Selasa, Mac 31, 2009

Lupakan perniagaan internet jika anda...

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sebut sahaja perniagaan Internet pasti terbayang ribuan ringgit dalam kepala sesetengah rakyat Malaysia sekarang. Bagi mereka menjana pendapatan di Internet ini sangat mudah dan pasti akan mendapat pulangan yang sangat lumayan.
.
Ya betul. Saya tidak nafikan bahawa anda semua boleh menjana pendapatan di Internet dan tidak mustahil jika pendapatan anda mencecah jutaan ringgit sekali pun. Saya sendiri juga bercita-cita untuk mendapat pendapatan jutaan ringgit di Internet dan sehingga kini masih lagi berusaha untuk mencapai target tersebut.
.
Mungkin setahun atau dua tahun lagi saya akan mencapai peringkat tersebut kerana saya percaya bahawa sudah ramai yang mampu lakukannya dengan kuasa Internet.
.
94% Perniagaan Internet Gagal Pada Tahun Pertama
.
Namun, anda perlu ingat dengan fakta ini iaitu 94% perniagaan Internet gagal pada tahun pertama. Inilah hakikat pedih dan pahit yang patut kita terima. Saya masih ingat ketika dua tahun lepas begitu ramai kawan saya yang sama-sama belajar tentang selok belok perniagaan Internet dan sehingga kini hanya tinggal beberapa orang sahaja lagi yang mampu untuk survive dalam perniagaan Internet. Ada yang sudah terus tertutup hati mereka dengan perniagaan Internet, ada yang masih mencari-cari rentak dan sebagainya.
.
Oleh itu, saya ingin memberi beberapa perkara penting yang perlu anda ambil iktibar jika anda ingin memulakan perniagaan Internet. Jika anda mempunyai beberapa ciri yang saya akan nyatakan sebentar lagi, silalah ubah dengan segera atau anda boleh lupakan terus tentang perniagaan Internet. Ini kerana perniagaan Internet tidak sesuai untuk anda.
.
5 Sebab Kenapa Anda Tidak Boleh Menjana Duit Di Internet
.
1 Anda malas untuk membaca
Ini mungkin perkara remeh bagi sesetengah orang dan mengikut fakta masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mengamalkan tabiat membaca. Mungkin juga ada di kalangan pembaca yang mengatakan “Ala.. aku dulu time sekolah tak baca buku pun dapat straight A“, “Rimas aku nak baca buku/ebook yang tebal-tebal” dan sebagainya.
.
Hakikat yang perlu anda terima ialah perniagaan Internet perlu dipelajari melalui pembacaan. Ya, untuk berjaya dalam perniagaan Internet anda tidak boleh hanya bergantung harap kepada seminar, video tutorial yang anda hadiri tetapi anda perlu mengambil inisiatif untuk membaca bahan-bahan ilmiah berkenaan perniagaan Internet di blog-blog, forum, website dan sebagainya.
.
Saya percaya dan yakin bahawa usahawan Internet berjaya yang ada sekarang pasti meluangkan masa berjam-jam sehari di Internet untuk membaca perkara-perkara berkaitan perniagaan Internet. Anda boleh dapat banyak info tentang perniagaan Internet dengan menggunakan search engine dan jika anda mendapat wang yang lebih, anda bolehlah membeli ebook-ebook yang ditawarkan di Internet. Ringkasanya, jika anda malas membaca maka ucapkanlah selamat tinggal kepada perniagaan Internet.
.
2 Malas untuk membuat kajian
Anda sendiri tahu bahawa setiap minit pasti akan muncul usahawan-usahawan Internet baru yang mencuba nasib menjana pendapatan di Internet. Ini merupakan satu perkembangan yang baik kepada industri perniagaan Internet dan ekonomi negara. Namun, ini merupakan satu petanda buruk kepada mereka yang baru hendak menapak diri dalam perniagaan Internet. Kenapa?
.
Sudah pasti kerana persaingan yang sengit. Oleh itu, untuk menjadikan anda seorang usahawan Internet yang berjaya ialah anda perlu membuat kajian terhadap sesuatu perniagaan yang anda ingin mulakan. Dengan kajian yang anda lakukan anda dapat mengurangkan risiko untuk anda gagal dan tidak tergolong dalam 94% yang gagal.
.
Saya tidak dapat bayangkan jika anda memulakan perniagaan Internet tanpa membuat sebarang kajian kerana anda akan terdedah dengan pelbagai kemungkinan yang akan menimpa perniagaan anda. Namun jangan gusar kerana tidak semua perkara perlua dibuat kajian yang terperinci. Cukuplah sekadar mengetahui sama ada produk yang anda ingin jual itu ada permintaan ataupun tidak.
.
Jika produk fizikal, itu sudah memadai kerana setiap produk fizikal yang dihasilkan dalam dunia ini sudah mempunyai permintaannya yang tersendiri. Namun, jika anda abaikan terus aspek ini, anda pasti tersungkur di persimpangan jalan untuk menjadi seorang usahawan Internet yang berjaya.
.
3 Malas untuk mencari jawapan
Anda pasti sudah lali dengan peribahasa “Malu bertanya sesat jalan” dan inilah realitinya dalam dunia perniagaan Internet. Namun konsep pertanyaan dalam perniagaan Internet lebih mudah kerana anda mempunyai search engine, forum, blog dan sebagainya.
.
Anda boleh bertanya soalan kepada mereka yang pakar dan anda juga boleh mencari jawapan sendiri dengan menggunakan search engine. Saya pernah bercakap dengan seseorang yang berminat untuk memulakan perniagaan Internet tetapi beliau tiada usaha langsung untuk bertanya ataupun mencari jawapan. Selepas setahun berlalu saya lihat dia masih lagi ditakuk lama kerana dia malas untuk mencari jawapan terhadap sesuatu permasalahan.
.
Percayalah dengan menggunakan Internet segala persoalan anda pasti akan terjawab. Cuma terpulang kepada diri dan sikap anda sendiri sama ada ingin berjaya ataupun gagal dalam perniagaan Internet.
.
4 Takut untuk melabur
Ya, lupakan hasrat anda untuk menjana wang di Internet jika anda takut untuk melabur. Maksud saya di sini ialah anda takut untuk mengeluarkan sedikit wang untuk pelaburan bagi perniagaan anda. Saya sudah menjumpai ramai usahawan Internet yang berjaya dan satu persamaan sikap yang terdapat pada mereka ialah mereka sanggup untuk melabur bagi perniagaan mereka.
.
Mereka sanggup melabur sehingga mencecah puluhan ribu ringgit untuk perniagaan mereka. Wah, mungkin ada yang mengatakan bahawa frasa puluhan ribu ringgit ini tidak realistik untuk diungkapkan kepada para newbie. Baiklah, contoh paling mudah ialah jika anda seorang blogger (penulis blog) tentang dunia hiburan. Pelaburan yang perlu anda lakukan untuk berjaya ialah:
.
Membeli domain + hosting - Ini merupakan keperluan asas untuk menjadi seorang blogger yang berjaya. Mengupah orang untuk update blog - Ini juga pelaburan yang perlu agar blog anda sentiasa ada informasi terkini kepada para pelawat. Membeli Majalah hiburan - Ini sudah tentu untuk mendapatkan berita sensasi terkini untuk dimuatkan di dalam blog anda. Menyertai kelab ahli - Anda juga perlu membayar untuk menyertai mana-mana membership yang menyediakan gambar-gambar dan berita-berita panas tentang dunia hiburan. dan banyak lagi.
.
Dengan beberapa pelaburan tersebutlah anda boleh menjadi seorang yang berjaya dalam menjana wang di Internet. Jika tidak sanggup untuk melabur dengan alasan takut rugi, maka lupakanlah sahaja hasrat anda untuk menajana pendapatan di Internet.
.
5 Takut untuk mencuba
Golongan yang takut mencuba merupakan golongan yang teramai saya pernah jumpa setakat ini. Dia tahu tentang potensi perniagaan Internet, dia tahu bagaimana untuk memulakan perniagaan Internet dan banyak lagi perkara yang di tahu. Namun, cukupkah hanya sekadar tahu?
.
Adakah sekadar tahu anda boleh berjaya?Tidak! Untuk berjaya anda perlukan tindakan! Cubalah apa jenis perniagaan pun dalam dunia ini, tanpa sebarang tindakan anda tidak akan mencapai sebarang kejayaan. Saya merayu kepada anda yang tergolong dalam kumpulan ini agar terus bertindak dan jangalah memberikan 1001 alasan untuk tidak bermula kerana anda juga yang rugi.
.
Anda juga yang tidak akan belajar apa-apa perkara baru dengan hanya berdiam diri dan memerhati. Jika anda terus berdegil untuk menjadi pemerhati, maka anda bolehlah tutup kamus perniagaan Internet anda sekarang kerana anda pasti gagal! -Majalah IM
.
Nota Usahawan Bistari: Secara peribadi, saya mulakan perniagaan internet dengan blog tentang cendawan di cendawan global dan One Drop Perfumes di smart perfumes tanpa modal satu sen pun. Alhamdulillah, ada pendapatan harian, mingguan dan bulanan. Saya boleh katakan ia sumber pendapatan pasif saya setakat ini.

Sabtu, Mac 28, 2009

Apakah fertigasi

FERTIGASI berasal dari perkataan fertilizer (baja) dan irrigation (pengairan) merupakan satu teknologi gabungan pembajaan dan pengairan dalam sistem tanaman.
.
Ia merupakan kaedah penanaman yang mana baja lengkap diberikan kepada tanaman dalam bentuk larutan dan disalurkan ke zon akar melalui sistem pengairan titis menggunakan polibeg.
.
Melalui teknologi tersebut, bekalan air dan nutrien yang cukup serta seimbang mengikut peringkat pertumbuhan pokok dapat dikawal dengan lebih sistematik. Ini membolehkan tanaman membsar dengan sihat serta berupaya mengeluarkan hasil yang optimum dan berkualiti tinggi.
.
Biasanya sistem ini digunakan untuk tanaman sayur-sayuran jenis buah.
.
Kebaikan system fertigasi:
  • Tidak memerlukan kawasan luas
  • Masa penanaman yang pendek
  • Kurang beban kerja berat
    Penggunaan air dapat dijimatkan
  • Mudah kawalan penyakit dan perosak
  • Masalah input dapat dikawal
  • Hasil yang tinggi
  • Kurang kejutan pada anak benih
  • Tidak dipengaruhi oleh musim
  • Mesra alam
    Mereka yang berminat untuk menjalankan projek-projek tanaman fertigasi boleh mendaftar menjadi ahli Pertubuhan Peladang Kawasan PPK) di tempat tinggal atau tanah milik anda berada. PPK tersebut boleh membantu bagaimana untuk memulakan projek tersebut dari segi khidmat nasihat, perkhidmatan, bantuan dan kos-kos projek serta lain-lain berkaitan.

Khamis, Mac 26, 2009

Pelaburan yang paling menguntungkan

Di dalam dunia ini terdapat pelbagai jenis pelaburan dan ada di antara pelaburan yang tidak memberikan pulangan yang baik kepada kita. Ada juga pelaburan yang memberikan kita keuntungan namun kadang-kala ada juga ruginya.
.
Jadi, apakah sebenarnya pelaburan yang sentiasa menguntungkan tanpa mengalami sebarang kerugian?
.
Pelaburan yang sentiasa memberikan keuntungan kepada kita ialah pelaburan terhadap ilmu!
.
Mungkin sudah ramai yang tahu bahawa pelaburan paling menguntungkanialah pelaburan terhadap ilmu yang akan memberikan pulangan segera kepada pengetahuan kita. Namun jawapan tersebut sebenarnya masih kurang tepat.
.
Donald Trump dalam satu temubual pernah berkata "Pelaburan yang paling menguntungkan dalam hidup saya ialah pelaburan terhadap ilmu yang saya segera praktikkan!".
.
Jadi, jika selama ini anda merasakan pelaburan anda terhadap ilmu adalah perkara yang menguntungkan namun sejauh mana anda praktikkan ilmu tersebut?
.
Kami percaya bahawa anda mungkin telah menghadiri pelbagai seminar dan membeli pelbagai produk, namun bilakah anda mahu bertindak?
.
Praktikkanlah segera ilmu-ilmu yang telah anda laburkan agar pelaburan anda adalah satu pelaburan yang menguntungkan.
.
Ingat, mempraktikkan ilmu adalah satu kuasa dan kami di sini sentiasa mendoakan kejayaan anda! Amin. - MajalahIM

Rabu, Mac 25, 2009

Kerja Susah vs Kerja Mudah

Oleh Irfan Khairi

Mengapa hanya terdapat 2% sahaja mereka yang berpendapatan tertinggi sahaja dalam industri masing-masing?

Jawapan: Kerana mereka yang top 2% ini sanggup melakukanperkara-perkara yang susah manakala selebihnya 98% hanya suka melakukan perkara-perkara yang mudah sahaja.

Sebagai contoh, usahawan-usahawan top 2% yang berjaya sanggup melakukan perkara-perkara yang dikira susah seperti melakukan promosi setiap hari, sering mencari contacts dan membuat network yang penting setiap minggu, dan melakukan perancangan dan strategi yang produktif perniagaan baru setiap bulan.

Manakala mereka yang bottom 98% pula hanya suka melakukan perkara-perkara mudah seperti tidak melakukan promosi, tidak menghadiri majlis-majlis network kerana tiada masa, dan hanya menjalankan strategi yang sama dalam perniagaan seperti 2-3 tahun yang lepas (tidak ubah).

Bagi mereka yang top 2%, kerja-kerja tersebut memang susah. Tetapi mereka lakukan juga.
Bagi mereka yang bottom 98%, mereka tak sanggup melakukannya.

Apa kata lepas ni, kita senaraikan perkara-perkara yang susah yang sebelum ini kita sering abaikan. Dan, kemudian... lakukannya juga!

Selasa, Mac 24, 2009

Pesta belon udara panas di Putrajaya


Semalam saya berkesempatan berkunjung ke Putrajaya untuk menonton pesta belon udara panas. Memang best tengok pelbagai bentuk belon yang sesetengahnya unik dan sangat menarik. Saya teringat masa sekolah dulu, sorang cikgu sains cakap, "Awak boleh naik belon udara panas dengan syarat kena kaya dulu. Boleh naik tapi kena KAYA dulu."



Betullah cakap cikgu saya tu sebab untuk terbang dengan belon udara panas memang kos mahal tapi tak sempat pula tanya berapa yang sebenar. Harap bila dah jadi jutawan nanti, saya akan booking satu sesi untuk terbang dengan belon ni, insyaallah.


Apa pun saya bertuah sebab pergi ke sana dengan abang saya, Zain Abdullah yang memang cukup berminat dengan fotografi. Banyak gambar yang menarik dirakamkan. Saya snap pakai handphone je. Di sini saya kongsi gambar yang saya petik daripada blog beliau. Boleh ikuti laporan lanjut di sini.

Rabu, Mac 18, 2009

Tip bisnes orang cina

Orang Cina tidak mempunyai formula khusus yang digunakan dalam perniagaan. Mereka berniaga berpandukan pengalaman yang diperoleh dalam kehidupan seharian.

Bagi orang Cina, sesuatu perniagaan yang dijalankan perlu praktikal dan tidak terlalu melecehkan. Orang yang berniaga tidak boleh cerewet dan jika boleh, perlu berusaha mempermudahkan sesuatu perkara. Untuk menjadi peniaga yang baik dan berjaya, terdapat beberapa tip niaga orang Cina yang dapat dijadikan panduan serta pedoman.

Tip itu cukup senang tetapi bukan mudah hendak dilaksanakan. Tanpa sebarang tindakan, tip itu tidak akan berguna dan memberikan apa-apa manfaat kepada peniaga.

1. Peniaga perlu menunjukkan kejujuran dan keikhlasan semasa melaksanakan urus niaga.
.
2. Peniaga perlu mewujudkan kepercayaan dan ikatan mesra dengan pelanggan tidak kira pelanggan yang besar ataupun kecil dan yang tetap ataupun pelanggan baru.
.
3. Peniaga perlu melayan para pelanggannya dengan saksama kerana setiap daripada mereka adalah penting.
.
4. Peniaga tidak boleh menurut perasaan dan kehendak sendiri.
.
5. Peniaga perlu sentiasa memaniskan muka dan kaya dengan senyuman.
.
6. Peniaga tidak boleh marah dan menengking pelanggan.
.
7. Peniaga perlu akur dengan permintaan dan keperluan pelanggan.
.
8. Peniaga bukan tauke kerana bos yang sebenar adalah pelanggan.
.
9. Peniaga tidak boleh sombong, angkuh dan bongkak.
.
10. Peniaga perlu ringan tulang dan mudah menghulurkan bantuan.
.
11. Peniaga perlu bersedia memberikan perkhidmatan tambahan dan dalam konteks perniagaan runcit, menghantar barangan ke rumah pelanggan.
.
12. Peniaga tidak boleh ragu-ragu menjawab segala pertanyaan orang ramai.
.
13. Peniaga perlu menunjukkan beliau merupakan seorang yang serba tahu terutamanya dalam bidang yang berkaitan dengan perniagaannya.
.
14. Peniaga perlu mengambil berat hal ehwal masyarakat dan isu semasa.
.
15. Peniaga perlu mempunyai kepekaan yang tinggi dan rasa simpati yang
mendalam pada pelanggannya.
.
16. Peniaga perlu menjadikan para pelanggan sebagai sahabat, bukannya pembeli yang dating dan pergi.
.
17. Peniaga tidak perlu kedekut memberikan diskaun, pujian dan penghargaan kepada pelanggan.
.
18. Peniaga tidak boleh mengambil cuti kecuali kecemasan dan ada urusan yang tidak dapat dielakkan.
.
19. Peniaga perlu bangun awal dan membuka perniagaannya secepat yang mungkin.
.
20. Peniaga perlu memberikan perkhidmatan yang cepat dan pantas serta jangan membiarkan pelanggan tertunggu-tunggu.
.
21. Peniaga perlu mudah dibawa, dibicara dan berunding.
.
22. Peniaga tidak boleh bersikap prejudis pada pelanggan dan orang ramai.
.
23. Peniaga kena sentiasa berfikiran terbuka dan positif.
.
24. Peniaga tidak boleh cepat melatah dan terburu-buru.
.
25. Peniaga perlu menunjukkan kepada pelanggan yang dia sentiasa sibuk.
.
26. Peniaga tidak boleh tidur semasa menjalankan urus niaga.
.
27. Peniaga perlu berusaha menimbulkan keceriaan, bukan mencetuskan kebosanan.
.
28. Peniaga perlu memastikan premisnya penuh dengan barangan dan tidak membiarkan ada ruang kosong.
.
29. Peniaga perlu memberikan kebebasan kepada pelanggan bagi membuat pilihan.
.
30. Peniaga jangan sesekali campur tangan dan membuat keputusan bagi pihak pelanggan kecuali jika diminta.
.
31. Peniaga perlu membuatkan pelanggan merasakan kehadiran mereka dialu-alukan.
.
32. Peniaga tidak boleh berkata tidak kepada pelanggan.
.
33. Peniaga tidak boleh mewujudkan jurang dengan pelanggan apatah lagi menjadi kera sumbang.
.
34. Peniaga perlu berperanan sebagai peniaga, bukannya kaki umpat, kaki judi dan kaki arak.
.
35. Peniaga perlu belajar menggunakan wang dan meningkatkan kemahiran menabung.
.
36. Peniaga harus sentiasa menyediakan duit kecil untuk ditukar dengan para pelanggan.
.
37. Peniaga tidak boleh menunjuk-nunjuk kemewahannya di depan pelanggan kerana imej bukannya datang daripada perhiasan diri tetapi perkhidmatan yang diberi.
.
38. Peniaga jangan sesekali makan di depan pelanggan kerana dianggap sebagai perbuatan yang tidak sopan. Pelanggan tidak suka.
.
39. Peniaga perlu menampal notis apabila premisnya ditutup untuk sementara waktu.
.
40. Peniaga jangan mencari musuh kerana ia tidak baik bagi perniagaan.
.
41. Peniaga jangan terlalu suka dan kerap bercakap berkenaan keuntungan.
.
42. Peniaga perlu tahu membezakan keuntungan jangka pendek dengan keuntungan jangka panjang.
.
43. Peniaga tidak boleh terlalu yakin. Kena juga berwaspada dan berjaga-jaga.
.
44. Peniaga sebaik-baiknya tidak menjadikan premis perniagaan sebagai tempat tinggal untuk keluarga bertandang dan bersembang.
.
45. Peniaga perlu menyimpan lebihan dan stok jualan supaya tidak berlaku kekurangan.
.
46. Peniaga perlu tepati janji dan menjelaskan hutang.
.
47. Peniaga tidak akan rugi jika memberikan sedikit insentif kepada pelanggan dalam bentuk potongan harga, hadiah ataupun menambahkan berat barangan yang dibeli mereka.
.
48. Peniaga tidak boleh menipu kerana kepercayaan menjadi asas utama dalam perniagaan.
.
49. Peniaga tidak boleh menyalahkan orang lain apabila berlaku kerugian dan kecelakaan. Semuanya perlu diterima dengan hati yang cekal.
.
50. Peniaga perlu mewujudkan situasi menang-menang anatara dirinya dengan para pelanggan.
..
Dengan itu, hubungan mereka akan berkekalan dan perniagaan akan dapat bertahan.
.
Dipetik daripada buku "Rahsia Bisnes Orang Cina" karya Ann Wan Seng.

Ahad, Mac 15, 2009

Usahawan akuakultur intai sinar kejayaan

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
.
Memandangkan begitu ramai penternak yang mengusahakan ternakan ikan keli, Mohd. Nazri Alauddin, 30 mula mempelbagaikan projek ternakan ikan air akuakulturnya.
.
Aktiviti yang dijalankan oleh ayahnya sebelum ini, kini diwariskan kepadanya.
..
"Saya akan mendalami bidang akuakultur ini dan tidak akan menghampakan impian ayah," kata Mohd. Nazri semasa ditemui di ladang ternakan ikannya di Melaka Tropical Fruit Farm, Sungai Udang, Melaka.
..
Dia merupakan pengusaha projek ternakan ikan ketiga yang ditempatkan di sana selepas dua orang pengusaha tidak dapat menepati kriteria yang ditetapkan oleh syarikat subsidiari Jabatan Pertanian Melaka iaitu Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd.
..
Mohd. Nazri merupakan peserta inkubator Jabatan Perikanan yang mengikuti pelbagai kursus anjuran jabatan berkenaan di Batu Berendam, Melaka selama tiga tahun.
.
"Saya mengikuti pelbagai jenis kursus selama tiga tahun termasuk pembenihan, penjagaan dan ternakan pelbagai ikan air tawar sehingga kepada membuat palet makanan ikan dan industri hiliran berkaitan ikan.
.
"Kursus berkenaan juga meliputi ikan puyu, keli, tilapia dan pelbagai ikan hiasan," katanya yang merancang untuk mengeluarkan makanan ternakannya sendiri dalam sedikit masa lagi.Ditanya mengapa bidang akuakultur menjadi pilihan, Mohd. Nazri berkata, akuakultur merupakan bidang yang luas dan meliputi bidang pembenihan, ternakan dan peralatan.

.

"Sebagai penternak kita boleh merancang dan membangunkan arah perniagaan mengikut kemampuan masing-masing," katanya.

.

Mohd. Nazri yang mempunyai lapan orang pekerja memberitahu beliau tidak menghadapi masalah pasaran malah tidak cukup memenuhi permintaan. Bagaimanapun dia berupaya mengeluarkan sehingga lima tan ikan tilapia sebulan, dan hanya 300 kilogram (kg) ikan puyu sebulan kerana tempat yang terhad.

.

Bercerita mengenai penternakan ikan, Nazri berkata, ikan tilapia biasanya menjalankan persenyawaan secara semula jadi.

.

"Ikan betina akan bertelur dan yang jantan akan mensenyawakan telur berkenaan lalu dieram oleh betina di dalam mulut.

.

"Bagi meningkatkan kadar anak ikan yang hidup, teknik aruhan anak benih ikan digunakan bagi memberikan persekitaran yang seakan-akan sama dengan mulut induk," katanya.

.

Dalam masa tiga hari, anak ikan akan memakan kuning telur sebelum diberikan hormon untuk membesar sebagai ikan jantan. Ikan tilapia jantan lebih cepat membesar berbanding ikan betina dan ini membolehkan ikan dipasarkan dalam masa empat hingga lima bulan.

.

"Hanya ikan tilapia jantan saja diternak untuk pasaran, manakala betina dipelihara untuk dijadikan induk," katanya.

.

Bagi satu tangki berkapasiti tiga tan air, ia boleh memuatkan sehingga 3,000 anak benih ikan keli pada satu-satu masa...

.

Sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti, Nazri menggunakan teknik mikroorganisme berkesan (EM) bagi mengurangkan bau busuk daripada tangki-tangki ikannya dan menyalurkan sisa air ternakan ikan ke petak tanaman sayur.

.

"Saya merancang untuk menanam sayur menggunakan sisa air ternakan ikan sebagai baja dan ini boleh digunakan sebagai model bagi penternak ikan lain," katanya.

.

Bagi memastikan ternakan ikan mencapai saiz dan berat yang dikehendaki, penggredan perlu dilakukan setiap dua minggu.

.

Bagi mengatasi masalah lambakan ikan keli pula, Mohd Nazri menjalankan perusahaan industri hiliran bagi produk perikanan seperti serunding dan ikan salai.

.

Manakala ikan puyu pula hanya perlu disuntik hormon mengikut berat badan bagi menggalakkan pengeluaran telur. Bagi ikan puyu, telur biasa ditetaskan sama ada di dalam kolam tanah dan tangki gentian kaca.

.

Mempunyai kolam tanah, sangkar dalam tasik, kanvas, kolam simen dan kolam gentian kaca membolehkan beliau menghasilkan sehingga 200,000 benih keli, 70,000 hingga 80,000 tilapia dan 40,000 puyu.

.

Menyentuh mengenai pasaran, Mohd Nazri berkata, permintaan adalah melebihi pasaran dan beliau dalam perancangan membuka pusat pengumpulan atau hab bagi ikan air tawar di Jabatan Perikanan, Batu Berendam.

.

"Dengan pembukaan pusat berkenaan bukan saja boleh membantu pembeli mendapatkan ikan segar dan produk hiliran tetapi peralatan berkenaan ternakan ikan serta khidmat nasihat.

.

"Selain itu penternak juga boleh menjual produk mereka sama ada benih ikan, ikan segar atau produk hiliran berasaskan ikan di sini,'' katanya.

.

Mohd. Nazri berkata, ini dapat mengatasi masalah pasaran yang dihadapi oleh penternak kecil-kecilan. Merealisasikan saranan kerajaan pertanian adalah perniagaan, beliau juga merancang untuk membuka restoran ikan air tawar bagi mendidik dan mendedahkan orang ramai dengan ikan air tawar. - Utusan Online

Jumaat, Mac 13, 2009

Gates terkaya di dunia - 6 rakyat Malaysia bilionair dunia

NEW YORK - Dunia kini hanya mempunyai 793 bilionair berbanding 1,125 orang pada tahun lalu berikutan krisis kewangan, lapor Forbes kelmarin.

Enam daripada 793 bilionair itu adalah dari Malaysia yang diketuai oleh taikun Ananda Krishnan dan Robert Kuok masing-masing menduduki tempat ke-62.

Kedua-dua bilionair itu berkongsi nilai kekayaan yang dianggarkan berjumlah AS$7 bilion (RM25.85 bilion).

Tempat pertama masih dipegang oleh pengasas syarikat perisian komputer Microsoft iaitu, Bill Gates dengan kekayaannya AS$40 bilion (RM147.71 bilion).

Pelabur legenda dari Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett menduduki tempat kedua dengan kekayaan berjumlah AS$37 bilion (RM136.63 bilion).

Hartawan dari Mexico, Carlos Slim berada di tempat ketiga dengan kekayaan AS$35 bilion (RM129.24 bilion).
Dua taikun kelahiran India, Mukesh Ambai berada di tangga ketujuh dengan kekayaan AS$19.5 bilion (RM72 bilion).

Seorang lagi taikun India, Lakshmi Mittal menduduki tempat kelapan dengan kekayaan AS$19.3 bilion (RM71.26 bilion).

Hartawan George Soros berada di tangga ke-29 dengan kekayaan AS$11 bilion (RM40.61 bilion). Empat lagi rakyat Malaysia yang menduduki senarai Forbes itu adalah Lee Shin Cheng yang berada di tangga ke-234 dengan kekayaan AS$2.7 bilion (RM9.96 bilion).

Rakyat Malaysia yang turut disenaraikan adalah Teh Hong Piow yang menduduki tempat ke-261 dengan kekayaan berjumlah AS$2.5 bilion (RM9.2 bilion).
Usahawan Malaysia, Quek Leng Chan menduduki tangga ke-376 dengan kekayaan AS$1.9 bilion (RM7.01 bilion).

Seorang lagi rakyat Malaysia, Yeoh Tiong Lay dan keluarga yang menduduki tempat ke-397 dengan kekayaan AS$1.8 bilion (RM6.64 bilion).

Pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich menduduki tempat ke-51 dengan kekayaan adalah AS$8.5 bilion (RM31.39 bilion) ketika berumur 42 tahun.
Anggota kerabat diraja Arab Saudi, Putera Alwaleed Bin Talal Al-Saud berada di tempat ke-22 dengan kekayaan berjumlah AS$13.3 bilion (RM49.11 bilion).

Pemilik kelab Manchester City, Sheik Mansour bin Zayed Al Nahyan dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menduduki tangga ke-104 dengan kekayaan AS$4.9 bilion (RM18 bilion). - Agensi

Khamis, Mac 12, 2009

Senarai terbaru 20 terkaya di dunia

NEW YORK: Berikut senarai 20 orang terkaya di dunia 2009 yang dikeluarkan Majalah Forbes hari ini:
1. Bill Gates (AS$40 bilion - Microsoft - Amerika Syarikat)
2. Warren Buffett (AS$37 bilion - Berkshire Hathaway - AS)

3. Carlos Slim dan keluarga (AS$35 bilion - Telecoms - Mexico) .

4. Lawrence Ellison (AS$22.5 bilion) - Oracle - AS) .

5. Ingvar Kamprad dan keluarga (AS$22 bilion - Ikea - Sweden)

6. Karl Albrecht (AS$21.5 bilion) - Aldi - Jerman) .

7. Mukesh Ambani (AS$19.5 bilion) - petrokamia - India) .

8. Lakshmi Mittal (AS$19.3 bilion) - besi - India .

9. Theo Albrecht (AS$18.8 bilion) - Aldi - Trader Joe's - Jerman

10. Amancio Ortega (AS$18.3 bilion) - Zara - Sepanyol) .

11. Jim Walton (AS$17.8 bilion) - Wal-Mart, AS) .

12. Alice Walton (AS$17.6 bilion) - Wal-Mart - AS) .

13. Christy Walton dan keluarga (AS$17.6 bilion) - Wal-Mart, AS) .

14. S. Robson Walton (AS$17.6 bilion) - Wal-Mart AS) .

15. Bernard Arnault (AS$16.5 bilion) - LVMH - Perancis. .

16. Li Ka-shing (AS$16.2 bilion) - Hong Kong. .

17. Michael Bloomberg (AS$16 bilion) - Bloomberg, AS) .

18. Stefan Persson (AS$14.5 bilion) - Hennes and Mauritz, Sweden) .

19. Charles Koch, AS$14 bilion - pembuatan, tenaga - AS) .

20 David Koch (AS$14 bilion) - pembuatan, tenaga - AS) - AFP

Selasa, Mac 03, 2009

Rahsia Si Kaya - Aliran Pendapatan Berganda

Oleh: Irfan Khairi

Apakah sebenarnya rahsia si kaya?
Apakah persamaan yang terdapat pada mereka yang kaya raya?
Apakah strategi mereka dalammenambahkan pendapatan mereka?

Jawapannya adalah ALIRAN PENDAPATAN BERGANDA atau bak kata mat salleh, "Multiple Streams of Income".
Aliran pendapatan berganda bermaksud untuk tidak bergantung kepadahanya satu punca pendapatan sahaja. Sekiranya anda mempunyai satu punca pendapatan sahaja, apakah akan terjadi sekiranya punca pendapatan tersebut terhenti?

Sebagai contoh, sekiranya anda sedang bekerja dengan satu syarikat, dan oleh kerana sebab yang tidak dapat dielakkan (seperti krisisekonomi kini), syarikat tersebut terpaksa memberhentikan anda. Apakah akan terjadi dengan aliran pendapatan anda?

Sudah tentunya akan turut terhenti. Bayangkan sekiranya ini terjadi kepada anda. Sekiranya anda bekerja makan gaji, atau menjalankan satu jenis perniagaan, apa akan terjadi sekiranya pendapatan anda daripada satu punca tersebut terhenti?
Berapa bulan anda dapatmenampung kos kehidupan anda dengan simpanan yang sedia ada?

Bagi ramai antara kita, sekiranya kita lihat sinario ini,jawapannya amat mengejutkan. Mungkin wang simpanan yang kita adahanya dapat menampung kurang dari tiga bulan kos kehidupan kita.

"Aliran pendapatan berganda adalah apabila anda mempunyai pelbagai punca pendapatan."

Bayangkan sebuah singki yang mempunyai satu pili. Sekiranya anda membuka pili tersebut pada arus yang deras, oleh kerana lubang aliran keluar di dasar singki tersebut, air akan tetap keluar dan tidak dapat memenuhi singki itu.

Tetapi, bayangkan anda mempunyai singki yang mempunyai 4 pili.Sekiranya keempat-empat pili tersebut dibuka dengan deras, walaupunterdapat lubang aliran keluar di singki itu, tidak lama nanti,seluruh singki itu masih akan dipenuhui air sehingga melimpah -limpah.

Bayangkan setiap pili tersebut adalah punca pendapatan anda. Air yang mengalir adalah wang dan lubang di dasar singki itu adalah perbelanjaan anda.

Bagaimanakah caranya untuk menambahkan wang anda? Adakah denganhanya bergantung kepada satu pili sahaja?
Ataupun menggunakan 4pili supaya mendapat pendapatan yang berlimpah-limpah?

Aliran pendapatan yang berganda diamalkan oleh ramai golongan yangkaya. Mereka tidak hanya bergantung kepada satu punca pendapatan. Bagi usahawan yang berjaya, mereka bukan sahaja bergantung kepadasatu perniagaan sahaja, malah, mereka memulakan beberapa jenis perniagaan untuk menghasilkan untung yang berganda.

Sebagai tambahan, untung dari perniagaan pula dilaburkan untukmendapat pulangan pelaburan. Ini menambahkan lagi aliran pendapatan.

Apabila melabur pula, bukan sahaja melabur pada satu akaunpelaburan, tetapi, melaburkan pula pada beberapa akaun pelaburanuntuk memastikan untung atau rugi disebarkan. Aliran pendapatan juga turut berganda dengan pelbagai akaun pelaburan yang dimulakan.

Ramai juga yang memiliki perniagaan, dan melaburkan keuntunganmereka juga turut membeli hartanah dan menyewakan hartanah tersebut untuk memperolehi lebih keuntungan. Bukan lagi rahsia bahawa industri hartanah telah melahirkan paling ramai jutawan sejak dahulu kala lagi sehingga kini.

Hartanah juga, boleh menjadi punca pendapatan berganda apabila melabur kepada beberapa hartanah dan bukan hanya pada satu sahaja!

Pepatah mat salleh berbunyi "Don't put all eggs in one basket".Jangan letakkan kesemua telur dalam bakul yang sama. Oleh kerana, sekiranya bakul yang dikandung terjatuh, kesemua telur akan pecah. Mengandung satu bakul sahaja adalah umpama bergantung kepada satu punca pendapatan sahaja.

Dengan mempunyai punca pendapatan berganda, kita akan dapat memperolehi aliran pendapatan yang berganda. Sekiranya si kaya mempunyai 5 punca pendapatan, dimana setiap daripadanya dapat memperolehi RM3,000 setiap bulan. Jumlah pendapatan kesemuanya akan menjadi RM15,000. Sekiranya mempunyai 10 punca pendapatan, maka, pendapatan bulanan si kaya menjadi RM30,000.

Fikirkan bagaimana anda boleh gandakan pendapatan anda ketika ini. Fikir bagaimana anda boleh membuka lebih banyak pili pendapatan untuk menghasilkan aliran pendapatan yang lebih deras seperti si kaya!

Sekiranya anda ingin mepelajari lebih banyak lagi rahsia-rahsia sikaya dan melihat contoh-contoh sebenar bagaimana strategi ini telah diaplikasikan oleh 8 Mentor Jutawan Malaysia, dapatkan ebook "Mentor Jutawan Bersama Irfan Kahiri". Dapatkannya di
http://www.irfankhairi.com/mentor

Hadiah yang bermakna untuk ibu bapa anda

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.. . Hadiah yg amat bermakna untuk ibu bapa anda!!! 🎁 🎁 . GREAT EASTERN TAKAFUL telah melancarkan...