Monday, July 29, 2013
Petik kopi lebih mudah
Mohd. Zainal Abidin Johari menunjukkan alat pemetik kopi yang dihasilkan.
Bagi peminat teh atau kopi, pastinya mahukan produk yang bernilai tinggi dan sedap dengan harga yang berpatutan.
Namun, terfikirkah anda tentang penat lelah pekerja yang bertungkus lumus mengumpul kopi mahupun teh di ladang-ladang?
Masihkah anda ingat akan iklan beras yang mahu menyedarkan kita rakyat Malaysia agar menghargai beras biar pun hanya sebutir menerusi slogan Sebutir beras ibarat setitis peluh petani.
Jika menyusuri kaedah pemetik kopi mahupun teh di ladang-ladang, pekerja menggunakan tangan yang mana kaedah tersebut amat perlahan menjadikan produksi juga lambat.
Oleh yang demikian, seorang pegawai penyelidik, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Giat MARA, Mohd. Zainal Abidin Johari mencipta sebuah peralatan khas untuk memudahkan proses memetik kopi.
Katanya, secara kebiasaan, pekerja mengutip menggunakan tangan kosong dan biji kopi dimasukan ke dalam bekas secara manual.
"Kaedah ini amat perlahan kerana tapak tangan manusia hanya boleh menggenggam beberapa biji kopi sahaja.
"Mereka perlu melakukannya dengan pantas bagi mengejar masa dan hal demikian menjadikan pilihan buah yang baik dilakukan secara rawak dan juga pantas.
"Menerusi pemetik kopi khas, pekerja tidak perlu tergesa-gesa menyimpan biji-biji kopi ke dalam bekas kerana alatan khas tersebut mampu menampung sehingga setengah kilogram (kg) biji kopi dalam satu-satu masa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pameran Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2013 di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujar Mohd. Zainal Abidin, penyelidikan sebelum ini dilakukan untuk tujuan kajian semata-mata. Namun, kini pihaknya melakukan sedikit perubahan dengan mengeluarkan produk sendiri.
Pemetik serbaguna tersebut diletakkan pada tangan yang digunakan untuk memetik kopi, persis seperti sarungan tangan robotik.
Biji-biji kopi yang telah dipetik akan dimasukan terus ke dalam kantung khas yang terdapat pada pemetik tersebut.
Malah, pemetik tersebut juga memiliki injap mekanikal untuk memastikan biji-biji kopi tidak terkeluar daripada kantung apabila tangan direndahkan.
Namun, apabila bekas pemetik kopi diterbalikkan, injap mekanikal tersebut akan terbuka secara automatik.
Selain biji kopi dan daun teh, alat tersebut juga boleh digunakan sebagai pemetik cili padi mahupun buah-buahan yang bersaiz kecil.
Kajian yang dijalankan selama tiga bulan tersebut berjaya menghasilkan prototaip dan keberkesanannya juga telah diuji.
Jelas Mohd. Zainal Abidin, selain mempercepatkan proses memetik biji kopi, kualiti biji kopi juga turut terjamin berikutan bahan tersebut lebih cepat dapat diproses.
Malah, kajian yang dilakukan juga mendapati, penggunaan pemetik kopi tersebut mampu mempercepatkan proses mengumpul biji kopi sebanyak 30 peratus berbanding kaedah konvensional.
Apa yang lebih istimewa, pemetik kopi tersebut juga boleh digunakan di kedua-dua belah tangan pengguna.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130603/ag_02/Petik-kopi-lebih-mudah#ixzz2aP2T0C6O
© Utusan Melayu (M) Bhd
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment