Isnin, Oktober 10, 2011

Industri kerepek terus berkembang


PEMBUATAN kerepek dan kudapan tradisional kini pesat berkembang dengan nilai jualan mencapai lebih RM150 juta sepanjang tahun lepas.

Sebut sahaja apa jenis kerepek sama ada ubi kayu, pisang, keledek, bawang, ubi pedas, ubi masin, pisang atau rempeyek, jarang lagi yang tidak dapat membayangkannya.

Malah ketika menonton televisyen atau bersembang minum petang bersama keluarga pun kerepek menjadi antara hidangan ringan.

Kalau suatu ketika dahulu produk kampung ini kelihatan comot tetapi kini sudah menyamai standard kudapan antarabangsa daripada segi kepelbagaian rasa, kesetaraan bentuk, saiz dan pembungkusannya.

Menurut data Pertumbuhan Industri Snek Malaysia daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), kerepek adalah penyumbang jualan terbesar dalam pertumbuhan industri itu dengan sasaran jualan sebanyak RM102.1 juta.

Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin berkata, peningkatan keseluruhan jualan bagi industri kudapan Malaysia kini berada pada tahap yang amat memberangsangkan dan keadaan ini disebabkan faktor permintaan yang tinggi di pasaran.

"Permintaan yang tinggi bagi kerepek telah menyebabkan ramai pengusaha menghadapi kekurangan bahan mentah seperti ubi kayu, ubi dan pisang.

"Bagi menampung kekurangan bahan mentah untuk pemprosesan kerepek, FAMA mewujudkan sistem ladang kontrak di mana peserta digalakkan bercucuk tanam dan hasilnya nanti akan dibeli oleh FAMA," katanya.

Selain kerepek, snek buah-buahan juga dijangka meningkat jualannya iaitu sebanyak RM46.7 juta berbanding RM44.5 juta tahun lepas. Angka ini belum termasuk kudapan lain seperti muruku dan kekacang.

Beliau berkata, menerusi promosi FAMA banyak produk tempatan yang berjaya dipasarkan di peringkat antarabangsa dengan menggunakan perakuan jenama 1Malaysia Best.

Katanya, kerepek tempatan seperti kerepek ubi kayu dan pisang bukan sahaja mempunyai peminatnya tersendiri dalam kalangan warga tempatan, bahkan turut diminati di luar negara.

"Setakat ini bagi kerepek, kita dah eksport ke Brunei Darussalam dan Asia Barat. Kita juga cuba untuk memasarkan produk tempatan ini ke negara lain, tetapi kita menghadapi kekurangan bahan mentah.

"Insya-Allah kita akan cuba tingkatkan pengeluaran bahan mentah itu, supaya banyak lagi negara yang boleh kita masuki pasarannya. Sekarang ini kerepek kita yang pelbagai jenis perasa sudah pun setanding dan mengambil tempat cip kentang keluaran luar negara," katanya.

Sementara itu, Abdulah Sani Adam, 67, dari Kampung Sungai Lang, Banting, satu daerah yang terkenal dengan produk kerepeknya, berkata kerepek kini diusahakan bukan lagi di rumah tetapi di kilang milik pengusahanya.

"Kini sebab dah terkenal, pakcik tengok bila nak dekat musim raya saja, mesti ramai datang ke Banting nak beli kerepek," katanya,

Industri snek ini dalam caranya tersendiri membantu menggerakkan ekonomi luar bandar dan meningkatkan pendapatan penduduk, yang tidak kurang banyaknya berusaha secara berkelompok di bawah projek Satu Industri Satu Kampung.

Sementara itu, Mohd Afiq Mohd Zain, 25, yang bekerja di kedai kerepek di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini berkata, sambutan meningkat masyarakat terhadap kerepek menyebabkan tuan kedainya memutuskan untuk terus berniaga di situ untuk tahun keempat.

"Saya di sini berniaga dah empat tahun iaitu ketika musim perayaan. Harga jualan kita masih lagi sama iaitu pada RM8, RM10 dan RM15 mengikut jenis kerepek. Jualan kita tak pernah tak habis. Setiap tahun kita berniaga, memang habis kerepek kita," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Jumlah Pengunjung