TIDAK ramai yang sanggup meninggalkan pekerjaan tetap semata-mata
untuk melakukan sesuatu yang berisiko yang belum tentu menjanjikan
pulangan lumayan jika tidak disertai dengan kerja keras.
Namun bagi seorang pelaut dari Pahang, P. Jagannatham,
tindakannya meninggalkan pekerjaan tetap untuk melakukan sesuatu yang
baharu dalam hidupnya dianggap sebagai satu perjudian kerana pulangan
yang bakal diperoleh masih samar.
Dengan berbekalkan modal permulaan RM1 juta, dia mengambil keputusan
berpindah dari Pahang ke Melaka untuk mencari peluang membuka ladang
ternakan lembu.
Membawa bersama isteri dan tiga orang anaknya, bekas pelaut yang
berusia 45 tahun itu mengusahakan sebidang tanah yang dijadikan ladang
ternakan lembu di Alor Gajah pada tahun 2009.
"Pada permulaan, saya membeli 50 ekor lembu baka Friesian yang
diimport dari negara jiran, Thailand dalam usaha membiak lebih banyak
lembu tenusu sekali gus membekalkan susu segar kepada peruncit secara
kecil-kecilan di sekitar Melaka.
"Pada masa yang sama, saya juga menghadiri beberapa kursus yang
dianjurkan oleh pihak kerajaan dan juga swasta untuk mempermudahkan
proses pengurusan ladang dan juga binatang ternakan," katanya ketika
ditemui di Alor Gajah Melaka baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman serta idea untuk mengusahakan ladang lembu
tenusu, Jagannatham memberitahu, ia bermula apabila mengetahui
kepentingan susu kepada manusia.
Menyedari susu lembu merupakan minuman berkhasiat selain merupakan
sumber vitamin bagi tumbesaran manusia, dia bercita-cita untuk
memberikan sumber terbaik sekali gus berkhidmat pada masyarakat.
Namun ujarnya, bukan mudah untuk menghasilkan susu lembu yang
berkualiti kerana faktor pemakanan mempengaruhi susu yang akan
dihasilkan oleh lembu.
"Halangan utama yang dihadapi oleh penternak lembu adalah sumber makanan seperti rumput segar dan juga makanan tambahan lain.
"Jika dilihat penternak di sekitar Melaka mengalami masalah yang sama
iaitu sukar mendapatkan rumput kerana kekurangan tanah di negeri ini
sekali gus memaksa penternak membuat simpanan rumput yang banyak bagi
mengelak kekurangan stok," ujarnya.
Selain itu katanya, harga makanan lembu yang semakin tinggi juga
menjadi beban dan penghalang kepada penternak lembu tenusu untuk
memberikan makanan terbaik kepada haiwan ternakan.
Menyedari halangan yang dihadapai oleh penternak lembu tenusu,
Koperasi Serbaguna Tenusu Negeri Melaka (KST) dengan kerjasama Dutch
Lady Milk Industries Berhad (DLM) baru-baru ini mengadakan Program
Pembangunan Tenusu peringkat negeri Melaka.
Program yang dianjurkan selama dua hari itu melibatkan khidmat
nasihat dan kaunseling, maklumat terkini penternakan haiwan tenusu,
maklumat teknikal pengendalian susu, kemahiran praktikal serta
pengetahuan perniagaan berkaitan perladangan.
Lawatan pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV)
serta pakar pemakanan DLM ke ladang lembu tenusu milik Jagannatham
dilihat mampu memberi sokongan kepadanya untuk terus berusaha
menghasilkan susu segar yang berkualiti untuk dibekalkan kepada
pengguna.
Menurut Pengerusi KST, Briz Kumar Sukardhanram, program
seumpama itu turut membantu penternak memperbaiki serta meningkatkan
pengeluaran dan sekali gus menjadi usahawan berjaya mengikut cara
tersendiri.
"Program ini mampu memberi inspirasi kepada para penternak khususnya
di sekitar Melaka untuk pengurusan yang menguntungkan serta operasi
perniagaan tenusu yang lebih mampan.
"Selain itu, penternak juga berpeluang untuk memasarkan susu dengan
cara lebih sistematik di samping kualiti dan kuantiti susu tidak
terjejas," ujarnya.
Susu yang dihantar oleh penternak ke pusat pengumpulan susu akan proses dan diuji sebelum dihantar kepada pembekal.
Di pusat pengumpulan tersebut, susu yang dihantar akan menjalani
empat ujian yang terdiri daripada rasa, bau, tahap penstabilan protein,
ketumpatan dan kandungan lemak.
No comments:
Post a Comment