KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM1.96 bilion daripada RM3.26 bilion yang diperuntukkan menerusi 14 pakej bagi membantu petani menjadi petani moden masih belum dibelanjakan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu Rabu.
.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata sejak 1996 hingga 2003, seramai 73,000 petani memperoleh faedah daripada pakej berkenaan yang diperkenalkan menerusi Agrobank membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.3 bilion.
.
Beliau berkata selain pakej berkenaan, kerajaan juga memperkenalkan teknologi moden menggunakan alat jentera moden dengan peruntukan sebanyak RM380 juta.
.
"Peruntukan itu digunakan untuk membekalkan jentera moden sama ada diberi percuma kepada ketua ladang atau petani menerusi geran sepadan.
.
"Sebagai contoh jika jentera moden itu berharga RM10,000, petani hanya perlu membayar separuh manakala bakinya akan dibiayai oleh kerajaan," katanya menjawab soalan tambahan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) pada persidangan Dewan Rakyat di sini. Nancy ingin tahu bagaimana bidang pertanian mampu menarik golongan belia sekaligus menjadikan pertanian sebagai aktiviti komersial.
.
Noh berkata usaha untuk menaik taraf bidang pertanian juga membabitkan penekanan kepada generasi kedua terutamanya golongan siswazah kerana kerajaan mahu bidang pertanian diurus secara lebih berkesan dengan ilmu pengetahuan.
.
"Kerajaan juga menggalakkan petani menceburi bidang baru yang lebih lumayan seperti industri burung walet, rumpai laut, perniagaan ikan hiasan yang mempunyai pasaran baik di peringkat antarabangsa," katanya.
.
Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Nancy mengenai perancangan kementerian untuk menaik taraf status golongan petani, Noh berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM25 juta bagi membantu 1,243 anggota pertubuhan Peladang.
.
"Bantuan itu bagi membesarkan saiz, menambahbaikkan, mengubahsuai premis bagi membolehkan mereka mengeluarkan hasil yang lebih banyak di samping sebahagian besarnya diberi pendedahan dalam bentuk latihan teknikal dan keusahawanan," katanya.
.
Selain itu, beliau berkata program Ladang Kontrak yang dilaksanakan dari tahun 2006 hingga tahun ini telah memberi manfaat kepada 13,631 peserta dengan keluasan projek 24,093 hektar.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment