Sunday, December 30, 2012

Hasilan rumpai laut


Penduduk luar bandar antara yang mendapat manfaat daripada projek pengkulturan rumpai laut.

Rumpai laut telah dikenal pasti sebagai sumber ekonomi baru yang sedang dimajukan untuk memberi pendapatan kepada nelayan khususnya di Sabah.

Sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) projek rumpai laut merupakan sebahagian daripada pembangunan industri akuakultur selain udang laut sebanyak 21 peratus, ikan laut (tujuh peratus), kerang-kerangan (50 peratus), lain-lain sebanyak satu peratus.

Industri rumpai laut disasarkan nilai pengeluaran 30,957 tan metrik atau peratusan sumbangan sebanyak 21 peratus.

Memandangkan industri rumpai laut dilihat sebagai satu sumber ekonomi yang boleh membantu nelayan meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka, agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani giat menjalankan aktiviti pengkulturan rumpai laut.

Spesies utama yang dikultur ialah Eucheuma, iaitu sejenis spesies rumpai laut liar yang banyak terdapat di negeri Sabah.

Dua spesies utama ialah Eucheuma cottonii dan Eucheuma spinosum.

Spesies ini tumbuh dalam air tenang atau dalam air yang bergerak perlahan.

Eucheuma dipilih kerana berdasarkan kajian saintifik menunjukkan ia mengandungi bahan berguna yang boleh digunakan dalam proses asas biokimia dan bioteknologi.

Penyelidikan DR. Patricia Matanjun yang menghasilkan mi daripada rumpai laut.

Carrageenan merupakan produk yang diperoleh daripada rumpai laut yang banyak digunakan untuk pelbagai industri seperti farmaseutikal, kosmetik, kilang penapisan, pengawetan dan juga dalam industri pembuatan bahan letupan serta peluru.

Sebab itu LKIM pesat menjalankan projek pembangunan di Sabah bagi membantu nelayan di negeri tersebut dan tujuan akhirnya ialah mengeluarkan produk-produk berasaskan rumpai laut.

Berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Jabatan Perikanan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjudul Transformasi Industri Rumpai laut Negara, satu Jawatankuasa Pembangunan Industri Rumpai Laut Negara telah dibentuk pada 2008 dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha kementerian.

Pada tahun yang sama, Jawatankuasa Teknikal Rumpai Laut dibentuk yang dipengerusikan oleh Jabatan Perikanan.

Kedua-dua jawatankuasa tersebut masing-masing bertanggungjawab untuk menentukan hala tuju serta memantau dan menilai kemajuan program di peringkat nasional dan menilai cadangan program dan projek penyelidikan dan pembangunan termasuk industri hiliran dan huluan.

Jawatankuasa tersebut melibatkan beberapa institusi penyelidikan dan institusi pengajian tinggi (IPTA) antaranya, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia serta Universiti Putra Malaysia (UPM).

UMS mengetuai bidang industri huluan yang turut dianggotai oleh Jabatan Perikanan Sabah USM, Universiti Malaya (UM) dan UKM.

Bidang hiliran pula diketuai oleh oleh UKM dan dianggotai oleh Jabatan Perikanan Sabah, UMS, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Sirim Berhad, UPM dan USM.

Pembangunan industri huluan antaranya melibatkan pewujudan mini estet, pengkuluturan spesies Glacilaria sp dalam kolam dan pengkulturan Gelidium sp secara on line manakala kumpulan hiliran membangunkan sektor pemprosesan rumpai laut.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20121217/ag_02/Hasilan-rumpai-laut#ixzz2GXUu3ite
© Utusan Melayu (M) Bhd 

One pound fish

Friday, December 28, 2012

Rahsia tersembunyi para jutawan

Ini rahsia tersembunyi para jutawan.
 
Untuk menjadi jutawan, satu daripada alternatif yang terbukti berkesan adalah mempunyai sebuah perniagaan.
 
Untuk mempunyai perniagaan yang luar biasa, penting untuk kita memiliki gaya fikir (mindset) yang bakal saya kongsikan.
 
Ia boleh mengubah perspektif anda 360 darjah terhadap dunia perniagaan.
 
Malah ini juga rahsia yang saya kongsikan kepada ramai orang di luar sana.
 
Dengan rahsia tersembunyi ini, jumlah jualan mereka meningkat 10 kali ganda.
 
Sudah bersiap sedia untuk tahu rahsia tersembunyi itu?
 
Rahsianya adalah...
 
===================
Obses Terhadap Masalah
===================
 
Prinsip perniagaan sehingga kiamat adalah sama dan tidak akan berubah.
 
Perniagaan adalah:
 
"Menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pasaran tertentu, dengan mengenakan caj-caj yang tertentu."
 
Saudara, kita sebagai peniaga sebenarnya melakukan satu tugas murni.
 
Apabila kita berniaga, kita sebenarnya sedang menyelesaikan masalah orang ramai.
 
Oleh yang demikian, tanya diri anda hari ini.
 
"Masalah apa yang anda mahu selesaikan?"
 
Semakin besar masalah, semakin besar potensi untuk anda menjadi seorang jutawan perniagaan.
 
Kita ambil satu kajian kes iaitu Air Asia.
 
Syarikat ini menyelesaikan masalah orang ramai, untuk mendapatkan tiket penerbangan dengan harga yang jauh lebih rendah daripada biasa.
 
Lihat bagaimana perkembangan Air Asia hari ini?
 
Mereka berada pada tahap yang jarang dinikmati oleh peniaga lain. Bahkan mampu menaja kelab Liga Perdana Inggeris iaitu Queen Park Rangers.
 
Dengan itu, untuk berjaya dalam perniagaan, ini formulanya:
 
"Sentiasa fokus untuk menyelesaikan masalah orang ramai."
 
Semakin banyak masalah yang selesai, semakin banyak duit masuk.
 
Saya ucapkan selamat menjadi usahawan kaya dan berjaya buat anda. :)

Tuesday, December 25, 2012

Pilihan tudung di hujung jari


Ainil Hawa Sazali selesa mengayakan tudung rekaannya sendiri. 
TIDAK perlu bersusah payah pergi ke butik atau pasar raya untuk mendapatkan tudung pilihan kerana semuanya kini di hujung jari. 

Bayangkan sambil berehat di rumah, anda sudah boleh membuat pembelian tudung diingini dengan melayari kedai-kedai online melalui telefon pintar.

Antara butik dalam talian yang meriah pengikut di kalangan penggemar tudung ialah Qaira Hijab. 

Perniagaan tudung menerusi Internet ini diusahakan oleh Ainil Hawa Sazali, 27, yang juga seorang pensyarah di sebuah universiti swasta di Selangor.

Sebagai butik dalam talian, Qaira Hijab ini telah beroperasi di laman sosial facebook dan blog qairashijab.blogspot.com sejak dua tahun lalu.

"Menariknya mengenai koleksi Qaira Hijab ini ialah tudung yang dijual mengikut cita rasa wanita moden pada masa kini serta sangat sesuai digayakan oleh pelbagai lapisan umur.

"Selain itu mutu kain tudung yang berkualiti menyebabkan pelanggan sentiasa tertunggu-tunggu koleksi terbaru kami," ujar Ainil Hawa selaku pemilik dan penentu rekaan tudung bagi Qaira Hijab.

Ainil yang hadir ke studio ditemani adiknya, Izzati mengakui sentiasa mengemas kini Facebook Qaira Hijab dan akan memuat naik koleksi tudung terbaru pada setiap minggu bagi menampilkan rekaan dan corak terbaru yang selari dengan peredaran masa.

"Antara corak terkini yang laris di pasaran adalah tudung benang kapas , tudung sutera Thai dengan sulaman bunga, selendang sifon dan tudung fabrik denim.

" Namun keistimewaan koleksi Qaira Hijab ialah pada bahagian hadapan tudung (awning) yang lebih mudah dijaga termasuk jika dicuci dalam mesin basuh.

"Biarpun tidak menggunakan pelapik keras bagi membentuk awning, tudung tetap cantik terletak.

"Sementara itu, wanita yang mempunyai raut muka yang agak lebar juga tidak perlu berasa bimbang mengenai kesesuaian wajah kerana pemakaian tudung tersebut akan menampakkan muka lebih tirus," jelasnya.

Selain itu, penjelasan yang terperinci mengenai saiz, warna dan harga tudung boleh didapati pada setiap gambar produk sekali gus memudahkan lagi urusan jual beli secara Internet.

Pelanggan hanya perlu memilih rekaan tudung yang diminati dan segala urusan tempahan tudung dan pertanyaan akan dibuat melalui e-mel.
Urusan pembayaran pula boleh dibuat melalui perbankan Internet dan tempahan yang dibuat akan dihantar melalui Pos Laju Malaysia.

"Pelanggan akan mendapat tempahan mereka dalam tempoh satu hingga dua hari daripada tarikh pembayaran," katanya.

Sunday, December 23, 2012

Koleksi Buku Novel Untuk Disewa


Saya menawarkan khidmat menyewa buku novel buat peminat novel hasil karangan penulis terkenal. Saya akan kemas kini senarai buku-buku novel yang berada dalam koleksi simpanan saya dari masa ke semasa. Khidmat ini ditwarkan buat anda yang berada di sekitar Pasir Gudang sahaja.

CARA SEWA BUKU NOVEL

Harga sewa yg dikenakan ialah RM5 bagi sebuah buku untuk 1 minggu.

CARA NAK SEWA? MUDAH SAHAJA

1. SMSkan kepada saya tajuk buku, penulis dan alamat anda ke HP saya 013-726 2694 (Elly)

2. Saya akan reply balas mesej anda sama ada buku yg anda mahu available atau sedang disewa..

3. Sekiranya buku itu available saya akan bagi no akaun dan jumlah yang perlu dibayar..

4. Selepas menerima bayaran, kita boleh berjumpa di rumah saya atau kawasan yang berhampiran Pasir Gudang.

5. Tempoh sewa maksimum adalah 2 minggu dan anda hendaklah memulangkan buku itu kepada saya dengan selamatnya dalam tempoh itu..

Senangkan? So tunggu apa lagi...Jom sama2 kita membaca......

Friday, December 14, 2012

Nori usahawan magnet



Nori Anwar menunjukkan pelbagai bentuk fridge magnet yang dihasilkannya.

KEPUTUSAN Nori Anwar, 38, berhenti kerja bagi menjaga ibu tercinta tidak pernah dikesali, sebaliknya dia berbangga dengan tindakan itu
Malah langkah tersebut telah menemukannya dengan kerjaya baru iaitu sebagai usahawan.

Tambahan pula memang sejak dari awal beliau mempunyai keinginan yang tinggi untuk bekerja sendiri dan melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

Kini bersama tiga rakan kongsi, Nori sudah boleh berbangga apabila produk Mymagneticmenu iaitu magnet hiasan peti sejuk yang berkonsep resipi masakan telah berkembang jauh dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Nori berkata, idea menghasilkan magnet hiasan berkonsepkan resipi masakan muncul ketika dia sedang tercari-cari satu produk yang dapat menyelesaikan masalah orang ramai.

"Kebetulan kunjungan saya ke rumah kakak telah memberikan inspirasi untuk memulakan perniagaan Mymagnetikmenu.

"Kakak seorang pengumpul fridge magnet. Pintu peti sejuknya penuh dengan hiasan tersebut. Pada masa sama beliau juga suka mengumpul helaian-helaian kertas yang mengandungi menu masakan yang digunting dari akhbar dan majalah.

"Helaian tersebut akan ditampal di pintu peti sejuk menggunakan magnet tersebut. Keadaan itu nampak serabut dan mencacatkan pandangan selain menu yang ditampal mudah hilang," katanya.

Menurut Nori, berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dilakukan, sesuatu produk untuk pasaran perlu memenuhi kriteria tertentu antaranya berfungsi untuk membantu menyelesaikan masalah orang ramai.

"Produk yang baik dapat menyelesaikan masalah selain tidak terlalu rumit serta menarik mata yang melihatnya.

"Hasil daripada pemerhatian itu, saya terfikir untuk menghasilkan fridge magnet berkonsep baru kerana ketika ini kebanyakan reka bentuk magnet yang ada di pasaran diambil dari negara luar," katanya.

Ujar anak kelahiran Selangor itu, firdge magnet berbentuk resipi merupakan yang pertama seumpama itu di Malaysia dan telah diterima baik di pasaran.

Ini mendorong Mymagnetikmenu mempelbagaikan lagi produknya termasuk penanda buku, kad dalam pelbagai saiz dan bentuk serta cendera hati lain.

"Kebanyakan produk yang dihasilkan mengikut permintaan dan keperluan pelanggan.

"Kami memberi kebebasan untuk pelanggan menempah rekaan dan corak yang mereka inginkan berdasarkan kreativiti masing-masing.

"Mereka boleh memilih untuk membeli produk yang sedia ada ataupun menyediakan lakaran sendiri untuk kami siapkan," katanya.

Tambah Nori lagi, kini produknya turut mempunyai peminat tetap sama ada dari dalam atau luar negara yang menjadikan ia sebagai koleksi untuk mereka kumpul dan simpan.

"Terdapat dua jenis peminat yang menempah magnet ini iaitu sama ada untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi mahupun untuk perniagaan yang mereka jalankan.

"Pelanggan juga boleh menempah dengan dua cara. Pertama, mereka membuat sepenuhnya lakaran menggunakan kreativiti sendiri. Cara ini memudahkan kerja kami untuk menghasilkan magnet tersebut.

"Kedua, mereka ada idea sendiri, tetapi tidak pandai untuk membuat lakaran. Jadi, kami akan uruskan dari segi reka bentuk dan konsep setelah berbincang," katanya.

Nori mengakui, kini produknya telah melepasi pasaran antarabangsa seperti di United Kingdom, Australia, Singapura, dan Indonesia.

"Selain itu, kami juga menerima pelbagai tempahan dari badan korporat, pihak sekolah, universiti dan individu tertentu yang menjadikan f magnet sebagai hadiah mahupun koleksi peribadi.

"Antara produk terbaru keluaran kami adalah buku resipi masakan luahan kreativiti, resipi dan tip masakan dari juri MasterChef selebriti Chef Adu Amran Hassan," katanya.

Bagi peminat yang baru berjinak-jinak mengumpul fridge magnet atau mereka yang merupakan peminat fanatik boleh membeli secara atas talian di www.facebook.com/MyMagnetic atau boleh juga hubungi talian 017-2186266.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Produk/20121213/pr_02/Nori-usahawan-magnet#ixzz2EwRl3XZr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, December 09, 2012

Jatuh bangun Haji 'Suco'


Haji 'Suco' atau Ridzuan Mustapha menunjukkan air berkabonat yang telah siap dibungkus dan sedia untuk dihantar keapada pelanggan.

Biarpun berkali-kali tersungkur dalam bidang perniagaan namun ia tidak pernah mematahkan semangat Ridzuan Mustapha untuk meneruskan perniagaan air berkabonat yang diusahakan olehnya sejak belasan tahun lalu.

Masihkah anda ingat akan jenama Suco yang pernah hangat diperkatakan sekitar tahun 2000 dahulu?
Ia merupakan jenama air berkabonat buatan bumiputera sepenuhnya, namun kini pengusahanya kembali bertatih-tatih untuk berniaga setelah beberapa kali kecundang.

Semuanya bermula pada tahun 1997, apabila pada ketika itu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperkenalkan kursus membuat air berkabonat di kalangan anak tempatan.

Salah seorang peserta yang benar- benar tertarik serta yakin bahawa produk tersebut boleh dikomersialkan secara besar-besaran adalah Ridzuan sendiri.

Bermula saat itu, dia bersungguh-sungguh menyertai kursus tersebut biarpun masih berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan.

Minat yang mendalam dalam bidang perniagaan tidak menghalangnya untuk melakukan dua pekerjaan serentak.

Ujarnya, kadang kala perniagaan yang baru dimulakan tersebut turut dibantu oleh isterinya.

Seorang pekerja menyusun deretan botol air minuman sebelum dicop dengan tarikh luput.

"Apabila terdapat permintaan yang tinggi pada ketika itu saya sanggup bercuti, malah pernah bercuti tanpa gaji selama setahun untuk berniaga.

"Isteri dan keluargalah yang banyak membantu saya, malah sehingga kini sekali pun," katanya.

Setelah merasakan perniagaannya benar-benar berjaya, akhirnya Ridzuan mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dan menumpukan perhatian sepenuhnya dalam perniagaan.

Perniagaannya terus berkembang baik sehingga tahun 2000 yang mana ketika itu Ridzuan memiliki seramai 50 pekerja dan enam buah lori dan mampu mengeluarkan produk sehingga 400 kotak sehari.

Semuanya berjalan lancar sehinggalah pada tahun 2005 apabila nasib tidak menyebelahinya, akibat perbuatan khianat pihak tertentu, perjalanan perniagaannya mulai terganggu dan merudum.

Namun dalam tempoh tersebut, Ridzuan tidak mengalah dan kembali mengumpulkan modal melalui ahli keluarga sedikit demi sedikit.

Dia kembali membuka kilang air berkabonat secara perlahan-lahan, namun kali ini perniagaannya tidak serancak dahulu.

Permintaan terhadap airnya tidak lagi tinggi, akibatnya Ridzuan mengalami pusingan modal yang tidak menentu sekali gus menyukarkannya untuk melunaskan sewa kilang secara teratur.

Sekali lagi Ridzuan diuji apabila pemilik kilang tersebut mulai menyita segala peralatan dan kilang tersebut.
Segala peralatan serta kilangnya disita dan dirampas, Ridzuan jatuh 'terduduk' dan terpaksa berehat selama enam bulan.

mesin pengisian air berkabonat ke dalam botol secara automatik merupakan antara pembaharuan yang dilakukan oleh syarikat tersebut.

Jelas Ridzuan, pada ketika itu Mara telah menawarkan kepadanya tapak kilang baru di Kompleks Makanan Mara, di Batu Caves, Selangor.

"Ketika sedang menunggu kelulusan itulah pemilik kilang tersebut telah menyita segala barangan saya.
"Sekali lagi perniagaan saya jatuh merudum," katanya.

Biarpun begitu, atas sikap tidak berputus asa, Ridzuan bangkit semula dengan bantuan agensi kerajaan terutamanya Mara dengan menyediakan kilang serta beberapa bantuan lain.

Kini, Ridzuan kembali bertatih untuk memulakan perniagaanya semula dan kali ini agak berbeza berbanding sebelumnya.

Masakan tidak, jika dahulu proses membuat air berkabonat dijalankan secara manual iaitu bermula daripada proses membancuh sehingga pengisian ke dalam botol semua dilakukan oleh pekerja.

Namun kini tidak lagi apabila beliau menggunakan peralatan automatik sepenuhnya yang mampu mengeluarkan 200 kotak dalam masa satu jam sahaja.

"Kita masih dalam peringkat penyelidikan dan pengembangan (R&D) untuk mesin ini.
"Ia agak berbeza jika dibandingkan dengan kaedah manual, namun melalui teknik automatik kebersihan serta kualiti air yang dihasilkan lebih terjamin," ujarnya.

Ridzuan telah melaksanakan proses R&D tersebut hampir dua tahun dan masih lagi dalam peringkat penyesuaian.

Pembungkusan merupakan proses terakhir dikilang sebelum air minuman tersebut dihantar kepada pelanggan.

Biarpun masih dalam peringkat R&D, namun kilangnya mampu mengeluarkan hampir 5,000 botol dalam masa satu jam dan kebiasaannya akan beroperasi selama lima jam dalam sehari.

Ridzuan kini dalam proses memohon beberapa sijil seperti sijil 1 Malaysian Best dan sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP), bagi menjaga kualiti air yang dihasilkan.

Ujarnya, permintaan daripada pelanggan sehingga kini amat baik, namun masih tidak dapat memenuhi semua permintaan akibat kadar pengeluaran yang terhad.

"Apabila proses R&D serta mesin mampu untuk mengeluarkan air pada kadar maksimum kita akan terima semua permintaan ini.

"Buat masa ini kita sedang menggiatkan promosi terhadap produk Suco," katanya.
Tambahnya lagi, selain air berkabonat, kilangnya turut mengeluarkan air mineral, minuman herba serta minuman penambah tenaga.

"Kita juga sedang dalam proses uji kaji untuk mengurangkan kadar kandungan gula di dalam minuman yang dihasilkan," ujarnya.

Kini, beliau sedang giat mempromosikan produk keluarannya dan sedang dalam perancangan untuk membuka stokis di setiap negeri.

Bagi yang berminat untuk memasarkan air berkabonat keluaran Suco Industries (M) Sdn. Bhd. ini boleh menghubunginya idtalian 03-61859060 atau 03-61859062 dan untuk maklumat lanjut anda juga boleh layari laman web di www.sucoproducts.com.

Friday, December 07, 2012

Pulangan lumayan industri buluh


Abd Razak Othman menunjukan produk berasaskan buluh di pejabatnya di FRIM Kepong, Selangor.

Ramai daripada kita tahu mengenai pokok buluh, tetapi hanya sebilangan kecil yang mengetahui pokok tersebut terdiri daripada pelbagai spesies.

Spesies-spesies buluh boleh dikenal pasti menerusi beberapa ciri yang ada seperti rebung, warna dan struktur batang, dahan dan seluangnya.

Kita hanya mengenali buluh kerana kegunaannya secara tradisional seperti membuat lemang dan meriam buluh selain pokok hiasan dan ini bergantung kepada spesies buluh.

Terdapat dua sebab kenapa buluh diperlukan iaitu untuk batangnya dan kedua, penghasilan rebung.

Ramai juga tidak mengetahui bahawa buluh tergolong di dalam keluarga rumput yang mempunyai kadar pertumbuhan agak pantas.

Bagaimanapun, sumber tanaman buluh di negara ini dilaporkan menghadapi masalah jika diusahakan secara pengkomersialan kerana sumber bahan mentah agak terhad.

Kekurangan sumber bahan mentah yang berterusan dan berkualiti menjadi masalah utama dalam pembangunan industri buluh.

Setakat ini, bekalan utama buluh diperoleh daripada hutan dan menjadi satu masalah untuk membawanya keluar kerana ketiadaan infrastruktur.

Pada masa sama sumber bekalan buluh secara semulajadi itu kian terjejas ekoran pembukaan tanah untuk kegunaan pertanian dan projek pembangunan lain.

Pada masa sama, penghasilan sumber bekalan buluh juga berhadapan dengan masalah pengurusan sumber buluh asli dan ini menjejaskan pengeluarannya.

Pegawai Penyelidik, Cawangan Pengurusan Hutan Ladang, Bahagian Bioteknologi Perhutanan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) 
Abd. Razak Othman berkata, berkata terdapat dua corak pertumbuhan buluh.
Pertamanya di kawasan iklim sederhana terdiri daripada buluh monopodial di mana buluh tumbuh secara tunggal.

Satu lagi corak pertumbuhan adalah buluh di kawasan tropika yang terdiri daripada simpodial iaitu pertumbuhan berumpun.

Terdapat juga perbezaan corak pertumbuhan di antara kedua-duanya tetapi agak jarang ditemui.

Satu daripada sifat buluh yang agak unik ialah pokok berkenaan akan mati sekiranya telah mula berbunga.

Oleh itu, bagi memastikan adanya jaminan bahan mentah yang berterusan, pengurusan buluh perlu di dirangka.

Abd Razak memberitahu, penyelidikan dan pembangunan mengenai pengkomersialan buluh di agensi terbabit dimulakan pada awal 1990an.

"Penyelidikan yang kami buat berkaitan teknik pembaik biak, penanaman dan pengurusan tanaman. Kami mengenal pasti 12 speseis yang popular boleh dikomersialkan," katanya.

Kaedah pembiakan itu merujuk pembaik baka tanaman buluh khususnya 12 spesies yang boleh dikomersialkan menerusi teknik pembiakan, penjagaan di nurseri dan mewujudkan ladang buluh.

Kebanyakan buluh tumbuh selepas hutan dibalak dan pertumbuhannya amat pantas. Malah buluh boleh hidup sehingga 100 tahun.

Dengan jangka hayat yang agak lama, industri buluh sepatutnya memberi pulangan lumayan kepada pengusaha yang berminat.

Malangnya, menurut Abdul Razak, kesukaran memperoleh bahan tanaman dan kawasan penanaman (biji benih buluh) adalah antara punca industri tersebut di negara ini agak terjejas.

Sesetengah pengusaha buluh seperti di Perlis pula menanam buluh madu untuk komersial memandangkan pokok berkenaan semakin popular menjana industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya penghasilan rebung.

Menurut Abdul Razak, hasil kajian FRIM, telah memperoleh kaedah atau protokol untuk menghasilkan benih kultur tisu buluh beting.

Antara kaedah pembiakan tampang yang dikenal pasti yang selalu digunakan ialah dengan kaedah keratan rizom atau akar, keratan dahan serta keratan batang selain penggunaan kultur tisu.

"Ini bagi mengatasi masalah memperoleh biji benih buluh," katanya.

Untuk menanam pokok buluh, spesies yang sesuai perlu digunakan di mana spesies berdinding tebal seperti buluh beting, semantan, dan betung ditanam bagi menghasilkan produk bermutu tinggi seperti panel dan pepapan.

Tidak semua buluh boleh dimakan rebungnya. Antara spesies buluh yang popular rebungnya ialah buluh madu, tumpat, beting, betung dan aur.

Dalam pada itu buluh yang ditanam untuk rebung biasanya melibatkan semua jenis melainkan buluh semantan, manakala buluh tumpat hanya untuk pengeluaran rebung semata-mata.

Seperti kebanyakan tanaman lain, penanaman buluh secara umumnya melibatkan kerja-kerja membersihkan dan penyediaan kawasan tanaman (termasuk membuat teres).

Waktu penanaman yang sesuai ialah pada musim hujan iaitu April hingga Ogos di bahagian utara manakala Ogos hingga Oktober di Selatan Semenanjung.

Kaedah-kaedah penananam juga perlu mengambil kira spesies buluh yang ditanam.

Pengurusan penanaman juga berbeza mengikut keperluan sama ada untuk batang atau rebung.

Bagi pengurusan ladang, meliputi kerja-kerja lain termasuk merumput, membersihkan kawasan, membaja, mengembur tanah, penjarangan, pengawalan perosak dan akhirnya memungut hasil.

Berdasarkan pengalaman FRIM, jangka masa penanaman buluh melibatkan tempoh 15 tahun bagi keluasan 500 ekar.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20121203/ag_03/Pulangan-lumayan-industri-buluh#ixzz2EKfRWTpE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, December 02, 2012

Muslim Best tawar piza vitato untuk kekal sihat


KAKITANGAN Muslim Best Food Industries, Siti Rohani Zainal menunjukkan produk makanan piza keluaran syarikat Muslim Best Food Industries Sdn. Bhd; di Tapak Pameran MARDI, Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2012 Serdang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Muslim Best Marketing (M) Sdn. Bhd. (Muslim Best) melalui rangkaian produk makanan sejuk bekunya menawarkan satu lagi menu baharu kepada para pelanggan yang mementingkan penjagaan kesihatan berikutan kesibukan bekerja seharian.

Pengurus francais dan promosinya, Umi Kalsom Salleh berkata, Piza De Fruits De Mer Seafood tersebut bukan sahaja lazat serta padat dengan inti malah lebih berkhasiat berbanding piza sejuk beku lain yang berada di pasaran.

"Penggunaan 30 peratus campuran ubi keledek vitato dalam adunan, doh kaya dengan bahan antioksidan seperti B-karotena (memberi warna oren) yang ditukar menjadi vitamin A di dalam badan," katanya ketika ditemui di Pavilion Negeri Kelantan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2012) di Serdang hari ini.

Jelasnya, bahan antioksidan tersebut dapat mengelakkan kerosakan pada sel dan asid deoksiribonukleik (DNA) seterusnya menghalang kanser tertentu dan kecacatan berlaku serta melambatkan proses penuaan kepada individu.

"Kandungan khasiat yang tinggi dalam ubi keledek vitato juga berkesan menentang diabetes, sembelit dan kanser usus besar," ujarnya.

Ubi keledek Vitato merupakan hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang dilancarkan pada 2007.

Ubi berkenaan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Stesen MARDI Telong, Kota Bahru, Kelantan.

Menurut Umi Kalsom, ekoran permintaan yang tinggi sejak dipasarkan, Muslim Best juga berhasrat untuk menjadi peneraju makanan berkhasiat sejuk beku pertama di rantau ini.

"Dengan kemudahan kilang, mesin dan peralatan canggih, pengeluaran dapat dilakukan secara komersial bagi memenuhi permintaan," jelasnya.
Bagi tahun ini katanya, syarikat tersebut yakin mampu mencapai sasaran hasil yang ditetapkan daripada jualan piza tersebut iaitu RM200,000.

"Kami menyasarkan peningkatan 50 peratus untuk tahun hadapan serta berhasrat memasuki pasaran Maghribi pada Mac nanti," katanya sambil menambah, empat perisa baharu piza iaitu ayam lada hitam, daging lada hitam, ayam masala dan margarita turut akan berada di pasaran.

Selain piza, Muslim Best mengedarkan produk sejuk beku lain yang turut mendapat sambutan ramai antaranya murtabak, karipap, popia cendawan keju, samosa coklat pisang, sate kebab serta pelbagai jenis sos dan pencecah.

Mereka yang berminat untuk menjadi stokis, boleh menghubungi beliau menerusi 019-225 3837.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20121201/ag_01/Muslim-Best-tawar-piza-vitato-untuk-kekal-sihat#ixzz2Dp8KGuAS
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, November 28, 2012

Kembangkan industri sarang burung walet




INDUSTRI sarang burung walet (SBW) kini mengalami peningkatan mendadak apabila bilangan pengusaha bertambah dari semasa ke semasa. 

Jika dahulu perusahaan produk SBW tidak begitu dikenali, kini makanan berkhasiat yang popular sejak zaman berzaman lamanya itu menjadi tumpuan negara.

SBW asalnya hanya terkenal di kalangan kaum Cina dan di negara ini penuaiannya dilakukan di gua-gua sahaja.

Antara kawasan gua yang terkenal dan terlibat dengan pengeluaran SBW pada peringkat awal ialah Gua Niah di Sarawak iaitu bermula pada tahun 1978.

Berikutan perkembangan tersebut, pelbagai usaha sedang dilakukan oleh kerajaan dan pihak-pihak tertentu untuk menarik minat lebih ramai golongan usahawan menceburinya.

Menurut Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu (Perdasama) Muda Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan, sebanyak 4,286 usahawan terlibat dalam industri pengeluaran SBW.

"Daripada jumlah tersebut dianggarkan hampir 20 peratus terdiri daripada pengusaha bumiputera.

"Namun penglibatan bumiputera dalam industri SBW ini masih sedikit jika dibandingkan dengan potensi produk SBW yang cerah," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu majlis taklimat Peluang Niaga Dalam Industri Sarang Burung Walet yang dianjurkan bersama Perdasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), baru-baru ini.

Menerusi forum tersebut, pelbagai isu dibincangkan antaranya peluang perniagaan, proses pinjaman untuk memulakan perusahaan SBW, serta pengenalan terhadap burung walet itu sendiri.

Apa itu SBW yang sebenarnya? 

Apakah yang dikatakan dengan burung walet dan adakah ia berbeza dengan spesies burung layang-layang?

Walet seringkali disalah ertikan sebagai burung layang-layang tetapi hakikat sebenarnya ia adalah dua spesies yang berbeza.

Burung walet berasal daripada famili Apodidae dan memiliki tabiat tidak suka bertenggek. Sarangnya boleh dimakan dan terdapat tujuh spesies semuanya.

Burung layang-layang berasal daripada famili Hirudininae, gemar bertenggek, sarangnya tidak boleh dimakan kerana ia diperbuat daripada rumput dan batu dan terdapat 74 spesies. 

Terdapat hanya dua spesies burung walet yang sarangnya boleh dimakan iaitu Aerodramus fuciphagus (edible nest-swiflet) dan Aerodramus maximus (black nest-swiflet).

Kedua-dua spesies tersebut banyak ditemui di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia.

burung walet biasanya akan berada pada ketinggian 1,500 kaki dari paras laut dan kehidupan asalnya adalah di dalam gua-gua yang mempunyai kelembapan antara 80 hingga 90 peratus.

Untuk bersarang, burung walet juga memerlukan suhu sekitar 26 hingga 31 darjah Selsius dan ia kebiasaannya hidup berpasang-pasangan.

Anak burung walet yang baru menetas akan buta selama 20 hari. Apabila berusia tujuh hingga sembilan hari ia akan mula makan bolus serangga dan mula minum pada usia 10 hari.

Anak burung akan diasuh oleh ibu burung selama lima minggu di dalam sarang (peringkat tersebut dipanggil sebagai nestling) sebelum meninggalkan sarang pada usia tiga bulan (peringkat tersebut dipanggil fledgling).

Pemakanan burung walet adalah serangga dan segala aktiviti dilakukan semasa terbang kerana spesies ini tidak dapat bertenggek.

Aktiviti tersebut termasuklah aktiviti makan, minum, dan mengawan semuanya dilakukan di udara dan ia hanya akan pulang ke sarang pada waktu senja untuk berehat dan bertelur.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, kehadiran burung walet di satu-satu lokasi itu boleh dikenal pasti melalui ujian bunyian.

Jelasnya, ujian panggilan burung walet adalah satu bentuk ujian yang boleh menentukur kesesuaian sesuatu lokasi sebelum sesebuah rumah burung walet didirikan.

"JPV berperanan untuk memberikan khidmat nasihat berserta kepakaran termasuk perkhidmatan ujian bunyi panggilan burung walet kepada bakal pengusaha.

"Apabila lokasi yang tepat telah dikenal pasti, pembinaan premis boleh dilaksanakan bergantung kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh JPV," katanya.

Ujian bunyi panggilan burung walet memerlukan lokasi yang strategik dan sesuai iaitu tempat yang dikenal pasti mempunyai kehadiran burung walet.
Lokasi yang mempunyai banyak sumber makanan burung walet merupakan antara kawasan yang sesuai untuk didirikan premis untuk kediaman burung walet. 

Dalam pada itu, Dr. Abdul Aziz menambah kini pengusaha SBW mampu menghasilkan sehingga 30 kilogram (kg) SBW yang mana harga bagi satu kilogram produk tersebut mencecah RM4,000 hingga RM6,000.

Katanya, permintaan terbesar bagi pasaran SBW kini tentulah negara China yang mempercayai khasiat SBW sejak ratusan tahun dahulu.

"Purata permintaan bagi seluruh dunia untuk produk SBW adalah 12,000 tan metrik setahun, namun jika dicampur pengeluaran dari semua negara-negara sekitar Asia Tenggara, kita hanya mampu menghasilkan sehingga 500 tan metrik sahaja.

"Oleh itu, peluang dalam industri SBW ini masih terbuka luas dan permintaan terhadapnya masih tinggi terutamanya dari negara China," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia di bawah MOA telah berjaya menyelesaikan isu yang berbangkit berkenaan produk SBW dengan negara China.

"Kedua-dua negara telah bersetuju dengan segala syarat dan protokol yang telah dikenakan dan kerajaan menerusi MOA akan menandatangani protokol yang mana China akan membuka semula pintu untuk menerima SBW dari Malaysia," katanya.

Monday, November 26, 2012

Cara start bisnes dari zero

.

Sy dapat PM dari hamba allah yang ada masalah, dan tanya camna nak start bisnes dari zero.

Ini jawapan ringkas saya.

Nak dikongsi pada yang lain - semoga membantu.

Ia bukan jawapan mutlak. Ia jawapan yang "jadi" bagi saya, dan mungkin segelintir orang lain. Tiada betul, dan tiada salah. Cuma kongsi pengalaman.

--------

salam. tq kerana sudi kongsi cerita.

macam ni..
saya pun tak pasti tahap kewangan brader camna...
tapi yang sy khuatir, kalau brader tiada modal utk DVD..bagaimana pula modal untuk beli stok produk, pemasaran, dan lain-lain?

Jadi sy anggap je brader memang kekurangan modal sangat2. Kalau saya silap, mohon maaf.

1st, brader kena fokus nak buat apa. Dalam 1 PM ringkas ni, sy dah dengar golf, avon, cosway, kerongsang. Membuatkan saya rasa brader ni belum pasti nak buat apa.

1st step - decide. Buat keputusan nak buat apa. Yang sy syorkan apa2 produk atau service dalam industri berikut:



1) Kecantikan atau kesihatan - termasuk kosmetik, vitamin, ubat-ubatan

2) Kewangan - unit trust, takaful, investment, peluang perniagaan, dll.

3) Kekeluargaan - pelancongan, produk intim suami isteri, mainan kanak-kanak, fesyen

4) Kerohanian - buku motivasi, dvd/vcd agama, dll.

Kalau brader ada nampak orang maju buat satu produk...nasihat saya...ikut dan jual lah apa yang dia jual. Sebab nak jual benda yang dah terbukti laris..jauh lagi senang dari nak ambil produk baru, dan cuba "create market baru" dan "lariskan dari zero".

2nd step - Letak goal yang realisitik berapa tuan perlu. Kalau perlu sara hidup RM3000 sebulan - tetapkan ini income yang brader perlu. Tulis besar2 tampal depan cermin. Simpan dalam wallet. Tiap2 hari tengok matlamat ni.

3rd step - Buat satu pelan jelas, apa aktiviti yang brader kena buat tiap2 hari utk capai.

Contoh..kalau tuan decide nak jual vitamin. Untung sebotol adalah RM20. Bermaksud tuan kena jual 150 botol vitamin sebulan utk capai matlamat RM3000. 150 botol bersamaan dengan 5 botol sehari.

Bermaksud, brader kena jual 5 botol sehari. Pastikan aktiviti harian tuan hanya FOKUS pada bagaimana nak jual 5 botol sehari.



JIka tak tau, maka kena belajar dari orang yang pernah buat. Pergi cari guru yang boleh ajar percuma. Tanya saja kenalan yang ada buat bisnes dan tanya bagaimana dia buat. bagaimana dia pasarkan.

4th step - amal apa yang diajar oleh guru tersebut. pastikan dia orang yang betul berjaya. kalau ya, ikut saja apa yang diajar tanpa terlalu banyak fikir itu ini. Jangan fikir "kalau gagal macamana?". "kalau orang tak beli macamana?"? Jangan fikir. ikut je.

Itu saja. Sy rasa dengan 4 step ni, kalau brader ikut - insyaAllah boleh dapat apa yang brader nak tu.

4:12pm
Faisal Abdullah

Guru bermaksud saya - orang yang jual vitamin jugak.

kalau tuan nak jual kerongsang - tuan kena berguru dengan orang yang pernah berjaya kerongsang jugak. faham ya? ini saja shortcut utk berjaya

salah satu bisnes tanpa modal adalah dropshipping. sila google utk maklumat lanjut
-
Faisal Abdullah