Saturday, July 28, 2012

Tinggal laut, ternak lembu

antara lembu tenusu di ladang Agro DairyFarm milik P. Jagannatham. 
 
TIDAK ramai yang sanggup meninggalkan pekerjaan tetap semata-mata untuk melakukan sesuatu yang berisiko yang belum tentu menjanjikan pulangan lumayan jika tidak disertai dengan kerja keras.

Namun bagi seorang pelaut dari Pahang, P. Jagannatham, tindakannya meninggalkan pekerjaan tetap untuk melakukan sesuatu yang baharu dalam hidupnya dianggap sebagai satu perjudian kerana pulangan yang bakal diperoleh masih samar. 

Dengan berbekalkan modal permulaan RM1 juta, dia mengambil keputusan berpindah dari Pahang ke Melaka untuk mencari peluang membuka ladang ternakan lembu.

Membawa bersama isteri dan tiga orang anaknya, bekas pelaut yang berusia 45 tahun itu mengusahakan sebidang tanah yang dijadikan ladang ternakan lembu di Alor Gajah pada tahun 2009.

"Pada permulaan, saya membeli 50 ekor lembu baka Friesian yang diimport dari negara jiran, Thailand dalam usaha membiak lebih banyak lembu tenusu sekali gus membekalkan susu segar kepada peruncit secara kecil-kecilan di sekitar Melaka.

"Pada masa yang sama, saya juga menghadiri beberapa kursus yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan juga swasta untuk mempermudahkan proses pengurusan ladang dan juga binatang ternakan," katanya ketika ditemui di Alor Gajah Melaka baru-baru ini.

Berkongsi pengalaman serta idea untuk mengusahakan ladang lembu tenusu, Jagannatham memberitahu, ia bermula apabila mengetahui kepentingan susu kepada manusia. 

Menyedari susu lembu merupakan minuman berkhasiat selain merupakan sumber vitamin bagi tumbesaran manusia, dia bercita-cita untuk memberikan sumber terbaik sekali gus berkhidmat pada masyarakat.

Namun ujarnya, bukan mudah untuk menghasilkan susu lembu yang berkualiti kerana faktor pemakanan mempengaruhi susu yang akan dihasilkan oleh lembu.
"Halangan utama yang dihadapi oleh penternak lembu adalah sumber makanan seperti rumput segar dan juga makanan tambahan lain.

"Jika dilihat penternak di sekitar Melaka mengalami masalah yang sama iaitu sukar mendapatkan rumput kerana kekurangan tanah di negeri ini sekali gus memaksa penternak membuat simpanan rumput yang banyak bagi mengelak kekurangan stok," ujarnya.

Selain itu katanya, harga makanan lembu yang semakin tinggi juga menjadi beban dan penghalang kepada penternak lembu tenusu untuk memberikan makanan terbaik kepada haiwan ternakan.

Menyedari halangan yang dihadapai oleh penternak lembu tenusu, Koperasi Serbaguna Tenusu Negeri Melaka (KST) dengan kerjasama Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLM) baru-baru ini mengadakan Program Pembangunan Tenusu peringkat negeri Melaka.

Program yang dianjurkan selama dua hari itu melibatkan khidmat nasihat dan kaunseling, maklumat terkini penternakan haiwan tenusu, maklumat teknikal pengendalian susu, kemahiran praktikal serta pengetahuan perniagaan berkaitan perladangan.

Lawatan pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta pakar pemakanan DLM ke ladang lembu tenusu milik Jagannatham dilihat mampu memberi sokongan kepadanya untuk terus berusaha menghasilkan susu segar yang berkualiti untuk dibekalkan kepada pengguna.

Menurut Pengerusi KST, Briz Kumar Sukardhanram, program seumpama itu turut membantu penternak memperbaiki serta meningkatkan pengeluaran dan sekali gus menjadi usahawan berjaya mengikut cara tersendiri.

"Program ini mampu memberi inspirasi kepada para penternak khususnya di sekitar Melaka untuk pengurusan yang menguntungkan serta operasi perniagaan tenusu yang lebih mampan.

"Selain itu, penternak juga berpeluang untuk memasarkan susu dengan cara lebih sistematik di samping kualiti dan kuantiti susu tidak terjejas," ujarnya.
Susu yang dihantar oleh penternak ke pusat pengumpulan susu akan proses dan diuji sebelum dihantar kepada pembekal.

Di pusat pengumpulan tersebut, susu yang dihantar akan menjalani empat ujian yang terdiri daripada rasa, bau, tahap penstabilan protein, ketumpatan dan kandungan lemak.

Monday, July 23, 2012

Hasil laut Pangkor



Pak su menunjukkan bungkusan ikan masin yang lebih cantik dan kemas khas untuk menarik minat pelancong.

Hasil laut Pulau Pangkor sudah semestinya bermakna dan istimewa bagi Rasdi Ibrahim yang membangunkan perusahaan berasaskan ikan untuk menaiktaraf ekonomi keluarga.

“DI sini (Pulau Pangkor) tidak ramai golongan muda yang berminat untuk mengusahakan produk ikan masin walaupun permintaan agak tinggi.

Mungkin kerana pekerjaannya yang agak leceh dan tidak popular seperti bekerja di bandar," katanya.
Begitu kata Pak Su ketika ditemui pada sesi lawatan pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pangkor, Isa Farid Isa Anshori di kedai miliknya di Pulau Pangkor, Perak, baru-baru ini.

Jelas Pak Su, perusahaan ikan masin miliknya dimulakan sejak dua tahun lepas. Pada ketika itu dirinya tidak memiliki apa-apa dan hanya memikirkan untuk membuat ikan masin.

Namun katanya, apabila mula menjalankan perniagaan barulah beliau sedar bahawa perlu mengadakan sebuah tempat khas untuk menghasilkan ikan masin.

Ia termasuklah kawasan menyiang ikan, peti simpanan yang baik, kawasan penjemuran, rak penggantung ikan dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun selepas dua bulan mengusahakan produk ikan masin, usaha Pak Su mendapat perhatian Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melalui Persatuan Nelayan (PN) Pulau Pangkor, datang memberikan bantuan.

Bantuan yang dibekalkan berupa peralatan seperti peti dingin beku, peti ikan dan pelbagai lagi yang berjumlah hampir RM20,000.

Pastinya, apabila menjadi antara satu-satunya pengusaha Islam yang menghasilkan ikan masin, gerai Pak Su tidak pernah lengang daripada kunjungan orang ramai terutamanya di kalangan umat Islam.

Pak Su yang sebelum ini mengusahakan kedai makan mengakui ikan masin buatannya kadang kala tidak dapat dihantar keluar daripada pulau tersebut berikutan permintaan daripada penduduk di sana juga tinggi.

“Di sini penduduk suka menempah ikan masin saya secara pukal terutamanya apabila mereka hendak mengadakan kenduri-kendara.

“Namun saya juga sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran ikan masin untuk memenuhi permintaan dari luar pulau," katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa pengusaha di luar Pulau Pangkor telah menemuinya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan bekalan ikan masin daripadanya.

Biarpun begitu Pak Su terpaksa menangguhkan tawaran tersebut berikutan infrastruktur yang terdapat kini masih belum mampu untuk menampung permintaan tersebut.

Antara cabaran seterusnya adalah untuk mendapatkan bekalan ikan mentah daripada nelayan.

Jelas Pak Su, bekalan ikan yang diperolehinya adalah bergantung kepada hasil tangkapan nelayan sama ada hasil pancing mahu pun pukat.

Antara spesies ikan menjadi permintaan tinggi untuk dijadikan ikan masin adalah talang, tenggiri, kurau, gelama, kembong, cencaru dan tamban.

Kadang-kala Pak Su turut menghasilkan ikan masin daripada ikan-ikan yang lebih mahal seperti kerapu, jenahak, ikan merah dan pelbagai lagi.

Di sebalik kejayaan yang sedang ditempa oleh Pak Su kini, namun terselit jua sedikit sebanyak cabaran yang perlu dihadapinya.

Antaranya cabaran yang dihadapinya adalah dari segi kekurangan stok ikan, keadaan cuaca, kawasan pemprosesan ikan masin yang terhad.

“Pak Su kini sedang dalam usaha untuk mendapatkan sedikit pinjaman bagi membesarkan kedai dan jika ada rezeki lebih ingin memasang lantai jubin di dalam kedai.

“Ia bukan apa, kerana kedai Pak Su kini sering menjadi destinasi lawatan pelbagai pihak untuk melihat sendiri bagaimana proses membuat ikan masin dilakukan," ujarnya.

Sementara itu, Pak Su turut menerangkan tentang proses pembikinan ikan masinnya agak berbeza dengan kedai yang lain.

“Bagi menghasilkan ikan masin yang berkualiti tinggi, ikan perlu dibersihkan dengan baik.

“Selepas ikan dibelah, isi perut akan dikeluarkan dan dicuci sebanyak tiga kali, rendaman pertama untuk menghilangkan darah, kedua proses bilasan air bersih dan ketiga air bersih perlu dilalukan ke atas ikan sebelum ikan diperam ke dalam peti bersama garam," katanya.

Tiga peringkat membasuh ikan masin tersebut adalah bagi memastikan ia benar-benar bersih dan apabila dikeringkan akan bertahan lama.

Ujar Pak Su terdapat juga pengusaha ikan masin lain yang meletakkan bahan pengawet bagi memelihara keadaan ikan masin, namun beliau tidak berbuat demikian.

Selain kedai pemprosesan ikan masin, Pak Su turut mengusahakan perniagaan menjual hasil laut yang lain seperti keropok ikan, keropok udang, sate ikan dan juga pekasam ikan laut.

Bagi yang berminat untuk menempah atau bertanyakan lokasi kedai Pak Su boleh menghubungi beliau di talian             013-5131523      .

Thursday, July 19, 2012

Jersi terbaru MU dan Chelsea

Berita Baik!

Jersi Manchester United dan Chelsea bagi sesi 2012/2013 kini telah berada di pasaran. Didatangkan dengan pelbagai saiz. Gred ori dan dijamin kualiti fabrik yang baik.

Buat anda yang berminat, sila hubungi saya untuk membuat tempahan, ok?



MANCHESTER UNITED HOME
HARGA : RM55 termasuk kos penghantaran



CHELSEA HOME
HARGA : RM55 termasuk kos penghantaran

Untuk maklumat lanjut dan tempahan, sila hubungi :

Firdaus : 017-708 7067

Tuesday, July 10, 2012

Peluang ceburi pertanian


Mayconsult berfungsi sebagai sebuah syarikat untuk membangunkan modal insan serta usahawan pertanian.

PELBAGAI usaha telah dilakukan oleh kerajaan dan agensi yang terlibat untuk mengalakan masyarakat negara ini melibatkan diri dalam bidang pertanian.

Sehingga kini hanya segelintir sahaja yang benar-benar menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang tersebut seterusnya menggapai kejayaan.

Pertanian bukanlah suatu bidang yang baru di mana ia begitu sinonim dengan masyarakat di negara ini.

Namun , masih ada tanggapan negatif tentang pertanian terutama di kalangan belia yang wajar dikikis.

Menurut Pengarah Urusan, Malayan Agro Consult Sdn. Bhd. (Mayconsult), Zainal Abidin Yahya, untuk memupuk minat belia negara ini terhadap bidang pertanian sesuatu perlu dilakukan.

"Di sinilah Mayconsult berfungsi sebagai sebuah syarikat untuk membangunkan modal insan serta usahawan pertanian bukan sahaja di Malaysia malah juga ke peringkat global.

"Kita bakal melaksanakan beberapa program yang berkaitan untuk melaksanakan misi serta objektif tersebut selaras dengan kehendak kerajaan yang mahu negara terus menghasilkan usahawan pertania yang terbaik setaraf negara-negara luar," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Zainal Abidin, program yang bakal diadakan tersebut dikenali sebagai Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Usahawan Agro.

"Melalui program ini, kita akan memilih peserta yang benar-benar berminat dan bercita-cita untuk menjadi usahawan di dalam bidang pertanian ," katanya.

Tambah Zainal Abidin, program PLKK akan berlangsung selama enam bulan dan melibatkan tiga peringkat iaitu bermula dengan seminar, perantisan, dan bimbingan berbentuk khidmat nasihat dan latihan. Sepanjang enam bulan menyertai program tersebut, peserta akan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu, tiga bulan pertama mereka dikehendaki mengikuti program seminar dan perantisan.

Bagi program seminar dan perantisan tersebut akan diadakan di sekitar Lembah Klang dan perantisan di ladang-ladang yang bekerjasama dengan Mayconsult di seluruh negara. Bagi tiga bulan seterusnya peserta akan dibantu untuk mendapatkan pembiayaan untuk memulakan kerjaya sebagai usahawan pertanian.

Selain diberi bimbingan dalam bentuk khidmat nasihat dan latihan, kos peserta akan dibiayai sepenuhnya, malah mereka akan dibekalkan elaun sara diri selama enam bulan.

Antara skop yang akan diberi tumpuan dalam program PLKK tersebut adalah di bidang tanaman, ruminan dan juga akuakultur.

Namun, perlu diingatkan bahawa penyertaan adalah terhad dan hanya peserta yang benar-benar menunjukkan minat akan dipilih.

Ujar Zainal Abidin, hanya seramai 100 peserta yang benar-benar berminat menyertai program akan dipilih pada peringkat awal sebelum dibuat penapisan kali kedua bagi memilih mereka yang benar-benar berminat.

"Setiap peserta yang menunjukkan minat ketika sesi seminar akan dipanggil untuk temuramah sebelum terpilih untuk menyertai program PLKK tersebut.

"Ini kerana tempat adalah terhad kepada 30 orang sahaja, namun bagi mereka yang tidak terpilih biarpun telah menunjukkan kesungguhan dan minat yang mendalam, mereka layak untuk dipilih pada program yang sama pada masa akan datang," katanya.

Antara kriteria lain yang akan diberi perhatian pada setiap peserta adalah mereka dari Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Institut Pertanian, Institut Veterinar, Institut Perikanan dan lain-lain Institut berkaitan dengan Pertanian.

Seterusnya warganegara Malaysia berumur kurang daripada 35 tahun dan berasal dari luar bandar dengan pendapatan keluarga kurang daripada RM3,000 sebulan digalakkan untuk memohon.

Malah, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang telah membuat persediaan menjadi usahawan pertanian dengan memiliki tapak projek, sumbangan modal dan lain-lain persediaan yang berkaitan.

Sementara itu menurut Pengarah Pembangunan Bisnes Mayconsult, Mohari Moharal, penyertaan terbuka kepada mereka yang memenuhi syarat yang diberikan sehingga 10 Julai ini.

Katanya, objektif utama perlaksanaan program tersebut adalah untuk membantu golongan belia yang tidak berkemampuan untuk menjadi usahawan pertanian.

Selain itu, ia juga sebagai salah satu langkah untuk membantu usaha kerajaan dalam membasmi masalah kemiskinan di kalangan belia luar bandar.

Bagi yang berminat anda boleh mendaftar pada borang yang disediakan
Untuk maklumat lanjut , boleh menghubungi Mayconsult di talian 03-88902357 atau emelkan sebarang pertanyaan ke alamat emel zainalg2e@gmail.com.

Saturday, July 07, 2012

Dana RM500j untuk usahawan


Nor Mohamed Yakcob memberi penerangan pada sidang akhbar sempena kerjasama Teraju dan SME Bank sambil disaksikan Rahmat Bivi Yusoff (kiri) dan Husni Salleh di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, semalam.

PETALING JAYA 6 Julai - Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bekerjasama dengan SME Bank untuk menubuhkan Pembiayaan Teras, satu kemudahan pembiayaan dengan dana sebanyak RM500 juta.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, pembiayaan tersebut adalah untuk membantu pengembangan perniagaan syarikat bumiputera berprestasi tinggi di bawah program Teras.

" Peminjam untuk kegunaan modal kerja boleh meminjam dari jumlah RM1 juta sehingga RM10 juta, manakala bagi pembiayaan pembelian aset boleh meminjam sehingga RM20 juta," katanya semasa sidang akhbar mengumumkan kerjasama tersebut di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Teraju, Husni Saheh dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Rahmat Bivi Yusoff.

Menurut Nor Mohamed, skim pembiayaan terbaharu ini tidak memerlukan peminjam mengemukakan cagaran, namun setiap projek yang dicadangkan haruslah mempunyai prospek keuntungan.

Program Teras dikendalikan oleh Teraju dengan matlamat untuk membantu usahawan bumiputera berkembang ke peringkat antarabangsa dengan memudah cara akses kepada peluang-peluang perniagaan.

Jelasnya, setakat ini 130 syarikat telah dipilih berikutan mempunyai rekod perniagaan yang baik, kedudukan kewangan yang kukuh serta menunjukkan potensi pertumbuhan yang telah dinilai dengan teliti oleh SME Corporation, menerima SCORE di antara tiga bintang sehingga lima bintang dan pernilaian kredit yang tinggi.

"Jika boleh, kami mahu bayaran pinjaman itu dikeluarkan sepenuhnya dalam masa setahun," katanya.

Di sidang media yang sama, Nor Mohamed turut mengumumkan agihan RM500 juta daripada Dana Mudah Cara bernilai RM2 bilion akan dibahagikan sama rata untuk lima koridor ekonomi iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak dan Koridor Pembangunan Sabah.

Dana Mudah Cara diwujudkan hasil usahasama Teraju dengan Unit Kerjasama Awam - Swasta (UKAS) dan telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Ogos lalu.

Menurut Nor Mohamed, dana tersebut bakal membantu syarikat bumiputera yang bakal mempunyai akses yang lebih meluas menerusi koridor-koridor berkenaan.

"Perdana Menteri juga bersetuju menurunkan minimum kos projek kepada RM5 juta daripada RM20 juta sebelumnya.

"Ini kerana daripada penyelidikan yang dijalankan, kebanyakan projek yang diusahakan syarikat Bumiputera bernilai antara RM5 juta dan RM30 juta," katanya.

Ia merupakan sebahagian daripada Dana Mudah cara bernilai RM20 bilion, yang diperuntukkan oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Tuesday, July 03, 2012

Nilai strawberi




Syed Abd. Rahman Syed Abd. Rashid memetik strawberi di ladangnya sambil dibantu oleh salah seorang pekerja.

SIAPA yang tidak mengenali kawasan tanah tinggi Cameron Higlands, sejak mula kawasan tersebut ditemui dan diterokai oleh seorang pegawai Inggeris iaitu William Cameron pada tahun 1885.

Sehingga kini ia terus terkenal dengan produk sayur-sayuran, teh, bunga-bungaan serta buah-buahan iklim sederhana terutamanya strawberi.

Hal demikian kerana faktor iklim sederhana yang bersuhu antara 10 hingga 20 darjah celsius menjadikan Cameron Highlands amat sesuai dengan penanaman dan penghasilan buah tersebut.

Dianggarkan hampir 30 hektar kawasan penanaman strawberi telah dibangunkan dengan bilangan pekebun seramai 52 orang di sekitar pusat peranginan tersebut

Rata-rata pengeluaran strawberi di situ adalah dalam bentuk buah segar yang bernilai hampir RM60 juta hingga RM70 juta setahun.

Menurut Pengarah Urusan, Agriculture Products & Services Sdn. Bhd., Datuk Syed Abd. Rahman Syed Abd. Rashid, rata-rata pengusaha strawberi di Cameron Highlands terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.

Beliau yang juga salah seorang pengusaha strawberi menggunakan jenama Al-Mashoor menjelaskan, biarpun iklim dan cuaca yang sesuai namun mengusahakan tanaman strawberi mempunyai cabarannya tersendiri.

“Strawberi amat sensitif, tidak seperti buah-buahan yang lain. Biarpun penanamannya di Cameron Highlands dilihat menjadi. Namun tidak semua bahagian di sini menjanjikan hasil yang lumayan.

‘‘Tanaman ini dapat mengeluarkan hasil yang baik jika ditanam pada ketinggian dan kawasan yang tertentu sahaja," ujarnya ketika ditemui di ladang miliknya di Cameron Highlands, Pahang, baru-baru ini.

Beliau yang telah berkecimpung dalam perladangan strawberi selama lima tahun menyatakan, teknik fertigasi adalah yang terbaik bagi menanam strawberi.

Sistem tersebut tidak memerlukan kawasan yang luas. Malah tiada masalah dengan tahap kesuburan tanah berikutan tanaman tersebut tidak ditanam di atas tanah.

Tambahnya, bagi meningkatkan pendapatan pengusaha tanaman tersebut, produk hiliran strawberi turut hasilkan bagi mempelbagaikan kegunaan buahnya.

Hasil produk hiliran strawberi sahaja dianggarkan mampu mencecah sehingga RM12 juta hingga RM18 juta setahun.

Justeru, produk-produk hiliran strawberi dilihat memiliki potensi untuk dijadikan produk hiliran pertanian utama bagi daerah Cameron Highlands.

Perkara tersebut turut diakui oleh Pegawai Pertanian, Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Tasnim Ghazali bahawa produk hiliran berasaskan strawberi di Cameron Highlands memiliki potensi besar untuk dikembangkan.

Justeru itu, jelas Tasnim, daerah itu kini telah disenaraikan dalam Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang dikelolakan oleh Jabatan Pertanian.

“Program SDSI di bawah Jabatan Pertanian ini merupakan satu program yang berkonsepkan pembangunan beberapa jenis produk atau perkhidmatan beridentitikan satu-satu daerah.

“Program SDSI bertujuan mewujudkan satu industri di setiap daerah bagi meningkatkan pendapatan masyarakat setempat," ujarnya.

Program tersebut diwujudkan bagi memanfaatkan sumber bekalan mentah yang sedia ada termasuk tenaga kerja dan kepakaran masyarakat setempat.

‘‘Dengan penyediaan khidmat nasihat dan bimbingan dari segi infrastruktur dan kemudahan dan kelengkapan yang ada, SDSI dilihat mampu menjadi satu mekanisme penting dalam membangunkan usahawan di kalangan penduduk desa," katanya.

Dikenali dengan nama saintifik fragaria rosaceae, strawberi kaya dengan vitamin C dan pelbagai garam mineral seperti potassium, fosforus, dan kalsium.

Buah itu juga mengandung fitonutrient dan antioksidan yang memerangi radikal bebas. Unsur antioksidan inilah yang dipercayai memberikan warna merah pada buah strawberi.

Selain itu, buah strawberi juga mengandung Vitamin K, mangan, asid folik, riboflavin, vitamin B5, Vitamin B6, magnesium dan omega-3.

Di Cameron Highlands, terdapat beberapa ladang strawberi yang kebanyakannya dibuka kepada orang ramai seperti ladang The Red Strawberry Farm, EQ Strawberry Farm dan Raju Hills Strawberry di Brinchang.

KHM Strawberrypula , Taman Agro Al Mashoor dan Has‘r di Taman Sedia, di Tanah Rata.

Selain mengeluarkan buah-buahan strawberi segar, ladang-ladang ini juga turut menghasilkan produk hiliran seperti seperti jem, kordial, halwa, jus, acar, jeli dan topping yang semakin meningkat permintaannya dari semasa ke semasa.

Produk jem strawberi yang sebahagiannya dihasilkan sendiri turut menjadi daya tarikan kepada pelancong, pengunjung dan dijadikan sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.

Antara lain, produk strawberi kering juga sering menjadi perhatian kerana ia tahan lama dan peminatnya boleh menikmati keenakan buah tersebut sepanjang tahun berikutan ketahanannya.

Ia sesuai dijadikan sebagai hidangan pembuka selera dan pencuci mulut mahupun digabungkan bersama sarapan berbentuk bijirin.

Sebagai sebuah agensi yang bertangungjawab, Jabatan Pertanian memainkan peranan sebagai agensi yang bertanggungjawab menyediakan segala dana berbentuk infrastruktur, peralatan, bengkel yang bernilai hampir RM300,000.

Dalam pada itu, Jabatan Pertanian turut membantu mempromosi produk berasaskan strawberi yang dihasilkan oleh pengusaha tersebut ke seluruh negara.

Malah, setiap tahun, jabatan akan memilih pengusaha yang terbaik untuk menyertai pameran SDSI yang diadakan di seluruh Malaysia.

Sehingga kini, SDSI di Cameron Highlands telah disertai sembilan orang pengusaha bumiputera malah turut menggalakkan bagi mereka yang berminat untuk menyertainya.

Selain membantu menyediakan infrastruktur, peralatan, dana serta mengelolakan lawatan dari luar negara ke ladang-ladang pengusaha tersebut, jabatan turut menyediakan kursus-kursus untuk menghasilkan produk berasaskan strawberi.