Tuesday, July 10, 2012

Peluang ceburi pertanian


Mayconsult berfungsi sebagai sebuah syarikat untuk membangunkan modal insan serta usahawan pertanian.

PELBAGAI usaha telah dilakukan oleh kerajaan dan agensi yang terlibat untuk mengalakan masyarakat negara ini melibatkan diri dalam bidang pertanian.

Sehingga kini hanya segelintir sahaja yang benar-benar menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang tersebut seterusnya menggapai kejayaan.

Pertanian bukanlah suatu bidang yang baru di mana ia begitu sinonim dengan masyarakat di negara ini.

Namun , masih ada tanggapan negatif tentang pertanian terutama di kalangan belia yang wajar dikikis.

Menurut Pengarah Urusan, Malayan Agro Consult Sdn. Bhd. (Mayconsult), Zainal Abidin Yahya, untuk memupuk minat belia negara ini terhadap bidang pertanian sesuatu perlu dilakukan.

"Di sinilah Mayconsult berfungsi sebagai sebuah syarikat untuk membangunkan modal insan serta usahawan pertanian bukan sahaja di Malaysia malah juga ke peringkat global.

"Kita bakal melaksanakan beberapa program yang berkaitan untuk melaksanakan misi serta objektif tersebut selaras dengan kehendak kerajaan yang mahu negara terus menghasilkan usahawan pertania yang terbaik setaraf negara-negara luar," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Zainal Abidin, program yang bakal diadakan tersebut dikenali sebagai Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Usahawan Agro.

"Melalui program ini, kita akan memilih peserta yang benar-benar berminat dan bercita-cita untuk menjadi usahawan di dalam bidang pertanian ," katanya.

Tambah Zainal Abidin, program PLKK akan berlangsung selama enam bulan dan melibatkan tiga peringkat iaitu bermula dengan seminar, perantisan, dan bimbingan berbentuk khidmat nasihat dan latihan. Sepanjang enam bulan menyertai program tersebut, peserta akan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu, tiga bulan pertama mereka dikehendaki mengikuti program seminar dan perantisan.

Bagi program seminar dan perantisan tersebut akan diadakan di sekitar Lembah Klang dan perantisan di ladang-ladang yang bekerjasama dengan Mayconsult di seluruh negara. Bagi tiga bulan seterusnya peserta akan dibantu untuk mendapatkan pembiayaan untuk memulakan kerjaya sebagai usahawan pertanian.

Selain diberi bimbingan dalam bentuk khidmat nasihat dan latihan, kos peserta akan dibiayai sepenuhnya, malah mereka akan dibekalkan elaun sara diri selama enam bulan.

Antara skop yang akan diberi tumpuan dalam program PLKK tersebut adalah di bidang tanaman, ruminan dan juga akuakultur.

Namun, perlu diingatkan bahawa penyertaan adalah terhad dan hanya peserta yang benar-benar menunjukkan minat akan dipilih.

Ujar Zainal Abidin, hanya seramai 100 peserta yang benar-benar berminat menyertai program akan dipilih pada peringkat awal sebelum dibuat penapisan kali kedua bagi memilih mereka yang benar-benar berminat.

"Setiap peserta yang menunjukkan minat ketika sesi seminar akan dipanggil untuk temuramah sebelum terpilih untuk menyertai program PLKK tersebut.

"Ini kerana tempat adalah terhad kepada 30 orang sahaja, namun bagi mereka yang tidak terpilih biarpun telah menunjukkan kesungguhan dan minat yang mendalam, mereka layak untuk dipilih pada program yang sama pada masa akan datang," katanya.

Antara kriteria lain yang akan diberi perhatian pada setiap peserta adalah mereka dari Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Institut Pertanian, Institut Veterinar, Institut Perikanan dan lain-lain Institut berkaitan dengan Pertanian.

Seterusnya warganegara Malaysia berumur kurang daripada 35 tahun dan berasal dari luar bandar dengan pendapatan keluarga kurang daripada RM3,000 sebulan digalakkan untuk memohon.

Malah, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang telah membuat persediaan menjadi usahawan pertanian dengan memiliki tapak projek, sumbangan modal dan lain-lain persediaan yang berkaitan.

Sementara itu menurut Pengarah Pembangunan Bisnes Mayconsult, Mohari Moharal, penyertaan terbuka kepada mereka yang memenuhi syarat yang diberikan sehingga 10 Julai ini.

Katanya, objektif utama perlaksanaan program tersebut adalah untuk membantu golongan belia yang tidak berkemampuan untuk menjadi usahawan pertanian.

Selain itu, ia juga sebagai salah satu langkah untuk membantu usaha kerajaan dalam membasmi masalah kemiskinan di kalangan belia luar bandar.

Bagi yang berminat anda boleh mendaftar pada borang yang disediakan
Untuk maklumat lanjut , boleh menghubungi Mayconsult di talian 03-88902357 atau emelkan sebarang pertanyaan ke alamat emel zainalg2e@gmail.com.

No comments: