Selasa, Januari 10, 2012

Baja EM kajian sendiri



Zamani Mohd. Noor kini boleh berbangga dengan kejayaan menghasilkan baja organik sendiri.


Bermula dengan hobi berkebun, Zamani Mohd. Noor sentiasa mencari yang terbaik untuk meningkatkan produktiviti tanamannya.

Mana saja baja yang dikatakan berkesan pasti dia akan membeli dan mencuba pada tanamannya.

Bagaimanapun kesukaran mencari baja yang berkesan, baik serta sesuai bagi pertanian mendorong Zamani menjalankan kajian sendiri.

"Memang sukar mencari baja yang menepati keperluan tanaman saya ketika.

"Bukan semua baja dapat menyuburkan tanah dan dalam masa yang sama mengelakkan jangkitan pada tanaman," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Wangsa Biz Avenue, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Biasanya ukuran baja menggunakan rujukan nitrogen, fosforus, kalium atau NPK dan biasanya baja kimia mempunyai nisbah NPK yang tinggi.

Bagaimanapun kebanyakan baja yang ada di pasaran seperti tidak mampu mengeluarkan hasil yang tinggi.

Malah penggunaan baja kimia secara berterusan dan berlebihan boleh menyebabkan tanah 'mati' dan perlu dipulihkan semula.

"Tanah yang telah mati mengambil masa hampir tiga tahun untuk dipulihkan dengan memelihara koloni cacing yang berfaedah dalam pertanian," katanya.

Justeru pada tahun 2007, Zamani menjalankan kajian mengenai baja yang menggunakan mikrob yang berfaedah (EM).

Minatnya terhadap baja mendorong Zamani membangunkan Suzahara Ventures Sdn. Bhd. bagi memasarkan produk bajanya.

"Bagi memastikan produk baja kami berkesan, kami bekerjasama dengan BIFA Farm yang menanam pelbagai tanaman di tanah seluas 1,000 hektar di Bandar Muadzam dan Rompin Pahang serta Kota Tinggi dan Gelang Patah di Johor," katanya.

Buat masa ini, pelanggan tetap Suzahara Ventures adalah PPK Johor.

Mempunyai kilang di Gelang Patah, Johor ia berupaya mengeluarkan sehingga 10 hingga 12 tan baja setahun.

"Kami sedang merancang meluaskan lagi operasi dengan membina sebuah lagi kilang di Kempas, Johor bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Zamani berkata, kelebihan baja Suku Bumi keluaran Suhazara adalah pokok cepat berbuah.

Misalnya pokok durian belanda yang biasanya berbuah apabila mencapai usia 18 bulan, telah mula mengeluarkan bunga pada bulan ke lapan.

"Ketika itu kami yang tidak mempunyai cukup pekerja terpaksa memetik buah yang masak untuk dijadikan puree," katanya.

Selain itu Zamani berkata pihaknya juga memasarkan jus limau kasturi yang sesuai untuk masakan dan minuman.
Mereka yang berminat mengetahui mengenai baja Suku Bumi boleh menghubungi Suzahara Ventures di http://suzahara.blogspot.com/ atau menghubungi 03-4142 4140/4450/4453. -utusan malaysia

Tiada ulasan:

Hadiah yang bermakna untuk ibu bapa anda

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.. . Hadiah yg amat bermakna untuk ibu bapa anda!!! 🎁 🎁 . GREAT EASTERN TAKAFUL telah melancarkan...