Wednesday, October 24, 2012

Itik penelur


Ketua keluarga berkenaan, Mohd. Nor Mat Salleh, 56, bersama isterinya, Che Najah Muhd. Daud dan dua anak perempuan mereka Nor Azira dan Nor Hidayah ketika itu sedang sibuk memungut telur itik di kawasan penternakan tersebut - kerja rutin mereka sejak dua tahun lepas.

Mohd. Nor ketika disapa mengakui taraf hidup keluarganya berubah sejak mendapat bantuan daripada MARDI dengan mengusahakan ternakan itik tersebut menerusi Projek KPI Menteri Itik Penelur.

''Sebelum ini saya melakukan pelbagai kerja untuk menyara hidup termasuk sebagai pekerja am Jabatan Pertanian dan juga kontrak membina rumah dengan gaji RM40 sehari sehinggalah MARDI membantu saya pada 2009," ujarnya yang disenaraikan dalam penerima bantuan e-Kasih.

Bapa kepada sembilan orang anak itu bagaimanapun tidak pernah berputus asas dan menyesali takdir hidup sebaliknya berusaha mengubah nasib keluarga sehingga 'dijodohkan' dengan MARDI.

KEceriaan jelas terpancar di wajah Mohd. Nor Mat Salleh memandangkan projek itik penelur yang diusahakannya di Pasir Mas, Kelantan semakin menampakkan kejayaan.

Pada mulanya, dia ditanya oleh pegawai MARDI apakah projek yang mampu dilakukannnya. Secara kebetulan pengalamannya memelihara kira-kira 10 ekor itik sebelum ini boleh dijadikan sebab mengapa Mohd. Nor memilih untuk menternak itik penelur.

Pada 2009, dia diberi 220 ekor anak itik penelur dan dengan semangat serta pengalaman yang ada , Mohd. Noor mengambil anak itik berkenaan yang berusia dua bulan pulang ke rumah.

Satu kawasan lapang berpagar telah dipilih dan sesuai untuk penternakan itik itu dibersihkan - itu kawasan yang menempatkan projek sulung keluarga berkenaan.

MOhd. Nor Mat Salleh tekun memilih telur yang sedia untuk dipasarkan.

Dua jenis baka telah dipilih termasuk baka daripada negara jiran untuk tujuan tersebut. Apabila projek digerakkan, Mohd. Nor melihat ada sinar kejayaan yang bakal dikecapi.

Itik-itik berkenaan mula bertelur setelah berusia empat bulan.

''Saya kena jaga betul betul itik ini kerana ia sensitif dan tidak boleh tertekan.

''Kalau itik mengalami tekanan, haiwan ini mungkin bertelur ketika umur lapan bulan," ujar Mohd. Nor.
Sebagai contoh katanya, dentuman petir yang terlalu kuat baru-baru ini telah mengejutkan ternakannya yang dibimbangi menjejaskan pengeluaran telur.

Che Najah membantu suaminya menyusun telur yang hendak dihantar kepada pelanggan.

Dia memberi sagu sebagai makanan kepada itik terbabit selain batang pisang yang diracik manakala produk GenKimo yang dihasilkan oleh penyelidik MARDI beberapa tahun lepas turut digaulkan dalam bahan itu. Penggunaan GenKimo sangat sesuai untuk ternakan ayam dan itik bagi menghilangkan bau najis.

Itik juga diberi makan kulit telur bertujuan menjadikan tekstur telur yang lebih keras.
Mengenai pengeluaran telur itik, Mohd. Nor berkata, dia mengutip telur setiap hari untuk dibuat telur masin.

Untuk penghasilan telur masin, telur-telur itik itu dikutip dan dibersihkan serta dijemur sehari suntuk.
Selepas itu, telur berkenaan dicampurkan dan direndam dalam air garam selama 12 hari.

Turut dicampurkan ialah sedikit halia yang ditumbuk bersama daun pandan bertujuan menghilangkan bau hanyir.

Sejenis alat khas yang dipanggil brionometer digunakan bagi menyukat tahap kemasinan yang mana bacaan 20 perlu dikekalkan pada larutan berkenaan selama 12 hari tempoh rendaman tersebut.

Nur Hidayah menunjukkan telur masin yang diusahakan keluarganya.

Mengenai aspek pemasaran, kira-kira 60 peratus telur masin itu dijual secara segar di pasar dan menerusi tempahan daripada penduduk sekitar.

Mohd. Nor menjual telur masin berkenaan pada harga 60 sen sebiji, yang nyata amat menguntungkan berbanding kos makanan 10 sen sehari bagi seekor itik.

Usaha tersebut kini sudah mula menampakkan hasil dan berjaya mengubah nasib keluarganya. Kini mereka memiliki pendapatan lebih baik berbanding sebelum ini.

Hasil projek tersebut ,dia mampu menambah baik rumah mereka dan membeli sebuah motosikal pada 2010 bagi memudahkan urusan memasarkan telur berkenaan.
- LAUPA JUNUS


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20121015/ag_01/Itik-penelur#ixzz2AEw6LAcU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, October 08, 2012

Makanan Segera

Mohd. Helmi boleh berbangga dengan penghasilan pelbagai produk sejuk beku keluaran syarikat FaSFoods milik keluarganya. 
 
PADA mulanya saya hanya memberi rakan-rakan di jabatan mencuba sos spaghetti yang dicipta sendiri dan membawanya ke pejabat.

“Tidak sangka mereka memberi maklum balas yang positif terhadap masakan tersebut dan sekali gus mengesyorkan supaya saya mengkomersialkan kepada seluruh kakitangan di MARDI.

“Apabila memikirkan sambutan dan permintaan yang tinggi daripada mereka, secara tidak langsung membuka mata saya untuk cuba lakukan secara sejuk beku dan jual apabila ada permintaan sahaja," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bermula daripada jualan secara kecil-kecilan kepada kakitangan MARDI, Mohd. Shaari Nordin, 63, melihat resipinya itu boleh diperkenalkan kepada orang ramai menerusi promosi kepada pasaran yang lebih luas.

Yakin bahawa ganjaran yang bakal diperoleh berlipat kali ganda, bapa kepada empat orang anak itu tekad menggunakan kemahiran yang ada untuk memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan.

Selepas mendapat sokongan keluarga, dia kemudiannya mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM20,000 untuk membeli peralatan asas bagi menyediakan sos spaghetti dan juga sosej.

“Hasil perbincangan bersama ahli keluarga, mereka mencadangkan supaya kami memulakan perniagaan sejuk beku berkonsepkan home made yang diproses di rumah sahaja.

“Apabila perniagaan kami mendapat sambutan dari orang ramai, anak-anak menggalakkan supaya membuka premis perniagaan sendiri supaya aktiviti kami lebih mudah dan cepat," katanya.

Mula beroperasi pada 16 November 2010, perniagaan yang diberi nama FaS Delicious Foods Enterprise (FaSFoods) turut menjalankan aktiviti perniagaan merangkumi pemprosesan dan pembekalan makanan berasaskan daging.

Di samping itu, ia juga mengedar mesin makanan, menyediakan kursus teknologi pemprosesan daging serta menyediakan khidmat nasihat.

Kepakarannya dalam bidang teknologi daging selama 30 tahun yang diperoleh ketika berkhidmat bersama MARDI digunakan sebaik mungkin oleh Mohd. Shaari untuk menjalankan serta memperluaskan empayar perniagaan sejuk beku tersebut.

Menceritakan pengalaman ketika memulakan perniagaan ini, katanya tidak pernah terlintas di fikiran bahawa sos tersebut mendapat sambutan dan galakkan daripada rakan-rakan untuk dikomersialkan.

Hasil dari galakan tersebut, dia mula mengambil tempahan daripada rakan sepejabat dan pada permulaan menjualnya pada setiap hari Jumaat sahaja.
Apabila mendapat galakan daripada rakan-rakan serta anak-anak, saya mula rasa teruja untuk meneruskan jualan secara kecil-kecilan ini.

“Tidak sangka mereka semua berminat dengan sos ciptaan saya kerana rasa yang mengekalkan konsep kemelayuan," ujarnya mesra.

Katanya lagi, sos spaghetti yang dimasak itu menggunakan resipi sendiri dengan mencampurkan bahan-bahan asas dalam masakan tradisional Melayu.

Dia yang dibantu oleh anak lelakinya, Mohd. Helmi dalam menguruskan perniagaan tersebut turut menyediakan perkhidmatan kursus teknologi pemprosesan hasilan daging yang dijalankan di premis perniagaan mereka yang terletak di Seri Kembangan, Selangor.

Potensi yang besar dalam industri sejuk beku itu pula telah mendorong Mohd. Helmi, 28, memperluas perniagaan keluarga ke tahap yang lebih kompetitif.
“Langkah memperkenalkan jenama FaSFoods ini seiring dengan penambahbaikan label pembungkusan di samping mempertingkatkan pemasaran di sekitar Serdang, Selangor.

“Kami mendapat reaksi yang positif daripada penduduk sekitar yang mengakui produk keluaran syarikat ini berkualiti " ujarnya yang kini menyandang jawatan sebagai Pengarah Urusan di FaS Delicious Foods.

Menceritakan dengan lebih lanjut, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari sebuah universiti tempatan itu menjelaskan, FaSFoods turut mendapat bimbingan dan galakan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor serta Jabatan Pertanian. 

Katanya, JPV menyediakan tiga buah mesin utama untuk memproses burger, sosej dan bebola daging yang mana sekali gus mempergiatkan lagi pengeluaran produk bagi syarikatnya.

Jabatan Pertanian pula menaja mesin kisar daging, pengisar buah dan mesin pembungkusan bagi menyempurnakan aktiviti pemprosesan produk sejuk beku FaSFoods. -Utusan Malaysia