Wednesday, August 11, 2010

Pulangan Lumayan Kertas 'Buatan Tangan'


Oleh Asmahanim Amir

ALOR STAR, 6 Ogos (Bernama) -- Siapa sangka jerami padi, batang pisang, kulit pokok ceri dan batang bunga kantan yang sudah tidak digunakan boleh diproses menjadi kepingan kertas berkualiti, malah ia juga boleh digubah menjadi kotak jika kena dengan kreativitinya.

Tidak ramai yang tahu tentang penghasilan produk itu yang dibuat menggunakan kertas buatan tangan, namun di Kedah, produk kraftangan itu semakin mendapat perhatian.

Norhanizah Abu Osman, 27, seorang pereka produk kraftangan di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) cawangan Kedah berkata penyertaan untuk mengikuti kelas perbadanan itu setahun yang lepas, memberi pulangan yang lumayan kepadanya.

"Saya mengikuti kelas itu secara suka-suka memandangkan masa itu saya tidak mempunyai pekerjaan tetap," katanya ketika ditemui di bengkel pembuatan kertas di Kraftangan Malaysia cawangan Kedah.

Sebelum itu Norhanizah tidak pernah tahu dan tidak terfikir langsung tentang kertas buatan tangan.

"Selepas melalui proses temu duga dan penilaian, akhirnya saya bersama beberapa orang terpilih mengikuti kursus ini selama tiga bulan di sini," katanya.

PROSES PEMBUATAN

Norhanizah berkata proses untuk membuat kertas buatan tangan itu mengambil masa yang agak lama. Bahan buangan itu perlu dipotong antara 2.5 cm hingga 5 cm sebelum direbus selama lima hingga enam jam.

"Kalau dicampur dengan bahan kimia seperti soad kaustik, rebusannya mengambil masa hanya satu hingga dua jam. Tetapi saya tidak menggunakan bahan kimia itu kerana mahu memelihara alam sekitar," katanya.

Katanya bahan yang telah direbus itu akan dicuci sehingga bersih sebelum dikisar sehingga seratnya menjadi betul-betul lembut dan tidak hancur.

Proses seterusnya ialah menangguk. Menangguk ialah proses yang dilakukan untuk mengasingkan bahan kisar itu dengan air rendaman dan mempunyai caranya tersendiri.

"Ia perlu dilakukan dengan berhati-hati agar bahan kisar itu ditangguk dengan sekata dan hasil kertas itu nanti rata.

"Apabila bahan yang ditangguk itu bebas air, ia akan ditekap di atas sekeping papan kosong yang rata dan licin dan perlu ditekan selama satu hari agar tiada air berlebihan," katanya.

Beliau berkata ia perlu dijemur dalam suhu bilik sehingga menjadi kepingan kertas dan tidak dijemur di bawah panas terik matahari kerana ia akan menyebabkan kepingan kertas itu berkedut.

"Selepas menjadi kepingan kertas, ia akan diratakan sekali lagi menggunakan mesin khas supaya kepingan kertas itu mampat dan padat dan selepas itu ia boleh dibentuk menjadi apa sahaja yang diinginkan termasuklah membuat kotak," katanya.

PENDAPATAN

Norhanizah berkata di peringkat awal menceburi bidang itu, pendapatan beliau tidak begitu memuaskan.

"Pada awalnya saya hampir berputus asa kerana produk kertas buatan tangan ini tidak mendapat sambutan. Mungkin promosinya tidak meluas dan masyarakat tidak tahu apa itu produk kertas buatan tangan.

"Tetapi lama-kelamaan ia mula diterima dan sekarang ini saya sudah tidak menang tangan sehingga terpaksa menolak beberapa tempahan," katanya yang memperoleh pendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan selepas setahun menceburi bidang ini.

Beliau menjual hasil krafnya dengan harga dari RM5 hingga RM60 setiap satu.

PASARAN

Pemegang Diploma Perkhidmatan Bangunan dari Politeknik Sultan Abdul Halim (Polimas) itu berkata produknya mendapat permintaan sehingga ke Australia tetapi beliau terpaksa menolaknya kerana terlalu banyak tempahan yang diterima.

"Memang rasa sangat rugi apabila terpaksa menolak tempahan dari Australia, tetapi saya tidak boleh pentingkan diri kerana dikhuatiri produk yang dihasilkan kurang berkualiti," katanya.

"Mungkin pada masa depan. Buat masa sekarang, saya hanya memasarkan produk di dalam negara sahaja dan pasaran paling tinggi ialah di sekitar negeri Kedah," tambahnya.

BAHAN MENTAH

Bahan mentah yang digunakan Norhanizah mudah didapati dan merupakan bahan terbuang.

"Saya mendapat bekalan jerami padi di sawah sebelah bengkel ini tetapi jika bukan musim menuai, saya akan membeli jerami padi di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada)," katanya yang turut memberitahu beliau tidak pernah terputus bekalan bahan mentah.

Katanya pihak Kraftangan juga banyak membantu dalam menyediakan tempat operasi, promosi dan jualan produknya.

-- BERNAMA

No comments: