Showing posts with label Memahami Kapitalisme. Show all posts
Showing posts with label Memahami Kapitalisme. Show all posts

Sunday, May 10, 2009

Hutang, Riba Hukum-hakam Pemodal

Hishamuddin Rais May 11, 2009 13:36pm
.
Semua yang wujud dalam alam ini bergerak mengikut hukum alam. Manusia wujud melalui DNA. Bumi ini wujud kerana pertemuan, asakan dan pergumpalan pelbagai bentuk elemen kimia yang terpencar bersepah dalam udara hasil daripada Letupan Besar.
..
Seperti besi berani yang akan terus menghala medannya ke utara, begitu juga hukum hukum alam ini tidak berubah-ubah. Manusia yang memiliki akal akan mencari dan menemui hukum-hukum ini. Penemuan hukum-hakam alam ini menjadikan asas kepada tamadun manusia. Hukum alam ini tidak akan beralih-alih. Hukum-hakam ini berkecuali, tidak memiliki nilai. Nilai baik atau jahat lahir daripada akal manusia.
..
Madame Marie Curie menemui radium dan menemui cahaya X dalam uranium. Dia juga menemui hukum-hakam uranium. Ciri dan watak uranium tidak pernah berubah. Apabila ditemui ciri dan hukum-hakam uranium, maka akal manusia jugalah yang cuba mengubah hukum-hakam ini sehingga melahirkan bom atom. Kajian hukum-hakam algebra dan ilmu bintang oleh al-Khwarizmi di Baitul Hikmah, Baghdad di zaman Khalifah Al-Mamun berkembang hingga ke hari ini. Hukum ilmu bintang ini berkecuali – hanya kuasa imperial Anglo-Amerika yang menggunakan hukum ini untuk kebejatan dengan meletakkan senjata di atas langit.
..
Kapitalisme juga bergerak mengikut hukum-hakam. Hukum pertama kapitalisme ialah: untuk mendapatkan keuntungan maksimum. Hukum ini tidak akan beralih-alih. Sama ada kapitalis ini Majusi, Yahudi, Nasrani atau Islam – hukum kapitalis tetap sama. Kapitalisme juga bergerak melalui hutang. Sistem kapitalisme akan runtuh jika hutang dan riba tidak wujud. Kepala jahat yang melahirkan hutang dan riba ini ialah bank. Justeru kita wajib memahami bagaimana bank mula bergerak untuk mendapat keuntungan maksimum.
..
Sebelum kemunculan bank – di zaman kapitalisma kaum pedagang - emas adalah tukaran. Justeru, jika kita menyemak Sejarah Melayu, kita akan terbaca ufti yang dibayar kepada Raja Siam berbentuk Bunga Emas. Kita juga terbaca perkataan perak sebagai wang. Jika melawat musium, kita akan akan dapat melihat mata wang lama Alam Melayu – emas dan perak.
..
Para saudagar yang berniaga akan mengupah tukang emas untuk membuat kepingan emas dan perak ini sebagai tukaran membeli-belah. Saudagar akan meninggalkan emas dan perak untuk disimpan ke dalam peti besi tuan kedai. Kepingan emas dan perak ini dijaga rapi. Sebagai tandanya, tuan kedai akan menulis di atas kertas jumlah emas yang tersimpan. Kertas ini cukup berharga. Sesekali si saudagar akan datang melihat emasnya yang tersimpan.
..
Tuan kedai emas melihat bahawa surat yang ditulisnya telah diyakini umum. Keyakinan ini datang kerana tuan kedai bukan hanya menyimpan untuk seorang saudagar tetapi berbelas-belas. Jika ada si saudagar atau sesiapa yang datang untuk melihat emasnya, tuan kedai akan memperlihatkan emas-emas kepunyaan saudagar yang lain. Keyakinan bertambah. Dari sini hukum kapitalisme bergerak lagi.
..
Contohnya, tuan kedai menyimpan 100 keping emas yang dimiliki saudagar Buluh Kasap. Jika disimpan, maka nilainya tidak bertambah. Justeru tuan kedai telah menulis 200 keping kertas untuk Buluh Kasap. Ertinya, ada seratus keping kertas lebih daripada 100 keping emas. Lebihan kertas ni menjadikan modal saudagar Buluh Kasap bertambah satu kali ganda.
..
Kertas yang ditulis oleh tuan kedai ini diuar-uarkan sama dengan nilai emas yang tersimpan dalam peti besi tuan kedai - inilah asal-usul duit kertas atau bank note. Daripada pengalamannya, tuan kedai tahu bahawa para saudagar ini tidak semuanya akan datang serentak untuk melihat emas simpanan masing-masing. Justeru, dia boleh memutarbelitkan jumlah kepingan emas yang disimpan. Hukum keuntungan maksimum sistem kapitalis bergerak lagi.
..
Kali ini tuan kedai bukan lagi mengeluarkan kertas kepada si penyimpan emas sahaja tetapi telah berani menjual kertas ini kepada sesiapa sahaja yang sanggup membayar untuk digunakan sebagai modal. Kertas yang dijual ini pastilah telah melebihi daripada jumlah emas yang tersimpan. Perkara ini tidak diketahui umum kerana tuan kedai menyimpan emasnya secara rahsia - konon untuk menjaga kestabilan suasana perniagaan. Tuan kedai emas menjadi kaya dengan menjual kertas kosong yang tidak berasaskan emas. Justeru inilah asal-usul bank dalam sistem kapitalisme.
..
Amat jelas bank bermula dengan pembohongan. Pembohongan ini menjadi kukuh kerana adanya keyakinan daripada orang ramai. Mereka yakin kerana melihat ramai saudagar telah menyimpan emas dengan tuan kedai. Tuan kedai emas ini juga dilihat hebat di kalangan masyarakat kerana memiliki rumah besar, isteri gemuk, makanan sedap, ada babu dan pengawal peribadi. Tuan kedai emas ini akhirnya menjadi pemilik bank. Gejala ini berlaku 500 tahun dahulu.
..
Jika kita membaca karya Shakespeare, kita akan bertemu dengan si Mamat yang bernama Shylock tuan peminjam wang di kota Venice. Shylock ini watak pemilik bank 500 tahun dahulu. Hari ini watak, hukum-hakam dan ciri-ciri seorang pemilik bank tidak pernah berubah. Hutang wajib dibayar. Jika tidak, daging seketul wajib diagihkan.
..
Hari ini, 500 tahun kemudian, asas hukum perbankan tidak pernah berubah tetapi cara pengendalian lebih tersusun. Umum selalu bertanya dari mana datangnya wang. Jawabnya: yang mencetak wang ialah bank. Caranya tidak jauh bezanya daripada amalan tuan kedai emas dahulu.
..
Contoh: Ada sebuah bank bernama Bank Buluh Kasap yang memiliki modal sebanyak 100 ringgit. Bank ini mendapat pelanggan 10 orang yang menyimpan 100 ringgit seorang. Ertinya bank ini ada 1100 ringgit. Bank ini kemudian memberi pinjaman kepada 10 pelanggan baru. Setiap pelanggan dipinjamkan 200 ringgit. Lihat silap mata! Dari 100 ringgit modal asal, kini menjadi 2100 ringgit.
..
Bank ini sebenarnya tidak memberikan pinjaman duit tetapi kredit. Tidak ada duit bertukar tangan - ini duit atas angin. Tuan punya bank seperti tuan kedai emas tahu bahawa tidak semua pelanggan akan datang serentak untuk mengeluarkan duit simpanan.Bank memungut bunga dan riba – yang dipanggil untung.
.
Duit bunga ini akan terus dipusingkan untuk dipinjamkan lagi. Ertinya duit dalam sistem ekonomi kapitalis lahir daripada hutang dan bunga. Beginilah yang telah dilakukan oleh semua bank. Inilah caranya bagaimana duit muncul dalam pasaran. Sistem bank dalam ekonomi kapitalis bergerak mengikut hukum ini.
..
Dalam masa yang sama, si peminjam diminta memberi cagaran – amalan ini untuk menjamin keuntungan kepada bank. Jika si pelanggan gagal membayar hutang, maka cagaran akan terlupus. Harus difahami bahawa bank membuat duit bukan melalui cagaran. Bank membuat duit dengan memberi orang berhutang. Cagaran hanya mainan silap mata untuk melahirkan keyakinan.
..
Katakan pada hari Rabu minggu hadapan, semua pelanggan Bank Buluh Kasap ingin mengeluarkan duit - maka tertonggeng dan terkangkang Bank Buluh Kasap! Tidak ada duit sebenarnya dalam bank itu. Yang berpusing-pusing hanya kertas. Tertongeng dan terkangkang inilah yang sedang kita hadapi semenjak September 2008. Bank Northern Rock di Scotland tertonggeng apabila semua penyimpan datang beratur untuk meminta wang simpanan mereka - permulaan hilangnya keyakinan orang ramai terhadap bank.
...
Orang ramai tidak yakin bahawa duit mereka akan selamat. Apabila orang ramai hilang keyakinan, maka silap mata bank akan kantoi. Orang ramai akan berbondong-bondong datang untuk mengeluarkan duit mereka. Bank yang pandai main silap mata kini tidak dapat melakukan apa-apa melainkan mengaku diri mereka bankrap - inilah yang sedang berlaku sekarang. Selama 30 tahun yang lalu, pelbagai bentuk mainan silap mata telah dilakukan oleh bank.
..
Pemilik-pemilik bank ini telah mempengaruhi para ahli politik untuk melupuskan pelbagai larangan dan rintangan. Mereka memungut riba dan mengumpul harta. Dengan harta kekayaan yang terkumpul hasil daripada memakan riba, para pemilik bank telah memberi sumbangan kepada politikus. Persekongkolan ini cukup intim. Para pemilik bank ini tidak pernah muncul di khalayak umum. Tetapi kepentingan mereka terjamin melalui para politikus yang akan bersuara menjaga kepentingan mereka.
..
Pada 2009, banyak bank telah muflis. Lalu timbul persoalan. Ke mana perginya duit-duit ini?
Harta kekayaan tidak hilang, ia hanya bertukar tangan. Duit ringgit milik orang ramai yang tersimpan di bank telah dijadikan modal untuk membuat lebih banyak untung.Keuntungan ini disimpan. Penyimpan duit di bank boleh jatuh muflis, bank boleh diistihar bankrup tetapi tuan empunya bank tidak pernah bankrup.
..
Ada pelangan akan kalah judi di Genting tetapi syarikat Lim Goh Tong sampai kiamat tidak akan bankrup - ini juga hukum sistem kapitalis.

Thursday, May 07, 2009

Mengenal nilai budaya kapitalisma

BUDAYA DAN NILAI KONSUMER
..
Hari ini dasar globalisasi yang di ajukan oleh International Monetary Fund dan Bank Dunia telah berjaya menjadikan kapitalisma satu sistem ekonomi yang mencakupi seluruh dunia. Dari Chile ke China, dari Bhutan ke Batang Berjuntai, dari Tokyo ke taiping dari Normandy ke Nepal – semua negara sedang menggunakan sistem kapitalisma sebagai satu cara hidup.
..
Cara hidup disini ialah budaya harian yang digunakan oleh warga untuk menjalankan kehidupan. Budaya dan cara hidup ini diikat dengan nilai. Kapitalisma telah melahirkan nilai untuk dijadikan rujukan oleh warga dunia. Sistem kapitalisma telah berjaya menyebarkan nilai-nilai baru untuk umat manusia. Nilai ini berpenanan besar untuk memperkokoh dan mengembangkan kapitalisma. Nilai-nilai ini dirancang dan disusun.
..
Kajian dibuat secara ilmiah tentang apakah nilai yang wajib dibentuk. Pakar-pakar akan memastian nilai-nilai yang dimunculkan ini ianya akan selari dengan nilai dan hukum perjalanan sistem kapitalisma.Daulah memerlukan nilai-nilai ini untuk memastikan yang kuasa ditangan tidak akan tergelincir lepas. Melalui nilai dan pandangan dunia daulah dapat memastian hegemoni daulah dapat diteruskan. Penyebar nilai yang numbor wahid ialah media – akhbar, majalah dan tv.
..
Pada awalnya akhbar telah menjalankan peranan yang amat positif. Jika kita melihat kembali peranan akhbar di negara kita ini maka kita akan melihat bagaimana akhbar harian telah menjana pemikiran orang ramai. Gerakan nasionalisma di Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan tidak akan ampuh tanpa peranan akhbar.
..
Globalisasi , penswastaan dan pasaran terbuka telah mengalih semua ini. Dasar pasaran terbuka yang dipaksakan ke atas negara-negara dunia ketiga telah membuka jalan untuk taikun media antrabangsa melabor dan membeli akhbar dan media-media tempatan.Hari ini media di dunia ini sedang dimonopoli tidak lebih dari 10 buah syarikat – antaranya Time Warner Inc, The Walt Disney Corporation, The News Corporation Ltd., Sony Corporation, General Electric Co., Viacom, Inc. dan Bertelsmann AG.
..
Dari sini muncul satu susuk yang menjadi raja segala raja-raja – Rupert Murdoch.Syarikat-syarikat media ini berligar macam helang lapar untuk mencari mangsa baru. Dimana sahaja ada pasaran dibuka maka mereka akan datang melabor untuk mempengaruhi bentuk berita yang akan disebarkan kepada umum.Justeru – kita tidak perlu hairan kenapa Isreal yang memiliki lebih dari 200 biji bom nuklear tidak pernah dipersoalkan oleh saloran media media ini.
..
Kita juga tidak perlu hairan kenapa Iran yang hanya membuat loji nuklear untuk menjana leterik saban hari digoddam oleh media-media ini seolah-olah minggu depan Iran akan meledakan bom nuklear.Memiliki dan mengawal media bertujuan untuk menenggelamkan isu yang fundamental. Mengenepikan isu dan agenda yang rapat dihati warga. Melalui kawalan dan saringan - media bergelumang dan bertungkus lumus menimbulkan isu sampaingan yang remeh lagi temeh. Justeru dari hari ke hari pengisian media diseluruh dunia semakin cetek.
..
Umat manusia hari ini ditaburkan dengan cerita-cerita remeh, gosip-gosip tentang artis, aktor, pemain bola, kaki kaki glamour, ratu cantik atau para model.Telah wujud kesepaduan diantara media cetak dengan media leteronik. Kita tidak perlu pergi jauh untuk memahami semua ini. Lihat sahaja apa bentuk nilai yang sedang disebarkan oleh media kita sendiri.
..
Contohnya : Dari kaca tv kita melihat seorang aktor ciput yang tegedik-gedik – esoknya kita akan diberitahu siapa kekasih baru aktor ini. Dan lusa kita akan membaca bahawa aktor ciput telah berkahwin dengan seorang Datuk Tua. Kemudian kita terbaca aktor ciput ini minta cerai. Kesah ‘minta cerai’ ini akan menjadi sensasi sehingga berita 5000 warga yang di buang kerja dilihat sebagai berita sampingan.
..
Berita remah cerai berai artis ciput ini dijual untuk ditakrif lebih penting dari apa yang terjadi dan kemana perginya P Subramaniam atau apa yang akan dihadapi oleh warga yang akan hilang pekerjaan?
..
Berita-berita remeh seperti ini memang dirancang untuk mengkambuskan isu nasional yang lebih bermakna. Pemikiran warga sengaja dibantut dan dibonsaikan dengan berita remeh, cetek dan lagi superfisial.Media inilah yang hari ini sedang melahirkan nilai untuk menjadi rujukan kita bersama. Taktik yang dijalankan - sebelum kita sanggup menerima nilai ini otak dan fikrah kita perlu dicetekan dengan berita-berita remeh. Apabila warga menjadi lali, suka melopong depan tv, malas membaca dan kurang cerdik maka dengan senang warga akan disuapkan dengan nilai konsumer.
..
Nilai konsumer adalah segala nilai dalam budaya kapitalis. Budaya konsumer inilah yang dirancang secara rapi oleh kaum pemodal. Kaum pemodal antarabangsa ingin warga dunia terus membeli barangan dan produk-produk baru yang mereka buat. Inilah tugas penyebaran nilai konsumer.
..
Beli, beli dan terus membeli adalah rukun iman dan syarat utama untuk memastikan sistem kapitalis ini terus bergerak. Jika para konsumer berhenti membeli maka dengan sendirinya kilang akan terhenti. Untuk memastikan komplot ini terus berjaya maka warga perlu tunduk, menyembah dan menghayati nilai konsumer.
..
Produk poduk baru akan memasuki pasaran. Lepas satu , satu satu lagi objek baru akan muncul. Semua produk ini perlu dibeli untuk memastikan injin kapitalisma terus bergerak. Lihatlah, saban tahun kilang kereta akan mengeluarkan model dan bentuk baru. Komputer akan diisikan dengan software yang baru. Pakaian akan diperagakan dengan model yang baru. Semua ini dirancang secara bersepadu diantara media leteronik, media cetak dan iklan – untuk melahirkan nilai konsumer.
..
Kita sebagai warga akan ditembak dari kiri dan kanan. Di rumah mata kita ditembak oleh kaca tv. Dalam kereta telinga kita ditembak oleh radio. Di jalan raya mata kita dibom oleh papan iklan. Semuanya untuk melemahkan diri kita agar kita sama sama menyembah produk-produk dan membelinya.Hari ini kapitalisma telah berjaya menanamkan nilai aku-mesti-beli dan aku-mesti- memiliki.
..
Jika kita memiliki produk yang dijajakan maka kita termasuk dalam gulungan umat yang berjaya. Sesiapa yang tidak memiliki produk ertinya susuk ini adalah gulungan yang gagal. Dalam budaya kapitalisma nilai kejayaan diukur dengan pemilikan. Lebih banyak produk yang kita miliki maka lebih tinggi taraf kita untuk dilihat.
.
Budaya konsumer seolah-olah berjanji memberi warga kebebasan memilih. Kalau kita ke gedung membeli belah - kita ada kebebasan untuk memilih berpuluh jenis kopi.
..
Apakah benar kita sebagai warga memiliki kebebasan untuk memilih?Tidak. Dalam budaya konsumer kapitalis pilihan itu hanya satu ilusi. Yang kita pilih hanya logo luaran. Dalam kapitalisma warga tidak banyak pilihan – semua pilihan akan menjurus kepada orang yang sama dan tuan pemodal yang sama. Tidak percaya?
..
Cuba fikirkan apakah kita ada pilihan apabila berhadapan dengan Star, Sin Chew, Utusan, NST , RTM, Tv 3, Tv 9, atau Astro. Kita hanya berilusi yang kita ada kebebasan memilih tetapi sebenarnya semua pemiliknya adalah orang dari kumpulan yang sama.
..
Hegemoni budaya kapitalisma ini sedang memerangkap kita semua. Warga Asia, Afrika dan Latin Amerika termasuk Eropah dan Amerika semua sedang terjerat oleh budaya ini. Budaya ini sedang membantut dan membonsaikan fikrah kita. Justeru kita wajib mencari jalan keluar.(TT)
Tulisan ini boleh diambil untuk membuat kebaikan.

Wednesday, April 22, 2009

Mengenal Kapitalisma

KEDAULATAN DAN GLOBALISASI
.
Lupakan kedaulatan Sultan Perak. Lupakan kedaulatan Raja-Raja. Semua ini adalah ciput. Semua kedaulatan ini tidak akan diambil kira dalam agenda globalisasi yang sedang berjalan hari ini.
.
Semua Tan Seri, Tan Tun, Mak Datin , Pak Haji, Ayatollah, Padri, Sami, Rabbai atau apa sahaja bentuk manusia semuanya menjadi ciput dalam agenda baru yang sedang berjalan hari ini. Tuhan baru telah muncul. Tuhan yang dibawa oleh sistem kapitalis. Tidak percaya?
.
Sila renung dan periksa diri sendiri. Sistem ekonomi kapitalis telah menjadikan manusia berebut-rebut untuk mengumpul harta. Sistem ekonomi kapitalis telah melahirkan satu budaya dimana umat manusia dalam dunia ini terlupa dan terlalai bahawa kita hanyalsh bertransit di atas muka bumi ini. Budaya kapitalis ini telah mencakupi semua aspek kehidupan manusia. Manusia moden kurun ke 21 telah dilalaikan untuk menjadi binatang konsumer yang mengguna dan mengumpulkan pelbagai ‘biji-biji saga’ dan barangan kodi untuk mainan.
.
Manusia moden telah menjadi seperti Toyol yang asyik bermain dengan biji-biji saga hingga terlupa bahawa tujuan hidup ini adalah untuk mengenal diri sendiri dan melakukan kebaikan. Sistem kapitalis telah membawa satu budaya dimana ianya mengasak, meraba dan merangsang sifat jahat dalam diri manusia. Hukum induk ekonomi kapitalis - keuntungan maksima – telah melupuskan nilai baik yang sedia wujud dalam diri manusia.
.
Justeru apakah kita hairan apabila kita terbaca dalam akhbar bagaimana pembekal susu tepong di Tanah Besar China telah membubuh malamin dalam tepong untuk dijual sebagai susu. Mereka menjual susu ini bukan kepada orang Sweden tetapi kepada bayi-bayi China sanak saudara mereka sendiri. Justeru apakah kita hairan apabila kita membaca berita di Sepanyol dan Portugal ada pembekal minyak zaiton telah membubuh minyak hitam yang sudah terpakai untuk dijual sebagai campuran minyak zaiton.
.
Justeru apakah kita hairan apabila membaca bagaimana kontrektor Bumiputera yang bersunat dan selalu naik umrah telah membuat bangunan sekolah, bilik makmal dan hospital dengan menggunakan barangan tidak berkualiti dan akhirnya bangunan-bangunan ini runtuh rantah. Semua ini dilakukan kerana mereka hidup mengikut hukum dan budaya kapitalisma.





.
Keuntungan maksima adalah tuhan baru yang sedang disembah. Selama 30 tahun kebelakangan ini tuhan baru ini telah muncul di merata pelusuk dunia. Tuhan ini akan berada dimana sahaja wujudnya sistem ekonomi kapitalis termasuk di Malaysia. Tiga puluh tahun dahulu – air, api, jalan raya, hospital, bank, sekolah, universiti, talipon, radio, tv – semua ini adalah milik kita bersama.
.
Semua ini adalah hak milik negara bermakna hak milik orang ramai. Tiba-tiba harta orang ramai ini diswastakan. Siapa sebenarnya yang menelorkan dan mencadangkan dasar penswastaan ini. Dasar ini dimunculkan oleh pemikir kabal-kabal Illuminati. Para pemikir dari pelbagai ‘think tank’ ini yang telah mengajukan agenda penswastaan kepada Bank Dunia dan IMF sebagai satu usaha untuk apa yang mereka panggil – cara untuk memperbaiki dan mengembangkan ekonomi di negara-negara sedang membangun.
.
IMF dan Bank Dunia menjadikan penswastaan ini sebagai dasar untuk diterima pakai. Negara Dunia Ketiga yang miskin jika ingin meminjam dana dari bank-bank antarabangsa diwajibkan menjalankan dasar penswastaan. Penswataan bermakna menjualkan harta hak milik orang ramai kepada kaum kapitalis antrabangsa.Di belakang dasar penswastaan ini ialah para banker dari kabal Illuminati.
.
Para banker yang telah mengumpulkan berbilon kertas dolar memerlukan pasarana pelaboran baru. Hukum ekonomi kapitalis mewajibkan kaum pemodal terus mencari pasaran baru. Di Eropah Barat pasaran telah tepu. Maka kabal Illuminati telah mengarahkan Bank Dunia dan IMF memaksa dibuka seluas mungkin pasaran di negara Dunia Ketiga.
..
Hasilnya kita melihat harta negara kita –air, talipon, tv, jalan raya, hospital, bangunan, bank – semuanya bertukar tangan.Apabila Perang Dingin tamat lihat apa yang telah terjadi kepada Russia dan Eropah Timur. Negara-negara ini sedang mengamalkan sistem ekonomi sosialis telah diasak dan di serang. Russia telah dipecah-pecahkan. Perang telah dicetuskan di Bosnia, di Kosovo, di Montenegro dan di Chechen – semua ini adalah perancangan licik untuk memaksa harta rakyat di Eropah Timur di jual kepada kaum pemodal antrabangsa.
..
Sesudah dasar penswastaan di terima pakai – kita mula terdengar apa yang dikatakan - Dunia Tanpa Sempadan. Dunia tanpa sempadan ini ialah agenda Illiminati untuk melupuskan kedaulatan negara. Dunia tanpa sempadan bukan bererti orang Afrika boleh senang-senang masuk ke Eropah. Dunia tanpa sempadan bukan bererti buruh rakyat Pakistan boleh masuk ke Jepun untuk mencari kerja.
..
Tanpa sempadan hanyalah untuk duit modal masuk ke mana sahaja untuk mencari untung. Modal antarabangsa ini tidak boleh diganggu gugat ketika modal ini sedang mencari keuntungan maksima dimana sahaja dalam dunia ini. Dunia tanpa sempadan ialah untuk para pelaboran antarbangsa bermain ‘tikam dan berjudi’ di pasaran saham negara-negara Dunia Ketiga.
..
Lihat apa yang berlaku di Asia Tenggara pada tahun 1997 dahulu. Lihat bagaimana kaum kapitalis antarabangsa telah menerbus masuk dan menekan negara-negara Asia Tenggara dan akhirnya banyak hospital kita terjual, talipon kita terjual, sistem pendidikan kita terjual.
..
Lihat Tesco, Carrefour, Giant, Court Mamoth, AIA, ING, Ikea, Burger King, MacDogal, Shell, Esso – semua ini adalah milik pemodal antarabangsa. Semua ini dipaksakan ke atas pasaran kita melalui perjanjian World Trade Organisation (WTO). WTO memaksa negara Dunia Ketiga membuka pasaran untuk pemodal antarabangsa masuk mencari untung.
..
Perjanjian WTO ini adalah perjanjian terbuka yang berat sebelah – sama seperti perjanjian-perjanjian East India Company yang telah dibuat oleh Sultan Johor dengan Raffles pada tahun 1819 dahulu. Sama seperti perjanjian Sultan Kedah dengan Francis Light pada tahun 1786. Sama seperti Perjanjian Pangkor 1874 yang akhirnya Tanah Melayu jatuh ke tangan British.
..
Dari zaman penjajah dahulu cita-cita kaum pemodal kapitalis ini untuk memiliki dunia ini tidak pernah padam-padam. Cita-cita kaum pemodal antarabangsa ini untuk menjadikan umat manusia sebagai hamba adalah manifesto New World Order. Kabal-kabal Illuminati saban hari merancang. Hari ini semua strateji telah di rancang. Semua telah di susun.
..
Para banker di belakang Iluminati sedang dalam persediaan akhir untuk melahirkan apa yang mereka katakan – New World Order atau Dunia Bentuk Baru.Lihatlah nanti bagaimana kabal-kabal Illuminati ini akan memaksa Malaysia untuk menanda tangani Free Trade Agreement. Dalam perjanjian ini tidak ada yang ‘free’. FTA ini akan memaska kita terus membuka semua pasaran negara kita untuk kaum pemodal antarabanga mencari keuntungan maksima.
..
New World Order ini adalah dunia baru dimana kedaulatan negara tidak wujud lagi. Rancangan NWO ini sedang diatur – Canada, Amerika dan Mexico telah disatukan – kemudian seluruh Selatan Amerika akan dijerut masuk. Eropah sedang bersatu – ini akan menjerut masuk Afrika dan Timur Tengah. Asia akan dikepali oleh Jepun yang akan menjerut semua negara di Asia.
..
Lihat sekarang telah wujud Asean dan Apec untuk Asia , African Union untuk Afrika dan Union of South American Nations untuk Amerika Latin. Semua ini adalah perancangan Illuminati. Semua ini direstui oleh kaum pemodal antarabangsa. Rancangan akhir mereka ialah untuk memastikan semua rakyat dunia ini akan tunduk kepada kuasa mereka. Dalam masa yang tidak lama lagi manusia akan di cap dengan microchip. Tak percaya?
..
Bukankah idea ini telah terkeluar dari mulut seorang pegawai polis Malaysia tiga tahun dahulu dan berita ini telah dilaporkan dalam Utusan Malaysia. Microchip ini untuk bayi yang baru lahir – atas alasan untuk mengekori penjahat. Tetapi hakikatnya microchip ini ialah untuk mengawal semua umat manusia agar tunduk kepada sistem ekonomi kapitalis. Umat manusia akan taat bekerja dari jam 9 hingga 5 – bercuti Sabtu Ahad. Jika sopan dan tekun mereka akan dapat gaji untuk membeli kondo, ipod, Kancil, kasut Prada, beg Luis Vuitton dan pelbagai jenis ‘biji-biji saga’ yang dijanjikan.
..
Sila baca 1984 oleh George Orwell dan tonton filem Metropolis oleh Fritz Lang. Ini bukan satu dongeng konspirasi. Ini bukan plot sebuah novel yang belum siap. Ini adalah hakikat politik dunia hari ini. Memahami politik dunia hari ini amat penting. Jika kita gagal untuk memahami garis dan strateji Illuminati maka kita tidak akan melawan. Jika tidak bangun melawan maka umat manusia dalam dunia ini akan dijadikan hamba abdi. (TT)
..
( Tulisan ini boleh diambil untuk kegunaan membuat kebaikan )

Friday, April 17, 2009

Memahami Kapitalisme

GLOBALISASI – SATU DUNIA BARU
.
Kita diberitahu bahawa dunia sedang menghadapi masalah kecairan – ertinya tidak ada duit dalam pasaran. Lalu kita bertanya ke mana agaknya segala duit-duit yang terkumpul dalam dunia ini pergi. Negara China, Jepun, Korea, Singapura, Taiwan dan termasuk Malaysia sendiri ada menyimpan duit-duit ini dalam bentuk kertas dolar Amerika.
..
Wang yang tersimpan ini – menjadi wang simpanan negara – adalah hasil kita berjual beli dengan Amerika. China dan Jepun adalah negara yang paling banyak menyimpan kertas dolar. Kertas dolar telah dipaksakan ke atas dunia ini oleh kuasa imperial Amerika. Permaksaan ini melalui dua cara. Pertama – Amerika telah membuat perjanjian 1972-74 dengan keluarga Saud bahawa semua jual beli minyak wajib menggunakan kertas dolar.
..
Ini kerana bahan bakar petroleum diperlukan oleh semua negara. Manakala Saudi adalah pengeluar utama bahan bakar ini. Untuk gantinya – kuasa imperial Amerika berjanji akan menjaga keselamatan keluarga Saud dari dipukul oleh ombak rakyat. Cara kedua ialah dengan kekuatan bala tentera. Amerika mendirikan 702 pengkalan tentera di 130 buah negara dalam dunia ini. Tidak ada negara penjual minyak yang berani menjual minyak tanpa menggunakan kertas dolar.
.
Saddam Hussein cuba mengalihkan kertas dolar sebagai mata wang jual beli minyak. Jawapannya Saddam di gantung mati. Iran sedang berusaha untuk beralih dari kertas dolar justeru segala bentuk sekatan sedang dilakukan ke atas Iran.Dari mana kertas dolar ini datang?
.
Kertas dolar hanyalah kertas yang telah dipaksakan nilainya ke atas warga dunia. Ini dipanggil – fiat money - nilai yang dipaksa. Tanpa paksaan ini dolar hanyalah kertas yang tidak memiliki apa-apa nilai. Justeru kertas dolar adalah satu penipuan yang terunggul dalam sistem ekonomi kapitalis. Pada awalnya Amerika Syarikat adalah sebuah negara revolusiner yang berdiri untuk menjaga kepentingan warga. Amerika mengeluarkan duit kertas sendiri. Amerika yang merdeka telah membebaskan diri dari para banker yang telah lama bersarang di City of London.
.
Tuan-tuan empunya bank merasa mereka kehilangan bumi permata apabila Amerika menjadi bebas dan merdeka. Lalu para banker menelurkan satu konspirasi untuk memaksa pentadbiran Amerika terus terikat dengan kepentingan para banker. Pada tahun 1913 setelah beberapa kali pecubaan gagal akhirnya para banker telah berjaya memaksa/menipu Kongres untuk menerima dan meluluskan Akta Federal Reserve 1913.
.
Ramai warga dalam dunia tersilap menyangka bahawa Federal Reserve ini adalah bank milik negara Amerika. Tidak betul. Federal Reserve ini bukan bank milik negara Amerika seperti Bank Negara kita di Jalan Kuching. Federal Reserve adalah bank swasta yang tuan pemiliknya dirahsiakan. Siapa lembaga-lembaga pengarah Federal Reserve ini juga di rahsiakan.
.
Kongress hanya boleh menerima atau menolak dua nama yang akan di cadangkan oleh Federal Reserve. Justeru dunia hanya mengenali nama Alan Greenspan Pengerusi Federal Reserve yang lalu dan Ben Bernanke Pengerusi yang terkini. Siapa yang lain di belakang tabir Federal Reserve ini tidak akan diketahui umum.
.
Mengikut Akta 1913 ini pentabiran Amerika tidak lagi dibenarkan mengeluarkan mata wang sendiri. Mata wang untuk kegunaan negara Amerika hanya akan dikeluarkan oleh Federal Reserve. Jika kerajaan Amerika memerlukan dolar maka kerajaan wajib meminjam dari Federal Reserve – sama ada dengan menjual bond atau meminjam dengan bunga yang ditetapkan.
.
Lihat bagaimana liciknya konspirasi para banker ini. Seperti tulisan minggu lalu – para banker ini mencetak kertas yang dipanggil dolar tanpa apa apa asas. Kertas dolar ini akan dipinjam oleh kerajaan Amerika dari Federal Reserve ini akan dibayar kembali dengan bunga. Duit membayar hutang dan riba ini datang dari tenaga dan titik peluh rakyat Amerika. Melalui kertas kosong para banker ini telah membuat harta Qarun. Inilah dia punca yang sedang membawa huru hara ke atas dunia hari ini.
.
Mungkin ada yang berhujah – ini di Amerika apa sangkut pautnya dengan harga ikan di Pasar Chow Kit. Sabar dahulu biar saya terangkan sejelas mungkin. Hari ini perniagan tukaran mata wang dalam dunia ini semuanya diwajibkan menggunakan dolar. Semua simpanan reserve bank-bank negara dalam dunia ini akan bersandarkan dengan kertas dolar. Ini telah dipaksakan oleh sistem kapitalis yang dikepalai oleh pemodal Anglo-Amerika. Para banker dan kaum pemodal ini telah mendirikan lembaga-lembaga kewangan dunia.
.
Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF) ada dua lembaga hitam yang memastikan kertas hijau ini digunakan di seluruh dunia. Setiap negara akan dinilai kekuatan ekonominya bersandarkan dolar. Perniagaan antarabangsa semuanya menggunakan kertas dolar. Barang yang kita ekspot dan barangan yang kita impot semuanya dinilai dengah kertas hijau ini. Justeru kita sendiri di Malaysia akan melihat rebah bangun ekonomi negara kita melalui perbandingan ringgit dengan kertas dolar.
.
Jika pembaca memahami apa yang saya tulis ini maka amat jelas kelihatan bahawa umat manusia dalam dunia ini telah diperbodohkan dan ditipu oleh Federal Reserve, Bank Dunia dan IMF. Lalu kita menyoal diri kita sendiri:
.
Kenapa tidak dapat dilakukan sesuatu untuk membebaskan diri dari sistem kapitalis global ini?
.
Pertama: Banyak rakyat Amerika sendiri kurang sedar silap mata dan tipu helah yang dijalankan oleh Federal Reserve ke atas negara mereka. Rakyat dunia juga tidak sedar akan hal yang sama.
.
Kedua: tidak ada sesiapa yang akan dapat memasuki Rumah Puteh yang akan berani membocorkan rahsia ini. Lihat apa terjadi kepada Abraham Lincoln yang menentang para banker dan Central Bank (nama asal Federal Reserve). Presiden Lincoln yang berperang hampir jatuh muflis telah mencetak Lincoln Greenback Dollar tanpa meminjam dari Central Bank. Lihat juga apa yang terjadi kepada John F Kennedy kerana cuba membocorkan konspirasi kaum pemodal ini.
.
Ketiga: tidak ada sesiapa yang akan dapat menjadi ahli Kongres atau masuk ke Dewan Senat Amerika dengan agenda menentang Federal Reserve, menentang para banker dan kaum pemodal ini. Semenjak tahun 1913 para banker ini telah membuat jaringan, kabal dan kumpulan rahsia untuk memastikan kepentingan mereka dijaga oleh para politikus. Hari ini kabal rahsia para banker-banker ini telah mempengaruhi semua cabang pentabiran di Amerika.
.
Hasilnya – media tidak pernah dan tidak akan melaporkan ke akar umbi secara radikal rancangan jahat para banker dan kaum pemodal ini. Enam puluh tahun dahulu masih terdapat 86 buah syarikat media yang besar dalam dunia ini. Ketika itu media cetak masih lagi bergerak bebas. Hari ini yang tinggal hanya 6 buah syarikat - ViaCom, General Electric, Disney, NewsCorp, Times Warner dan CBS - yang memiliki pelbagai bentuk media.
.
Syarikat media ini dimiliki oleh para banker-banker ini. Malah jika diselidiki dengan rapi kita akan menemui bahawa modal-modal ini juga telah meresap masuk ke dalam industri media tempatan kita. Yang menyusun dan merancang semua ini adalah kabal-kabal rahsia seperti – Freemason, Bohemian Grove, Bilderberg Group, Skull and Bones – semuanya terpusat di bawah satu bumbung yang dikuasi oleh pemodal dan banker yang sedang merancang untuk memunculkan New World Order – Satu Dunia Baru.
.
Di belakang semua ini ialah nama-nama seperti Rothschild, Rockefeller and Morgan. Mereka ini berkumpul di bawah payung organisasi yang dipanggil Illuminati. Susuk-susuk yang kaya raya ini tidak pernah muncul menunjukkan muka mereka. Kabal rahsia ini telah memunculkan muka-muka yang boleh dikenali oleh dunia seperti Henry Kissinger, Zbigniew Brzezinksi and Lord Carrington.
.
Mereka ini dianggap sebagai jurufikir yang berkumpul di bawah Council of Foreign Relation di Amerika dan Royal Institute of International Affairs di United Kingdom. Lembaga jurufikir seperti NGO ini akan menjemput malaon dari dunia ketiga yang bercita-cita untuk menjadi presiden atau perdana menteri. Tugas badan pemikir ini ialah mentafsir dan menilai malaon-malaon dari dunia ketiga ini.
.
Penilaian bukan berdasarkan apa yang ada di antara dua telinga maloan-malaon ini tetapi sama ada maloan-maloan ini akan bersedia untuk menjadi barua yang setia untuk menjalankan dasar yang diperlukan oleh kabal rashia ini. Justeru kita lihat apabila dasar penswastaan dianjurkan maka semua malaon yang telah dilantik menjadi barua di dunia ketiga akan menjalankan dasar yang sama.
.
Apabila dasar globalisasi diperkenalkan maka malaon-maloan ini seperti burung kakaktua akan bersuara sama.Jika ada malaon ini yang cuba melawan seperti Noriega dari Panama atau Saddam maka dengan sekelip mata mereka akan dilupuskan. Jika maloan ini sudah selesai tugasnya seperti Suharto, Marcos, Lol Nol atau Zia ul haq, – mereka akan diketepikan untuk malaon yang baru naik. Semua ini dirancang. Tidak ada yang berlaku tanpa perancangan.
.
Hari ini sebenarnya tidak ada masaalah kecairan. Apa yang berlaku ialah peralihan harta dan wang ringgit warga dunia masuk ke tangan para banker ini. Dolar yang terkumpul hari ini melebihi 17 trilion dolar. Dolar, emas dan pelbagai mata wang ini tersimpan di 27 buah negara pulau yang memiliki bank pesisir pantai. Negara seperti Bermuda, Cook Islands, Switzerland, Luxumbourg, Cayman Island dan termasuk Labuan adalah tempat tersoroknya harta ini. Buat ketika ini di sinilah harta kekayan dunia sedang bermastautin. (TT)
.
(Tulisan ini boleh diambil untuk kegunaan membuat kebaikan) - http://www.tukartiub.blogspot.com/