IA menjual payung, bunga, makanan yang dimasak, minuman sejuk selepas gempa bumi malah adakalanya mampu membaca fikiran manusia. Begitulah cara lima juta mesin layan diri di Jepun berfungsi.
Boleh didapati di seluruh negara, jumlah kedai runcit automatik itu menyamai lampu isyarat di negara tersebut dan menawarkan pelbagai produk menarik, bahkan adakalanya memeningkan kepala.
Memandangkan kadar jenayah yang rendah di Jepun, syarikat pengeluar mesin layan diri boleh meletakkannya di mana-mana saja. Sama ada di tengah-tengah kota yang penuh dengan lampu neon sehinggalah di puncak Gunung Fuji, tanpa perlu bimbang dicuri atau dimusnahkan bagi mendapatkan duit syiling yang terdapat di dalamnya.
"Ia memang memudahkan hidup, saya berharap mempunyai satu mesin yang sama dalam bilik saya," kata Hibiku Miura, 18, yang banyak bergantung kepada mesin itu sama seperti rakyat Jepun lain.
Persaingan sengit
Jepun mempunyai 2.5 juta mesin layan diri yang menjual minuman, bersamaan dengan satu mesin bagi setiap 50 orang. Ia menjana pendapatan AS$27 bilion (RM83 bilion) tahun lalu, menurut Pertubuhan Pengeluar Mesin Layan Diri Jepun.
Mesin yang menjual barangan lain seperti rokok hinggalah alat permainan, jambangan bunga malah cetakan ramalan di kuil Shinto. Kesemua itu meningkatkan pendapatan yang mencecah lima juta, mengikut anggaran industri.
Dalam pasaran mesin layan diri paling tepu di dunia, para pengeluar mesin bersaing untuk menarik perhatian pelanggan dengan menggunakan lampu neon hinggalah tawaran pelbagai rangkaian barangan.
Dole Japan Ltd. misalnya, menarik perhatian ramai apabila mesin layan dirinya menjual pisang sejuk di sebuah stesen kereta api di Tokyo bulan Jun lalu pada harga 130 yen (RM4.80) sebiji atau 390 yen (RM14.40) sesikat yang mempunyai lima biji pisang.
"Kamu boleh membeli pisang di kedai 24 jam atau pasar raya, tetapi ada yang gemar membeli daripada mesin layan diri. Ramai berpendapat ia seronok untuk dilihat, dibeli dan dimakan," kata jurucakap Dole, Hiromi Ohtaki.
Sejumlah daripada mesin tersebut mempunyai fungsi sosial seperti laporan berita dan skor terkini besbol pada papan elektroniknya.
Coca-Cola (Japan) Co. menyatakan 5,100 daripada keseluruhan 980,000 mesin layan dirinya mengeluarkan minuman percuma jika berlaku gempa bumi besar dan bencana-bencana lain.
Terbaru, sebuah mesin layan diri membekalkan 680 botol minuman kepada mereka yang melarikan diri dari kediaman masing-masing di utara Jepun, Hokkaido, apabila gempa bumi di Chile mencetuskan amaran tsunami di negara tersebut pada Februari lalu.
Di sebuah kampung terpencil di Okinawa, Coca-Cola menyatakan sokongannya pada tinjauan alam sekitar dengan meletakkan mesin layan diri bermikrofon untuk merakamkan kicauan burung yang jarang ditemui.
Mesin layan diri terkini yang berteknologi tinggi menggunakan kamera dan perisian yang boleh mengesan jantina dan usia seseorang, dengan ketepatan sekitar 75 peratus.
Dengan menggunakan data jualan, mesin yang diletakkan di stesen kereta api Shinagawa, Tokyo itu mampu melihat seseorang dan menyarankan minuman sukan atau setin espresso sejuk mengikut jumlah kebijaksanaan pemasaran terkumpul.
Privasi pengguna
Hidemi Mio, 48, yang mencuba mesin itu berkata, mesin yang menggunakan otak digital itu selepas sesaat mencadangkan kepadanya tiga jenis minuman di paparan skrin sentuh sebesar 119 sentimeter lebar, termasuklah teh berperisa.
Apabila mesin itu mencadangkan salah satu minuman kegemarannya, Mio menyatakan dia akan memilih saranan mesin tersebut pada masa akan datang jika dia tidak boleh membuat keputusan.
Bayaran boleh dibuat dengan meleretkan kad kredit, telefon bimbit atau tunai.
Bagi melindungi privasi pengguna, mesin tersebut akan memadam imej pengguna tetapi data jantina, umur dan pilihan belian dikumpulkan, kata Pengurus Besar Jualan di JR East Water Business Co. yang memiliki mesin itu, Toshinari Sasagawa.
"Kami mendapat data mengenai barang yang dijual, lokasi dan waktu sesuatu barang dijual. Malah kami turut mengumpul maklumat ciri-ciri pelanggan dengan harapan dapat mengeluarkan produk baru dan pembangunan," katanya.
Mesin itu banyak diperkatakan sejak bulan lalu dengan hasil jualan yang meningkat tiga kali lebih banyak berbanding 50 mesin layan diri lain di stesen yang sama.
JR East Water Business, yang dimiliki penuh oleh pengendali kereta api gergasi, merancang untuk menempatkan 500 unit mesin layan diri generasi baru mesin itu dalam masa dua tahun.
Pada masa depan, mesin layan diri mungkin ditingkatkan dari sudut komunikasi dengan pelanggan.
"Kami mahu pelanggan menikmati pengalaman dan seronok ketika proses membeli yang berbeza daripada mesin layan diri lain," ujar Sasagawa. - AFP
No comments:
Post a Comment