Pembantu Menteri Pem­bangunan dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hamisa Samat berkata, langkah itu penting bagi membolehkan usahawan meluaskan rangkaian, memanfaatkan teknologi terkini serta mengukuhkan kewangan perniagaan.

“Perancangan strategik dan ketelitian ini sudah tentu akan membantu usahawan menjana pendapatan daripada perniagaan yang diceburi.

“Bagi saya apa yang penting adalah jalinan kerjasama antara perusahaan lain perlu diperhebat agar rangkaian perniagaan mereka tidak tertumpu kepada sesuatu bidang sahaja,” katanya ketika berucap dalam majlis penutup Kursus Menyelenggara Peralatan Penghawa Dingin anjuran kementeriannya, di sini hari ini.

Kursus tiga hari bermula Jumaat lalu itu disertai 74 peserta dari sekitar Kota Kinabalu, Sipitang, Kuala Penyu dan Sandakan.

Dalam pada itu, Hamisa mengingatkan para usahawan supaya bijak merebut peluang perniagaan tanpa mengabaikan risiko perniagaan yang bakal dihadapi.
“Setiap perniagaan pasti ada risiko. Oleh itu, para usahawan perlu bijak meminimumkan risiko berkenaan,” katanya.