Saturday, April 28, 2012

Pengganti gula dalam minuman



Antara produk keluaran Megaherbs Bioextreme Sdn. Bhd. minuman tenaga berasaskan gula pokok stevia.


GULA merupakan bahan pemanis utama dalam menghasilkan sesuatu masakan. Rasa kemanisan itu menjadi tarikan kepada masyarakat untuk menikmati masakan seperti kek, kuih muih dan pelbagai minuman.

Sebab itu pengambilan gula merupakan perkara biasa dalam kehidupan harian kita. Ada orang seolah-olah tidak boleh hidup tanpa gula walaupun diri diancam pelbagai penyakit.

Antara masalah kesihatan yang berpunca daripada pengambilan gula berlebihan adalah obesiti, lelah, kencing manis serta penyakit jantung.

Secara ringkas, gula adalah karbohidrat yang mudah diserap tubuh dan bertujuan untuk membekalkan sumber tenaga kepada tubuh badan kita.

Tetapi tahukah kita terdapat pelbagai sumber lain gula yang boleh kita dapati secara lebih sihat. Antaranya daripada nasi, mi dan ubi-ubian.

Selain itu, kita juga boleh mendapatkan bahan penting ini daripada sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai pokok stevia.

Stevia atau nama saintifiknya, stevia rebaudiana merupakan sejenis tumbuhan herba yang mempunyai lebih 10 peratus stevioside pada daunnya dan bahan ini mengandungi 200 hingga 300 kali kemanisan berbanding gula biasa.

Kebaikan stevia


Pokok ini mempunyai pelbagai gelaran antaranya sweetleaf dan sugarleaf serta bagi sesetengah pihak, ia juga digelar daun ajaib yang mengeluarkan manisan.

Kemanisan daripada pokok ini sedikit lambat untuk dirasa tetapi ia akan kekal lebih lama berbanding gula biasa. Ini kerana kelarutan stevia di dalam air sedikit perlahan.

Walaupun begitu, stevia telah mendapat perhatian daripada pengguna bahan rendah karbohidrat bagi pengamal diet dan juga pengguna gula alternatif.

Kajian perubatan yang telah dijalankan menunjukkan keupayaan stevia untuk mengawal penyakit darah tinggi, kencing manis serta hipertensi.

Ini kerana stevia adalah bahan pemanis bersifat semulajadi yang memberikan rasa manis tanpa bahan kimia tambahan seperti glukos atau mana-mana komponen gula lain.

Antara kegunaan stevia dalam produk masakan adalah pemanis untuk pelbagai jenis minuman, ais krim serta gula-gula. -Utusan

Monday, April 16, 2012

Minat seni bonsai


MENJADI rutin harian Abdul Hakam untuk memangkas pokok bonsainya bagi memastikan ia mengikut gubahan yang diinginkan.


KESABARAN seseorang akan teruji tatkala menanti gubahan pokok bonsai yang dihasilkan menjadi tua dan kenit.

Namun bagi penggemar seni menggubah pokok dalam pasu, tempoh menunggu yang kadang kala memakan masa belasan tahun itu dikatakan berbaloi dan 'terbayar' tatkala melihat keindahan dan keunikan yang terhasil dari tumbuhan kenit itu.

Perkara tersebut diakui oleh Abdul Hakam Mohamed Esivan, 35, yang merupakan antara penggemar seni bonsai dan juga ahli Persatuan Seni Bonsai Malaysia sejak tahun 2008.

Anak kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu berkata, mencintai seni bonsai memberinya ketenangan dan kepuasan berganda kerana ilham yang dicetuskan mampu dijual sehingga puluhan ribu ringgit.

"Minat terhadap seni bonsai bermula setelah melihat ibu saya menggubah pokok bunga di halaman rumah. Sejak itu, saya cuba menggubah pokok bunga sendiri dan lama kelamaan ia memberi saya inspirasi dan idea untuk meneruskan minat tersebut.

"Pada mulanya, saya agak ragu-ragu kerana hobi ini bukan murah dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Tetapi kerana minat yang mendalam, saya berusaha mencari mereka yang pakar dalam hal ini dan mula menuntut ilmu daripada mereka," katanya ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Menceritakan sedikit pengetahuannya mengenai asal usul bonsai, katanya, ia bermula di China sejak beribu-ribu tahun dulu iaitu amalan menanam pokok di dalam pasu.

Pada peringkat awal, ia hanya dijadikan penghias kediaman mewah golongan elit sebelum popular di kalangan masyarakat umum negara itu.

Di negara tersebut , seni bonsai mempunyai kedudukan yang tinggi dan dianggap sebagai simbol kebudayaan dan keunggulan.

Jelasnya, meskipun bonsai sering dikaitkan dengan kaum Cina kerana mempunyai pertalian sejarah dengan seni tanaman unik itu, masih ramai masyarakat lain yang kian aktif menceburi bidang seni ini terutamanya di Malaysia.

Ini kerana katanya, ahli-ahli Persatuan Seni Bonsai Malaysia juga terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik yang mana mereka bersama-sama kongsi pengalaman serta ilmu mengenai seni bonsai.

Tidak menafikan idea menggubah seni bonsai masih dipengaruhi oleh keunikan gubahan dari negara matahari terbit, Abdul Hakam menyifatkan setiap gubahan mempunyai jalan cerita yang tersendiri.

Ini kerana setiap gubahan bonsai akan lebih menarik dan unik jika diselangi dengan penceritaan yang menyayat hati mengenai kehidupan pokok tersebut.

"Bagi saya, bonsai ialah seni yang tidak akan habis dan lupus. Ini kerana tanaman itu dikatakan lebih unik, indah dan bernilai tinggi apabila ia menjadi tua namun kekal kerdil.

''Di situlah sebenarnya keistimewaan bonsai melalui jalan penceritaan kisah hidup yang sengsara.

"Selain itu, saya mampu mencabar keupayaan minda untuk menyempurnakan di samping proses ini tidak dapat disiapkan dalam masa yang singkat.

"Membentuk bonsai mengikut kesesuaian gaya yang diidamkan juga mampu memakan masa sehingga bertahun-tahun dan di sinilah letaknya keunikan seni bonsai yang memerlukan kesabaran yang tinggi," tegasnya lagi.

Berkongsi mengenai nilai sesuatu gubahan bonsai, menurut Abdul Hakam semurah-murah bonsai boleh didapati pada harga RM10 sepokok.

Namun ketika ditanya mengenai harga paling tinggi bagi sesuatu seni bonsai, dia hanya tersenyum dan memberitahu tiada harga maksimum bagi tanaman unik ini.

Ini kerana harga bonsai bergantung kepada karakter pokok dan masa yang diambil untuk menggubahnya di samping harga kos yang ditanggung pada peringkat awal.

Tambahnya, bagi mendapatkan bentuk pokok bonsai yang unik dan istimewa, tiada tempoh atau had masa yang tertentu.

Ini kerana ia mengikut jenis benih dan pokok yang ditanam dalam pasu.

Secara peribadi, dia lebih gemar menggunakan benih pokok jeliti, asam jawa dan cucur atap kerana tumbuhan ini mempunyai keunikan yang tersendiri.

Bagi tujuan bonsai, cucur atap memerlukan tanah dari jenis bukan organik dan baja pula akan diletakkan selepas enam bulan ia ditanam di dalam pasu.
Jelasnya lagi, baja paling sesuai untuk spesies tersebut ialah baja kimia tetapi ia juga bergantung kepada kehendak pokok.
Oleh itu tanah perlu ditukar setiap setahun sekali bagi memberi tapak yang segar kepada pokok.

Gaya dan bentuk bonsai perlu dirancang lebih awal semasa batang hendak ditanam di dalam pasu supaya saiz pokok dapat dikawal menggunakan kemahiran mendawai dan mengikat dahannya.

"Jika kita bijak menggubah tumbuhan ini, ia akan memperlihatkan hasil yang jauh lebih unik dan indah dalam masa empat hingga 10 tahun dari sekarang.

"Apa yang perlu diberi perhatian ialah cara membentuk, menyusun kedudukan batang serta bagaimana hendak mengawal tumbesaran bonsai termasuk dahannya.

"Kaedah ini merupakan hasil imaginasi seniman bonsai berdasarkan fenomena alam sebagai sumber idea dan ia memakan masa yang lama bergantung kepada kaedah yang digunakan," katanya.

Tambahnya, penggemar pokok bonsai memerlukan kerajinan serta kesabaran yang tinggi dalam usaha untuk mencantikkan setiap gubahan mengikut susur alur dahan yang tumbuh supaya jalan hidup sengsara dan menghayat hati dapat ditonjolkan dan diperjelaskan.

Abdul Hakam kini mempunyai kira-kira 50 koleksi bonsai dari pelbagai jenis pokok, hasil bentukan tangannya sendiri dan ada juga yang diperolehi dari luar negara termasuk Taiwan, China dan Indonesia.

Selain itu, dia juga bertukar-tukar bonsai bersama beberapa ahli persatuan yang lain bagi mempelbagaikan koleksi yang sedia ada sekali gus berkongsi idea serta ilmu mengenai hobi mereka. - Utusan Malaysia