Wednesday, July 31, 2013

Kiosk keropok lekor


Penggunaan mesin khas untuk menguli tepung keropok lekor menjadikan kerja penghasilan makanan tersebut lebih mudah.


SEBUT sahaja berkenaan produk makanan berasaskan ikan, pastinya ramai akan teringat kepada Terengganu.

Negeri yang sedang pesat membangun itu bukan sahaja terkenal dengan pelbagai produk makanan berasaskan ikan malah turut kaya dengan budayanya.

Keropok lekor umpamanya telah menjadi ikon produk makanan kepada Terengganu di mana makanan tersebut di hasilkan secara besar-besaran untuk dipasarkan ke seluruh negara

Jika dahulu, keropok lekor hanya dinikmati oleh masyarakat Terengganu khususnya di waktu santai tetapi kini, dengan bertambahnya permintaan serta keberkesanan proses pemasaran, produk tersebut boleh dinikmati oleh hampir seluruh rakyat negara ini.

Fenomena tersebut diakui oleh pengusaha produk sejuk beku, Sinku Manufacturing Sdn. Bhd., Zalehah Mohamad.

Katanya, permintaan terhadap produk makanan berasaskan ikan amat tinggi terutamanya keropok lekor.

''Saya memulakan perniagaan ini sejak tahun 2000. Asalnya untuk memasarkan keropok lekor panjang tradisional bagi pasaran di Lembah Klang dan juga Johor Bahru.

''Permintaan yang diterima daripada pengguna amat memberangsangkan," katanya ketika ditemui di pejabatnya dalam program lawatan ke kawasan projek di bawah kelolaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Terengganu baru-baru ini.

Tambahnya, potensi pasaran yang begitu meluas di luar Terengganu telah mendorong Zalehah dan suami menghasilkan keropok lekor sejuk beku.

Produk tersebut bukan sahaja mampu bertahan lama, tetapi mudah di bawa kemana-mana serta kedap udara selain tidak mengubah rasa keropok lekor.

Bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat, Sinku Food Industries Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada 13 Disember 2005 dan diuruskan oleh Zalehah dan suaminya.

Bertindak sebagai pengurus besar, Zalehah telah melabur sejumlah wang untuk memiliki mesin pemprosesan separa automatik bagi menampung permintaan pelanggan.

Malah, beliau juga turut mendirikan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Cendering yang mampu mengeluarkan satu hingga dua tan keropok lekor sehari.

Jika dahulu, keropok lekor direbus menggunakan dapur kayu api dan diesel namun, atas inisiatif Zalehah, kaedah tersebut telah ditukarkan dengan teknologi yang lebih moden bagi menjaga kebersihan produk makanan yang dihasilkan.

Langkah Zalehah dalam perusahaan keropok lekor bukan sahaja dihargai kerajaan negeri, malah agensi penyelidikan pertanian terkemuka negara, MARDI turut mengenal pasti potensi produk Zalehah dan menawarkan bantuan.

Antara bantuan yang ditawarkan adalah berupa khidmat nasihat serta teknologi terkini daripada MARDI.

Ujar Zalehah, untuk menghasilkan keropok lekor yang berkualiti mereka memerlukan isi ikan yang terbaik.

Namun, ia menjadi cabaran terbaru buat Zalehah kerana untuk mendapatkan isi ikan mereka perlu memproses ikan dan menjadikan kerja-kerja menghasilkan keropok lekor perlahan.

Justeru, Zaleha mengambil keputusan untuk membeli terus isi ikan yang telah diproses daripada peraih.

Isi ikan yang telah diproses tersebut sedikit sebanyak mempercepatkan proses penghasilan keropok lekor dan tekstur serta rasa keropok lekor juga tidak berubah.

Biarpun begitu, keropok lekor yang disimpan agak lama masih menimbulkan masalah antaranya wujud sejenis cecair atau serbuk berwarna putih.

Untuk menyelesaikan masalah tersebut, Zalehah telah mendapatkan khidmat nasihat MARDI dan akhirnya masalah tersebut dapat diatasi.

Sehingga kini, hasil khidmat nasihat serta teknologi MARDI yang diaplikasikan oleh syarikat tersebut mampu menjadikan produk keropok lekor sejuk beku bertahan sehingga enam bulan lamanya.

Kini, Sinku Manufacturing Sdn. Bhd. bersama pengusaha-pengusaha makanan tradisional Terengganu sedang giat berusaha untuk mewujudkan sebuah pusat sehenti bagi menghimpunkan semua produk makanan tradisional.

Katanya, usaha tersebut juga telah mendapat perhatian pihak kerajaan negeri Terengganu dan jika ia berjaya, projek tersebut bakal mengetengahkan produk-produk makanan tradisional Terengganu sehingga ke peringkat global.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130729/ag_02/Kiosk-keropok-lekor#ixzz2abiPYZXp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: