Tuesday, October 12, 2010

Sambutan luar biasa lelong Dorper


celoteh juru lelong Khairuddin Ismail menarik minat pembida yang mencari ternakan terbaik bagi ladang mereka.


"Kita akan mulakan dengan plot satu, 10 ekor biri-biri Dorper betina baka dengan harga RM4,500," kata juru bida, Khairuddin Ismail sambil menunjukkan kepada plot yang akan dilelong.

Sepuluh ekor biri-biri Dorper betina mengembek dalam plot 1 mencari makanan.

Mentol di plot yang akan dibida dinyalakan bagi membolehkan pembida menentukan plot pilihan mereka.

Episod membida bermula, pembida mengangkat nombor masing-masing sebagai tanda menambahkan pembidaan dengan nilai RM50 sekali.

Khairuddin yang berpengalaman sebagai juru bida di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) selama 15 tahun, berdiri menghadap plot yang diisi dengan 10 ekor biri-biri Dorper. Setiap satu mempunyai harga, jantina dan kegunaan sama ada untuk baka atau sembelihan.

Seramai 50 orang pembida yang datang dari seluruh negara telah meninjau plot diberikan nombor, duduk di tempat yang dikhaskan.

"RM4,500 satu...!"Jerit Khairuddin dengan matanya meliar memandang pembida.

Belum sempat dia menghabiskan ayatnya pembida dengan nombor 015 mengangkat kadnya.

"Sekarang siapa berani dengan RM4,550...!" Katanya menarik minat bukan saja pembida tetapi juga mereka yang datang untuk meninjau lelongan biri-biri Dorper yang pertama kali dijalankan di Projek Agropolitan Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Pembidaan semakin rancak apabila nama pembeli pertama akan diabadikan di ladang berkenaan.

Setengah jam berlalu, harga yang ditawarkan telah meningkat lebih dua kali ganda, masing-masing berebut mengabadikan nama di ladang berkenaan.

"RM13,950... dua kali...!" Belum sempat juru lelong menghabiskan kata-katanya, pembida dengan nombor 011 mengangkat kadnya.

Akhirnya tinggal hanya tiga pembida yang benar-benar berminat mendapatkan Dorper dalam plot 1.

"Sapa berani lawan untuk harga RM14,900... satu, RM14,900 .... dua, RM4,900 tiga.. ! Kalau macam tu, plot 1 kepunyaan 015!" Katanya.

Pembantu juru bida Azhar Ibrahim, memalu gong tiga kali sebagai menandakan plot 1 telah menjadi milik pembida dengan nombor 015.

Aktiviti bidaan berjalan rancak dan mengambil masa lebih empat jam dengan 435 ekor biri-biri Dorper bernilai RM265,550.

Aktiviti bidaan biri-biri Dorper diadakan buat kali pertama selepas genap setahun Projek Agropolitan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jualan biri-biri Pekan Dorper Auction dianjurkan bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Melebihi jangkaan

Bidaan kali pertama itu melibatkan biri-biri Dorper dengan jenama Pekan Dorper yang diternak di bawah Projek Agropolitan Pekan bagi golongan miskin tegar.

Kini biri-biri Dorper merupakan salah satu aktiviti utama di Agropolitan Pekan selepas ladang kelapa sawit.

Dalam tempoh setahun, Projek Agropolitan Pekan telah berjaya menggandakan populasi biri-biri baka Dorper kepada hampir 2,000 ekor daripada 1,000 ekor pada peringkat permulaan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John gembira dengan kejayaan yang dicapai.

"Kami tidak menyangka mendapat sambutan yang melebihi jangkaan dengan lebih 50 pembida mengambil bahagian memandangkan ini adalah aktiviti pertama di Agropolitan Pekan" katanya.

Beliau menambah aktiviti bidaan akan diadakan dari masa ke semasa mengikut kesesuaian dan bilangan biri-biri.

Dalam tempoh setahun Projek Agropolitan telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dalam usaha meningkatkan taraf hidup para peserta projek.

Malah, kejayaan projek perintis penternakan biri-biri akan menjadi pelopor pembangunan 250 unit kandang ternakan (APU) di Agropolitan Pekan yang melibatkan sejumlah 25,000 biri-biri baka Dorper.

Apabila jumlah berkenaan dicapai, Agropolitan Pekan bakal mempunyai populasi biri-biri terbesar di satu lokasi tunggal di Asia dan dalam tempoh lima tahun tempat ini akan menjadi pusat pembidaan Dorper.

Projek Agropolitan merupakan sebuah projek sosioekonomi bersepadu yang dilaksanakan oleh ECERDC dengan matlamat membasmi kemiskinan di kalangan masyarakat miskin tegar.

Melalui aktiviti ekonomi yang dijalankan peserta projek mampu menjana pendapatan tetap antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.

Felda dilantik bagi menyelaras dan mengurus projek berkenaan dan pada permulaan 30 peserta Orang Asli telah melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti ternakan Dorper sejak Julai tahun lalu.

Selain 11 buah APU sedia ada untuk menempatkan biri-biri, 60 buah APU sedang dibina, 30 dijangka siap November 2010 manakala bakinya pada 2011.


sumber: Utusan Malaysia Online

No comments: