Khamis, Februari 11, 2010

Bekas pramugari tauke keropok

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 10 Feb. – Demi memberikan tumpuan kepada keluarga terutama anak-anak yang masih kecil, Sue Izawani Sudin, 38, meninggalkan kerjaya di awan biru lima tahun lalu.
.
Pengorbanan itu barangkali berbaloi memandangkan ia membuka ruang kepada wanita itu menceburi industri kecil dan sederhana (IKS) dengan menghasilkan keropok lekor.
.
Lebih membanggakan, setelah hanya beberapa tahun berkecimpung dalam bidang itu, Sue Izawani mampu memiliki kilang keropok sendiri.
.
Beroperasi di Green Technology Park, Seremban 2 di sini sejak lima tahun lalu, kilang tersebut kini menjadi pembekal keropok lekor di seluruh negeri ini.
.
Bercerita tentang pembabitan awalnya dalam bidang tersebut kata Sue Izawani, ia didorong oleh minat dan keinginan untuk membina karier sendiri.
.
“Saya melihat potensi penghasilan keropok lekor sejak lima tahun lalu memandangkan makanan ini menjadi kegemaran ramai.
.
“Ketika itu tiada lagi kilang memproses keropok lekor di negeri ini berbanding dengan negeri-negeri lain,” katanya ketika ditemui di kilangnya itu di sini hari ini.
Sue Izawani menambah, bermula secara kecil-kecilan termasuk menyewa kilang tersebut, beliau kini mampu memiliki kilang berkenaan.
.
Katanya, dalam sehari kilang tersebut menghasilkan lebih 500 kilogram keropok lekor bagi memenuhi permintaan pelanggan.
.
Pelanggannya terdiri daripada peniaga pasar malam, pasar tani, restoran dan orang awam.
.
Menurut beliau, keropok lekor serta kuih ‘cakoi’ yang dihasilkannya istimewa kerana menggunakan resipi sendiri.
.
“Resipi ini saya reka berdasarkan pengalaman sendiri termasuk resipi daripada ibu bapa saya yang berasal dari Terengganu.
.
“Demi mengekalkan keasliannya, saya menggunakan bahan mentah termasuk ikan berkualiti yang diperoleh daripada pembekal dari Kuala Selangor,” katanya.
Bercakap tentang operasi kilang tersebut kata Sue Izawani, beliau hanya memerlukan antara tiga hingga lima pekerja setiap hari.
.
“Dahulu ramai tenaga kerja diperlukan iaitu sehingga 10 orang tetapi kini tidak lagi kerana kilang ini memiliki peralatan seperti mesin mengadun, merebus dan memotong.
.
“Peralatan ini saya miliki dengan bantuan daripada Jabatan Pertanian yang banyak membantu selama ini,” katanya lagi.
.
Selain itu katanya, syarikatnya turut memperkenalkan keropok lekor jenama Sue‘s Recipe untuk pasaran pasar raya di negeri ini.
.
Menyentuh tentang perancangan masa depannya kata Sue Izawani, beliau berhasrat untuk mempopularkan produk tersebut ke seluruh negara termasuk memasarkannya di pasar raya besar.
.
“Orang mungkin bercakap tentang pasaran global, tetapi kalau pasar raya besar di negara ini pun tidak mampu kita tembusi bagaimana?” katanya.
.
Berdasarkan pengalamannya, Sue Izawani tidak menafikan bukan mudah untuk berurusan dengan pengurusan pasar raya yang meletakkan pelbagai syarat.
.
“Sekarang kerajaan mewajibkan semua pasar raya besar menempatkan 30 peratus produk IKS dan saya berharap ia membuka lebih banyak ruang kerana sukar bagi pengusaha individu untuk merebut peluang ini.
.
“Jika semua pengusaha bergabung perkara ini mungkin dapat dilaksanakan dengan baik termasuk memastikan pengeluaran produk menepati masa yang ditetapkan seperti yang disyaratkan oleh pasar raya terbabit,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Jumlah Pengunjung