Isnin, Januari 31, 2011

Formula Waiz bertani moden


Waiz Kashifi (dua dari kiri) memberi penerangan kepada pengusaha pertanian yang datang untuk menjalani latihan
di syarikat beliau.


SEDARKAH anda sembilan persepuluh cabang rezeki adalah datangnya daripada bidang perniagaan.

Ia termasuk juga bidang pertanian yang sememangnya amat terkenal dengan masyarakat negara ini terutamanya yang berada di luar bandar.

Namun, tidak ramai di antara kita yang berminat untuk menceburinya kerana berpendapat bidang tersebut memerlukan modal yang tinggi di samping ilmu pengetahuan yang mencukupi dan serba lengkap.

Jika di kawasan luar bandar, rata-rata penduduknya memiliki tanah yang luas di samping sinaran matahari yang terik sepanjang tahun.

Justeru, tiada masalah bagi mereka untuk menanam apa jua jenis tanaman untuk dijual di pasaran.

Tetapi bagaimana pula bagi mereka yang berada di tengah-tengah kota metropolitan di mana keluasan tanah pertanian amat terhad.

Malah boleh dikatakan, di kawasan bandar mustahil untuk mendapatkan tanah pertanian yang sesuai.

Itu belum lagi di tambah dengan masalah pencemaran akibat bahan buangan industri serta sampah sarap, namun segala permasalahan pasti ada penyelesaiannya.

Sehubungan itu seorang usahawan pertanian tempatan Waiz Kashifi, berusaha mengoptimumkan keperluan projek pertanian bagi mengurangkan pembaziran.

Menurut pemilik Waiz-K Bio-Organics (M) Sdn. Bhd. itu, sistem perladangan konvensional telah lama wujud, akan tetapi kaedah tersebut dilihat agak tidak cekap dan banyak membazirkan sumber-sumber keperluan dan tenaga kerja.

Menurutnya, apa yang lebih mendukacitakan situasi tersebut banyak mengecewakan petani kerana usaha mereka gagal dan akhirnya kehilangan banyak sumber kewangan.

"Persoalannya mengapa ia (situasi kerugian) berlaku?

"Apakah yang tidak kena dengan sistem pertanian yang diamalkan oleh petani kita sejak dulu?

"Justeru, saya tampil disini bagi menjelaskan antara sistem pertanian yang patut diolah semula bagi menjana pendapatan yang lebih lumayan," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Pertanian Agro-Bio WaizK di Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Waiz, beliau bukan seorang petani yang berjaya atau yang telah lama menempah nama dalam bidang tersebut.

Namun setelah melihat peluang yang tersedia di hadapan mata maka beliau kini beralih arah.

''Saya dahulu bekerja dalam sektor automobil, malah pertanian tiada langsung dalam kamus kerjaya saya dahulu.

"Ketika mengikuti pelbagai kursus automobil di luar negara saya berkesempatan melihat perkembangan pertanian yang diamalkan oleh rakyat negara luar.

''Lama-kelamaan saya jadi tertarik dan akhirnya mengambil keputusan untuk beralih angin ke bidang pertanian,'' jelasnya.

Bukanlah merupakan sesuatu yang mudah untuk mencuba sesuatu pekara yang baru, apatah lagi ia langsung tiada kena mengena dengan kerjaya beliau sebelum itu.

Namun atas usaha yang bersungguh-sungguh akhirnya beliau berjaya menemui formula berkesan yang dapat diguna pakai dalam sektor pertanian moden.

Jelas Waiz, teknologi yang digunakan di pusat penyelidikan dan pembangunan beliau adalah merupakan keperluan asas paling utama untuk meningkatkan kualiti dan kadar tumbesaran tanaman pertanian.

Malah, katanya, melalui pengurusan dan amalan pertanian yang terbaik, kepelbagaian biologi yang selamat, amalan pertanian yang bijak dan 'kaizen' yang disebut dalam bahasa Jepun akan dapat membentuk suatu kitaran sistem ekologi (sistem-Eco) yang sempurna untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi.

Bagi Waiz, syarikatnya lebih menumpukan perhatian terhadap sektor pertanian berasaskan teknologi fertigasi atau pengairan baja, hidroponik dan kompos bio-organik.

Namun, buat masa kini, teknik yang diberi tumpuan ialah teknologi fertigasi.

Tambah Waiz, teknik fertigasi atau pengairan baja telah diketahui secara meluas di negara ini malah ia semakin popular.

Pasti terdapat sebab untuknya berikutan semakin ramai petani atau pengusaha telah bertukar menggunakan kaedah tersebut.

Justeru apakah fungsi sebenar Waiz-K Bio-Organics (M) Sdn. Bhd. di sebalik teknik tersebut?

Di sini Waiz menjelaskan rahsia serta kelebihan sebenar teknik fertigasi yang rata-rata tidak diketahui ramai.

Menurut beliau, perkataan fertigasi berasal daripada perkataan fertilization dan irrigation.

Dalam fertigasi, proses pembajaan dan pengairan digunakan serentak kepada tanaman pertanian.

Fertigasi juga tergolong dalam teknik hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah.

Secara umumnya, hanya beberapa jenis tanaman sahaja yang sesuai ditanam menggunakan kaedah fertigasi, antaranya cili, tomato, timun, terung, strawberi dan rock melon.

Dengan menggunakan kaedah fertigasi, pengusaha boleh mengelakkan tanaman mereka daripada dijangkiti penyakit akar dan serangan bakteria kebanyakannya dibawa oleh tanah.

Selain itu, tanaman tersebut dapat ditanam di mana sahaja asalkan cukup cahaya untuk tujuan fotosintesis dan mempunyai tempat untuk meletak poli beg yang mengandungi media bagi menggantikan tanah.

Manakala kaedah titisan yang digunakan dalam sistem fertigasi berupaya untuk membekalkan air dan larutan baja kepada tanaman dengan berkesan tanpa pembaziran.

Manakala air dan larutan baja diberikan secara berkala dan tetap pada setiap hari justeru larutan baja yang mengandungi segala nutrien untuk keperluan peringkat pokok diberikan terus ke akar pokok.

Teknologi sistem fertigasi ini paling berkesan jika dilakukan di bawah struktur pelindung hujan (SPH) untuk mengelakkan tanaman yang ditanam dari diserang oleh sebarang penyakit sama ada penyakit daun, pucuk dan buah yang disebabkan oleh percikan hujan yang bertoksik.

Selain melindungi tanaman daripada jangkitan penyakit, SPH juga dapat mengelakkan larutan baja yang diberikan kepada pokok menjadi terlalu cair akibat air hujan dan merencatkan pembesaran pokok seterusnya menjejas pengeluaran hasil.

Justeru, syarikat beliau kini ditubuhkan khusus bagi membantu petani dengan memberikan latihan serta pengembangan ilmu berkenaan pertanian terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Bagi yang berminat untuk mengikuti latihan serta kursus yang bersesuaian, anda boleh menghubungi beliau di talian 03-51914604 atau layari laman web www.waizk.com untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut.

sumber: Utusan Malaysia Online

Sabtu, Januari 29, 2011

5 tip motivasi kerjaya dan perniagaan

oleh Irfan Khairi

Selalu lakukan lebih daripada apa yang dibayar/diupah. Contoh, kalau pendapatan kita RM3k sebulan, buat kerja seperti pendapatan kita RM4k sebulan. Kalau projek client RM10k, buat seperti kita dibayar RM13k. Tak kira dalam perniagaan atau karier. Bila kita lakukan lebih, pastinya kita akan dapat lebih aka...n datang!

Sekiranya kita tidak mencari ilmu-ilmu baru, kita mungkin tidak akan jumpa jalan untuk mencapai kejayaan masa hadapan. Dengan ilmu yang kita sedia ada, sekiranya masih tidak mencapai kejayaan yang diinginkan, bererti kita perlu kemaskini diri kita dengan ilmu baru yang mungkin boleh membawa kepada kejayaan yang kita idamkan!

Kalau kita mempunyai satu kebolehan, tetapi tidak pandai promosi diri kita atau tak pandai komunikasi untuk ketengahkan kebolehan itu, maka kita yang rugi. Skill promosi diri dan komunikasi adalah amat penting tak kira dalam perniagaan atau karier!

Sekiranya kita ada idea, tetapi orang-orang lain tidak nampak kehebatan idea tersebut, bukan bermakna idea kita tu tak bagus. Cuma, orang tak nampak apa yang kita nampak. Yakin dengan diri sendiri, percaya dengan diri kita terlebih dahulu sebelum percaya orang lain. Kejayaan cemerlang seringkali bermula dengan idea yang orang lain tak nampak

Kurangkan stress. Stress merupakan punca kepada banyak penyakit! SITUASI tidak mengakibatkan stress- contoh, terkandas dalam jam: ada orang yang stress, ada orang yang rilex je... apa yang mengakibatkan stress adalah RESPOND kita kepada sesuatu situasi. banyak2 bersabar- bersabar kan separuh dari iman ;)

Selasa, Januari 25, 2011

Pengasas Facebook buta warna


MARK ZUCKERBERG tidak menjadikan kekurangan sebagai halangan untuknya memiliki rangkaian kawan dari seluruh dunia.


FACEBOOK adalah kisah kejayaan luar biasa pemilik nama Mark Elliot Zuckerberg, lelaki berusia 26 tahun yang berasal dari New York, Amerika Syarikat.

Dengan jumlah pengguna hampir 600 juta orang, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Facebook itu mampu berada dalam senarai 40 individu bilionair dunia seperti yang diuar-uarkan majalah Forbes.

Sebuah laman berita, www.dailymail.co.uk menganggarkan sehingga 4 Januari lalu, nilai kekayaan yang dimiliki Zuckerberg berjumlah RM27.5 bilion (AS$9 bilion).

“Inisiatif pemuda ini untuk menghubungkan lebih daripada setengah bilion manusia dan memetakan jaringan sosial di kalangan mereka merupakan fenomena Internet masa kini.

“Berupaya menghasilkan satu bentuk pertukaran maklumat, Facebook juga boleh mengubah cara kita memanfaatkan hidup.

“Memang seharusnya pereka laman seperti ini diberi pengiktirafan,” jelas majalah Time yang yang menamakan Zuckerberg sebagai Person of The Year 2010.

Sehingga Disember lalu, dianggarkan seorang daripada 12 penduduk bumi memiliki akaun Facebook. Angka itu menyamai jumlah 550 juta pengguna.

Kerja gila

“Andaikan Facebok adalah sebuah negara, ia merupakan negara ketiga yang mempunyai populasi penduduk tertinggi selepas China dan India.

“Jika dihitung masa yang diperuntukkan oleh setiap pengguna untuk melayari Facebook, jumlah masa yang dihimpun bersamaan dengan 700 bilion minit sebulan,” jelas Time lagi.

Mula beroperasi pada Februari 2004 di sebuah bilik di kampus Universiti Harvard, Zuckerberg yang ketika itu berada di tahun kedua membangunkan Facebook dibantu dua rakannya, Dustin Moskovitz dan Sean Parker.

Diberi nama thefacebook.com, perancangan asal mereka sekadar menyediakan jaringan komunikasi antara pelajar kampus untuk mengetahui perkembangan antara satu sama lain.

Selepas mendapat sambutan baik dan banyak permintaan supaya jaringan laman tersebut diperluaskan, Zuckerberg cuba mengembangkan rangkaian berdasarkan kepercayaan dalam perhubungan ke seluruh dunia.

“Bagi saya semua ini adalah kerja gila. Saya masih teringat perbualan saya dengan kawan-kawan di kolej. Ini yang kami mahukan tujuh tahun dahulu.

“Tetapi pada ketika itu, saya anggap impian itu hanya gurauan kerana kami adalah pelajar kolej. Kami tidak layak untuk melakukannya. Ini adalah kerja gila,” seloroh Zuckerberg.

Boleh diakses dalam 72 bahasa, Zuckerberg percaya komunikasi tidak sepatutnya tersekat hanya kerana faktor bahasa.

Malah dia sendiri sedang mempelajari bahasa Cina selain boleh menulis dan membaca dalam bahasa Perancis, Latin, Hebrew dan Greek kuno.

Sukar puas

Mengenali anak lelaki tunggal kepada pasangan doktor gigi dan pakar psikiatri ini, Zuckerberg dibesarkan di Dobbs Ferry, New York, bersama tiga orang kakaknya.

Menurut bapanya, Edward, anaknya itu mempunyai sifat keyakinan diri yang tinggi.

“Sejak kecil, berbual dengannya boleh menjadi sesuatu yang mencabar.

“Bagi sesetengah budak, jawapan untuk mereka mungkin seringkas ya atau tidak. Namun bagi Zuckerberg, dia tidak mudah menerima atau mempersetujui sesuatu jika jawapan yang diberikan kepadanya adalah tidak.

“Jika anda ingin berkata tidak, sediakan hujah kuat yang disokong dengan fakta, pengalaman, logik dan alasan munasabah.

“Malah, kami pernah membayangkan dia akan menjadi peguam suatu hari nanti kerana sifat ingin tahunya itu berupaya mempengaruhi hampir 100 peratus keputusan juri,” kata Edward.

Biarpun bergelar bilionair, Zuckerberg lebih suka mengamalkan kehidupan yang sederhana.

Dia memilih untuk tinggal di sebuah rumah yang disewa di Palo Alto bersama teman wanitanya, Priscilla Chan, seorang penuntut tahun tiga jurusan perubatan di Universiti California, San Francisco.

Dia juga hanya memandu kereta Acura TSX berwarna hitam berharga RM97,000 (AS$32,000).

Semasa kecil, Zuckerberg diajar mengenali program asas komputer sebelum bapanya mengupah seorang pembangun perisian berpengalaman, David Newman untuk melatihnya secara peribadi.

Mendapat pendidikan awal di sekolah tinggi swasta tempatan, Zuckerberg kemudian meneruskan pelajaran ke Philip Exeter Academy di New Hampshire.

Selepas itu, dia menyambung pengajiannya ke Universiti Harvard dan mengambil kursus dalam dua bidang serentak iaitu psikologi dan sains komputer.

“Ramai yang tidak faham mengapa saya ambil dua jurusan yang berbeza. Saya selalu tertarik untuk tahu bagaimana dua perkara ini bergabung untuk membangunkan perkara yang baik,” ujarnya.

Membuka rahsia mengapa warna biru dan putih menjadi warna latar Facebook, Zuckerberg sebenarnya lelaki tampan yang buta warna.

Mengikuti temu bualnya bersama Time, banyak warna yang tidak mampu dilihat olehnya termasuk hijau dan merah. Zuckerberg hanya boleh melihat warna biru dengan sempurna.

sumber: Kosmo Online!

Isnin, Januari 24, 2011

Hutang pun ada baiknya


Hari ni saya akan terangkan sikit mengenai "Bad debt" dan "Good debt"

Umumnya, selalu kita katakan yang berhutang adalah tidak bagus, lagi-lagilah kalau kita terperangkap dengan belenggu hutang, lagi sakit, kan?

Kadar 'interest' yang membebankan sedangkan 'pokok' langsung tidak berganjak. Uishh tu yang bahaya.. Tapi tahukah anda ada juga hutang yang bagus atau "Good Debt". Akan diterangkan secara ringkas apakah BD dan GD.

Apa itu Bad Debt

Ringkasnya, apa sahaja hutang yang merugikan kita, ianya adalah BD. Contohnya hutang 9 tahun untuk pembelian kereta peribadi, ianya amat merugikan. Anda boleh guna kalkulator pinjaman beli kereta yang diedarkan dulu dan tengok berapa 'interest' yang anda bayar!

Contoh lain ialah 'personal loan' untuk melancong, berhutang untuk pembelian perabot dan lain-lain hutang yang TIDAK MENDATANGKAN HASIL atau tidak membawa apa-apa wang masuk ke poket anda, itu semua adalah BD!

Apa pula Good Debt

Ringkasnya juga, ianya ialah hutang yang menguntungkan kita. Contohnya hutang untuk membeli kereta untuk disewakan, dengan hutang itu, ianya memberikan anda sedikit pendapatan tambahan di samping dapat menampung bayaran bulanan anda. Maknanya, anda BERHUTANG untuk MENDAPAT HASIL TAMBAHAN. Ini namanya manipulasi hutang!

Begitu juga berhutang untuk membeli rumah untuk disewakan, berhutang membeli tanah atau berhutang untuk membeli saham Sime Darby apabila ianya jatuh sehingga RM3.70 seunit sebelum ini. Semua itu adalah GD. Secara ringkasnya GD ialah hutang;

- mendatangkan hasil tambahan untuk anda (kereta sewa, rumah sewa)
- tidak membebankan, bahkan menguntungkan (lebihan sewaan)
- menambah portfolio pelaburan anda (saham, bon)
- menambah portfolio aset anda (rumah, tanah)

Anda boleh ambil tindakan sekarang, anda boleh berhutang, tapi pastikan ianya GD dan bukan BD!

Salam keutuhan kewangan untuk anda, para pembaca Usahawan Bistari!

Tauke otak-otak


shukor Mansor menunjukkan Otak-otak Batu Pahat yang menjadi kebanggaannya.


WALAUPUN hanya berbekal Sijil Rendah Pelajaran (SRP), ia bukan jalan buntu bagi kehidupan Shukor Mansor, 35 yang berasal dari Semerah, Batu Pahat, Johor.

Ekoran pendidikan yang tidak tinggi, Shukor mula berdikari dengan bekerja sebagai penebar roti canai di warung.

Pada masa sama dua mula mengikut kawan yang bekerja di sebuah syarikat pengeluar otak-otak terkemuka di negeri Johor.

Minat yang mendalam dalam pembuatan otak-otak membawa Shukor menghadiri pelbagai kursus penghasilan produk berkenaan dan keusahawanan anjuran pelbagai agensi kerajaan di Batu Pahat dan Johor Bharu, Johor serta Melaka.

Hanya berbekal minat yang mendalam dan sedikit modal, Shukor memulakan perniagaan otak-otaknya sendiri di Batu Pahat pada tahun 2006.

Ketika itu dengan modal RM3,000, Shukor membeli sebuah peti sejuk beku sebagai tempat menyimpan produk otak-otaknya.

Bagi memudahkan operasi perniagaan, Shukor mendaftarkan perniagaan di bawah nama Sinar Shukor Enterprise dengan jenama Otak-otak Batu Pahat.

"Pada mulanya memang sukar untuk mendapat kepercayaan pelanggan kerana produk saya masih baru," katanya semasa ditemui di rumahnya di Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat, Johor.

Bagaimanapun dengan galakan daripada ahli keluarga, saudara mara dan sahabat semakin menyemarakkan semangatnya.

Tambahan pula dia boleh mendapatkan bahan-bahan mentah daripada masyarakat di sekitar Batu Pahat.

Misalnya Shukor, anak ketiga daripada enam beradik mendapat bekalan daun nipah daripada sepupunya Zamzam Jabir, 42, dari Kampung Muhibbah, Batu Pahat.

Daun nipah yang didapati di tepi sungai Batu Pahat diproses sepanjang enam inci sebelum dibekalkan kepada Shukor bagi industri perniagaan otak-otaknya.

Setiap hari Zamzam membekalkan sekitar 40 bakul dengan satu bakul seberat 10 kilogram (kg).

Manakala bahan mentah lain seperti santan kelapa, herba dan rempah-ratus bermutu tinggi dibeli daripada pembekal di sekitar kejiranannya.

Kini Shukor memerlukan 60 kg santan dan 20 kg lagi bahan campuran lain termasuk rempah ratus dan herba bagi ramuan otak-otaknya.

Bagi mendapatkan rasa yang lain dari yang lain, Shukor mendapatkan ikan tenggiri segar daripada nelayan berhampiran.

Setelah setahun memulakan operasi, perniagaannya semakin meningkat sehingga beliau terpaksa menambah lima buah peti sejuk beku setiap tahun.

Setahun kemudian pada tahun 2008, Shukor mula 'menghampiri' Agrobank berhampiran tempat tinggalnya bagi menambahkan modalnya.

"Ketika itu saya memohon pinjaman MUST Normal sebanyak RM10,000 bagi menambah bilangan peti sejuk beku," katanya.

Kali ke dua pada tahun ini, beliau mendapat pinjaman MUS1M-i sebanyak RM20,000 daripada Agrobank.

Permintaan otak-otak yang semakin meningkat setiap hari daripada peniaga pasar malam, bazar ramadan, ekspo, restoran serta orang perseorangan di Batu Pahat, Muar, Melaka serta Kuala Lumpur menyebabkan Shukor perlu menambahkan bilangan peti sejuk bekunya.

"Secara purata saya menambah lima buah peti sejuk setahun dan kini saya mempunyai 35 buah peti sejuk untuk menyimpan 15,000 keping otak-otak sehari," katanya yang mempunyai lebih 10 orang pekerja.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkatkan, Shukor merancang meningkatkan kapasiti pengeluarannya dengan membina kilang di atas tanah milik keluarganya.

"Ini bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah setiap hari," katanya sedang dalam proses mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi berkenaan berkaitan dengan modal dan operasi kilangnya.

Biasanya otak-otak akan disimpan di dalam peti sejuk beku secara berdiri sehari semalam sehingga beku sebelum diedarkan kepada pelanggan.

"Ini bagi mengelakkan otak-otak cepat rosak," katanya.

Ditanya mengenai keistimewaan produknya, Shukor berkata maklum balas daripada pelanggan amat penting.

"Ramai pelanggan yang sukakan rasa rempah dan pedas otak-otak keluaran saya," katanya yang berpegang kepada prinsip minat, usaha dan modal untuk berjaya.

Apalah yang lebih membanggakan, kini Sinar Shukor Enterprise banyak membangunkan ekonomi sekitar kawasan Batu Pahat bagi bahan mentah dan tenaga kerja tempatan.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai otak-otak Batu Pahat boleh berkunjung ke Parit Kuda, Batu Pahat atau menghubungi Shukor di talian 019-7650713.

sumber: Utusan Malaysia Online

Ahad, Januari 23, 2011

Bagaimana memiliki RM200000 dalam ASB

Saya ada satu teknik yang boleh anda gunakan jika anda serius untuk memiliki RM200,000 di akaun ASB anda 20 tahun dari sekarang tanpa berpeluh!

Berminat??

Yang syoknya saya akan tunjukan caranya walaupun anda tengah pokai sekarang ni, yang penting anda mempunyai kerja dan gaji tetap.

Jadi bagaimana anda boleh memiliki RM200,000 daripada kosong hari ini?

Bank gergasi Maybank, CIMB dan RHB ada menawarkan pinjaman ASB sehingga RM200,000. Anda boleh mohon pinjaman ini sebab ianya senang nak lulus. Masalahnya, anda tentu bertanya mana nak cekau duit nak bayar bulan-bulan.

Tekniknya begini..

Untuk pinjaman maksima RM200,000 selama 20 tahun, bayaran bulanan ialah RM1406.00 sebulan. Dalam setahun anda perlu bayar RM16,872.00. Yupp.. mana nak cari duit bayar RM16,872.00 nih..

Strategi orang kaya akan gunakan kemudahan yang ada disekeliling kita. Caranya ialah anda buat pinjaman Bank Rakyat sebanyak RM30,000 selama 10 tahun. Bayaran sebulan ialah RM394.00 sebulan.

Di sini anda gunakan pinjaman daripada Bank Rakyat untuk bayaran pinjaman tahun pertama ASB loan tadi sebanyak RM16,872 dan bakinya anda boleh simpan untuk topup bayaran bulanan bank rakyat pula.

Oleh itu anda tidak perlu bayar RM1,406.00 sebulan untuk pinjaman ASB (bayar daripada pinjaman bank rakyat) sebaliknya anda hanya perlu bayar RM394 sahaja. Cantik tak :)

Untuk tahun kedua dan seterusnya lagi mudah, dividen yang diperolehi daripada tahun pertama ASB anda boleh bayar untuk tahun kedua, bonus tahun kedua untuk tahun ketiga dan seterusnya (anda mungkin perlu top up sikit)

Jadi anda telah gunakan pinjaman peribadi (bank rakyat) menjadi satu leverage untuk mendapatkan keuntungan lebih besar di dalam ASB loan RM200,000.00.


Kita jumpa lagi dengan tip-tip kekayaan yang lain.

Sabtu, Januari 22, 2011

Penternak berjaya

Oleh Togi Marzuki
bhjb@bharian.com.my

 HAIRULIZAM menunjukkan sebahagian  ternakan  puyuhnya.
HAIRULIZAM menunjukkan sebahagian ternakan puyuhnya.
Berani ambil risiko, mesra pekerja tip kejayaan usahawan puyuh

PONTIAN: Bermodalkan RM3,000 10 tahun lalu, Hairulizam Saat, 41, kini menjadi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) puyuh contoh apabila dinobatkan usahawan berjaya, termasuk terbaru menerima Anugerah Usahawan Cemerlang 2010 Parlimen Pontian.

Dia yang berasal dari Kampung Saniman Ayer Baloi, di sini, memulakan perniagaan menternak 3,000 unggas berkenaan yang dibeli pada harga 50 sen seekor.

“Di awal pembabitan, saya membeli daging burung puyuh daripada pembekal tempatan sebelum menjualnya kepada peniaga pasar malam.

“Selepas setahun, saya dapati perniagaan ini mempunyai potensi besar untuk maju dan kerana itu, saya sanggup mengambil risiko menggunakan simpanan sebagai modal untuk membeli anak burung puyuh,” katanya.

Hairulizam berkata, dengan bantuan isterinya, Siti Fairus Paiman, 34, serta dua pekerja, dia menternak 5,000 ekor burung puyuh dalam sebuah reban dan kini unggas berkenaan berjumlah 200,000 ditempatkan di 29 reban manakala pekerjanya bertambah kepada 20.

Bapa kepada lima anak itu berkata, selain di Johor, perniagaannya kini berjaya memasuki pasaran Melaka dan Kuala Lumpur dengan pendapatan mencecah ribuan ringgit sebulan.
“Untuk memenuhi permintaan pelanggan dan penghantaran mengikut masa ditentukan, enam pekerja akan menangkap burung puyuh yang cukup usia 30 hari pada waktu malam sebelum disembelih dan diproses.

“Pengeluaran boleh mencecah kira-kira 150,000 ekor sebulan, manakala nilai burung puyuh sejuk beku jika mengikut gred seperti A dan B boleh mencecah RM2.20 seekor,” katanya yang mengusahakan ternakan itu di tanah miliknya seluas enam hektar.

Lebih membanggakan, hasil usahanya itu membolehkan dia menerima anugerah Usahawan Penternak Bukan Ruminan Jaya 2002 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Johor.

Selain itu, beliau juga menerima anugerah Usahawan Cemerlang TEKUN Negeri Johor 2005, dan mendapat tempat pertama Anugerah Usahawan Cemerlang 2010 Parlimen Pontian.

Dia berkata, sebahagian besar kejayaannya adalah berkat dorongan keluarga khasnya Siti Fairus.

“Kami sering berbincang untuk mendapatkan hasil terbaik dan pada masa sama, kami turut menganggap pekerja seperti keluarga sendiri.

“Hasilnya, kami sentiasa mesra malah sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan perniagaan ini semakin maju dan berkembang,” katanya.

Sementara itu, pekerja Hairulizam, Turmiah Samian, 48, yang sudah bekerja dengannya sejak 10 tahun lalu berkata, perniagaan majikannya itu membolehkan penduduk kampung mendapat peluang pekerjaan.

“Ia memberi pendapatan kepada sebahagian daripada penduduk dan kami bersyukur kerana perniagaan ini semakin maju.

“Kami gembira bekerja dengan Hairulizam kerana sifatnya yang peramah dan tidak pernah meninggikan suara,” kata ibu lima anak itu lagi.

sumber: Berita Harian Online

Khamis, Januari 20, 2011

Pernah jadi pengedar rasmi uniform Nazi


HUGO Boss AG (Hugo Boss) adalah satu jenama fesyen terkenal yang berpangkalan di Metzingen, Jerman.

Hugo Boss adalah jenama fesyen terkenal yang mengeluarkan pelbagai rekaan dengan cita rasa tinggi untuk lelaki dan wanita.

Hugo Boss dinamakan sempena nama pengasasnya, Hugo Ferdinand Boss.

Hugo Boss mula membangunkan perniagaan pakaian sekitar tahun 1924 di Metzingen.

Metzingen adalah sebuah bandar kecil yang terletak di selatan Stuttgart, Jerman. Perniagaan yang dilakukan ketika itu menunjukkan prestasi yang menggalakkan.

Bagaimanapun, ketika Jerman berhadapan dengan krisis ekonomi, Boss terpaksa berhadapan dengan muflis sekitar 1930.

Tanpa mengambil kira soal muflis itu sebagai titik akhir, Boss terus bangun dan meneruskan perniagaannya. Kali ini, dia mendirikan perniagaan baru dan pada 1931, syarikatnya menjadi rakan kongsi kepada parti Nazi seterusnya mendapat sokongan daripada Adolf Hitler pada 1933.

Perniagaan Boss terus berkembang dan berjaya mendapatkan hak sebagai pengedar pakaian seragam rasmi kepada pihak SA SS, iaitu satu badan tentera muda yang dibangunkan pihak Nazi.

Bermula daripada situ, perniagaan terus berkembang maju walaupun terpaksa berhadapan beberapa rintangan sebelum meraih kejayaan.

Sehiungga kini, Hugo Boss telah memiliki sekurang-kurangnya 6,100 pusat jualan di 110 buah negara dan memiliki kira-kira 330 perniagaan runcit di lebih 1,000 kedai yang dikendalikan secara francaisi.

sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Hugo_Boss

Isnin, Januari 17, 2011

Memburu rusa di De Paradise


De Paradise pengunjung berpeluang bermesra dengan rusa.


LADANG De Paradise Sdn. Bhd., bukan setakat menternak rusa. Malah ia turut dibuka kepada orang ramai untuk melihat persekitarannya di samping berpeluang untuk merasai pengalaman memburu rusa.

Ini mungkin pengalaman yang tidak mungkin diperolehi di mana-mana dan pihak pengurusan ladang ternak itu kini sedang berusaha untuk menyediakan tapak khusus untuk tujuan tersebut.

Mungkin selama ini ada di kalangan orang ramai yang berangan-angan utuk memburu. Dengan adanya kemudahan di ladang itu mereka boleh merasai sendiri cabaran tersebut.

Kawasan perburuan yang disediakan itu seluas empat hektar dan ia akan dibuka kepada para pemburu yang terdapat di negara ini.

Pengusaha ternakan rusa di ladang tersebut, Muhammad Akhbar Chiraghdin memberitahu, kawasan memburu itu bagaimanapun adalah berpagar.

Katanya, mereka yang memiliki lesen senjata api sahaja hanya dibenarkan berbuat demikian.

"Mereka boleh memburu rusa yang berkeliaran di kawasan itu," ujarnya.

Jika mereka gagal menembak sebarang rusa katanya, pihak pengurusan akan memberikan haiwan itu sebagai insentif dan tarikan.

Selain itu pihak pengurusan ladang itu jufa bercadang untuk membuka tapak permainan seperti paint-ball yang mana mereka boleh bertarung sesama sendiri atau berburu dengan rusa sebenar menerusi peralatan senapang paint-ball terbabit.

Semua itu merupakan antara usaha untuk menjadi ladang De Paradise sebagai kawasan eko pelancongan.

Selain untuk pengunjung yang ingin merasai suasana hidup di kawasan ladang ia juga boleh dijadikan tempat latihan mana-mana pelajar yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang cara penternakan rusa.

Untuk tujuan itu kata Muhammad Akhbar, segala kemudahan asas telah disediakan.

Katanya, kemudahan seperti asrama disediakan kepada mereka sambil mengikuti latihan yang disediakan.

Semua rancangan bagi menjadikan ladang itu sebagai kawasan pelancongan dan latihan dijangka dapat direalisasikan menjelang Mac ini.

Beliau berharap ia bakal menjadi tarikan baru eko pelancongan di kawasan tersebut.

Dengan itu De Paradise bukan sahaja ladang perternakan rusa tetapi juga sebagai salah satu destnasi pelancongan yang menawarkan pengalaman berbeza di Pahang.

Selain asrama juga katanya, kemudahan penginapan lain turut dibina untuk kemudahan orang ramai.

Ia termasuk membina beberapa chalet penginapan dan dewan persidangan.

Tambahnya, selain rusa, beberapa haiwan lain seperti arnab turut diternak di situ supaya pengunjung dapat merasai suasana sebenar kehidupan di ladang.

sumber: Utusan Malaysia Online

Khamis, Januari 13, 2011

Vanila semakin diusahakan


Ishak Musa (kiri) bersama seorang lagi pengusaha menunjukkan buah vanila di kebunnya dekat Kampung Pamah Kulat, Raub, Pahang, baru-baru ini. - Utusan/Musazlila Mustapar


TEMERLOH 9 Jan. - Secara umumnya apabila berbicara mengenai vanila, ramai yang membayangkan kesedapan dan aroma perasa itu apabila dicampurkan ke dalam kek, ais krim, roti atau minuman karbonat.

Namun, tidak ramai yang tahu bagaimana vanila dihasilkan.

Malah, ramai juga yang tidak mengenali dari segi rupanya, bagaimana untuk mendapatkannya dan dari negara mana ia berasal.

Dari sudut sejarah, vanila ialah sejenis tumbuhan liar yang ditemui di Amerika Selatan.

Ia telah digunakan oleh kaum asli Mexico sebagai penyedap tembakau sejak berkurun yang lalu.

Pada 1721, vanila dibawa ke Eropah oleh orang Sepanyol sebelum dibawa oleh penjajah Belanda ke Bogor, Indonesia pada 1819.

Sejak 1850, vanila mula ditanam secara komersial di Indonesia apabila ia telah berjaya didebungakan.

Sejak itu, ia semakin digemari kerana keaslian aroma dan perisa aslinya.

Meskipun terdapat vanila sintetik yang dikenali sebagai vanilin, namun bahan sebatian itu dari segi kualitinya dikatakan kurang setanding dengan vanila asli.

Kini, tanaman vanila diperkenalkan di Malaysia selepas mendapati cuaca dan persekitaran negara ini sangat berpotensi untuk tanaman pokok vanila.

Potensi tanaman vanila sangat baik memandangkan sehingga kini dunia hanya menggunakan tiga peratus sahaja vanila asli manakala selebihnya masih menggunakan vanila sintetik.

Perkembangan sihat berhubung tanaman vanila turut mendapat sambutan di kalangan petani di Pahang.

Di negeri ini, terdapat beberapa petani yang mula menunjukkan minat untuk menanam vanila secara komersial.

Di daerah ini misalnya, dua rakan karib dari persatuan belia berlainan bergabung tenaga dalam mengusahakan tanaman vanila di Kampung Bangau Parit di sini.

Menurut pengusahanya, Mohd. Feisal Norawi, 29, tanaman vanila sangat mudah diusahakan kerana ia tidak terlalu cerewet.

Memandangkan harga di pasaran masa kini di sekitar RM300 sekilogram jika dijual kering dan RM40 sekilogram jika dijual basah, tanaman itu dijangka berpotensi menjadi komoditi ketiga selepas kelapa sawit dan getah.

Dia yang mengusahakan secara sambilan membantu rakan kongsinya menganggap vanila mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusaha walaupun hasilnya dituai sekali dalam setahun.

Mohd. Feisal yang mula menanam vanila pada awal tahun lalu memberitahu, vanila akan mula berbuah selepas tiga tahun ditanam.

''Ia memerlukan tujuh bulan untuk buah itu masak sebelum boleh dituai.

''Tanaman vanila memerlukan naungan dan ia sejenis tumbuhan memanjat. Sebelum ditanam, seelok-eloknya pokok lain turut ditanam yang bertindak sebagai pokok induk untuk dipanjat," katanya.

Mohd. Feisal mengeluarkan modal sekitar RM25,000 bagi menjayakan tanaman vanila yang diharap dapat membuka minda golongan muda supaya terlibat dengan tanaman baru dan tidak hanya tertumpu kepada getah dan kelapa sawit semata-mata.

Apa yang menarik minatnya menanam vanila jelasnya, ialah kerana ia tidak memerlukan kawasan luas, cukup kira-kira 0.2 hektar bagi 2,000 pokok.

Menurutnya, sebatang pokok vanila mampu mengeluarkan kira-kira 1.6 kilogram buah vanila basah.

Sehingga kini, dia telah menanam 800 pokok vanila yang dijangka mengeluarkan hasil pada tahun depan.

Sementara itu, rakan kongsinya, Ikmal Ab. Rahman, 31, pula berkata, setakat ini, masih ramai penduduk tempatan tidak mengetahui mengenai projek tanaman vanila yang diusahakannya.

Menurutnya, kebanyakan yang datang melawat ialah pengunjung luar yang berhasrat untuk mempelajari teknik menyemai benih dan menanam di ladang.

''Buah vanila basah yang dihasilkan nanti akan dikeringkan dengan kaedah tersendiri sebelum dijual secara kering," jelasnya.

Selain dua sahabat karib itu, tanaman vanila turut diusahakan oleh seorang bekas guru, Ishak Musa, 84, di Kampung Pamah Kulat, Raub yang dimulakan sejak 2004.

Sehingga kini, dia mempunyai kira-kira 1,000 pokok vanila dan sebahagiannya telah mengeluarkan hasil.

Ishak antara individu awal menceburkan diri dalam tanaman vanila di Pahang dan kini menjadi rujukan banyak pihak di negeri ini dalam menghasilkan tanaman vanila.

Kini, ketiga-tiga pengusaha vanila terbabit bergabung tenaga dalam mencipta kejayaan menghasilkan tanaman komoditi baru untuk diketengahkan kepada masyarakat.

Apa yang lebih meyakinkan, mereka telah bertemu dan bekerjasama dengan Ketua Pegawai Operasi Syarikat Ekstrak Tulen Sdn. Bhd., Dr. Anuar Omar yang memiliki mesin untuk menghasilkan vanila ekstrak untuk dijual di pasaran global.

Menurut Ishak, dengan bantuan Anuar yang bersetuju membeli hasilnya dengan harga semasa, dia yakin potensi tanaman vanila untuk dipasarkan secara ekstrak akan lebih luas dan lebih ramai yang akan berminat untuk menceburkan diri.

Anuar ketika ditemui di pejabatnya di Bentong baru-baru ini memberitahu, teknologi terkini menghasilkan ekstrak vanila ialah dengan menggunakan kaedah Supercritical Fluid Extractor(SFE).

Menurutnya, SFE digunakan untuk pengekstrakan bahan-bahan vanila daripada buah vanila yang telah dikeringkan dan dikisar menjadi serbuk.

''Teknologi SFE membabitkan penggunaan tekanan udara yang tinggi dan suhu yang rendah untuk mencapai satu tahap lampau genting, apabila pada tahap ini, pepejal dan cecair bertukar bentuk tanpa dapat dikenali bentuk asalnya.

''Cara pengekstrakan ini boleh menghasilkan ekstrak vanila yang tulen serta bebas daripada kandungan pelarut sebagaimana kaedah pengekstrakan biasa yang umumnya menggunakan bahan pelarut seperti etanol atau pelarut hidrokarbon yang lain," jelasnya.

Menurut Anuar, kaedah SFE juga dapat mengekalkan keaslian bahan yang diekstrak.

Beliau turut mengalukan-alukan petani melibatkan diri dalam projek tanaman vanila yang diyakini paling berjaya sedikit masa lagi.

''Teknologi dan kelengkapan terkini sudah ada dan hanya menunggu hasil yang banyak daripada pengusaha," katanya.

Sesiapa yang berminat untuk menceburkan diri dalam tanaman vanila boleh berhubung dengan Ishak di talian 09- 2971172 atau 019-6135072.


sumber: Utusan Malaysia Online


Kisah Si Pemakan Katak

Makanlah katak setiap pagi, jika memilih makan dua ekor, makanlah yang lebih hodoh dulu kemudian kurang hodoh. Alasannya, jika makan yang kurang hodoh, anda kehilangan selera untuk makan yang terhodoh itu.


Petua kedua, jika hendak makan katak, makan terus, jangan bertangguh kerana ia akan membatalkan aktiviti itu.


Saranan simbolik 'makan katak' ini dimulakan oleh Mark Twain. Katanya, jika sudah makan katak waktu pagi, segala-galanya akan menjadi mudah untuk hari itu kerana kerja paling tidak munasabah diselesaikan.


Makan katak bermakna berbuat sesuatu paling sukar.


Kebanyakan orang tidak berusaha, tetapi bercakap dan bercakap. Mereka menangguhkan kerja yang dapat memberikan hasil yang lumayan. Berbual-bual dan daripada perbualan itu muncul idea bagus, tetapi tidak menghasilkan buku. Akhirnya, idea itu tenggelam dalam kesibukan lain.


Saya tertarik bukan kerana idea atau kenyataan di atas terlalu baru. Saya sebenarnya terbayang akan perlakuan diri sendiri dan rakan-rakan di sekeliling yang bercakap, bercakap, bercakap tetapi tidak berbuat sesuatu yang betul-betul produktif.


Selasa, Januari 11, 2011

Haruan ubat semburan


Profesor Saringat Bai@Baie menunjukkan semburan ikan haruan bagi luka dan terbakar.


IKAN haruan secara turun temurun telah digunakan bagi mengubati luka-luka dalaman terutama di kalangan ibu-ibu selepas bersalin. Justeru Universiti Sains Malaysia (USM) menjalankan kajian bagi meluaskan penggunaan ikan haruan.

Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Sekolah Sains Farmaseutikal, Profesor Saringat Bai@Baie menunjukkan ikan haruan atau nama saintifiknya Channa striatus mengandungi asid amino yang berfaedah dan asid lemak yang dibuktikan berupaya menyembuhkan luka.

"Haruan Channa striatus digunakan kerana mudah ditemui di sungai di sini," katanya ketika ditemui semasa Pameran BioMalaysia 2010 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum ini, Saringat telah menformulasikan ekstrak haruan yang sama sebagai krim dan tablet dan produk berkenaan telah pun dikomersialkan.

"Kini kajian yang dijalankan menjurus kepada filem nipis bagi membalut dan merawat luka terutama luka kebakaran dan pesakit diabetes," katanya

Saringat berkata, semburan haruan menggunakan semua ciri-ciri ekstrak haruan dan diformulasikan dalam bentuk tulen untuk mengubati luka serta lecur terbakar.

Semburan berkenaan mengandungi ekstrak haruan yang boleh meningkatkan proses penyembuhan.

Tujuannya adalah untuk menghasilkan semburan aerosol sebagai bahan aktif yang boleh menghasilkan filem sintetik bagi rawatan luka dan melecur.

"Masalahnya filem penjagaan luka biasanya terdapat dalam saiz yang tertentu dan dibungkus secara berasingan," katanya.

Malah ia juga tidak boleh menutupi saiz luka yang pelbagai selain ia juga mudah dijangkiti apabila dikeluarkan daripada bungkusan.

Penyelesaiannya beliau adalah polimer biocompatible dalam produk sedia ada dengan pekatan aerosol dan boleh menghasilkan satu lapisan filem apabila disemburkan pada kawasan yang cedera dan boleh menutupi apa saja saiz luka.

"Apa yang menarik produk aerosol akan terus berada dalam keadaan steril kerana tiada bahan asing boleh memasuki bekas berkenaan," katanya.

Kajian menunjukkan luka dan lecur boleh diubati lebih cepat menggunakan semburan ekstrak haruan.

Malah semburan filem nipis ekstrak haruan telah diuji pada pesakit yang mengalami luka yang sukar sembuh akibat diabetes.

"Produk ini sedang dalam proses untuk dikomersialkan dan bakal berada di pasaran tidak lama lagi," katanya.


sumber: Utusan Malaysia Online

Ahad, Januari 09, 2011

Bonia jenama popular barangan kulit


KUMPULAN Bonia adalah sebuah syarikat yang mengeluarkan pelbagai rangkaian fesyen berjenama seperti tas tangan dan kasut. Di Malaysia, Bonia adalah salah satu daripada syarikat pengeluaran barangan fesyen yang mempunyai lebih daripada 700 cawangan jualan dan 70 butik di seluruh Asia.

Bonia terkenal sebagai salah satu pengeluar barangan kulit dant urut terlibat dalam aktiviti pemasaran.

Bonia ditubuhkan pada tahun 1974 oleh SS Chiang iaitu seorang pengerusi eksekutif kumpulan yang bertanggungjawab memulakan perniagaan melibatkan proses rekaan, pengeluaran dan pengedaran barangan berasaskan kulit di Singapura.

Menjelang tahun 1990, syarikat mula mengembangkan perniagaan dengan menerokai pasaran Indonesia, Hong Kong, Brunei dan Taiwan.

Bonia aktif dalam menyertai pameran perdagangan kulit antarabangsa di Itali, Jerman, Timur Tengah, Hong Kong dan Singapura.

Pada tahun 1994, Bonia berjaya disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia.

Pada tahun 2009, Bonia berjaya mengembangkan jenama ke Syria.

sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Bonia_(fashion)

Khamis, Januari 06, 2011

JVC jenama besar industri elektronik


VICTOR Company of Japan limited atau lebih dikenali sebagai JVC, merupakan sebuah perbadanan elektronik pengguna dan profesional antarabangsa yang berpusat di Yokohama, Jepun.

Syarikat ini paling dikenali kerana memperkenalkan televisyen Jepun yang pertama dan membangunkan perakam video VHS.

JVC diasaskan pada 1927 dengan nama The Victor Talking Machine Company of Japan, Limited sebagai anak syarikat kepada Victor Talking Company, sebuah syarikat pengeluar peti nyanyi dan piring hitam yang terutama di Amerika Syarikat. Pada 1929, sebahagian besar pemilikannya dipindahkan kepada RCA-Victor.

JVC mengeluarkan peti nyanyi dan piring hitam sepanjang dekad 1930-an tetapi pada 1932, ia turut mula mengeluarkan radio dan kemudiannya, televisyen yang pertama di Jepun pada 1939.

Selasa, Januari 04, 2011

Cameron Highlands syurga pertanian


Dr. Wan Abdullah Wan Yusoff bersama kakitangan Mardi membantu seorang pengunjung (kanan) yang tertarik dengan tanaman epal di TATM Cameron Highlands.


MEREKA yang berminat dalam sektor pertanian pastinya akan teruja dengan teknologi baru yang menjadikan sektor tersebut menarik dan berdaya maju.

Di negara ini, pertanian seakan bangkit semula daripada bidang yang dikebelakangkan, kepada satu industri yang mula menjana minat yang luar biasa di kalangan rakyat.

Syaratnya, bidang pertanian perlu ditransformasikan menggunakan suntikan teknologi moden supaya lebih berdaya maju dan menjana keuntungan.

Berbicara mengenai teknologi pertanian, mahu tidak mahu kita tidak dapat menafikan peranan agensi yang paling kehadapan dalam bidang tersebut iaitu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

MARDI sejak ditubuhkan 40 tahun yang lalu memartabatkan industri pertanian tempatan menerusi usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan pelbagai inovasi.

Pada masa sama, MARDI turut menubuhkan taman-taman pertanian yang menghimpunkan teknologi-teknologi pertanian yang dibangunkan untuk tatapan orang ramai bagi mengetahui sendiri produk institusi terbabit.

Antara simbol kejayaan MARDI dalam R&D pertanian ialah memajukan kawasan pertanian yang terkenal di Cameron Highlands.

Cameron Highlands menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana sebahagian besar keindahan alam tanah tingginya masih terpelihara.

Ladang-ladang teh yang menghijau, kebun-kebun sayur yang belbagai, taman-taman bunga yang penuh warna, dan kebun buahan yang belbagai di samping taman rama-rama dan pemeliharaan lebah menggamit kedatangan pelancong hampir sejuta orang saban tahun.

Dengan ketinggian antara 1,000 meter dan 1,829 meter dari aras laut, dan suhu antara 12 dan 15 darjah Celsius pada waktu malam dan antara 22 dan 25 darjah Celsius pada waktu siang menjadikan peranginan ini tanah tinggi itu sentiasa menjadi tumpuan pelawat yang ingin merasai suasana nyaman suhu tanah tinggi berbanding dengan suhu di tanah rendah.

Salah satu kawasan yang cukup dikenali di Cameron Highlands ialah Tanah Rata yang mana MARDI telah membangunkan sebidang tanah di sini sebagai Taman Agro-Teknologi MARDI (TATM) yang dirasmikan pada 2003.

TATM menjadi tumpuan kerana kepelbagaian tanaman dan aktiviti pertanian yang pastinya menggamit pelancong.

TATM yang terletak di Tanah Rata ini bagaikan satu kawasan pertanian semula jadi meskipun ia adalah kawasan penyelidikan dan pembangunan pertanian yang dijalankan oleh MARDI.

TATM pada asalnya merupakan Stesen Penyelidikan Persekutuan yang mula dibina penjajah British pada 1925.

Bagaimanapun, selepas merdeka, ia diletakkan di bawah Jabatan Pertanian sebelum diserahkan kepada MARDI pada 1971.

Cuaca sejuk dan persekitaran menghijau di sini menjadikannya unik dan sentiasa menjadi tumpuan.

Di mana lagi anda melihat kehijauan melata dan ‘digabung jalin’ dengan warna warni bunga berkembang pagi dan kicauan burung.

Di kawasan seluas 43 hektar ini, ia dipenuhi pelbagai tanaman spesies temperate yang jarang ditemui di tempat lain di negara ini.

Komponen utama TATM ialah taman Inggeris, taman herba, taman ros, bunga keratan, ladang contoh strawberi, taman pelbagai bunga, taman dapur, petak-petak penyelidikan, pusat maklumat teknologi, ladang dan kilang teh dan makmal ‘test- bed’.

Di taman ini juga terdapat koleksi berbagai buahan temperat seperti anggur, epal, pir, oren, lokuat, laici, macademia, persimmon (pisang kak), jaboticaba (ceri), blackberi, markisa dan tamarillo (tomato).

Antara teknologi pertanian yang terdapat di TATM ialah pelbagai kaedah sistem fertigasi seperti teknik nutrien cetek (nutrient film technique) dan sistem ebb and flow.

Terdapat juga berbagai kaedah tanaman tanpa tanah seperti penggunaan cocopeat’ dan perlite sebagai media tanaman.

Pelbagai jenis struktur pelindung hujan, kaedah-kaedah pengawalan perosak dan penyakit tanaman, dan petak sains tanah.

Seperti yang dinyatakan oleh Pengurus Stesen MARDI Cameron Highlands Dr. Wan Abdullah Wan Yusoff, banyak tarikan yang boleh membawa pelancong ke pusat peranginan tersebut, terutama mereka yang berminat dengan pertanian.

Stesen tersebut kata, beliau berfungsi sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dan inovasi teknologi pertanian tanah tinggi yang mana aktiviti penyelidikan dan pembangunan pertanian dalam bidang sumber strategik, hortikultur, mekanisasi dan promosi teknologi dijalankan.

‘‘Pengunjung didedahkan dengan aktiviti penyelidikan dan kaedah pembangunan teknologi pertanian,’’ ujarnya dalam satu taklimat dengan MEGA di pejabatnya di pusat peranginan itu baru-baru ini.

Selain tanaman, TATM ini juga mempunyai pusat jualan yang menawarkan produk berasaskan pertanian, sayur-sayuran dan buah -buahan segar untuk dibeli.

Ini sejajar dengan pembangunan Cameron Highlands sebagai sebuah kawasan pertanian terkenal di Malaysia.

Cameron Highlands merupakan daerah terkecil di Pahang, ia cuma meliputi dua peratus dari keluasan negeri Pahang.

Di samping teh, sayuran dan bunga-bungaan, industri strawberi juga telah begitu sinonim dengan daerah ini.

Industri strawberi di daerah ini telah disokong oleh kerajaan dengan konsep ‘satu daerah, satu industri’ (SDSI).

Menurut Dr Wan Abdullah, terdapat kira-kira 6,000 hektar daerah tersebut telah diusahakan dengan kawasan pertanian.

Sementara itu, menurut Dr Wan Abdullah, MARDI juga mempunyai 300 ekar (120 hektar) tanah di Lembah Bertam, Cameron Highlands. Namun disebabkan kebanyakan tanah di situ mempunyai kecerunan melebihi 25 darjah, cuma sebahagian kecil sahaja kawasan diusahakan untuk aktiviti pertanian.

sumber : Utusan Malaysia Online

Sabtu, Januari 01, 2011

Apa itu sukses?

Apa khabar? Harap anda sentiasa sihat dan tak lupa juga mudah-mudahan tahap kesihatan kewangan anda bertambah sihat dan itulah harapan kami kepada semua pengunjung Usahawan Bistari juga.

Tentang 'success' atau kejayaan, apa itu kejayaan dalam definisi yang sebenarnya. Biasanya kita dikatakan berjaya atau menganggap diri kita berjaya apabila kita mencapai sesuatu yang kita kehendaki. Dan kegagalan pula biasanya dikatakan apabila kita tak mencapai apa yang kita kehendaki atau 'target' kita.

Para pembaca sekalian, itu definisi lama dan sebenarnya bukan definisi yang memotivasikan. Definisi yang sebenar ialah;

KEJAYAAN = JOURNEY, apabila kita bermula melakukan sesuatu = SUCCESS!

KEGAGALAN = apabila kita tak mulakan sesuatu = FAILURE!

Contohnya, anda nak ubah keadaan kewangan diri dan keluarga, anda merancang tapi tak bermula untuk melakukannya, hanya dalam perancangan = ANDA GAGAL!

Tapi jika anda merancang dan memulakan langkah pertama, pada saat itu.. = Anda BERJAYA!

Tak kiralah sama ada di akhirnya anda berjaya ubah atau tidak, tapi anda sudah berjaya kerana kejayaan adalan satu PERJALANAN, dan sepanjang perjalanan itu anda dapat belajar banyak benda dan itulah kejayaan yang sebenar.

Dari semua itu langkah anda akan lebih sempurna pada masa akan datang!

Banyak kisah kejayaan tokoh-tokoh hartawan dunia contohnya, kebanyakan mereka bermula dengan kegagalan. Saya tak nak huraikan di sini tapi anda sendiri tahu kisah Bill Gates, Roman Abramovich, Amancio Ortega. Tak ramai yang kaya sebab mewarisi seperti Lakshmi Mittal dan Mukesh Ambani. Sebab itu terbitnya satu kata hikmat yang amat bermakna;

"Road to SUCCESS is paved by FAILURE"

Tepuk dada tanya selera! Rancang dan bertindaklah, dengan bertindak, anda sudah berada dalam landasan KEJAYAAN!

Hadiah yang bermakna untuk ibu bapa anda

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.. . Hadiah yg amat bermakna untuk ibu bapa anda!!! 🎁 🎁 . GREAT EASTERN TAKAFUL telah melancarkan...