Saturday, August 30, 2014

Teknologi pertanian tepat



Padi atau nama saintifiknya, Oryza sativa, merupakan makanan ruji bagi setiap rakyat di Malaysia dan negara-negara Asia. Dianggarkan seorang dewasa di Malaysia memerlukan hampir 77 kilogram (kg) beras setiap tahun menjadikan makanan asas tersebut amat penting kepada negara.

Jelapang padi di negara ini juga tidak kurang luasnya, di samping penggunaan baka dan varieti padi yang berkualiti tinggi setanding dengan negara-negara luar.

Di mana silapnya apabila kualiti beras yang dihasilkan masih tidak dapat menandingi beras dari luar negara.

Oleh itu ada alasan yang kukuh kenapa teknologi perlu memainkan peranan membantu memainkan peranan penting dalam usaha memperkasa industri padi dan beras tempatan.

Senario semasa menunjukkan tahap sara diri (SSL) keperluan beras negara masih kekal sebanyak 70 peratus manakala selebihnya adalah diimport.

Kerajaan telah menyasarkan kadar SSL meningkat sehingga 100 peratus menjelang 2015 apabila mendapati bekalan beras negara hanya mampu bertahan selama tiga bulan semasa krisis makanan pada tahun 2008.

Namun, bagaimanakah sasaran tersebut dapat dicapai sekiranya industri padi masih berada pada takuk lama? 

Malah industri tersebut juga sering dikaitkan dengan kadar kemiskinan.

Terdapat kajian dijalankan sekitar tahun 2010 mendapati kadar pendapatan pesawah di negara ini masih kekal pada kadar RM1,300 sebulan menunjukkan hasil pertanian tersebut diperoleh adalah tidak seberapa.

Jelaslah satu daripada pendekatan yang tidak boleh diketepikan ialah bagaimana teknologi memainkan peranan membantu memberi nilai tambah terhadap industri padi dalam setiap rantaian bekalan.

Terbaharu Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Kejuruteraannya memperkenalkan dua lagi teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh industri dan juga penanam serta pengusaha tanaman tersebut.

Teknologi tersebut ialah mengesan kematangan padi dan satu lagi berkaitan pemetaan tanah bagi menentukan tahap kesuburan tanah atau SoilPro.

Menurut Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biologi dan Pertanian Fakulti Kejuruteraan, UPM Professor Dr. Wan Ishak Wan Ismail, kualiti beras yang dihasilkan bergantung kepada masa padi dituai.

Jelasnya, penuaian padi pada masa yang tepat dapat menghasilkan kualiti dan hasil beras yang terbaik.

“Namun bagaimanakah kita dapat menentukan dengan tepat kematangan padi yang akan dituai?

“Rata-rata petani masa kini merupakan generasi baharu yang kurang berpengalaman berbanding generasi petani dahulu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di UPM Serdang, baru-baru ini.

Ujarnya, petani generasi hari ini banyak bergantung kepada kemudahan teknologi, jentera serta maklumat yang disediakan melalui teori yang kadang kala tidak tepat terutamanya apabila keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Pergantungan kepada teknologi terkini tidak salah, malah itu adalah fenomena di seluruh dunia yang tidak dapat kita elakkan.

“Oleh itu, kita perlu berevolusi seiring dengan perkembangan tersebut dengan menghasilkan alatan mahupun teknologi yang dapat menangani permasalahan yang dihadapi," katanya.

Terbaru, Dr. Wan Ishak bersama pelajar sarjananya, Choe Lip Haw berjaya menghasilkan teknologi mengenal pasti masa tuaian padi dengan kaedah pemprosesan imej.

Jelas Dr. Wan Ishak, teknologi tersebut menggunakan konsep menjangka masa tuaian yang sesuai menerusi gambar padi yang dirakam pada setiap peringkat usia.

“Setiap warna mempunyai nilai yang tersendiri, maka dengan menentukan warna kematangan padi dan daunnya, satu ramalan masa penuaian yang tepat dapat diperoleh.

“Kajian ini dilakukan bagi membantu petani untuk menentukan masa tuaian yang tepat seterusnya meningkatkan produktiviti," katanya.

Beras yang berkualiti dinilai berdasarkan peratusan head rice yang tinggi dan yang sempurna hanya boleh didapati daripada padi yang benar-benar matang.
Isi padi (beras) yang tidak matang adalah seperti kapur, rapuh dan mudah hancur apabila menjalani proses kisaran.

Padi yang terlalu matang atau terlebih masak juga menyebabkan penurunan kualiti beras, mudah rapuh, dan berisiko tinggi dimakan oleh serangga dan burung.

Oleh yang demikian penentuan masa yang benar-benar sesuai amat penting dan kritikal, malah perbezaan satu hari tuaian akan menyebabkan hasil yang diperoleh juga berbeza.

Kaedah yang sering digunakan oleh petani sebelum ini adalah dengan mencatat tarikh benih disemai dan mengira secara manual masa yang sesuai untuk proses tuaian.

Apabila hampir kepada masa menuai, petani akan meninjau keadaan padi dan memerhatikan perubahan tumbuhan tersebut daripada hijau kepada kuning keemasan secara manual.

Walaupun demikian, tidak semua petani mampu menentukan kadar kematangan padi dengan tepat dan ia bergantung kepada pengalaman petani tersebut.

Kajian dilakukan berdasarkan pemahaman terhadap maklumat morfologi padi yang sedia ada seperti kadar waktu perubahan warna padi dan kekerasan benih apabila menjelang masa tumbuhan tersebut matang.

Untuk menentukan masa tuaian dengan lebih tepat, berat serta kekerasan beras perlu dikaji terlebih dahulu untuk mengelakkan masalah beras rapuh.

Setelah waktu beras mencapai berat dan kekerasan maksimum diperoleh, maklumat tersebut akan dikaitkan pula kepada jangka masa selepas semaian.
Menerusi maklumat dan data keadaan padi dan beras sebelum dan selepas kematangan maksimum, kadar waktu penuaian yang tepat dapat ditentukan.

Menurut Dr. Wan Ishak, mereka menggunakan format imej RGB (merah,hijau,biru) kerana format tersebut dapat menentukan kadar warna dengan lebih tepat.

Kamera DSLR digunakan untuk merakam imej padi serta daunnya setiap hari dan diproses menggunakan komputer untuk mendapatkan nilai-nilai warnanya, manakala mesin penimbang untuk mengetahui perubatan berat dan mesin tekanan untuk mengetahui kadar kekerasan beras.

Menerusi kaedah tersebut, didapati berat padi meningkat menjelang tempoh kematangan namun akan menyusut selepas tempoh tersebut, manakala kekerasan benih akan meningkat secara mendadak dalam tempoh yang sama.
Dianggarkan berat padi akan menyusut sebanyak 1.5 peratus hanya selepas dua hari tempoh kematangannya jika tidak dituai dan faktor tersebut berkait rapat dengan kadar harga yang akan ditentukan.

Walau bagaimanapun,kematangan benih padi adalah tidak sekata bagi setiap tangkai iaitu, benih di hujung akan masak terlebih dahulu berbanding benih di sekitar pangkal tangkai.

Perbezaan tahap kematangan di antara hujung dan pangkal memakan masa lapan hari, oleh itu teknik penentuan masa penuaian yang sesuai menerusi teknologi imej amat perlu bagi menentukan hasil yang maksimum.

Ujar Dr. Wan Ishak, teknologi tersebut masih di peringkat prototaip dan akan dimuatkan menerusi aplikasi yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar.
“Kita yakin, petani generasi masa kini boleh menggunakan teknologi tersebut dengan baik kerana setiap dari mereka pasti memiliki telefon pintar yang boleh mengambil gambar dan memuat turun aplikasi ini," katanya.

Teknologi itu juga diharapkan dapat mengatasi masalah penentuan masa penuaian yang sesuai terutamanya bagi mereka yang kurang berpengalaman sekali gus dapat mengurangkan kerugian yang sering dialami akibat penuaian yang tidak tepat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20140825/ag_01/Teknologi-pertanian-tepat#ixzz3BqUw7skU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

2 comments:

puteri said...

Jangan terkejut dengan apa yang bakal anda baca di ---http://toneexcel.biz/?id=419131

Jana duit hanya dengan guna handphone!!!

Anonymous said...

Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, juga jika anda ingin membeli rumah di atas ansuran bulanan kita juga boleh menjual rumah untuk anda. supaya Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com, Mungkin ada banyak sebab mengapa anda perlu akses kepada beberapa wang tunai tambahan - daripada yang tidak dijangka pembaikan kereta atau rumah untuk membayar perkahwinan anda atau cuti khas. Tetapi apa sahaja yang anda memerlukannya, apabila anda meminjam antara $ 5,000 USD untuk 100,000 USD di atas.

pengkhususan Syarikat.
1) Kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%.
2) Kami juga boleh membeli sebuah rumah pilihan anda dalam mana-mana lokasi pilihan anda.