Rabu, November 28, 2012

Kembangkan industri sarang burung walet




INDUSTRI sarang burung walet (SBW) kini mengalami peningkatan mendadak apabila bilangan pengusaha bertambah dari semasa ke semasa. 

Jika dahulu perusahaan produk SBW tidak begitu dikenali, kini makanan berkhasiat yang popular sejak zaman berzaman lamanya itu menjadi tumpuan negara.

SBW asalnya hanya terkenal di kalangan kaum Cina dan di negara ini penuaiannya dilakukan di gua-gua sahaja.

Antara kawasan gua yang terkenal dan terlibat dengan pengeluaran SBW pada peringkat awal ialah Gua Niah di Sarawak iaitu bermula pada tahun 1978.

Berikutan perkembangan tersebut, pelbagai usaha sedang dilakukan oleh kerajaan dan pihak-pihak tertentu untuk menarik minat lebih ramai golongan usahawan menceburinya.

Menurut Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu (Perdasama) Muda Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan, sebanyak 4,286 usahawan terlibat dalam industri pengeluaran SBW.

"Daripada jumlah tersebut dianggarkan hampir 20 peratus terdiri daripada pengusaha bumiputera.

"Namun penglibatan bumiputera dalam industri SBW ini masih sedikit jika dibandingkan dengan potensi produk SBW yang cerah," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu majlis taklimat Peluang Niaga Dalam Industri Sarang Burung Walet yang dianjurkan bersama Perdasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), baru-baru ini.

Menerusi forum tersebut, pelbagai isu dibincangkan antaranya peluang perniagaan, proses pinjaman untuk memulakan perusahaan SBW, serta pengenalan terhadap burung walet itu sendiri.

Apa itu SBW yang sebenarnya? 

Apakah yang dikatakan dengan burung walet dan adakah ia berbeza dengan spesies burung layang-layang?

Walet seringkali disalah ertikan sebagai burung layang-layang tetapi hakikat sebenarnya ia adalah dua spesies yang berbeza.

Burung walet berasal daripada famili Apodidae dan memiliki tabiat tidak suka bertenggek. Sarangnya boleh dimakan dan terdapat tujuh spesies semuanya.

Burung layang-layang berasal daripada famili Hirudininae, gemar bertenggek, sarangnya tidak boleh dimakan kerana ia diperbuat daripada rumput dan batu dan terdapat 74 spesies. 

Terdapat hanya dua spesies burung walet yang sarangnya boleh dimakan iaitu Aerodramus fuciphagus (edible nest-swiflet) dan Aerodramus maximus (black nest-swiflet).

Kedua-dua spesies tersebut banyak ditemui di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia.

burung walet biasanya akan berada pada ketinggian 1,500 kaki dari paras laut dan kehidupan asalnya adalah di dalam gua-gua yang mempunyai kelembapan antara 80 hingga 90 peratus.

Untuk bersarang, burung walet juga memerlukan suhu sekitar 26 hingga 31 darjah Selsius dan ia kebiasaannya hidup berpasang-pasangan.

Anak burung walet yang baru menetas akan buta selama 20 hari. Apabila berusia tujuh hingga sembilan hari ia akan mula makan bolus serangga dan mula minum pada usia 10 hari.

Anak burung akan diasuh oleh ibu burung selama lima minggu di dalam sarang (peringkat tersebut dipanggil sebagai nestling) sebelum meninggalkan sarang pada usia tiga bulan (peringkat tersebut dipanggil fledgling).

Pemakanan burung walet adalah serangga dan segala aktiviti dilakukan semasa terbang kerana spesies ini tidak dapat bertenggek.

Aktiviti tersebut termasuklah aktiviti makan, minum, dan mengawan semuanya dilakukan di udara dan ia hanya akan pulang ke sarang pada waktu senja untuk berehat dan bertelur.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, kehadiran burung walet di satu-satu lokasi itu boleh dikenal pasti melalui ujian bunyian.

Jelasnya, ujian panggilan burung walet adalah satu bentuk ujian yang boleh menentukur kesesuaian sesuatu lokasi sebelum sesebuah rumah burung walet didirikan.

"JPV berperanan untuk memberikan khidmat nasihat berserta kepakaran termasuk perkhidmatan ujian bunyi panggilan burung walet kepada bakal pengusaha.

"Apabila lokasi yang tepat telah dikenal pasti, pembinaan premis boleh dilaksanakan bergantung kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh JPV," katanya.

Ujian bunyi panggilan burung walet memerlukan lokasi yang strategik dan sesuai iaitu tempat yang dikenal pasti mempunyai kehadiran burung walet.
Lokasi yang mempunyai banyak sumber makanan burung walet merupakan antara kawasan yang sesuai untuk didirikan premis untuk kediaman burung walet. 

Dalam pada itu, Dr. Abdul Aziz menambah kini pengusaha SBW mampu menghasilkan sehingga 30 kilogram (kg) SBW yang mana harga bagi satu kilogram produk tersebut mencecah RM4,000 hingga RM6,000.

Katanya, permintaan terbesar bagi pasaran SBW kini tentulah negara China yang mempercayai khasiat SBW sejak ratusan tahun dahulu.

"Purata permintaan bagi seluruh dunia untuk produk SBW adalah 12,000 tan metrik setahun, namun jika dicampur pengeluaran dari semua negara-negara sekitar Asia Tenggara, kita hanya mampu menghasilkan sehingga 500 tan metrik sahaja.

"Oleh itu, peluang dalam industri SBW ini masih terbuka luas dan permintaan terhadapnya masih tinggi terutamanya dari negara China," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia di bawah MOA telah berjaya menyelesaikan isu yang berbangkit berkenaan produk SBW dengan negara China.

"Kedua-dua negara telah bersetuju dengan segala syarat dan protokol yang telah dikenakan dan kerajaan menerusi MOA akan menandatangani protokol yang mana China akan membuka semula pintu untuk menerima SBW dari Malaysia," katanya.

Isnin, November 26, 2012

Cara start bisnes dari zero

.

Sy dapat PM dari hamba allah yang ada masalah, dan tanya camna nak start bisnes dari zero.

Ini jawapan ringkas saya.

Nak dikongsi pada yang lain - semoga membantu.

Ia bukan jawapan mutlak. Ia jawapan yang "jadi" bagi saya, dan mungkin segelintir orang lain. Tiada betul, dan tiada salah. Cuma kongsi pengalaman.

--------

salam. tq kerana sudi kongsi cerita.

macam ni..
saya pun tak pasti tahap kewangan brader camna...
tapi yang sy khuatir, kalau brader tiada modal utk DVD..bagaimana pula modal untuk beli stok produk, pemasaran, dan lain-lain?

Jadi sy anggap je brader memang kekurangan modal sangat2. Kalau saya silap, mohon maaf.

1st, brader kena fokus nak buat apa. Dalam 1 PM ringkas ni, sy dah dengar golf, avon, cosway, kerongsang. Membuatkan saya rasa brader ni belum pasti nak buat apa.

1st step - decide. Buat keputusan nak buat apa. Yang sy syorkan apa2 produk atau service dalam industri berikut:



1) Kecantikan atau kesihatan - termasuk kosmetik, vitamin, ubat-ubatan

2) Kewangan - unit trust, takaful, investment, peluang perniagaan, dll.

3) Kekeluargaan - pelancongan, produk intim suami isteri, mainan kanak-kanak, fesyen

4) Kerohanian - buku motivasi, dvd/vcd agama, dll.

Kalau brader ada nampak orang maju buat satu produk...nasihat saya...ikut dan jual lah apa yang dia jual. Sebab nak jual benda yang dah terbukti laris..jauh lagi senang dari nak ambil produk baru, dan cuba "create market baru" dan "lariskan dari zero".

2nd step - Letak goal yang realisitik berapa tuan perlu. Kalau perlu sara hidup RM3000 sebulan - tetapkan ini income yang brader perlu. Tulis besar2 tampal depan cermin. Simpan dalam wallet. Tiap2 hari tengok matlamat ni.

3rd step - Buat satu pelan jelas, apa aktiviti yang brader kena buat tiap2 hari utk capai.

Contoh..kalau tuan decide nak jual vitamin. Untung sebotol adalah RM20. Bermaksud tuan kena jual 150 botol vitamin sebulan utk capai matlamat RM3000. 150 botol bersamaan dengan 5 botol sehari.

Bermaksud, brader kena jual 5 botol sehari. Pastikan aktiviti harian tuan hanya FOKUS pada bagaimana nak jual 5 botol sehari.



JIka tak tau, maka kena belajar dari orang yang pernah buat. Pergi cari guru yang boleh ajar percuma. Tanya saja kenalan yang ada buat bisnes dan tanya bagaimana dia buat. bagaimana dia pasarkan.

4th step - amal apa yang diajar oleh guru tersebut. pastikan dia orang yang betul berjaya. kalau ya, ikut saja apa yang diajar tanpa terlalu banyak fikir itu ini. Jangan fikir "kalau gagal macamana?". "kalau orang tak beli macamana?"? Jangan fikir. ikut je.

Itu saja. Sy rasa dengan 4 step ni, kalau brader ikut - insyaAllah boleh dapat apa yang brader nak tu.

4:12pm
Faisal Abdullah

Guru bermaksud saya - orang yang jual vitamin jugak.

kalau tuan nak jual kerongsang - tuan kena berguru dengan orang yang pernah berjaya kerongsang jugak. faham ya? ini saja shortcut utk berjaya

salah satu bisnes tanpa modal adalah dropshipping. sila google utk maklumat lanjut
-
Faisal Abdullah

Ahad, November 25, 2012

Bagaimana meraih dana untuk membiayai perniagaan?


PENULIS merupakan Ketua Perbankan Perniagaan & Pembangunan Bumiputera, OCBC Al-Amin Bank Berhad

.
SEBELUM ini, ruangan ini telah menerangkan kepetingan seseorang usahawan untuk menyediakan kertas cadangan yang mantap bagi mendapatkan pembiayaan daripada bank.

Minggu ini, mari kita lihat apakah faktor penting yang dinilai oleh bank dalam kertas cadangan yang dikemukakan untuk pembiayaan perniagaan.

Pertama sekali, usahawan perlu:-

* "Memperkenalkan diri" kepada bank dengan menyediakan profil ringkas tentang jenis perniagaan usahawan, termasuk memberikan keterangan tentang produk, perkhidmatan dan teknologi yang akan digunakan dan juga sejarah ringkas perusahaan tersebut.

* Penerangan mengapa anda memerlukan pembiayaan, dan pada masa yang sama membolehkan bank mendapatkan maklumat lanjut tentang jenis perniagaan yang diusahakan oleh usahawan terbabit.

Ia adalah sebahagian daripada proses bank untuk membuat keputusan sama ada untuk memberikan pembiayaan atau tidak.

* Selain daripada jenis perniagaan, pengalaman dan kelayakan pengarah dan juga rakan kongsi, pemilik dan kakitangan pengurusan kanan juga adalah maklumat penting lain yang perlu dimaklumkan di peringkat awal kepada bank.

Ia kerana bank sudah tentu ingin tahu jika pasukan pengurusan kanan syarikat layak mendapat pembiayaan dan menentukan sama ada mereka adalah individu yang boleh dipercayai. Maka, langkah pertama yang boleh diambil ialah menyediakan carta organisasi untuk tatapan bank.

Selain daripada jenis perniagaan dan maklumat mengenai kakitangan pengurusan kanan, satu lagi unsur penting yang perlu dimasukkan dalam kertas cadangan kepada bank ialah sebab syarikat memerlukan pembiayaan.

Tujuan permohonan perlu dinyatakan, di samping bagaimana pembiayaan yang diperoleh akan digunakan dan kemudahan perbankan khusus yang diperlukan daripada bank. Pemohon juga perlu menyatakan jumlah pembiayaan yang diperlukan daripada bank.

Para usahawan perlu sedar bahawa kertas cadangan untuk memohon pembiayaan tidak patut dilihat sebagai cadangan biasa sahaja.

Mereka perlu memanfaatkan teknik terbaik dalam penyediaan kertas cadangan untuk meyakinkan bank. Satu petua penting ialah mengemukakan rancangan perniagaan yang tersusun rapi dengan memuatkan semua maklumat yang dikehendaki oleh bank.

Rancangan perniagaan menjadi panduan bagi usahawan dalam membina sesebuah perniagaan. Rancangan ini menerangkan tentang matlamat perniagaan, mengapa matlamat tersebut berdaya maju dan cara matlamat tersebut boleh dicapai pada dalam jangka masa tertentu.

Salah satu daripada komponen penting rancangan perniagaan ialah rancangan pemasaran, yang menerangkan strategi yang digunakan untuk mengiklankan dan mempromosi produk dan perkhidmatan syarikat. Rancangan ini diperlukan apabila bank menilai perniagaan pemohon.

Rancangan perniagaan menggariskan jenis organisasi dan tahap profesionalisme yang diperlukan untuk menguruskan perniagaan.

Selain itu, rancangan perniagaan juga akan membolehkan bank mendapatkan maklumat penting yang diperlukan mengenai perniagaan, antara lain, untuk membuat penilaian kredit yang objektif, termasuk kewibawaan anggota pengurusan kanan.

Justeru, rancangan perniagaan penting bagi bank untuk mendapatkan maklumat yang boleh didapati secara langsung daripada sumber utama dan bukan daripada sumber lain.
Selain itu, terdapat beberapa dokumen penting yang perlu dikemukakan sebagai dokumen formal.

Ini termasuk akaun telah diaudit atau akaun disahkan yang memaparkan prestasi kewangan; butiran akaun pengurusan yang terkini, jika perlu; sasaran dan pertumbuhan perniagaan yang boleh dicapai, berserta beberapa andaian yang ringkas tetapi padat. Maklumat ini menggambarkan kedudukan kewangan perniagaan.

Bank memerlukan unjuran kewangan perniagaan untuk menilai keupayaan perniagaan membayar balik pembiayaan yang diberikan oleh bank.

Sebuah perniagaan yang diuruskan dengan baik seharusnya mempunyai unjuran aliran tunai wajar yang dilakukan secara bulanan.

Ini bertujuan memastikan hasil kutipan diterima tepat pada masanya, belanja kewangan tetap mampu dijelaskan dan komitmen overhead dibayar secara berkala. Bank menggunakan maklumat ini untuk menentukan sama ada perniagaan ini sedang mengalami masalah aliran tunai.

Apabila menyediakan rancangan perniagaan, usahawan perlu menyampaikannya dengan padat dan ringkas, tanpa memberikan butiran yang tidak perlu dan berlebihan.

Pemohon perlu membuat persiapan awal dan mengkaji semula cadangan perniagaan sebelum mengemukakan kepada bank.

Pengurus hubungan bank, yang bertanggungjawab memproses permohonan pembiayaan akan membuat temu janji untuk berjumpa dengan usahawan untuk tujuan ini.

Bank juga mempunyai kepentingan untuk memastikan kejayaan setiap pelanggannya dan akan memainkan peranan untuk memberikan sokongan padu kepada usahawan tersebut.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121124/ek_02/Bagaimana-meraih-dana-untuk-membiayai-perniagaan#ixzz2DD1rL4na
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Khamis, November 22, 2012

Jual emas untuk teruskan hidup


SEORANG lelaki tempatan berjalan melewati sebuah kedai emas di Damsyik.


DI SEBUAH kedai barang kemas Damsyik, seorang pelanggan ternganga mulut apabila mendengar harga yang ditawar untuk sebentuk cincin emas miliknya hanya bernilai AS$100 (RM306).
"Tidak boleh dapatkan harga yang lebih baik?" dia bertanya dengan malu-malu sebelum menerima perjanjian itu.
Hampir 20 bulan konflik berterusan, ramai penduduk Syria kini terpaksa berhempas-pulas mencari sumber kewangan. Ramai yang terpaksa menjual barang-kemas yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.
Bagi mereka yang hilang mata pencarian akibat daripada penutupan atau pemusnahan tempat kerja, menjual emas ialah keputusan yang terpaksa dibuat dan satu-satunya pilihan yang ada demi mengisi perut ahli keluarga yang lain.
Bagi golongan kaya, logam berharga itu merupakan benteng pertahanan terhadap kejatuhan pound Syria.
Dibuang kerja
Menurut anggota Dewan Perdagangan Damsyik, Sonia Khanji, 30 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana di negara itu kini ditutup dan kira-kira satu perempat daripada tenaga kerja telah dibuang kerja.
Transaksi penjualan emas terus berlaku di Hariqa yang terletak di tengah-tengah ibu kota. Seorang wanita muda sedang tawar menawar untuk harga sebentuk cincin besar yang diwarisi daripada neneknya.
"Saya akan beli cincin itu dengan harga 55,000 pound Syria (RM2,387) setelah anda membuat keputusan muktamad untuk menjualnya," kata seorang bakal pembeli.
Wanita itu terus berlalu pergi kerana yakin tawaran yang diberikan itu terlalu rendah.
"Dia akan kembali. Dia kelihatan seperti memerlukan wang tunai," kata lelaki itu yakin.
Masyarakat Syria mula sedar inflasi yang berlaku mengurangkan kuasa beli mereka sebanyak satu pertiga sejak pemberontakan menentang rejim Presiden Bashar al-Assad tercetus pada Mac 2011.

GOLONGAN atasan dan pertengahan Syria yakin bahawa pelaburan emas menjamin masa depan mereka.


Masa yang diperlukan untuk menstabilkan mata wang dan harga barangan dalam negara itu terlalu lama.
Damsyik menyalahkan masalah ekonomi negara berlaku gara-gara sekatan yang dikenakan oleh Eropah dan Amerika Syarikat.
Menurut seorang tukang emas, Bassil Mdari, disebabkan peristiwa berdarah yang terjadi, mata wang Syria hilang separuh nilainya berbanding dolar Amerika.
"Permintaan untuk barang-kemas telah menurun dengan ketara dalam tempoh dua tahun yang lalu sejak kenaikan harga emas di pasaran dunia sekali gus melemahkan pound Syria," katanya.
Hari ini, mereka yang masih mempunyai pendapatan tetap meletakkan kepercayaan dalam pelaburan emas.
Tambah Mdari, mereka hanya berdiam diri sepanjang tempoh pergolakan yang panjang.
"Mereka lebih suka membeli barang perhiasan emas sebagai suatu pelaburan dan bukannya perhiasan diri," katanya.
Seorang lagi tukang emas, Michel berkata, rakyat telah hilang kepercayaan dalam mata wang nasional.
"Apabila sekatan ekonomi baharu diumumkan, saya dapati ramai orang kaya membeli emas. Mereka percaya bahawa logam kuning ini menjamin keselamatan pada masa hadapan," katanya.
Jaminan masa depan
Ahli profesional industri Damsyik bersetuju bahawa emas menyediakan satu bentuk tabungan yang terjamin dalam tempoh ketidaktentuan politik dan ekonomi.
Seorang tukang emas di pusat bandar Damsyik, Hisham berkata, mereka akan menyimpan wang dalam bentuk emas yang dibeli.
"Mereka akan memilih untuk membeli emas sebagai kaedah menyimpan wang simpanan. Mereka takut akan nilai dolar Amerika yang semakin meningkat dan kejatuhan pound Syria.

PERNIAGAAN konvensional menggunakan pound Syria tetap diteruskan walau dalam situasi yang tidak menentu.


"Emas juga lebih mudah untuk dibawa jika kita perlu meninggalkan tempat itu dengan kadar segera," katanya.
Beliau mengakui bahawa kebanyakan pelabur emas terdiri daripada orang kelas atasan dan pertengahan, seperti di kebanyakan negara di dunia.
Kerajaan harian Al-Thawra memberitahu, kenaikan harga emas tidak menunjukkan tanda-tanda surut. Pada minggu lalu sahaja, nilai pasaran emas naik sebanyak 265 pound Syria (RM11.50).
Memetik kata, Persatuan Ketua Tempatan Barang Kemas, Georges Sarji berkata, emas berada di landasan yang betul untuk mencapai tahap baharu.
Beliau menyalahkan kenaikan harga yang disebabkan oleh peningkatan pasaran antarabangsa. Namun begitu, beliau tetap menegaskan bahawa pasaran jualan bertambah baik walaupun pada hakikatnya penduduk Syria masih lagi terpaksa menjual barangan emas mereka.
Menurut Sarji, lebih daripada 100 paun (lebih 45 kilogram) emas kini dijual setiap hari di Damsyik.
Harga satu aun emas pada penghujung minggu berada pada harga AS$1,739.04 (RM5,328) di pasaran antarabangsa. -Kosmo!

Rabu, November 21, 2012

Siapakah usahawan?

Usahawan adalah perintis (pelopor) kepada kejayaan perniagaan hari ini. Mereka ini mengesan peluang yang ada, membawa kepada pendapat baru (innovate) dan prestasi yang baik menjadi satu piawai di dalam era ‘free enterprise”.

Scaborough dan Zimmerer (1988) mendefinasikan usahawan sebagai:

“Seorang yang mencipta suatu perniagaan baru dan menghadapi suatu keadaan yang tidak pasti demi untuk memperolehi keuntungan dan pertumbuhan (perkembangan) dengan mengenal pasti peluang dan menyediakan sumber untuk mencapainya. Usahawan selalunya bermula hanya dengan idea yang ada dan selalunya idea yang mudah dan menyediakan sumber yang perlu untuk memindahkan idea tersebut kepada perniagaan yang bersesuaian.”

Kuratko dan Hodgetts (2004) mendefinasikan usahawan sebagai:

“Seorang yang berusaha untuk mengatur, mengurus dan mengambil risiko di dalam perniagaan. Usahawan juga adalah pemangkin kepada perubahan ekonomi yang menggunakan carian dengan maksud tertentu, perancangan teliti dan pertimbangan yang sesuai apabila membuat sebarang proses perniagaan. Dengan optimistik dan komited, usahawan bekerja dengan kreatif untuk memperolehi sumber baru dan memperbaharui sumber yang lama kepada kapasiti yang baru, semua ini hanya bertujuan untuk mencipta keuntungan.”

(entrepreneurial = dgn pengusaha, tetapi saya terjemahkan kepada perniagaan)

Hari ini, usahawan adalah seorang invator (penemu cara baru) atau seorang ahli perniagaan yang mencari (mengenal pasti) dan meraih peluang yang ada; menukar peluang tersebut menjadi idea yang dapat dilaksanakan atau dapat dijual; menambah nilai; usaha; duit, kecekapan; mengambil risiko dengan terhadap persaingan di pasaran apabila melaksanakan idea tersebut dan menyedari ganjaran yang akan diperolehi hasil dari usaha tersebut.

Selasa, November 20, 2012

Berniaga tanpa modal


Latif Kachong (dua dari kiri) dan Hanizah Zainudin (tengah) ketika memperkatakan mengenai Program Keusahawanan Niaga D'or, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MELIBATKAN diri dalam dunia perniagaan bukanlah satu perkara mudah. Ini kerana selain modal, ilmu pengetahuan serta kekuatan mental merupakan aspek penting yang perlu ada apabila hendak memulakan sesuatu perniagaan.

Hari ini sekiranya mana-mana individu tidak memiliki modal ataupun kemahiran dalam bidang perniagaan tetapi berminat untuk menjadi seorang usahawan, mungkin boleh menyertai Program Keusahawanan Rangkaian Niaga D'or.

Dalam program ini, para peserta bukan sahaja akan diberikan modal untuk memulakan perniagaan tetapi juga akan diberikan latihan untuk memantapkan lagi kemahiran perniagaan yang dipilih.

Bagaimanapun, melalui program ini, perniagaan berkonsepkan kraf serta emas sahaja yang dibenarkan kerana ia merupakan program kerjasama antara Koperasi Jaringan Usahawan Selangor Berhad (Kojaring) dan juga D'or Rue Sdn. Bhd. (D'or Rue).

Ini kerana modal untuk memulakan perniagaan disalurkan oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Dalam program ini, modal sehingga RM30,000 disediakan untuk individu yang berminat menjadi usahawan.

Menurut Pengerusi Kojaring, Latif Kachong, pihaknya bagaimanapun tidak memberikan modal tersebut dalam bentuk wang tunai malah ia akan diberikan dalam bentuk barangan.

"Pihak kami tidak akan memberikan modal berupa wang tunai tetapi dalam bentuk barangan.

"Contohnya bagi pembiayaan pinjaman sebanyak RM30,000, kami akan memberikan emas tulen 999 seberat 70 gram di samping produk-produk kraf emas sadur yang bernilai RM17,600 untuk diniagakan selain simpanan tunai sebanyak RM7,500.

"Selain modal, kami turut memberikan latihan dan bimbingan kepada bakal-bakal usahawan ini," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai modal yang diberikan dalam bentuk barangan, jelas Latif, jongkong emas tulen itu digunakan bagi tujuan cagaran kepada pinjaman dan akan disimpan oleh koperasi sebelum dipulangkan kepada usahawan selepas selesai pembayaran pinjaman.

Secara tidak langsung ia memperlihatkan usahawan-usahawan ini bukan sahaja berniaga tetapi turut membuat pelaburan dengan emas yang nilainya semakin meningkat setiap tahun.

Katanya lagi, pihaknya menawarkan dua jenis rakan niaga iaitu Rakan Niaga Perunding Emas (akan memperoleh pembiayaan modal niaga RM5,000) dan Rakan Niaga Pengurus Emas (akan memperoleh pembiayaan modal niaga RM30,000).

Bukan itu sahaja malah sesiapa sahaja yang menyertai program ini turut memperoleh faedah-faedah lain seperti khidmat tebus gadai, insentif memperkenalkan rakan usahawan baharu, dividen tahunan, diskaun pembelian kepada usahawan dan khairat kematian.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan D'or Rue, Hanizah Zainudin berkata, setiap usahawan yang menyertai program tersebut akan mendapat 50 peratus diskaun untuk belian produk-produk kraf.

Katanya lagi, segala bimbingan serta nasihat akan diberikan oleh pihaknya termasuklah khidmat selepas jualan.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program ini dan sekiranya ada sebarang pertanyaan bolehlah hubungi talian 03-5880 2895 (Kojaring) atau 03-6184 1662 (D' Rue Sdn. Bhd.)

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Produk/20120904/pr_01/Berniaga-tanpa-modal#ixzz2Cm0ZY1cB 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sabtu, November 17, 2012

Silverlake


Sebuah ladang anggur di Silverlake berlatarbelakangkan bukit.

MENJEJAKKAN kaki ke ladang anggur seluas 500 ekar ini, bagaikan berada di sebuah taman fantasi ala Belanda. Ia begitu mendamaikan.

Bukan sahaja bau harum bunga-bungaan menggoda jiwa dan perasaan tetapi kehijauan alam semula jadi di sekitar Silverlake membuatkan hati benar-benar terpaut.

Buat seketika, lupakan sebentar cuaca panas di Thailand yang mencecah sehingga 42 darjah Celcius. Ini kerana suasana romantis yang menyerap di segenap sudut ladang anggur ini, dapat dirasai.

Silverlake menjadi sebuah taman anggur yang begitu indah sekali hingga menjadi tarikan utama pelancong di Pattaya.

Menariknya, jika dilihat di sekeliling ladang anggur ini, ia bagaikan satu taman tema yang diwujudkan khusus untuk penggambaran filem.

Ini tidak mustahil kerana Silverlake dibuka atas inisiatif seorang pelakon ternama negara gajah putih itu, Supansa Nuangphirom, yang cukup gah sekitar tahun 1980-an.

Bahkan, ladang anggur ini seringkali menjadi pilihan penerbit drama dan filem sebagai lokasi penggambaran, antaranya, sinetron popular, Soot Saneha, banyak membantu mengangkat Silverlake ke mata dunia.

Apatah lagi kedudukannya begitu strategik, yang mana pengunjung akan disambut dengan pantulan emas bersinar-sinar dari bukit Khao Chi Chan.
Dicatatkan sebagai ukiran terbesar di dunia setakat ini, cenuram bukit Khao Chi Chan ini meriah dengan ukiran patung Buddha pada ketinggian 109 meter dan 70 meter lebar.

Uniknya, ukiran itu dibuat dengan pantulan laser sempena sambutan ke-50 tahun raja Thailand, Raja Bhumibol menggambarkan imej patung Buddha dalam gaya Pang Man Wichai atau dikenali Phrawarachabopit.

Tidak cukup dengan itu, Silverlake juga mempunyai daya tarikan tersendiri sekalipun ladang anggurnya tidak mengeluarkan buah sepanjang tahun.

Malah, ketika rombongan Agrochallenge International Thailand 2012 mengunjungi ladang ini, buah anggur baru sahaja dipetik tetapi ia tetap penuh dengan pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu melihat sendiri keindahan taman anggur ini.

Pengunjung juga boleh mendapatkan produk Silverlake seperti biskut, jus, jem, pai anggur, jeli dan kismis yang dijual di gerai berhampiran. Jika anda bertuah, mungkin berpeluang menikmati anggur segar yang dipetik dari ladang.

Jika dilihat di sekeliling ladang anggur ini, masih terdapat beberapa penambahbaikan sedang dijalankan bagi memberi lebih banyak tarikan kepada pengunjung.

Bagi mereka yang ingin menginap di taman penuh romantik ini, terdapat 10 jenis calet disediakan mengikut keperluan masing-masing sama ada bercuti bersama keluarga atau berehat di hujung minggu dengan rakan-rakan.

Menariknya, calet ini yang dikenali sebagai Movie House dibina dengan sentuhan rumah Inggeris berwarna putih dan berlatarbelakangkan bukit Khao Chi Chan. Ia mempunyai kemudahan lengkap seperti wi-fi, peti ais, taman comel di hadapan rumah dan juga pengangkutan kepada pengunjung.

Ladang anggur Silverlake adalah salah satu destinasi lawatan Agrochallenge International Thailand 2012 ke Bangkok dan Pattaya, Thailand untuk meninjau dengan lebih dekat lagi pembangunan agropelancongan di Pattaya.

Program yang disertai 60 peserta ini memasuki kali keempat dianjurkan Kelab Usahawan Tani Malaysia (KUAT) dan Jabatan Pertanian dengan kerjasama Rakyat Travel Sdn. Bhd.

Secara umum, Pattaya bukan sahaja dikenali dengan hiburan malam yang begitu meriah, tetapi mempunyai tarikan tersendiri seperti keindahan pantai dan pulau serta beberapa pusat rekreasi seperti taman buaya, taman orkid dan taman hidupan dasar laut yang menawarkan akuarium bertaraf dunia.
Tidak lupa juga, Pattaya mempunyai tempat-tempat bersejarah yang juga boleh dicatatkan di dalam diari pelancongan anda.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20121112/ag_02/Silverlake#ixzz2CTTGJl7c
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rabu, November 07, 2012

Burung emu diternak di India


SEORANG pekerja membuka pintu ladang burung emu di Kampung Vasna-Rathod, 40 kilometer dari Ahmedabad, India pada Khamis lalu.



NEW DELHI - Terdapat lebih 1,500 ladang burung emu di India.Burung itu diternak kerana daging haiwan tersebut mempunyai kandungan lemak yang rendah dan ia boleh dijual untuk memperoleh pendapatan.
Lemak haiwan emu juga boleh digunakan untuk menghasilkan minyak untuk pembuatan alat solek dan dijadikan diet tambahan.
Bulu haiwan tersebut juga boleh digunakan untuk membuat kasut dan dompet.
Haiwan yang berasal dari Australia itu tidak boleh terbang dan ia kelihatan seperti burung unta. - Agensi

Isnin, November 05, 2012

Tahfiz, usahawan ternakan berjaya


Mohd. Sallehuddin (depan) bersama sebahagian daripada lembu yang diternak telah ditempah oleh pelanggan sempena hari raya korban yang akan datang ini.

Meskipun baru menginjak usia 27 tahun, Sallehuddin berjaya menguruskan projek ternakan dengan baik bagaikan seorang usahawan yang telah lama berkecimpung dalam bidang tersebut.

Ketika ditanya apakah rahsia, Sallehuddin memberitahu, pengalaman membantu bapanya ketika kecil yang juga seorang usahawan ternakan lembu sebagai panduan mengusahakan projek berkenaan.

Katanya, minat dalam bidang keusahawanan terus dipupuk saban hari sehinggalah dia membuat keputusan mengambil alih perniagaan daripada bapanya.

Bermula dengan hanya bermodalkan 10 ekor lembu, Sallehuddin memulakan perniagaan yang diwarisi daripada bapanya pada tahun 2005.

Anak sulung daripada tujuh adik beradik ini berkata, biarpun mengambil alih perniagaan orang tua sejak tahun 1986, dia hanya mewarisi sebuah kandang yang kosong.

“Memang bapa memelihara lembu sebelum itu. namun sejak awal tahun 2000 kesihatannya merosot dan bapa lebih banyak berehat menyebabkan perniagaan sedikit merosot.

“Melihat keadaan tersebut, saya nekad untuk mengambil alih perusahaan ternakan dan bermula dari bawah," katanya ketika ditemui di ladang lembu miliknya di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Mengenali dunia keusahawan sejak kecil menjadikan Sallehuddin tidak kekok menguruskan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.

Ujarnya, jika mahu berjaya, tauke mestilah turun padang dan menguruskan semuanya dari awal, bukan hanya duduk di dalam pejabat berhawa dingin semata-mata.

Ujar Sallehuddin, untuk menjadi penternak lembu yang berjaya perlu bermula seawal kerja-kerja mencuci najis lembu di kandang lagi.

“Rata-rata kita lihat ramai pengusaha ternakan lembu terpaksa gulung tikar dalam perniagaan akibat ketidakcekapan dalam menguruskan perniagaan.

“Sebagai generasi baharu, kita patut bersyukur kerana dengan kemudahan serta teknologi sedia ada memudahkan perniagaan dilaksanakan," katanya.

Sebagai contoh, jelas Sallehuddin, penggunaan laman web untuk mempromosi haiwan ternakannya dilihat berjaya mengembangkan perniagaannya.
Menggunakan nama Best Farm Enterprise, ladang milik Sallehuddin kini mampu memuatkan hampir 300 ekor lembu dan 150 ekor kambing dalam satu-satu masa.

Kebanyakan lembu dan kambing yang dipelihara dibawa masuk dari Thailand, Myanmar, dan Australia.

Sallehuddin menggunakan fidlot kerana mendapati sistem tersebut lebih mudah. Namun katanya, jika terdapat pembekal dalam negara, projek akan lebih mudah diusahakan.

Ini kerana, apabila negara terlalu bergantung kepada sumber ternakan dari luar negara seperti Thailand dan Australia, pembekal dari negara-negara luar sering memanipulasi harga.

“Perkara ini berlaku hampir setiap tahun. Tahun ini adalah yang paling ketara apabila Thailand telah menaikkan harga lembu RM400 seekor.

“Musim perayaan merupakan antara waktu kemuncak di mana pembekal haiwan ternakan ini akan mengambil kesempatan menaikan kadar harga sesuka hati mereka," katanya.

Terdapat beberapa gred bagi lembu yang dijual oleh Sallehuddin iaitu bermula daripada Gred A yang berharga RM3,000 seekor sehinggalah kepada Gred C, RM 2,500 seekor.

Ujarnya, harga tersebut meningkat dengan pantas berbanding pada awal pembabitannya iaitu pada tahun 2005 hanya RM1,900 sahaja seekor.

Kebanyakan lembu yang dibawa dari Thailand dan akan dikuarantin terlebih dahulu di Rantau Panjang selama 10 hari untuk memastikan ternakan bebas daripada sebarang penyakit.

Selepas itu, lembu-lembu yang dibawa masuk akan di pelihara selama tiga bulan sebelum dijual kepada pelanggan yang berminat.

Selain menawarkan lembu atau kambing untuk tujuan ibadah akikah dan korban, Sallehuddin turut menyediakan perkhidmatan penyajian makanan serta kambing golek untuk majlis-majlis keramaian.

Kambing golek dengan resipi dan rempah istimewa daripada Best Farm Enterprise adalah segar dari ladang.

Antara yang sering menempah kambing golek Sallehuddin termasuk Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan, agensi-agensi kerajaan, pihak media dan orang perseorangan.

Setelah hampir tujuh tahun berkecimpung dalam perusahaan ternakan, kini Sallehuddin sedang membesarkan ladangnya.

Terletak di Hulu Yam, Selangor, ladang yang bakal dibuka pastinya lebih besar dan selesa dilengkapi bersama rumah sembelih, rumah pekerja serta kilang pemprosesan daging.

Sallehuddin yang tertarik dengan kejayaan negara Thailand dalam bidang ternakan berharap beliau dapat memajukan bidang tersebut setanding dengan negara itu.

Namun katanya, usaha tersebut perlu dilakukan secara berdikit-dikit bagi memastikan impian tersebut berjaya dilaksanakan.

Tidak pernah mendapatkan sebarang pinjaman menjadikan Sallehuddin benar-benar berdikari dalam memajukan perniagaannya.

Prinsipnya mudah, biarlah bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Katanya, ladang yang menelan belanja hampir jutaan ringgit tersebut akan memulakan pembinaannya pada tahun hadapan dan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

“Saya bukan sombong dengan tidak melakukan pinjaman perniagaan. namun daripada pemerhatian saya, kebanyakan usahawan yang meminjam sukar menghargai kemudahan yang diterima dan mudah putus asa.

“Seperti yang saya katakan dari awal, perniagaan dalam sektor ternakan ini nampak mudah di atas kertas (teori) namun secara praktikalnya amat sukar," katanya.

Terakhir, beliau berharap agar kerajaan dapat melonggarkan beberapa peraturan atau kerenah birokrasi agar sektor penternakan dapat berkembang dengan baik di dalam negara setanding dengan negara-negara jiran.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Best Farm anda boleh menghubungi sallehuddin di talian             012-222 8030                  019-233 8030       atau layari laman web akikahqorban.blogspot.com.

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20121022/ag_01/Tahfiz-usahawan-ternakan-berjaya#ixzz2BLW6pymy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tak perlu detol lagi

Tak perlu dettol lagi!  . Sharing ikhlas daripada Pn. Atie.  . Selepas pembedahan kecil di pergelangan tangan, berlaku sedikit infection...