualan ikan kelisa ini pada 1975. Masa itu harga seekor cuma RM12 tetapi kini harganya sangat memberangsangkan.
.
''Pada 2001 barulah saya serius menternak dan menjual ikan kelisa dengan membina sebanyak lima buah kolam. Malangnya, oleh kerana tiada pengalaman saya rugi bila banyak induk ikan kelisa mati waktu itu," katanya di sini baru-baru ini.
.
Pada penghujung 2002, katanya, barulah dia dan rakan kongsinya mengetahui punca kematian ikan tersebut.
.
''Rupa-rupanya ikan induk itu mati disebabkan air kolam bercampur dengan air dari luar kolam. Jadi, selepas dua tahun rugi barulah kami merasa hasilnya sampailah sekarang," katanya.
.
Bagi menternak ikan kelisa, kata Ahmad, seseorang itu perlu membeli lima induk jantan dan sepuluh induk betina bagi setiap kolam supaya menghasilkan anak ikan kelisa yang banyak dan berkualiti.
.
''Harga induk ikan kelisa bergantung kepada jenisnya, kalau kelisa Malaysian Gold, harganya ialah RM14,000.
.
''Tetapi hasilnya memang cukup lumayan. Setiap dua bulan sekali kita akan tuai anak ikan. Jadi kiralah sendiri kalau dalam tempoh itu kita boleh dapat sehingga 200 anak ikan kelisa Malaysia Gold yang setiap ekor bernilai RM2,000," katanya.
.
Selain ikan kelisa Malaysian Gold, Ahmad turut menternak kelisa Green Base, Chilli Red, Super Red, Banjar Red serta High Back yang jumlah jualan secara keseluruhannya kini adalah 20,000 ekor setahun.
.
''Syarikat saya mensasarkan untuk menjual sehingga 30,000 ekor setahun pada tahun depan. Buat masa ini, kita sudah menembusi pasaran antarabangsa iaitu Singapura, China, Jepun, Vietnam dan Thailand.
.
Sementara itu, seorang lagi penternak, Zailani Osman berkata, hasil ternakan ikan kelisa memang cukup lumayan dan menguntungkan.
.
''Berdasarkan pengalaman saya, hasil bagi separuh kolam ikan kelisa adalah sama dengan hasil kelapa sawit seluas 24 hektar.
.
''Pasaran memang cukup bagus, kadang kala kita sudah dapat tempahan awal bernilai ratusan ribu ringgit. Jika penternak bernasib baik, mereka sudah boleh untung dalam tempoh tidak sampai setahun," katanya.
.
Rakannya, Mat Latip Mohd. Amin pula memberitahu, walaupun hasil ternakan ikan kelisa amat lumayan, ia tetap memerlukan komitmen tinggi untuk menjayakannya.
.
''Kita mesti tahu cara-cara membela ikan kelisa dengan betul termasuk pemakanan serta pengambilan benih anak ikan bagi mengelak kerugian.
.
''Apa yang menarik, ikan kelisa yang diternak di sini mempunyai kualiti lebih baik berbanding kawasan lain kerana ikan kelisa khususnya Malaysian Gold berasal dari Tasik Bukit Merah," katanya.
.
sumber: Utusan online