Wednesday, September 16, 2009

Remaja dan keusahawanan

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS
.
LIMPAHAN kemakmuran ekonomi negara berhasil meningkatkan taraf hidup serta kuasa beli rakyat. Hal ini seterusnya mewujudkan banyak peluang perniagaan dan keusahawanan ke arah memenuhi keperluan dan kehendak pengguna.
.
Namun persoalannya sejauh mana keterlibatan umat Islam dalam kegiatan ekonomi negara mahupun global dalam penghasilan produk atau perkhidmatan serta rangkaian pengedarannya?
.
Kini, umat Islam masih lagi menjadi umat pengguna terhadap barangan yang dikeluarkan oleh orang lain atau negara luar, terutamanya dari Barat.
.
Justeru, umat Islam khasnya remaja Muslim seharusnya mengorak langkah untuk menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan agar barangan keperluan umat Islam dapat dihasilkan sendiri di samping hak pengguna Islam akan sentiasa terbela.
.
Keusahawanan menurut perspektif Islam
.
Hadis riwayat at-Tirmizi yang bermaksud: “Sembilan daripada 10 rezeki datang daripada perniagaan”.
.
Hadis ini menunjukkan bahawa bidang keusahawanan dan perniagaan sememangnya merupakan pintu rezeki yang utama.
.
Keusahawanan dan perniagaan dalam Islam mengambil kira tujuan hidup seorang Muslim iaitu berusaha ke arah mendapat keredaan Allah melalui kegiatan perniagaan yang berpandukan kepada syariah dan etika perniagaan yang digariskan.
.
Seseorang usahawan Muslim itu tidak hanya bermatlamat untuk mendapat keuntungan semata-mata. Sebaliknya, perusahaan atau perniagaannya itu merupakan alat baginya ke arah menambah amal kebaikannya secara individu, membawa kesejahteraan kepada umat secara keseluruhannya, serta menjadi medium usaha dakwah melalui muamalah seharian yang dijalankan.
.
Keusahawanan dalam bidang khusus membantu memenuhi tuntutan fardu kifayah di kalangan masyarakat, contohnya mereka yang mengusahakan ladang penternakan dapat memenuhi keperluan sumber makanan masyarakat setempat.
.
Keusahawanan dalam industri asas tani serta pemprosesan makanan halal juga menjadi semakin penting dalam usaha negara mendepani krisis bekalan makanan global yang kian meruncing.
.
Takrif kejayaan usahawan Muslim
.
Takrif kejayaan bagi seseorang usahawan Muslim tidak hanya diukur daripada keuntungan bersih atau aliran tunai yang dimiliki, tetapi juga meliputi nilai takwa dan ihsan yang dimiliki.
.
Sifat takwa seseorang usahawan Muslim itu menjadikannya berhati-hati dalam menjalankan perniagaannya agar tidak melanggari batas syarak yang ditetapkan. Perkara halal haram dipatuhi manakala perkara syubhah pula dirujukkan kepada ulama yang arif demi mendapatkan panduan.
.
Takwa yang dimiliki juga melahirkan sifat jujur dan amanah serta tidak melakukan penipuan demi mendapatkan keuntungan. Apatah lagi riba dan rasuah amat dijauhi kerana amat jelas bahawa perkara-perkara tersebut dilarang oleh Islam.
.
Sifat ihsan seseorang usahawan Muslim itu pula menjadikannya rasa belas kasihan terhadap golongan yang kurang berkemampuan seperti fakir miskin. Amalan bersedekah terhadap golongan tersebut dimanifestasikan dalam pelbagai cara yang mampu dilaksanakan, seperti menambahkan timbangan, mengurangkan harga dan sebagainya.
.
Sifat ihsan juga menjadikan seseorang Muslim itu tidak berasa kikir dengan kekayaan yang dimiliki. Sebahagian harta yang dimiliki dikembalikan semula kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk seperti zakat, sedekah dan lain-lain.
.
Usahawan Muslim yang sejati juga mampu bersaing secara sihat serta menjauhi perasaan hasad dengki atau dendam. Kegiatan sabotaj terhadap pesaing seperti penyebaran fitnah, penggunaan ilmu hitam atau pengupahan samseng perlulah dijauhi kerana ia adalah amat tidak adil terhadap pesaing dan mengakibatkan penzaliman terhadap mereka.
.
Penganiayaan yang dilakukan boleh menyebabkan hilangnya keberkatan dalam rezeki yang diperoleh. Secara luarannya mungkin kita berjaya mengumpul harta kekayaan, namun secara dalamannya mungkin hidup kita sentiasa dalam keadaan tertekan dan sulit walaupun dengan harta yang melimpah ruah.
.
Justeru usahawan Muslim perlu memastikan bahawa mereka sentiasa mematuhi etika perniagaan yang berlandaskan hukum syarak agar rezeki kekayaan yang dicapai mempunyai keberkatannya serta membawa diri semakin dekat dengan Allah Yang Maha Pengasih.
.
Keusahawanan sebagai kerjayaSememangnya tidak ramai di kalangan remaja yang baru menamatkan pengajian memilih untuk menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan. Kekurangan modal, minat, pengalaman mahupun sumber merupakan antara faktor utama remaja cenderung untuk bekerja makan gaji berbanding menjadi seorang usahawan atau peniaga.
.
Namun dalam jangka panjang, bidang keusahawanan dan perniagaan sebenarnya menjanjikan pulangan yang lumayan andainya dijalankan secara gigih dan bijaksana.
.
Rezeki Allah ada di mana-mana dan tugas kita sebagai hamba Allah adalah dengan berusaha secara gigih tanpa mengenal putus asa di samping sentiasa berdoa agar dikurniakan rezeki yang halal lagi berkat.
.
Kini pihak kerajaan dan swasta giat menawarkan bantuan modal, kepakaran, latihan dan subsidi kepada mereka yang berminat untuk bergiat secara serius dalam bidang usahawan atau perniagaan yang ingin diterokai.
.
Apabila keusahawanan dan perniagaan dijadikan salah satu kerjaya pilihan di kalangan remaja, maka hal ini turut membantu mengurangkan kebergantungan graduan terhadap pasaran kerjaya yang semakin mencabar.
.
Malahan melalui organisasi keusahawanan yang ditubuhkan, remaja juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan untuk insan lain dan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran dalam masyarakat.
.
Kekayaan yang diperoleh melalui aktiviti keusahawanan dan perniagaan tersebut seterusnya dapat disumbangkan ke arah kebajikan dan sosial masyarakat sama ada dalam bentuk zakat, sedekah, biasiswa pengajian atau wakaf.
.
Justeru remaja perlu didedahkan dengan ilmu serta pengalaman kegiatan keusahawanan sejak usia persekolahan agar timbul minat serta keberanian untuk meneroka bidang keusahawanan setelah tamat pengajian kelak.
.
Kesimpulan
.
Remaja sebagai golongan muda yang mempunyai upaya fizikal dan mental yang hebat, seharusnya tidak melepaskan peluang untuk menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan.
.
Dengan usaha yang gigih serta etika perniagaan yang berlandaskan Islam, remaja mampu muncul sebagai usahawan Muslim berjaya yang dapat meningkatkan taraf ekonomi umat secara keseluruhannya.
.
Keusahawanan dan perniagaan bukan hanya berperanan sebagai alat dalam mendapatkan keuntungan dunia semata-mata tetapi juga dalam menyediakan bekalan amal soleh di akhirat kelak. -Utusan online

No comments: